Sabtu, 18 Disember 2010

CABARAN KERJAYA ORANG KURANG UPAYA (OKU)



Kerjaya merupakan suatu aspek yang penting kepada setiap individu. Setiap individu mempunyai kerjaya masing-masing. Sebagai contoh, seseorang yang mempunyai kerjaya seperti guru, tukang masak, jurutera dan sebagainya. Pemilihan kerjaya yang tepat dapat menentukan corak kehidupan serta taraf hidup seseorang. Bagi orang kurang upaya (OKU) juga, tidak terlepas dalam mempunyai kerjaya dalam hidup. Hal ini kerana, mereka juga memerlukan kerjaya bagi memenuhi keperluan dan kehendak hidup mereka. Namun, menurut (Sarkees dan Scott 1986) mengatakan bahawa terdapat pandangan masyarakat terhadap golongan OKU yang menyebabkan mereka dilayan seperti golongan kelas kedua.

Kebanyakan masyarakat mempertikaikan dalam mengambil pekerja OKU. Hal ini kerana, apabila seseorang OKU datang menemuduga, dalam pemikiiran penemuduga pasti mempunyai 1001 satu persoalan yang negatif tentang kebolehan yang ada pada golongan ini. Misalnya, “bolehkah dia merlakukan pekerjaan ini?”, “bagaimanakah dia dapat menerima arahan?” dan sebagainya. Hasilnya, menyebabkan OKU tidak dapat diterima dalam pekerjaan. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Haward (2000) mendapati terdapat 50 % hingga 70 % golongan OKU yang tidak mempunyai pekerjaan dan ada dalam kalangan mereka yang menerima pendapatan yang minimum. Masalah ini berkaitan dengan sikap golongan masyarakat yang menunjukkan sikap negatif dan memandang rendah terhadap keupayaan yang dimiliki oleg golongan OKU untuk bekerja.

Selain itu, terdapat sesetengah majikan yang masih belum terbuka dan belum bersedia dalam memberi peluang pekerjaan kepada golongan OKU. Antara faktornya ialah pekerja kurang upaya memerlukan cuti sakit, kadar insurans yang tinggi, keselamatan di tempat kerja terganggu, memerlukan kemudahan khas, dan mungkin beberapa perubahan terpaksa dilakukan di tempat kerja bagi menjamin keselamatan pekerja kurang upaya. Jadi, ini akan melibatkan perbelanjaan yang tinggi jika majikan mengambil mereka bekerja. (Zinida Ariffin (2009)).

Masyarakat yang mempunyai pandangan yang sterotaip akan menyebabkan golongan kurang upaya akan didiskriminasikan. Oleh itu, masyarakat harus diberikan pendedahan yang sewajarnya dalam memberi peluang kerjaya kepada golongan OKU. Berfikiran terbuka dan berfikir diluar kotak harus disemaikan dalam diri masyarakat supaya mereka dapat mengetahui manfaatnya jika mengambil pekerja golongan OKU.

Sebenarnya, walaupun kita lihat golongan OKU serba kekurangan tetapi mereka mempunyai kelebihan yang di anugerahkan oleh Allah kepada mereka. Jadi, tidak salah jika mereka diberi peluang dalam mendapat peluang pekerjaan. Mungkin dengan pemberian peluang ini dapat meningkatkan diri kita dalam memberi bantuan kepada golongan sebegini dan seterusnya bersama-sama memajukan ekonomi dan pembangunan negara.

Saya tidak hanya menyalahkan 100 % golongan normal yang tidak memberi peluang pekerjaan kepada golongan OKU. Namun, golongan OKU seharusnya bijak dalam membuat persediaan awal dan meningkatkan kemahiran dalam diri supaya diri dapat diterima untuk bekerja. Sebagai contoh, golongan OKU seharusnya mempunyai kemahiran sosial. Hal ini kerana, kemahiran sosial ini penting kerana golongan OKU dapat mengetahui cara berhubung dengan masyarakat. Kemahiran sosial yang mesti perlu dikuasai seperti kemahiran mengikut arahan, menerima kritikan, meminta bantuan, kemahiran bekerjasama, kemahiran memahami perasaan orang lain, dan kemahiran berinteraksi. Oleh itu, jika kemahiran ini dapat dikuasai maka senang bagi seseorang OKU dapat bersosial dengan masyarakat secara mudah. Golongan OKU juga, perlu berusaha supaya sentiasa produktif, berdisiplin, mengikis dan mengubah sikap supaya tidak menyerah kepada takdir dan menunjukkan kemahiran dalam sesuatu bidang yang dikuasai seperti orang lain (Zinaida Ariffin 2009). Menurut Clark dan Klostoe (1995) golongan OKU perlu bersedia menerima sebarang cabaran dan menguasai sesuatu kemahiran dalam sesuatu bidang kerjaya yang ingin diceburi.

Zainida Ariffin (2009) mengatakan bahawa golongan OKU perlu bersikap lebih berani dan terbuka dalam pemikiran bagi menerima cabaran baru jika mereka ingin meraih kejayaan. Bidang kerjaya yang diceburi lebih luas iaitu melibatkan semua golongan masyarakat dan tidak tertumpu kepada sesuatu kumpulan minoriti sahaja. Sikap ingin bersama-sama dengan rakan senasib perlu dikikis. Mereka perlu berfikiran terbuka dan tidak takut menghadapi cabaran. Keupayaan dan kebolehan fizikal serta intelek perlu difikirkan bagi menjamin individu mampu menguasai bidang yang diceburi.

Sesungguhnya, jika masyarakat berfikran terbuka, dan golongan OKU mengubah sikap dalam diri, maka interaksi antara kedua-dua pihak akan dapat dijalinkan. Setiap individu mempunyai kelebihan masing-masing. Kelebihan itu akan terserlah jika individu dan masyarakat berusaha untuk meningkatkannya. Kesannya, pembangunan dan keharmonian sesebuah negara akan dapat dicapai kerana unsur –unsur diskriminasi dan pandangan negatif dihakis oleh seluruh masyarakat.


