Rabu, 16 Disember 2009

CIKGU BUTA OH CIKGU BUTA (BOLEH BUAT PERGERAKAN ASAS KE?)

Salam dan bertemu sekali lagi kita. Sudah lama saya tidak menjengah blog saya, maklumlah rumah tak ada internet, jadi susah hendak saya mengemaskinikan blog ini. Cuti dalam masa sebulan ini banyak saya habiskan masa bersama keluarga dan rakan-rakan. Tambahan lagi cutilah masa untuk mengemukkan badan. Hu..hu... badan dah naik sekarang ini, tunggu balik IPGM IK baru dapat kurus balik. Pada minggu lepas saya telah membantu pensyarah saya dalam mengajar pergerakan asas kepada guru-guru yang ambil kursus dalam perkhidmatan. Mereka ini hendak sambung belajar ambil Ijazah, jadi mereka terpaksa belajar dalam waktu cuti sekolah. Bayangkan dalam masa yang singkat cikgu-cikgu ini terpaksa belajar menggunakan silibus satu sem seperti kami dalam masa sebulan. Huhuhuhu... penat woi.. terkejar-kejarlah mereka. Cuma minggu lepas saya diminta oleh pensyarah pj saya Datin Noraini untuk menjadi tenaga pengajar dan bahan ujikaji untuk pergerakan asas. Apa yang menakutkan saya mereka habiskan subjek pergerakan asas dalam masa satu hari, berbanding dengn kami satu sem iaitu selama 6 bulan. Kesiannya... apa lagi penat sangat mereka sampai tercunggap-cunggap cikgu-cikgu ini.. hehehehe..
Apa yang menarik hati saya untuk menulis dalam ruangan blog saya kali ini ialah saya ingin berkongsi pengalaman kepada kalian bahawa guru-guru KDP tu, kebanyakan mereka adalah OKU. Kelas yang Datin Noraini dapat ialah kelas masalah penglihatan. Hampir kesemua pelajarnya adalah golongan buta daripada 20 orang kesemuanya, 11 orang yang mengalami masalah penglihatan. Mulanya, risau juga saya bagaimana saya dan Datin hendak menguruskan kelas ini, yelah, subjek pergerakan asas bukan subjek yang banyak teori tapi praktikel. Dalam kepala saya berfikir, bagaimana hendak memperkenalkan sesuatu pergerakan kepada mereka?, bagaimana mereka hendak menjalankan amali?. Huhuhu.. pening kepala dibuatnya. Namun, hati ini meyakini bahawa golongan OKU mampu melakukannya.
Saya dan Datin pun mulalah mengajar pergerakan asas kepada mereka, mulanya kekok, dan saya tidak sangka mereka boleh buat apa yang disuruh. Malah lebih baik daripada tu. Saya dapat mempelajari bahawa mereka menggunakan kemahiran Orientasi dan Mobaliti yang mereka ada untuk membuat sesuatu prgerakan. Misalnya, pergerakan berjalan, menanggarkan jarak, dan sebagainya. Selain itu, mereka mengesan sesuatu benda berdasarkan bunyi-bunyian. Hasil pemerhatian yang saya lihat bila saya dan Datin mengajar pergerakan menggunakan bola, mereka membalut bola dengan beg plastik supaya mereka boleh mendengar pergerakan bola tersebut. Wow.. hebatnya, ketika itulah hati saya terdetik bahawa ketidaupayaan tidak menghalang sesorang merlakukan sesuatu.
Apabila saya mengajak mereka merlakukan pergerakan aerobik. Mereka sangat seronok merlakukannya walaupun mereka perlukan bimbingan hati mereka bersemangat untuk merlakukannya. Malah semangat dan kekuatan mereka lebih hebat daripada golongan normal.
Setelah habis mempelajari semua pergerakan asas, Datin meminta mereka mengingat kembali pergerakan yang dipelajari supaya dapat diaplikasikan dalam amali. Sekali lagi saya terkejut, mereka dapat mengingat banyak pergerakan asas yang mereka pelajari. Saya melihat Datin begitu bangga dengan mereka. Yelah, walaupun mereka mempunyai masalah penglihatan tetapi mereka mempunyai kekuatan ingatan yang cukup baik.
Akhirnya, pada petang itu subjek pergerakan asas sudah habis dipelajari oleh guru-guru tersebut. Lega hati ini kerana segala apa yang hendak diajar dapat disampaikan oleh Datin dan saya. Dalam perjalanan saya balik ke rumah di dalam LRT saya berfikir, bagaimanakah saya jika saya ditakdirkan menjadi buta? Adakah saya mampu hidup seperti cikgu-cikgu buta tadi? Otak saya jadi gila sedikit saya hendak cuba keluar dari LRT dengan memejamkan mata, tetapi saya terlanggar tiang dan orang yang ada dalam LRT. Apa yang kelakarnya, saya terlanggar perempuan Cina, habis kena marah dengan dia, kerana pejam mata waktu berjalan. Hahahahahaha...
Kesimpulannya, bahawa golongan buta mampu membuat apa sahaja, walaupun mereka tidak boleh melihat tetapi psikologi dan naluri hati mereka sangat kuat daripada kita. Jadi jangan ingat mereka tidak hebat daripada kita bahkan mereka boleh buat lebih baik daripada kita... ;-)



