Khamis, 16 Julai 2009

PERTUTURAN KIU

Baru-baru ini saya telah ke Pusat Pertuturan Kiu di Kg. Pandan. Apabila sampai saya disana, saya teruja melihat kanak-kanak pekak boleh bertutur seperti kanak-kanak normal yang lain. Saya berfikir sejenak, rupa-rupanya orang pekak boleh bertutur jika mereka dilatih dengan betul. Kemudian, saya diajar pertuturran kiu oleh guru besar di sekolah tersebut. Lebih mengejutkan lagi saya dapat menguasai pertuturan kiu selama satu jam sahaja. Sangat mudah, manarik dan menyeronokkan apabila saya mempelajarinya. Alhamdulillah, saya tidak menyangka ada juga peluang yang diberikan oleh Allah kepada orang pekak supaya mereka boleh bertutur seperti orang normal.


Apakah pertuturan kiu?


Dalam kita menyebut, setiap perkataan yang disebut mempunyai suku kata yang tertentu. Orang pekak yang mempunyai sedikit pendengaran tidak boleh mengecam kebanyakan suku kata yang mereka boleh dengar serta tidak memahami apa yang diperkatakan oleh orang normal. Oleh itu, pertuturan kiu ialah bahasa pertuturan yang diiringi dengan kiu tangan yang ditunjukkan oleh seorang penutur supaya setiap suku kata dapat dicam dengan jelas melalui penglihatan dan pendengaran.


Sejarah pertuturan kiu.


Pertuturan kiu telah direka oleh Dr. R. Orin Cornett dari Kolej Gallaudet, Washington D.C, dan telah ditunjukkan oleh beliau pada tahun 1967. Prinsip-prinsip dalam pertuturan Kiu boleh digunakan dalam bahasa pertuturan. Sebagai contoh, Bahasa Melayu telah diaplikasikan dalam prinsip pertuturan kiu.


Bagaimanakah penggunaannya?


Setiap kiu tangan terdiri daripada suatu bentuk tangan yang diletakkan pada posisi tangan yang khas. Hanya 8 bentuk tangan dan 3 posisi tangan sahaja yang digunakan dalam Bahasa Melayu. Dalam pertuturan Kiu, setiap suku kata yang dituturkan boleh dicam dengan jelas melalui corak visual yang terdiri daripada pergerakan bibir yang dilihat ketika suku kata itu ditutur dan kiu tangannya yang diiringi secara serentak.


Selain itu, dalam kaedah bacaan bibir, kebanyakan suku kata kelihatan serupa walaupun ia bunyinya amat berbeza. Cuba kalian perhatikan diri kalian dalam cermin dan menyebut perkataan /ma/, /ba/, /pa/. Jika kalian perhatikan ketiga-tiga perkataan tersebut mempunyai bentuk bibir yang sama dan tidak sukar untuk mengecam setiap suku kata jika melihat dengan mulut sahaja. Namun, dalam Pertuturan Kiu bentuk-bentuk tangan memudahkan kita untuk melihat perbezaan di antara konsonan-konsonan yang kelihatan serupa dalam kaedah bacaan bibir.


Oleh itu, Kiu tangan membantu mengatasi kesulitan yang dihadapi semasa membaca bibir dengan menjadikan suku kata-suku kata yang berbunyi berbeza juga kelihatan berbeza di antara satu sama lain.


Sekarang sudah jelaskan bahawa pertuturean kiu member peluang dan cahaya kepada orang pekak untuk bertutur. Kepada guru-guru yang mengajar kanak-kanak pekak, saya harap agar anda belajar pertuturan kiu kerana pertuturan kiu banyak member manfaat yang baik kepada golongan pekak untuk menguasai sesuatu bahasa.

Gambar di atas merupakan 4 pergerakan tangan untuk vokal bagi pertuturan kiu.


Gambar di atas merupakan 8 isyarat jari bagi huruf konsonan.