Kata meeze 1 : bagi orang pekak RC deaf menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka. Jadi, kepada golongan pekak yang ada kelebihan bolehlah berjumpa dengan Ms Agnes director RC Deaf.

Kata meeze 2 : Bagi orang buta pergi lah ke MAB memang banyak peluang pekerjaan yang diberikan kepada golongan buta.

Kata meeze 3: Nak try la jadi orang pekak pastu minta kerja kat mana-mana camner yek rasanya??

Kata meeze 4 : Hari itu, adalah seorang penjual mempromotekan barangnya di rumah saya, saya dengan rasa malasnya nak layan orang tu, berlakon jadi orang pekak, pastu tak jadi orang tu nak promote barang tu kat rumah saya. Hu3.. jahatnya saya…


Isnin, 6 Disember 2010

PENGGUASAAN BAHASA ISYARAT


Minat mempelajari bahasa isyarat semakin hari semakin menebal dalam diri ini. Sejak menyertai salah sebuah persatuan pekak, menyebabkan pengetahuan saya terhadap penggunaan bahasa isyarat semakin bertambah. Semakin saya pelajari semakin banyak saya ketahui tentang struktur dan penggunaannya. Secara jujur saya akui sebenarnya, bahasa isyarat bukanlah suatu bahasa yang mudah dipelajari.. Ramai masyarakat beranggapan bahawa bahasa isyarat ialah suatu simbol yang diterjemahkan daripada apa yang dipertuturkan. Terdapat juga, segelintir masyarakat meperlekeh-lekehkan bahasa isyarat. Sebagai contoh, pengalaman yang dialami oleh saya sendiri apabila ditanya oleh orang lain, “apakah bahasa ketiga kamu?” saya menjawab “bahasa isyarat” dan ini menyebabkan orang yang bertanya itu tergelak mendengar jawapan saya. Namun, walaupun digelak saya tidak kisah malah saya berbangga kerana dianugerahkan oleh Allah suatu ilmu bahasa tanpa menggunakan pertuturan.

Harus saya tegaskan disini ialah bahasa isyarat ialah suatu bahasa, bukan suatu simbol yang dipermain-mainkan atau direka-reka mengikut kemahuan sendiri. Rekaan simbol dalam bahasa isyarat itu bergantung pada keadaan, situasi, bentuk, dan sebagainya. Selain itu, bahasa isyarat mempunyai tatabahasanya yang tersendiri dan bentuk tatabahasanya berbeza daripada bahasa lain.

Perkara yang penting perlu diketahui dalam mempelajari bahasa isyarat kefahaman dalam menyampaikan maksud yang disampaikan kepada orang pekak. Tidak guna jika anda dapat mengetahui seribu atau sejuta perkataan isyarat atau anda berisyarat dengan cepat dan laju tetapi maksud yang hendak disampaikan tidak difahami oleh orang pekak. Gaya badan dan ekspresi muka sangat penting dalam menyampaikan isyarat. Gaya badan dalam keadaan marah, suka, sedih dan sebagainya perlu dipelajari sebelum menguasai bahasa isyarat. Bukan hanya belajar perkataan isyarat semata-mata.

Selain itu, bahasa isyarat bukan diterjemahkan apa yang diperkatakan tetapi menyampaikan maksud yang dihajati. Hal ini kerana skop kefahaman orang pekak berbeza dengan orang normal malah perkataan bahasa isyarat tidak meluas seperti luasnya bahasa-bahasa lain. Misalnya, dalam bahasa melayu terdapat perkataan kamu, awak, dan dia tetapi dalam bahasa isyarat semua perkataan kamu, awak dan dia adalah dalam satu simbol. Disebabkan dengan masalah yang timbul ini maka penggunaan KTBM perlu dipelajari supaya orang pekak tidak terkeliru dalam mempelajari bahasa melayu.

Suatu yang menjadi masalah dalam penggunaan bahasa isyarat ialah apabila menggunakan bahasa yang mempunyai maksud yang sama tetapi simbol yang berlainan. Misalnya, isyarat asrama, lagi, hari natal, dan sebagainya. Namun, hakikatnya, semua isyarat yang ditunjukkan adalah tidak salah. Perkara yang penting seperti yang saya katakana diawal tadi kefahaman maksud yang hendak disampaikan kepada orang pekak. Ada sesetengah menyatakan itu adalah dialek isyarat. Hal ini kerana, lain negeri lain isyarat perkataan yang digunakan.

Ramai individu yang mempelajari bahasa isyarat sekadar syok sendiri sahaja. (maaf agak keterlaluan). Hal ini kerana, apabila mereka sudah mengetahui banyak simbol perkataan mereka mula merasakan tidak perlu mempelajari lagi bahasa isyarat. Sedangkan bahasa isyarat perlu dipelajari dengan lebih dalam lagi terutamanya guru khas. Tidak seperti rakyat di Amerikat Syarikat yang mempelajari bahasa isyarat dengan bersungguh-sungguh, sehingga menyebabkan peningkatan ASL pada tahap yang maju.

Kesimpulannya, bahasa isyarat merupakan suatu bahasa yang unik. Seronok dipelajari tetapi sukar untuk difahami. Bahasa isyarat sebenarnya menggunakan banyak tenaga dalam berkomunikasi kerana melibatkan seluruh anggota badan. Oleh itu, penyampaian maklumat yang disampaikan harus jelas dan terus. Tiada unsur-unsur bidalan atau sindiran seperti bahasa lain kerana itu jika anda perhatikan orang pekak kebanyakannya adalah seorang yang telus dan tidak berlapik-lapik apabila ingin menyampaikan sesuatu hasrat atau berkomunikasi. Jadi kita sebagai orang normal jangan mudah terasa dengan orang pekak, kerana bahasa mereka memang sebegitu. Malah kita sebagai orang normal seharusnya menunjukkan bahasa kita yang indah kepada orang pekak supaya masing-masing dapat sama-sama mempelajarinya. Jika anda berminat mempelajari sesuatu bahasa, pelajarilah dengan bersungguh-sungguh, kerana semua bahasa bukannya mudah malah memerlukan latihan yang mendalam. Jangan memperlekehkan dan memburuk-burukkan bahasa sendiri dan bahasa orang lain kerana setiap bahasa mempunyai keindahan yang tersendiri dan bahasa melambangkan bangsa dan budaya seseorang.