Kata meeze 1 : Kak Suzana salah seorang guru KDP menceritakan kepada saya terdapat rakannya yang low vision boleh memandu kereta dari Johor sampai ke Genting.


Kata meeze2 : Kak Jamiliah dia seorang buta, berasal dari Sarawak, bayangkan boleh sampai ke KL seorang diri. Huhuhuhu... mampu ke, kita melakukannya tanpa deria penglihatan? Hmmm, insafnya diri ini..

Ahad, 22 November 2009

PENYATUPADUAN ANTARA GOLONGAN PEKAK DAN GOLONGAN BUTA

Golongan pekak mempunyai masalah ketidakupayaan untuk mendengar. Manakala, golongan buta mempunyai masalah ketidakupayaan untuk melihat. Oleh itu, jika kita fikirkan secara logiknya, bagaimanakah kedua-dua golongan ini berhubung?. Adakah mereka boleh berkomunikasi secara berkesan? Tentu agak sukar kedua-dua golongan ini menyampaikan masej dan berkenalan antara satu sama lain. Namun, secara realitinya, kedua-dua golongan ini masih mampu untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Perkara ini dapat dilihat di tempat belajar saya sendiri. Melalui aktiviti perjumpaan OKU yang diadakan di IPGM IK menyebabkan berlakunya penyatupaduan antara golongan masalah pendengaran dan golongan masalah penglihatan.


Perjumpaan OKU IPGM IK diadakan tiap-tiap 2 minggu sekali. Perjumpaan OKU ini diketuai oleh sahabat saya sendiri Sitie Sarah yang mempunyai masalah pendengaran dan perjumpaan ini diadakan dengan bertujuan untuk mengeratkan hubungan golongan OKU IPGM IK. Disinilah mereka mengadakan aktiviti bersama dan berkongsi masalah. Namun, bagaimanakah cara mereka berkomunikasi terutamanya golongan masalah penglihatan dan golongan masalah pendengaran? Melalui pengalaman yang saya peroleh cara mereka berhubung terutamanya bila berkomunikasi adalah melalui kaedah berikut :

1) Kaedah juruisyarat : Ketika golongan pekak berucap, terdapat juruisyarat yang akan menterjemahkan apa yang diisyaratkan. Namun, apabila golongan buta berucap jurusyarat pula akan menisyaratkan apa yang diucapkan oleh mereka.