Jumaat, 3 Julai 2009

KOD TANGAN BAHASA MALAYSIA (KTBM)

Masalah yang dihadapi oleh orang pekak ialah dari segi bahasa. Misalnya, mereka mempunyai masalah dari segi tatabahasa, struktur ayat dan sebagainya. Cuba kalian baca petikan dibawah:

Smalam aku main dgan rakan bola samue tengok ok nak paksa tendanj bola tapi sudah lakukan baik sangat bila sudah dalam gol ambil 1 markah smue sama tepuk happy sahaja aku sama happy sangat………

Petikan diatas merupakan salah satu contoh ayat orang pekak. Hampir yang kita lihat struktur dan tatabahasa yang digunakan oleh mereka sangatlah teruk dan susah hendak difahami. Kadang-kadang, makna yang hendak disampaikan oleh mereka tidak sama seperti makna yang hendak kita sampaikan. Saya pernah lihat telefon bimbit senior saya iaitu Abang Am yang mendapat masej daripada anak muridnya yang pekak. Bila saya baca saya rasa pelik kerana murid tersebut menulis kepada Abang Am “Kau i cinta x?” bagi kita yang normal, mungkin kita akan rasa pelik, kerana ayat ini selalunya ditujukan kepada kekasih dan orang yang kita cintai. Namun, bagi orang pekak istilah sayang, kasih, dan sabagainya sama sahaja. Sebenarnya, murid Abang Am ingin memaklumkan kepadanya iaitu “Cikgu sayang saya atau tidak?” tetapi disebabkan tiada penguasaan bahasa menyebabkan ayat mereka tunggang terbalik dan penyampaian makna yang salah.

Oleh itu, disebabkan kelemahan penguasaan bahasa, menyebabkan kerajaan telah menyediakan Kod tangan bahasa melayu (KTBM). KTBM juga,digunakan apabila berlakunya terjemah daripada lisan (suara) kepada visual (tangan) dalam tatabahasa Bahasa Melayu. Selalunya, KTBM ini digunakan oleh guru-guru yang mengambil masalah pendengaran seperti saya untuk digunakan bagi mengajar bahasa Malaysia.

Sejarah bermulanya Kod tangan iaitu pada tahun 1973 dan Bahasa Malaysia Kod Tangan (BMKT) digubal dan siap pada tahun 1978. Pada tahun 1982, kursus BMKT yang pertama diadakan untuk guru-guru pendidikan khas Pulau Pinang di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang. Jabatan Pendidikan Khas dengan kerjasama Persatuan Orang Pekak Kuala Lumpur, Persatuan Pekak Negeri-negeri, Jabatan Pendidikan Negeri, Dewan Bahasa dan Pustaka serta guru-guru telah mengambil satu langkah positif menerbitkan buku kod tangan bahasa melayu (KTBM) edisi 1979 yang diguna pakai sehingga hari ini

Sebenarnya, KTBM banyak memberikan kebaikan kepada golongan pekak. Hal ini disebabkan kerana, KTBM boleh melatih mereka membaca, memahami struktur ayat, membetulkan bahasa dan sebagainya.

Seperti BIM hanya boleh digunakan untuk berkomunikasi, tetapi apabila hendak diselaraskan dengan tatabahasa Bahasa Malaysia tidak boleh, kerana tatabahasa BIM dan bahasa Malaysia tidak sama bentuknya. Oleh itu, lebih sesuailah jika dalam pengajaran dan pembelajaran digunakan KTBM sebagai meningkatkan penguasaan bahasa Malaysia.

Berikut merupakan petikan penerangan terhadap penggunaan KTBM, petikan penerangan ini saya ambil daripada Portal Rasmi Pendidikan Khas SMK Tun Hussein Onn, Kluang Johor ( http://www.pksmktho.myportal.my/ ).

Kata Majmuk
Perkataan kata majmuk yang mempunyai dua kata dasar digabungkan seperti kapal terbangkeretapitali pinggang papan hitambola sepak. Semua kata majmuk ini membawa suatu makna atau objek. Oleh itu digunakan satu kod sahaja.

Kata Ringkas
Ada perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu yang diringkaskan dari dua, tiga atau lebih menjadi satu perkataan sahaja seperti:

cikgu daripada encik guru.
tiada daripada tidak ada.
berdikari daripada berdiri di atas kaki sendiri.
pawagam daripada panggung wayang gambar.

Semua perkataan ringkas ini tidak diberi kod tetapi hendaklah dieja kecuali pada perkataan-perkataan yang lazim digunakan seperti cikgu digunakan “c” seperti kod “guru”, tiada digunakan “t” seperti kod tidak.

Perkataan Pergandaan
(a) Berganda sama
budak-budak, orang-orang, rumah-rumah
Semua perkataan berganda sama ini diulang kod perkataan yang mula-mula.