Kata meeze 1: Ms Agnes dan En. Mario( jurubahasa isyarat ), menasihati saya bahawa, kebanyakan orang yang mempelajari bahasa isyarat, hanya berisyarat mengikut kefahaman diri sahaja bukannya melihat kepada kefahaman orang pekak yang dikomunikasi. Hasilnya, maklumat yang disampaikan tidak jelas.

Kata meeze 2: Orang Malaysia mengetewakan orang yang belajar bahasa isyarat, tetapi orang barat kagum melihat orang yang belajar bahasa isyarat. Kenapa?

Kata meeze 3: Kerana segelintir set pemikiran orang Malaysia terhadap orang pekak, “pekak dan bodoh” atau “deaf and dumb” (betul ke??) huhuhuhu..

Rabu, 1 Disember 2010

SUKA + RELA



Menjadi seorang sukarelawan merupakan sesuatu perkara yang jarang diminati oleh rakyat Malaysia. Hal ini kerana, pekerjaan seperti ini mengeluarkan tenaga dengan percuma tanpa dibayar walau sesen pun. Pelbagai institusi, persatuan dan sebagainya daripada badan kebajikan memerlukan ramai sukarelawan. Namun, penyertaannya adalah sedikit. Terdapat juga, individu yang pada awalnya semangat untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan tetapi setelah mengalaminya terus berputus asa.

Di negara-negara barat aktiviti sukarelawan merupakan suatu aktiviti yang sangat diminati. Malah aktiviti seperti ini menjadi trend dalam kehidupan mereka. Saya begitu kagum dengan sikap mereka yang bersungguh-sungguh dalam menyertai aktviti sukarelawan. Hal ini terbukti apabila kita lihat sendiri jika terdapat aktiviti amal, bangsa barat akan berpusu-pusu ke pusat-pusat kebajikan untuk membantu. Berlainan dengan rakyat Malaysia yang hanya memikirkan wang semata-mata. Walaupun aktiviti tersebut pada dasar dan namanya berbentuk aktiviti kebajikan dan sukarelawan tetapi tetap melibatkan wang ringgit.

Terdapat juga, sesetengah individu menjadikan aktiviti sukarelawan sekadar untuk mencari nama dan pangkat. Memang diakui kerja yang mereka lakukan sangat bagus, tetapi sejauh manakah ikhlas hati mereka dalam memberi bantuan. Sebagai contoh kita lihat, perlbagai aktiviti tabung amal, misi bantuan dan sebagainya dipaparkan di kaca-kaca televisyen dan bantuan yang diberikan ditunjuk-tunjukkan didepan orang ramai seolah-olah ingin menunjukkan diri sangat perihatin dengan masalah yang dihadapi sedangkan niat dalam hati siapa yang tahu.

Namun, sebenarnya kita tidak boleh menyalahkan 100 % individu yang tidak melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan. Hal ini kerana, terdapat sesetengah persatuan yang tidak menghargai sukarelawan yang datang ke pusat kebajikan. Misalnya, mereka tidak mengendahkan dan tidak melayan sukarelawan yang datang membantu. Kesannya, menyebabkan sukarelawan yang datang membantu terkilan dan merasakan diri mereka tidak dihargai malah disisihkan. Sepatutnya, sesebuah pusat kebajikan menghargai dan menyambut kedatangan mereka dengan baik. Mereka tidak menginginkan sambutan yang meriah tetapi cukuplah sekadar beramah-mesra supaya merasakan diri mereka dihargai.

Sebenarnya, aktiviti sukarelawan boleh disertai dimana-mana sahaja walau pelbagai dalam keadaan mana sekalipun. Hal ini bergantung sama ada aktiviti itu disertai secara formal atau tidak. Misalnya, paling senang membantu ibu memasak didapur, mengemas rumah dan sebagainya. Walaupun nampak agak biasa tetapi sebenarnya perkara tersebut merupakan suatu pekerjaan amal jariah kerana membantu keluarga dalam menguruskan rumah.

Penyertaan individu dalam menyertai akttviti sukarelawan adalah bergantung pada diri sendiri sejauh mana niat dan keinginan mereka untuk membantu. Seharusnya, setiap indivdiu perlu sedar bertapa pentingnya merlakukan aktiviti amal. Saya akui wang adalah segala-galanya tetapi kadang-kadang wang boleh bisa menguasai diri. Cuba mellibatkan diri dalam kerja aktiviti amal, kerana kepuasan akan dapat kita rasai setelah kita melakukannya. Buanglah sifat malas, sombong dan mementingkan diri. Usahakan diri dalam mencari perkara-perkara kebaikan di dunia supaya hidup kita sentiasa diberkati oleh Allah Taala. Insyallah..


Kata meeze 1: cuti-cuti ni nak uat pe ye?

Kata meeze 2 : jadi sukarelawan mmg seronok, tapi jangan hangat-hangat tahi ayam.

Kata meeze 3: MAB (Persatuan orang buta Malaysia) memang memerlukan ramai sukarelawan, jadi kalau berminat datang ke MAB pastu isi borang nanti diorang panggil. Pergilah mereka masih memerlukan ramai ahli sukarela.






Selasa, 30 November 2010

HEBATNYA KANAK-KANAK INI...