2) Kaedah tulis masej atau penggunaan software JAWS : Apabila golongan pekak dan golongan buta ingin berbincang sesuatu ketika ketiadaan juruisyarat mereka menggunakan cara dengan menaip masej melalui telepon atau komputer riba yang dipasang software JAWS. Kebanyakan golongan buta menggunakan software ini untuk mendengar apa yang ditulis.

3) Kaedah bahasa isyarat : Orang buta akan memegang tangan orang pekak, kemudian orang pekak akan berisyarat dan orang buta dan akan mengenali isyarat tersebut melalui sentuhan.

4) Kaedah bunyi dan visual : Jika golongan pekak ingin memanggil atau ingin menyampaikan sesuatu perkara kepada golongan buta , mereka boleh menggunakan kaedah bunyi yang ringkas dan mudah seperti tepuk, hentak kaki dan sebagai. Manakala, jika golongan buta ingin memanggil atau ingin menyampaikan sesuatu perkara kepada golongan pekak, maka mereka boleh menggunakan kaedah visual, seperti gambar, bahan-bahan yang menarik dan berwarna dan sebagainya.

5) Kaedah Braille : Golongan pekak mempelajari tulisan Braille dan ini akan menyenangkan golongan buta untuk membaca apa yang ingin disampaikan oleh golongan pekak.

6) Kaedah sebutan : Golongan pekak yang boleh menyebut boleh difahami oleh golongan buta kerana sifat sensitif mereka terhadap bunyi dan suara.


Melalui kaedah ini insyallah penyatupaduaan antara golongan buta dan golongan pekak akan erat. Hal ini demikian kerana, di IPGMIK penyatuan antara mereka sangat erat sehinggakan mereka dapat mengenali antara satu sama lain walupun serba kekurangan.


Pada pertengahan bulan, komuniti OKU IPGMIK telah membuat jamuan antara mereka. Mereka telah menjemput golongan normal untuk terlibat sekali. Melalui jamuan ini memperlihatkan ukhwah yang dibina antara golongan OKU terutamanya golongan pekak dan golongan buta. Ukhwah antara mereka sangat erat dan saya berasa sangat bersyukur kerana mereka mempunyai sifat kasih sayang dan keperihatinan antara satu sama lain walaupun mereka serba kekurangan.







Ketika jamuan berlangsung




Ketua OKU memberi ucapan






Penyatupaduan antara golongan buta dan pekak




Pensyarah yang hadir ke jamuan OKU







Sesi potong kek diwakili Kak Amy (masalah penglihatan) dan Kak Raja (masalah pendengaran)




Sebilangan golongan norma yang sudi membantu


Kesimpulannya, terbuktilah bahawa golongan pekak dan buta boleh bersatu jika tahu kaedahnya. Allah memberi akal kepada kita untuk berfikir, jadi kita gunakanlah akal itu sebaik-baik mungkin untuk mendapatkan jalan penyelesaian. Seperti golongan pekak, buta dan sebagainya mampu bersatu jika masing-masing mengetahui peranan mereka. Oleh itu, saya berharap agar masyarakat jangan memikirkan mereka tidak mampu untuk bersosial antara satu sama lain sedangkan mereka merupakan insan yang kreatif dalam bersosial. Sekian...


Kata Meeze 1 : Punca golongan pekak dan golongan buta sukar untuk bergaul ialah orang buta takut nak rapat dengan orang pekak krn malu dan takut tak faham bigitulah sama keadaanya yang dialami oleh orang pekak terhadap org buta.

Kata Meeze 2 : Hmmmm... kadang-kadang orang normal suka memekakkan telinga dan membutakan mata kerana tidak suka mengeratkan ukhwah dan membantu sesama sendiri. Sok-sok Allah tarik nikmat tu, barulah rasa nak sedar.

Ahad, 1 November 2009

JEMAAH TABLIGH PEKAK (Sambungan tajuk "SALAH KE OKU MENERIMA DAKWAH?")