(b) Berganda tak Sama (Berubah)
Semua perkataan berganda tak sama (berubah) ini menggunakan kod perkataan
mula dan huruf awal pada perkataan berikutnya iaitu:
kuih-muih= kod kuih dan huruf m
saudara-mara= kod saudara dan huruf m
bukit-bukau= kod bukit dan huruf b

(c) Berganda separuh
Semua perkataan berganda separuh ini hendaklah didahulukan dengan huruf dan
diikuti dengan kodnya.

lelaki= huruf l dan kod laki
jejari= huruf j dan kod jari
bebola= huruf b dan kod bola

(d) Perkataan berganda dan penambahan

tulis-menulis, berlari-lari, buah-buahan

Semua perkataan ini dilakukan seperti perkataan berganda sama iaitu diulangi kod dasarnya dengan diberi awalan atau akhiran pada mana-mana perkataan yang berkenaan.

Imbuhan (penambahan) me, pe, ter, ber dan per.
(a) Murid-murid hendaklah diberitahu tentang penggunaan dan perubahan ejaannya pada penambahan “me” yang bertukar menjadi me, mem, men, meng, menge. Walaupun demikia semua menggunakan huruf pertama seperti :

huruf m untuk awalan “me”
huruf t untuk awalan “ter”

(b) Untuk membezakan antara awalan “pe” dengan “per” ialah ditambah huruf “r” menjadi “p” dan “r”.

pelukis= “pe” dan kod lukisan
perbuatan= “p”- “r” dan kod buat dan “an”

(c) Dalam Bahasa Melayu terdapat beberapa pengecualian ejaan dalam imbuhan “pe” yang tidak menurut perubahan ejaannya pada perkataan sakit, tani, sawah, kerja.

Dalam KTBM ini, pengecualian ini ialah huruf “p” tangan kanan tetap seperti biasa tetapi pengecualian ini pada tapak tangan kiri yang hujung jari menghala ke depan, tidak ke atas.

seperti biasa pengecualian :

penyakit pesakit
penulis petani
penyapu pesawah

Perkataan seerti
(a) Perkataan-perkataan yang seerti atau sama konsepnya dikumpulkan dalam satu
kumpulan yang menggunakan satu kod kata dasar. Perkataan ini dibezakan
dengan menggunakan huruf awal seperti :
cantik (kod dasar), molek, indah
(b) Sekiranya terdapat dua perkataan yang sama huruf awalnya, maka huruf pertama dalam suku kata kedua digunakan, seperti perkataan rebus dan rendang :

rebus digunakan huruf “r”
rendang digunakan huruf “d

(c) Kalau kedua-dua huruf pertama dalam suku kata kedua itu pun sama, maka huruf akhir bolehlah digunakan seperti pad perkataan laung dan lolong. Laung menggunakan “l”. Lolong menggunakan “g”

(d) Sekiranya terdapat persamaan pada huruf akhir pula, maka mana-mana huruf yang berlainan dalam perkataan itu bolehlah digunakan seperti dalam perkataan angkat, angkut, angkit. Bagi membezakannya, mana-mana huruf yang tiada dalam perkataan lain itu digunakan angkat = kod dasarnya “a”.

Pengecualian
Ada perkataan-perkataan yang dikecualikan dari kod kata dasar yang disediakan dan perkataan ini mempunyai kodnya sendiri iaitu :

(a) Nama gelaran pangkat yang membezakan dengan
perkataan biasa, seperti: cc
i. DYMM Yang di-Pertuan Agong adalah berbeza dengan mesyuarat agung tahunan. c
ii. Datuk Seri Dr. Mahathir adalah berbeza dengan datuk saya.
(b) Perkataan belajar dan pelajar adalah mempunyai kod dasarnya sendiri dan tidaklah diberi
imbuhan pada kod dasar “ajar”.

Angka
Simbol angka dan angka yang ditulis perkataannya adalah mempunyai perbezaan. Untuk kegunaan segera seperti dalam mengajar matematik simbol angka yang dipadankan daripada simbol angka dari Amerika adalah digunakan. Tetapi dalam pengajaran angka-angka perkataan bertulis, maka asas-asas bahasa mestilah digunakan seperti angka:

Untuk simbol angka
5 = kod 5
15 = kod 1, 5
185 = kod 1, 5, 8

Untuk BMKT
5 = kod 5
15 = 5 belas
58 = 5 puluh 8
185 = seratus lapan puluh lima

Sekarang kalian sudah memahami sebenarnya tentang penggunaan KTBM. Sebenarnya, KTBM banyak membantu orang pekak dalam membetulkan bahasa. Saya akui bahawa kebanyakan rakan-rakan pekak saya tidak menyukai KTBM. Namun, anda perlu akur bahawa apa yang telah dilakukan oleh kerajaan dalam sistem pendidikan di negara kita adalah untuk kebaikan kita bersama. Memang ada pendapat orang pekak mengatakan bahawa untuk menguasai sesuatu bahasa mestilah banyakkan membaca dan menulis. Ya, saya setuju dengan pendapat tersebut. Namun, adakah kalian sedar bahawa, bagaimana kita hendak memberi pengenalan bahasa dan struktur ayat bahasa Malaysia kepada kanak-kanak pekak yang baru belajar dan tidak tahu apa-apa tentang tatabahasa ataupun Bahasa Malaysia. Mereka mungkin akan keliru dan akan sentiasa merlakukan kesilapan dalam tatabahasa. Anda juga, harus sedar bahawa guru-guru yang menggunakan KTBM yang banyak mengajar anda membaca, menulis dan mengira. Jadi hargailah jasa-jasa mereka yang banyak mendidik anda semua. Nasihat saya cuma satu janganlah jadi insan seperti kacang lupakan kulit.

Oleh itu, harapan saya agar penggunaan BIM dan KTBM seharusnya saling bergantung. Misalnya, BIM boleh digunakan dalam komunikasi harian, tetapi apabila untuk belajar bahasa boleh menggunakan KTBM supaya orang pekak menjadi insan yang mahir dalam penguasaan bahasa.

Dikesempatan ini saya meminta maaf jika penulisan blog saya ini ada menyinggung perasaan dan membuat golongan orang pekak berasa marah. Niat saya hanya satu, untuk membantu kalian supaya kalian menjadi insan yang berjaya dan tidak dipandang rendah oleh orang lain. Sekian terima kasih. (^_^)

Rabu, 1 Julai 2009

MENGENALI BUDAYA ORANG PEKAK.

Budaya dalam kamus dewan bermaksud fikiran atau akal budi serta berkelakuan. Setiap bangsa mempunyai pelbagai budaya. Budaya yang diamalkan menjadi pegangan dan cara hidup kita. Namun, adakah kita ketahui bahawa orang pekak juga mempunyai budaya yang tersendiri. Oleh itu, saya ingin menyingkap kepada kalian semua tentang budaya orang pekak.

Berikut merupakan senarai amalan dan budaya yang diamalkan oleh orang pekak:

a) BAHASA.

Seperti yang kita ketahui bahawa orang pekak mempunyai bahasa yang tersendiri iaitu bahasa isyarat yang telah saya terangkan kepada kalian dalam blog yang lepas. Orang pekak sangat bangga dengan bahasa mereka. Apabila mereka berisyarat mereka pasti akan menunjukkan gaya yang tersendiri dan menarik. Selalunya, gaya mereka itu melambangkan perwatakan diri mereka. Jika mereka seorang yang lemah-lembut isyarat mereka lembut dan menenangkan. Manakala jika mereka seorang yang lucu, isyarat mereka turut megambarkan kelucuan. Itulah menariknya bahasa isyarat.

b) POSISI BADAN

Selalunya, bila kita bertutur kadang-kadang kita tidak perlu memandang seseorang. Namun, bagi orang pekak tumpuan mata sangat penting kerana untuk melihat isyarat yang mereka lakukan. Selain itu, mereka tidak boleh melihat isyarat jika ada halangan, tetapi jika halangan itu lutsinar mereka boleh melihat dan berkomunikasi seperti cermin dan sebagai.

c) TEGURAN

Biasanya, orang pekak bila kita menegur mereka, kita perlu menepuk bahu supaya mereka sedar dan itu tidak menjadi fikiran negative dalam diri mereka. Namun, bagi orang normal teguran secara sentuhan akan menyebabkan seseorang berfikiran negatif. Selain itu, orang pekak tidak suka jika mereka ditegur dengan cara yang kasar, mengeluarkan suara yang tinggi, membaling sesuatu objek ke arah mereka dan sebagainya. Oleh itu, kalian harus ingat lepas ini kalau hendak tegur mereka tegurlah dengan menepuk bahu sahaja, jangan sentuh tempat lain tau!!!.

d) HIBURAN

Dari segi hiburan, hiburan orang pekak sama seperti orang normal. Kebanyakan mereka gemar bermain bowling, menonton wayang, bermain internet, mengambil gambar, mengambil video dan sebagainya. Namun, jika mereka hendak menonton televisyen, mestilah mempunyai sari kata di bawah, supaya mereka dapat mengetahui jalan cerita yang ditayangkan. Selain itu, untuk maklumat kalian semua, orang pekak memang pandai dalam melukis dan membuat grafik. Oleh itu, tidak hairanlah jika kebanyakan orang pekak meneruskan pembelajaran dalam bidang seni dan rekaan. Seterusnya, apa yang menariknya mereka pandai bermain gendang. Main gendang macamana tu? Fikir-fikirkan dan kalau hendak tahu sangat datanglah ke YMCAKL. He..he..he..