Semalam saya menonton suatu wawancara di salah sebuah stesen televisyen mengenai kanak-kanak pintar cerdas. Apa yang menarik perhatian saya ialah kanak-kanak ini mempunyai kehebatan dalam bidang matematik dan boleh berdukusi dengan lancar seperti orang dewasa. Saya sangat tertarik dengan cara penyampaian kanak-kanak ini, walaupun berusia 11 tahun tetapi hujah yang diberikan matang dan bernas. Bertapa bangganya ibu bapanya kerana mempunyai anak seperti itu. Disebabkan kepandaian yang dimiliki oleh kanak-kanak ini maka seluruh keluarganya mendapat manfaat daripadanya.

Dalam diri saya tertanya-tanya, bagaimanakah kehidupan yang dilalui oleh kanak-kanak ini? Adakah sejak kecil lagi kanak-kanak ini mampu berfikir matang seperti orang dewasa? Adakah kanak-kanak ini tidak merasa kehidupan kanak-kanak yang dilalui oleh kanak-kanak yang sebaya dengannya? Adakah kanak-kanak ini tidak berasa tertekan kerana sentiasa mendapat perhatian daripada masyarakat? Pelbagai persoalan timbul dibenak fikiran saya. Namun, saya tidak mampu menjawabnya, cuma saya berharap dan berdoa semoga kanak-kanak ini tidak mengalami kehidupan yang tertekan dan berjaya dalam hidup. Biasalah di dalam televisyen kita lihat semuanya indah tetapi hakikatnya di luar kita tidak tahu keadaan nasib kanak-kanak tersebut.

Siapakah kanak-kanak pintar cerdas?. Dari istilah persekutuan Amerika Syarikat, maksud pintar cerdas yang ditujukan kepada kanak-kanak,pelajar atau belia adalah mereka yang mempunyai potensi dan pencapaian yang tinggi dari segi bidang seperti intelektual, kreativiti, artistik, kebolehan kepimpinan dan juga mempunyai bakat dalam bidang seni dan muzik yang mengagumkan, serta mereka ini memerlukan aktiviti atau perkhidmatan yang lain dari yang lain atau istimewa yang tidak dapat diperolehi di sekolah biasa demi meningkatkan tahap kebolehan mereka.


Definisi bagi Negara Kanada,pintar cerdas ditakrifkan sebagai suatu darjah keupayaan intelektual yang luar biasa yang memerlukan pengalaman pembelajaran yang berlainan daripada apa yang disediakan di sekolah biasa untuk memenuhi tahap keupayaan akedemik dan potensi mereka.Di England, pintar merujuk kepada 5 peratus teratas dari semua populasi sekolah di dalam bidang akedemik manakala cerdas pula adalah 5 peratus teratas dari semua bidang lain. Pelajar pintar adalah mereka yang memilki kebolehan tinggi untuk 1 atau lebih di dalam subjek akedemik. Mereka ini tidak perlu menjadi pintar untuk semua subjek. Pelajar cerdas pula adalah mereka yang mempunyai kebolehan tinggi dari segi sukan, muzik , lukisan atau seni persembahan.

Pelbagai definisi yang telah diberikan tetapi hakikatnya kanak-kanak pintar cerdas merupakan kanak-kanak yang mempunyai kelebihan yang istimewa dalam intelektual ataupun sesuatu kemahiran.

Mempunyai seorang kanak-kanak pintar cerdas merupakan suatu anugerah yang sangat berharga terhadap ibu bapa. Hal ini kerana, anaknya mempunyai kelebihan yang istimewa iaitu mempunyai kepandaian yang luar biasa daripada kanak-kanak biasa. Namun, disebabkan keistimewaan yang terdapat pada anak tersebut menyebabkan ibu bapa terlalu membanggakan anaknya sehingga terdapat ibu bapa bersikap sombong dan riak dengan kehebatan yang dimiliki oleh anaknya. Oleh itu, menyebabkan ramai ibu bapa merasakan anak mereka tidak layak mendapat pendidikan di Malaysia, dan seharusnya belajar ke luar negara sehingga terdapat segelintir ibu bapa memahukan anaknya mendapat kelulusan ijazah daripada universiti kerana beranggapan bahawa anaknya bukan setanding dengan kanak-kanak lain bahkan anaknya setaraf dengan pelajar universiti.

Saya akui bahawa kehebatan anak-anak pintar cerdas mempunyai kegeligaan yang luar biasa. Namun, adakah kita sedar bahawa psikologi kanak-kanak ini masih seperti kanak-kanak biasa?

Mungkin kanak-kanak ini mempunyai kemahiran dalam satu bidang tetapi mungkin didalam bidang lain mereka masih belum ketahui. Tidak semestinya kepandaian yang mereka miliki itu adalah kepandaian yang menyeluruh. Sebagai contoh, walaupun mereka bijak dalam matematik tetapi tidak semestinya mereka bijak dalam matapelajaran pendidikan islam, sejarah, bahasa melayu dan sebagainya. Selain itu, walaupun mereka bijak berkata-kata seperti orang dewasa, tetapi mereka tetap masih meminati alat permainan. Oleh itu, ibu bapa dan masyarakat tidak seharusnya meletakkan kanak-kanak pintar cerdas mempunyai kehebatan secara meyeluruh tetapi mereka seharusnya member galakan disamping membantu kanak-kanak tersebut dalam membentuk diri mereka.

Di Malaysia, terdapat kanak-kanak pintar cerdas yang hebat tetapi apabila dewasa mereka terlibat dengan masalah sosial kerana mereka kurang diberikan didikan yang sewajarnya daripada ibu bapa dan masyarakat. Oleh itu, menyebabkan kepintaran yang dimiliki oleh kanak-kanak ini hanya terselah semasa kecil sahaja tetapi apabila dewasa kepintarannya tidak dapat dimanfaatkan. Kenapa perkara ini boleh terjadi?