Kali ini ruangan coretan meeze ingin mengulas lebih lanjut mengenai tajuk lepas iaitu “Salah ke OKU menerima dakwah?” Saya ingin membuktikan kepada umum bahawa golongan OKU layak menerima dakwah. Selain itu, saya ingin memaklumkan kepada kalian semua bahawa OKU boleh juga berdakwah dan hebat daripada orang normal.
Pada 31 Oktober 2009 iaitu pada hari Sabtu saya telah pergi ke masjid Sri Petaling. Saya diajak oleh sahabat saya yang bernama Omar untuk pergi ke sana. Pada mulanya, saya mengangak mungkin Omar ingin mengajak saya untuk melihat golongan tabligh dan menimba ilmu di sana. Hal ini demikian kerana, sudah menjadi kebiasaan sahabat saya ini sentiasa merlakukan aktiviti dakwah dan mengajak para sahabat di IPGM IK untuk pergi ke Masjid Sri Petaling bagi menghadiri majlis ilmu. Namun, kali ini Omar benar-benar mengajak saya untuk pergi ke Masjid tersebut. Saya pelik, kenapa Omar begitu semangat mengajak saya ke sana. Rupa-rupanya, Omar menyatakan bahawa Masjid tersebut mengadakan himpunan jemaah golongan tabligh pekak diseluruh Malaysia. Saya pun terkejut dan tidak menyangka terdapat aktiviti sebegitu disana. Sebelum ini apa yang saya ketahui terdapat jemaah pekak disana tetapi tidaklah saya menyangka Masjid tersebut mengadakan himpunan jemaah tabligh pekak di seluruh Malaysia. Saya begitu tertarik dengan ajakan Omar lantas segera untuk mengikutinya pergi ke sana.
Sesampai saya di Masjid tersebut, saya berasa terkejut dan teruja kerana saya melihat begitu ramai golongan pekak tabligh berhimpun di dalam masjid tersebut. Apa yang menarik perhatian saya ialah setiap negeri mempunyai kumpulan tabligh pekak yang tersendiri. Oleh itu, setiap negeri diminta untuk memberi laporan kegiatan dakwah yang mereka lakukan. Apabila golongan pekak tabligh ini memberi laporan dan menceritakan pengalaman dakwah mereka, hati saya berasa menyesal dan lebih respek dengan golongan pekak tabligh ini. Hal ini demikian kerana, walaupun mereka kurang upaya tetapi mereka masih boleh menjalankan kegiatan dakwah dan mengamalkan cara hidup islam yang sebenar berbanding dengan orang normal yang sempurna pancainderanya tetapi malas untuk melaksanakan amal makruf nahi mungkar.
Saya berjumpa dengan seorang jemaah tabligh normal yang sentiasa mengikuti aktiviti dakwah jemaah tabligh pekak ini. (Maaf nama saya tidak ingat) Beliau menyatakan, orang pekak boleh menerima dakwah tetapi perlu ada caranya. Bimbingan daripada kita yang normal ini sangat diperlukan supaya mereka tidak sesat. Kita sebagai manusia yang normal bertanggungjawab dalam merlakukan kegiatan dakwah kepada golongan OKU ini kerana bimbang apabila di akhirat kelak kita akan dipersoalkan oleh Allah kelak. Selain itu, beliau menyatakan lagi, apa yang menjadi masalah sekarang ialah kebanyakan orang normal menanggap orang pekak dan OKU yang lain tidak wajib menerima didikan agama Malah tanggapan ini juga diakui oleh pakar-pakar agama. Perkara tanggapan ini harus ditangani dengan segera. Hal ini demikian kerana, OKU juga mempunyai akal seperti kita dan mampu berfikir tentang ketuhanan. Namun, terdapat golongan OKU juga, tidak wajib menerima didikan agama kerana masalah mental dan sebagainya tetapi mereka juga harus diajar supaya mereka tidak mudah terpengaruh. Apa yang menjadi masalahnya sekarang ialah apabila orang normal menyalah tanggapan semua OKU tidak mempunyai akal atau