e) HUBUNGAN

Biasanya dari segi hubungan mereka sangat, sangat, sangat akrab. Selalunya, mereka akan tetap satu temujanji dan akan sentiasa bertemu. Dalam pertemuan mereka pelbagai cerita yang mereka katakan, kadang-kadang itu banyak sangat mereka hendak kongsikan. Seperti saya kadang-kadang letih dan pening melihat mereka bercerita. Namun, cerita mereka itulah yang banyak memberi manfaat dan perkongsian serta mengeratkan hubungan mereka.

f) KEAGAMAAN

Dari segi agama orang pekak seperti orang normal masih lagi mempercayai agama masing-masing. Sebagai contoh, agama islam, walaupun mereka tidak boleh membaca bahasa arab dalam Al-Quran. Namun, mereka akan membaca dan menghafal makna. Jadi anda tidak bolehlah tipu makna dalam Al-Quran kerana kebanyakan mereka menghafal makna tersebut. Selain itu, orang pekak turut mempunyai pengiat dakwah dalam kalangan mereka. Mereka ini sangat mahir dalam bidang keagamaan tetapi tidak menonjol seperti orang normal kerana disebabkan oleh kelemahan yang dihadapi oleh mereka iaitu masalah pendengaran. Kalau kalian tidak percaya, pergilah ke masjid Sri Petaling, ada kumpulan tabligh pekak.

g) PASANGAN DAN PERKAHWINAN

Orang pekak juga sama macam orang normal iaitu mempunyai keinginan untuk berkahwin dan berkeluarga. Kebanyakan orang pekak sudah berumah tangga. Namun kebanyakan mereka gemar berkahwin dengan golongan mereka sendiri, tetapi ada juga yang berkahwin dengan orang normal. Dari segi dating, orang pekak tidak bolehlah hendak berdating atau berdua-duaan ditempat gelap kerana tidak nampak bahasa isyarat, jadi mereka gemar berdua-duaan ditempat yang terang serta tempat orang ramai. Bagi maklumat kalian, orang pekak rasa saya tidak pernah kena tangkap basah macam orang normal. Jadi fikir-fikirkan…

h) PENDIDIKAN

Kebanyakan orang pekak mempunyai ilmu pengetahuan seperti orang normal. Mereka boleh berfikir seperti orang normal. Kadang-kadang itu lebih hebat lagi. Dahulu masyarakat kita memandang orang pekak bodoh, tidak tahu apa-apa dan sebagainya. Namun, sebenarnya itu merupakan tanggapan yang salah. Kebanyakan mereka telah melanjutkan pelajaran ke Univeristi dalam dan luar negara, Politeknik, IPGM, Kolej dan sebagainya. Bagi maklumat kalian, terdapat orang pekak sudah melanjutkan pelajaran ke PHD dan lebih berjaya daripada orang normal.

Kesimpulannya, orang pekak sama macam orang normal, tetapi masalah pendengaran yang dihadapi oleh mereka dipandang rendah oleh orang lain. Sebenarnya, mereka mampu hidup berdikari seperti orang normal. Jadi, tidak ada masalahlah dalam diri mereka untuk menguruskan diri mereka sendiri. Oleh itu, jika siapa-siapa hendak berkawan dengan mereka, kawanlah, seronok berkawan dengan mereka, kerana mereka ada sifat kasih sayang yang rapat antara mereka, tetapi tidaklah semua pun.

Rasanya itu sahaja yang saya tahu tentang budaya orang pekak, jadi kalau kalian ada idea atau hendak ditambah tentang budaya mereka, berilah tahu supaya kita boleh berkongsi ilmu dan dapat dimanfaatkan bersama. Insyallah.. ;-)
Salah satu komunikasi yang diamalkan oleh orang pekak ialah komunikasi melalui telefon bimbit iaitu melalui sms.

video

Ini merupakan video daripada MFD (Persekutuan Orang Pekak Malaysia) yang saya ambil, tajuknnya "cara berkomunikasi dengan orang pekak". Jadi, kalian bolehlah ambil manfaat daripada video ini. Bagi maklumat lanjut sila layari web MFD ok..!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...