Sekiranya semua pihak mengambil langkah yang sewajarnya dalam memastikan didikan kanak-kanak ini terbela maka kepintaran kanak-kanak ini dapat dimanfaatkan dalam membentuk kemajuan sesebuah negara. Kita harus sedar bahawa kanak-kanak ini mempunyai hak dalam hidup mereka juga ingin hidup seperti kanak-kanak lain. Berilah peluang kepada mereka dalam menjalani kehidupan biasa.

Kata meeze 1: Sekarang ni ramai kanak-kanak yang pintar cerdas kesannya kecil-kecil dah tahu buat perkara orang dewasa.

Kata meeze 2: Kalau tahu buat perkara orang dewasa yang baik tak pe, tapi yang tak baik tu, pe cer???



Khamis, 18 November 2010

DIMANAKAH HAK SEORANG KANAK-KANAK KHAS?


Wow lamanya tidak update blog ni, sampaikan ada rakan-rakan yang mengatakan saya sudah berhenti menulis blog. Hehehehe… maaflah kerana lama tidak menulis, maklumlah sibuk memanjang di IPG IK, dengan kerja kursus, pergi perkhemahan, pergi pbs (pengalaman berasaskan sekolah), peperiksaan dan sebagainya. Jadi pembahagian masa dalam menulis blog memang tidak dapat diperuntukkan. Hehehe..

Kali ini saya ingin berkongsi pengalaman saya kepada anda semua, tentang pengalaman saya ketika menjalani PBS. Sudah 3 kali saya menjalani PBS dan PBS kali ini pula adalah PBS yang terakhir sebelum menjalani praktikum pada tahun hadapan. Namun, ada sesuatu yang ingin saya ingin kongsikan tentang masalah yang dihadapi oleh seorang anak pekak kepada anda semua.

Semua ibu bapa sangat menyanyangi anak-anaknya. Tidak kisahlah sama ada anaknya seorang yang baik, jahat, cacat dan sebagainya, perasaan kasih sayang itu datang dalam diri seorang yang bergelar ibu bapa. Namun, kasih sayang tidak cukup jika tiada pegorbanan. Saya akui bahawa kita semua ada perasaan kasih sayang kepada seseorang tetapi sejauh mana pengorbanan kita kepadanya. Kali ini saya ingin menceritakan seorang kanak-kanak pekak yang hilang haknya dalam mendapat pendidikan yang sepatutnya.PBS yang saya lakukan kali ini adalah di sebuah sekolah integrasi bermasalah pembelajaran di Terengganu. Tugasan PBS kali ini, adalah untuk projek kursus tentang pengajaran bahasa kepada kanak-kanak bermasalah pendengaran. Pada mulanya saya tidak yakin akan mendapat seorang kanak-kanak pekak kerana saya menjalani PBS di sekolah bermasalah pembelajaran. Namun, tidak disangka-sangka saya dapat berjumpa seorang kanak-kanak pekak. Dengan senang hati saya mengambil murid tersebut untuk membuat kajian. Setelah saya mendiagnosis murid ini saya terkejut dengan hasil dapatannya iaitu :

a) Murid ini sudah berusia 11 tahun tetapi tidak dapat bertutur dan berisyarat walaupun mempunyai tahap pendengaran sederhana.
b) Melalui rekod perubatan mendapati murid ini mempunyai tahap pendengaran teruk iaitu 95dB tetapi melalui pertanyaan saya kepada guru dan pemerhatian saya mendapati murid ini hanya mempunyai tahap pendengaran sederhana kerana dia boleh mendengar sedikit apa yang dikatakan oleh guru.
c) Murid ini tidak boleh membaca dan hanya mengenal perkataan KVK sahaja.
d) Bagi saya murid ini boleh belajar pertuturan tetapi dia tidak diberi peluang oleh keluarganya.
e) Murid ini mempunyai alat bantu pendengaran tetapi tidak dipakainya, dengan alasan alat bantu pendengaran tidak memberi bantuan apa-apapun. (Hmmm.. sedihnya)
f) Gurunya pernah menyarankan kepada keluarganya supaya menghantarnya ke SKPK bermasalah pendengaran. Namun, bapanya hanya memberi alasan bahawa, dia tidak akan menghantar anaknya ke sekolah jika pihak sekolah tidak menerima anaknya belajar di sekolah ini.

Sedihnya bila melihat kanak-kanak pekak yang tidak mendapat hak pendidikan yang sepatutnya. Sejauh mana kesedaran ibu bapa murid ini terhadap anaknya. Adakah ibu bapa murid ini tidak menyedari bahawa anaknya mempunyai harapan jika mereka berusaha bersungguh-sungguh dalam memastikan hak pendidikan kepada anaknya?

Jadi, tiada tindakan yang dapat dibuat kerana segala keputusan hak pendidikan murid ini terletak pada ibu bapa murid ini. Hmm.. kesiannya hendak dibantu, saya hanya seminggu sahaja PBS, jadi saya hanya mengharapkan semoga ibu bapa murid ini mempunyai kesedaran dalam membantu anaknya.

Biasalah keadaan pendidikan di Malaysia untuk golongan kurang upaya memang kurang dititik beratkan. Hanya segelintir sahaja. Pemikiran masyarakat Malaysia terhadap kelebihan golongan kurang upaya masih lemah lagi berbanding dengan pemikiran negara-negara maju yang menunjukkan kehebatan golongan kurang upaya yang berjaya daripada pelbagai aspek.

Seperti yang telah saya nyatakan pada awal tadi bahawa sejauh mana pengorbanan ibu bapa terhadap anak-anaknya yang berkeperluan khas?, kadang-kadang kita sedih kebanyakan ibu bapa hanya mementingkan kerjaya sahaja tetapi pendidikan untuk anak-anak terabai. Sibuk mengejar keduniaan sehingga menyebabkan anak-anak itu sendiri menjadi mangsa.

Kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak berkeperluan khas, nasihat saya berikanlah keutamaan dan perhatian yang sepenuhnya kepada mereka. Jangan mudah putus asa kerana anak-anak khas mempunyai potensi untuk berjaya. Kalau tidak percaya, kita lihat ramai golongan kurang upaya yang berjaya seperti Tengku Arman Harris Tengku Ismail, Profesor Datuk Dr. Ismail Md. Salleh, Amir Hamidi, Shamsul Anuar Amat dan sebagainya yang sejarah kejayaanya bermula daripada pengorbanan daripada ibu bapa mereka.

Jangan hanya meletakkan harapan 100 % pada pihak sekolah khas semata-mata dalam memberikan pendidikan kepada anak kurang upaya. Namun, usaha dan pengorbanan yang sewajarnya daripada ibu bapa akan membawa sinar kepada kehidupan anaknya.



Kata meeze 1 : Pensyarah saya pernah cerita, dia pernah mendapat penggilan daripada ibu muridnya yang pekak. Ibu tersebut menyuruh pensyarah saya memberitahu anaknya supaya petang nanti ibu tersebut akan keluar dengan anaknya untuk membeli barang. Pensyarah saya pelik, kenapa ibu murid ini tidak memberitahu sendiri kepada anaknya. Namun, alasan yang diberi oleh ibu ini ialah dia tidak tahu berisyarat dan berkomunikasi dengan anaknya. (Hmmm.. renung-renungkan!!)

Kata meeze 2 : Eleh.. bukan orang kurang upaya je, budak-budak normal pun kurang mendapat perhatian daripada ibu bapa. Hasilnya, tengok la sendiri pelbagai masalah sosial yang berlaku pada masa ini.








Rabu, 15 September 2010

SELAMAT HARI RAYA


Selamat Hari Raya... Maaf Zahir dan Batin kepada semua yang mengenali diri ini.. Kalau ada salah dan silap harap di Maafkan. Sesungguhnya, saya hanya insan biasa yang banyak membuat kesilapan. Terima kasih kerana sudi melawat blog saya.

Ahad, 8 Ogos 2010

KEBERKATAN REZEKI

Baru-baru ini saya berasa sangat tertekan dengan beban kerja yang banyak. Oleh itu, saya mengambil peluang untuk berjalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur secara sendiri. Sebenarnya ada niat lain untuk membeli peralatan seni tetapi saya ambil kesempatan untuk berjalan-jalan. Seronok sebenarnya berjalan seorang diri. Rasa diri bebas dan tidak terikat dengan sesiapa. Namun, saya tidak hanya mahu berjalan kosong dan membuang masa begitu sahaja. Jadi, saya manfaatkan aktiviti jalan dengan perkara yang berfaedah.Kali ini di fikiran saya terlintas untuk melihat golongan buta dalam mencari rezeki. Oleh itu, saya ke Jalan Tungku Abdul Rahman (TAR) untuk meninjau golongan buta di sana.

Semasa dalam perjalanan ke Jalan TAR, saya sempat memerhatikan kemudahan-kemudahan bagi OKU. Saya akui di Pudu kemudahan untuk OKU disediakan dengan baik. Misalnya laluan jalan orang buta, lampu isyarat berbunyi dan sebagainya. Di dalam hati saya tergerak kemungkinan kawasan ini menjadi tumpuan untuk golongan OKU mencari rezeki. Selepas berjalan dari Pudu ke Jalan TAR saya memerhatikan keadaan jalan untuk orang buta. Memang bagus disediakan jalan untuk mereka, tetapi saya lihat terdapat sedikit kerosakan pada jalan tersebut. Selain itu, saya pelik jalan untuk orang buta terputus-putus. Sebagai contoh, jika satu kawasan perjalan kaki ada kawasan jalan untuk orang buta, selepas melintas jalan tiba-tiba tidak ada. Keadaan ini bertambah hairan apabila satu kawasan jalan lain ada kawasan jalan untuk orang buta. Bersilang-seli pula. Adakah itu sebenarnya cara jalan kawasan orang buta. Selain itu, terdapat kerosakan pada jalan untuk orang buta. Misalnya, terdapat lubang dan rekahan pada jalan yang boleh membahayakan mereka untuk berjalan. Saya harap pihak yang bertanngungjawab dapat memperbaiki kawasan yang rosak kerana kawasan perjalan kaki untuk orang buta sangat penting.

Apabila sampai sahaja di Jalan TAR, jangkaan saya sangat tepat. Di jalan TAR terdapat ramai golongan buta mencari rezeki. Mereka mencari rezeki dengan menjual tisu, minyak atar, bermain muzik dan sebagainya. Sungguh menarik bagi saya. Walaupun bagi orang biasa, tidak mempunyai apa-apa tetapi bagi saya itu satu peluang kepada saya untuk mengenali golongan buta dengan lebih dekat. Pelbagai persoalan yang timbul dalam pemikiran saya. Sebagai contoh, bagaimanakah mereka menjual?, Adakah terdapat keuntungan berniaga kecil sekadar duduk di kaki lima?, tidak bahayakah bagi mereka berniaga sebegitu?. Persoalan-persoalan itu, menyebabkan diri saya cuba untuk menemubual golongan buta disana. Akhirnya, setelah diperhatikan dapatlah saya menemubual seorang Pak Cik yang mempunyai masalah penglihatan.

Saya memanggil nama Pak Cik ini ialah Pak Cik Zulkifli. (bukan nama sebenar). Berusia 40 tahun. Mempunyai masalah penglihatan sejak kecil lagi. Sudah berkahwin dan mempunyai empat orang anak. Isterinya seorang yang mempunyai masalah penglihatan. Ketika saya menemubual Pak Cik tersebut, banyak perkara baru yang saya ketahui. Pak Cik ini memberitahu saya bahawa dia mula bekerja menjual tisu sejak muda lagi. Bukan hanya sekadar tisu , kadang-kadang minyak atar, bag plastik dan sebagainya. Dia mula bekerja menjual tisu di kaki lima dari jam 8:00 pagi hingga 5:00 petang bergantung pada keadaan. Rupanya, perjalanannya ke Jalan TAR dihantar oleh sepupunya atau kadang-kadang anak-anaknya. Apa yang menarik bagi saya, melalui menjual tisu dia dapat menampung perbelanjaan dan pendidikan anak-anak. Sungguh hebat. Katanya, rezeki tidak ke mana. Allah sentiasa menolongnya, ada sahaja peluang dan bantuan yang dia terima. Walaupun dia buta tetapi dia dapat membesarkan empat orang anaknya. Dua orang anaknya sudah bekerja dan berkahwin dan seorang belajar di Universiti dan seorang masih bersekolah. Saya bertanya kepada kepada Pak Cik Zulkifli “bagaimanakah cara Pak Cik menjaga anak-anak sedangkan dia dan isterinya tidak nampak?”. Dia hanya menjawab “kita sebagai ibu bapa seharusnya sentiasa mendoakan kebahagian dan keselamatan anak-anak, keyakinan sepenuhnya terhadap anak-anak penting kerana itulah yang membuktikan kasih sayang kita kepada mereka”. Walaupun dia tidak nampak tetapi pengalaman dalam hidup sangat celik di minda dan hatinya. Saya bertanya lagi kepada Pak Cik Zulkifli, “kenapa Pak Cik bekerja menjual tisu sedangkan anak-anak Pak Cik sudah bekerja?” Dia menjawab, “hanya sekadar mengisi masa lapang, kerana kadang-kadang dia menghabiskan waktu menganyam tikar” Sememangnya anak Pak Cik Zulkifli pernah menyuruh dia tidak bekerja lagi tetapi Pak Cik Zulkifli sudah biasa dengan kehidupannya dalam menjual tisu, jadi anak-anaknya terpaksa akur menerima keputusan bapanya. Apabila ditanya tentang pengalamannya dalam menjual di kaki lima, dia menjawab pengalaman yang teruk sekali apabila orang awam mengambil tisunya tanpa bayar. Saya tertanya dalam diri saya tergamak orang normal memperlakukan sebegitu kepada orang buta. Selain itu, Pak Cik Zulkifli menasihati saya supaya belajar bersungguh-sungguh, dan sentiasalah ingat kepada Allah kerana Allah yang menciptakan segala-galanya. Bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan kepada kita. Pak Cik Zulkifli sangat gembira apabila mendengar saya bakal mengajar golongan OKU. Hal ini demikian kerana, Pak Cik Zulkifli mengatakan bahawa kesusahan guru Khas mengajar golongan OKU sangat berat seperti mana yang dialami oleh guru-gurunya dahulu. Pak Cik Zulkifli sangat menyanyangi dan mengingati jasa gurunya yang banyak berkorban dalam mendidiknya. Dia mengatakan tanpa gurunya, dia tidak mungkin dapat mengenali tulisan Brialle dan anyaman tikar.

Begitulah serba sedikit tentang temubual saya bersama dengan seorang Pak Cik yang mempunyai masalah penglihatan. Apabila saya memandang sekeliling kawasan Jalan TAR saya melihat golongan OKU sibuk mencari wang dengan menjual tisu, bermain alat muzik dan sebagainya. Namun, saya sedih dan kecewa apabila melihat orang normal terutamanya golongan muda sibuk melepak dan merayau tidak tentu hala di sekitat bandar.

Kadang-kadang saya terfikir ramai yang mempunyai harta, wang dan pangkat tetapi kebahagian mereka tidak pernah dicapai oleh mereka. Sibuk mengejar keduniaan tanpa pernah mengingat Yang Maha Pencipta. Malunya saya menjadi seorang yang sihat tubuh badan, mempunyai akal fikiran, celik pendengaran dan penglihatan tetapi lemah iman, berbanding dengan golongan yang mempunyai kecacatan anggota tetapi mempunyai keimanan yang tinggi. Walaupun Pak Cik Zulkifli dan rakan-rakannya yang buta bekerja hanya dikaki lima menjual tisu semata-mata tetapi keberkatan dalam mencari rezeki ada, hasilnya pada anak-anaknya yang berjaya dan keluarga yang bahagia.

Dalam perjalanan pulang, saya munasabah diri saya , kita sebagai manusia bila dikurniakan sesuatu nikmat tidak pernah bersyukur malah kita sentiasa hendak lebih dan lebih lagi. Sesuatu nikmat yang Allah berikan kepada kita jarang kita menggunakannya kea rah kebaikan malah kemungkaran sering kita lakukan. Hmmm… sentap betul perasaan ini.

Kata meeze 1: Dok jalan-jalan kat jalan TAR tu sibuk memandang barang-barang yang dijual disana, bukan main rambang mata saya dibuatnya.

Kata meeze 2 : Walaupun puasa dan raya belum lagi orang dah sibuk membeli-belah untuk persiapan raya, sedangkan bulan Ramadhan seharusnya kita raikan terlebih dahulu.

Kata meeze 3: Saya doakan semoga warga OKU sentiasa berjaya dan terus berjaya, dan harap tidak berputus asa dengan ujian yang dihadapi.


Kata meeze 4: Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak dan selamat menjalani ibadah puasa..






Biarpun buta tetapi sanggup duduk di kaki lima untuk mencari rezeki yang halal




Menjual tisu merupakan salah satu mata pencarian bagi golongan buta.





Kemudahan untuk golongan buta yang disediakan disekitar Kuala Lumpur





Tiba-tiba satu kawasan tidak mempunyai jalan untuk golongan buta (Pelik)



Kerosakan berlubang pada jalan golongan buta boleh membahayakan keselamatan mereka.






Antara kemudahan jalan yang disediakan sepanjang jalan TAR.









Khamis, 5 Ogos 2010

ADIK JUNIOR

Rasanya sudah 1 bulan setengah saya tidak mengemaskinikan blog ini. Maklumlah duduk di IPG ini bukannya senang, ada sahaja kerja yang mesti diselesaikan. Sibuk memanjang. Kadang-kadang tertekan pun ada. Macam-macam hendak kena buat seperti layan keluarga, layan pensyarah, layan kawan-kawan, dan layan perangai adik-adik junior. Namun, sebenarnya itulah memberi penguat dan semangat kepada saya untuk berjaya. Tambahan pula, apabila berjauhan dengan keluarga yang tercinta perasaan rindu yang sangat-sangat selalu ada walaupun keluarga tinggal tidak jauh manapun.(hehehe). Namun, terdapat perkara lain yang memberi kebahagian sedikit kepada saya, iaitu apabila saya berjumpa dengan adik-adik junior. Mungkin kerana saya tidak mempunyai seorang adik, jadi perasaan sayang kepada mereka itu datang terutamanya bila junior yang baru masuk iaitu PPSIMP Sem 1 yang membuatkan saya rasa lebih seronok bersama dengan mereka kerana kehadiran mereka ini membuatkan saya teringat kepada arwah adik saya. Kadang-kadang saya bermonolog sendiri “mungkin kalau adik saya masih hidup, usia dia mesti sama dengan usia mereka”. Kadang-kadang agak keterlaluan kerana menganggap junior ini macam adik sendiri, tetapi perasaan ini siapa yang tahu. Hahahahaha.. (ayat sedih pulak) mana tidaknya budak-budak tu lagi ada abang dan kakaknya yang hebat, kita pula hendak lebih-lebih. Hehehe..

Tidak mengapalah cuma harapan saya kepada semua pelajar junior supaya mereka akan berjaya suatu hari nanti. Bila saya memandang muka mereka dan melihat usaha mereka dalam belajar saya yakin suatu hari mereka pasti akan menjadi insan yang hebat dan berjaya suatu hari nanti. Insyallah, amin…



Kata meeze 1 : Kadang-kadang fikir juga dalam diri, perasaan junior nak jaga, tapi perasaan kawan jarang nak jaga, huhuhu, kesian kawan-kawan saya semua, selalu kena usik, tapi apa-apa pun awak semua best sesangat.


Kata meeze 2 : Hmmm.. rindunya kat abah, mama , dan along..tambah-tambah dalam keadaan sibuk sekarang ini ;-(





Isnin, 14 Jun 2010

Keciannya,,, tak dapat tawaran perguruan.. Apa KPM nak?

Saya amat kesian dengan nasib yang menimpa seorang rakan saya yang beria-ria hendak menjadi seorang guru tetapi dia tidak layak untuk memasuki IPG. Saya tidak tahu, apa kriteria yang diperlukan oleh pihak kementerian untuk menjadi seorang guru. Adakah berdasarkan keputusan SPM atau imej yang pelajar tonjolkan. Jika keputusan SPM, saya lihat terdapat juga, yang keputusan SPM yang tidak baik memasuki IPG, jika imej dan perwatakan yang diingini, saya lihat kebanyakan pelajar IPG mempunyai imej yang tidak layak seperti seorang guru Jika kedua-dua keriteria yang dilihat, saya lihat tak ramai pelajar IPG mempunyai keputusan SPM yang hebat dan imej perwatakan guru yang ditonjolkan. Sehingga kini, saya terfikir sejauh mana pemilihan yang dibuat oleh pihak KPM?

Tambah menyedihkan kebanyakan golongan yang layak menjadi guru, tidak dapat memasuki IPG, tetapi golongan yang tidak layak menjadi guru diterima. Apa cerita sebenarnya ni?!. Bagi maklumat kalian, kali ini KPM tidak menyediakan pemohonan rayuan kepada KPLSPM. Kesiannya… ;-( saya rasa turut simpati dengan adik-adik yang tidak dapat ini. Cita-cita mereka musnah untuk menjadi seorang guru. Sabarlah ya, insyallah kalau Allah takdirkan kita menjadi guru, takkan ke manapun.. biar takdir menentukan segala-galanya.

Saya harap adik-adik yang dapat tawaran ke IPG ini, bersyukurlah dengan tawaran ini dan jangan sia-siakan. Ramai lagi yang layak untuk menjadi guru, tetapi mungkin anda terpilih disebabkan ketentuan Allah. Bila masuk IPG, jangan membuat masalah tetapi berusaha dan carilah ilmu perguruan sedalam mungkin. Jangan kerja sambil lewa, rajin, usaha dan tekun belajar. Ingatlah, peluang yang sangat berharga dan jadikan diri anda seorang guru yang berkualilti bukan berkuantiti.

Kepada adik-adik yang tidak dapat, jika anda minat kerjaya guru, sentiasalah berdoa kepada Allah. Insyallah Allah akan beri jalan. Bukan disini sahaja jalan untuk menjadi seorang guru. Banyak lagi jalan. Cuma cepat dan lambat sahaja. Apa-apapun teruskan belajar dan belajar. Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya, jangan berputus asa.



Kata meeze 1 : Buat sahabatku Chai Yun dan kawannya (Siti Aira), bersabarlah ya, jangan kecewa apa yang berlaku, teruskan usaha awak, saya, imah,dan sarah akan sentiasa mendoakan kejayaan awak dan kami berharap suatu hari awak akan menjadi seorang guru. Teruskan cita-cita awak ya.. saya akan sentiasa sokong awak..

Kata meeze 2: buat adik-adikku yang disayangi, Nita, Man, Asyraf dan Ju, sabar juga ya, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya, saya tahu awak semua hendak menjadi seorang guru, tetapi mungkin jangka masa yang panjang. Ada sahaja jalan, yang penting jangan berputus asa. Teruskan cita-cita. Chanyo3!!



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...