menghadapi masalah mental. Jadi, inilah peranan kita yang sebenarnya membimbing mereka semua kejalan yang benar. Banyak perkara yang menark diceritakan oleh saudara tersebut tentang bagaimana orang pekak belajar agama dan sebagainya. Saya tertarik saudara tersebut menyatakan perkembangan Islam dalam kalangan orang pekak sangat aktif di Pakistan, Hal ini demikian kerana, melalui pengalaman saudara tersebut menceritakan bagaimana jemaah pekak Pakistan merlakukan aktiviti dakwah. Malah sifat mereka sangat baik. Apa yang mengejutkan saya, apabila saudara tersebut menceritakan kepada saya orang pekak membaca Al-Quran bahasa Arab yang tidak mempunyai terjemahannya. Sangat menarik..! Saya bertanya bagaimana mereka membacanya sedangkan mereka tidak faham, dan tidak kenal bunyi bahasa tersebut? , saudara tersebut menyatakan orang pekak disana menjadikan amalan membuka Al-Quran merupakan amalan harian mereka pada waktu malam. Walaupun, mereka tidak memahami atau tidak tahu, tetapi mereka cuba menjadikan amalan tersebut sebagai amalan wajib bagi mereka. Kita yang normal pun susah hendak membuka Al-Quran tiap-tiap hari tetapi orang pekak mampu merlakukannya. Bertambah lagilah keinsafan dalam diri saya. Selain itu, terdapat bahasa isyarat agama yang diambil daripada Pakistan untuk diterapkan dan disesuaikan dalam bahasa isyarat Malaysia, kata saudara tersebut.
Saya juga, sempat menemubual orang pekak tabligh disana. Saya bertanya kepada mereka, bolehkah mereka mamahami tentang agama? Mereka berkata boleh dan memerlukan lagi bimbingan daripada orang normal. Malah terdapat golongan pekak yang betul-betul mahir dalam agama dan mampu memberi ceramah agama. Selain itu, mereka menyatakan golongan pekak ini kebanyakan susah untuk menyampaikan agama kerana kebanyakan mereka sibuk dan kurang berminat untuk mengetahui agama kerana itulah kebanyakan orang pekak terlibat dengan masalah sosial. Namun, golongan pekak tabligh ini mampu mendidik isteri dan anak-anak mereka tentang agama. Alhamdulillah…
Masyallah.., bertapa hebatnya Allah. Allah menjadikan orang pekak ada hikmahnya, supaya kita tidak terlepas pandang dan mengamalkan sikap bertanggungjawab serta bantu-membantu antara satu sama lain. Walaupun golongan tabligh pekak ini tidak mampu mendengar tetapi iman mereka lebih kuat daripada kita yang normal. Malu kita sebagai golongan yang normal ini mempunyai pancaindera yang sempurna tetapi masih lalai dalam mengerjakan suruhan Allah, berbanding dengan golongan OKU ini.
Sewaktu saya melangkah keluar daripada masjid itu, saya terfikir, kita sibuk dan mampu memberi bantuan kebajikan kepada OKU dalam berbentuk kewangan, harta dan semuanya berkaitan dengan dunia. Namun, kita tidak mampu dan mengalah dalam memberi didikan agama kepada OKU? Kenapa perkara ini boleh berlaku? Renung-renungkanlah..



kata meeze 1 : Sahabat pekak saya yang bukan beragama islam pernah mengatakan terdapat gereja untuk golongan pekak kristian di Puchong dan paderinya pun orang pekak…

kata meeze 2 : Selain masjid Sri Petaling, saya ada mendengar daripada orang lain bahawa Masjid negara turut mengadakan aktiviti kegiatan agama kepada golongan pekak. Sesiapa yang ingin rsepon amat digalakkan.. terima kasih..





Ini adalah sebahagian gambar jemaah tabligh pekak diseluruh Malaysia yang sempat saya ambil di Masjid Sri Petaling. hehehehe.. sebenarnya Omar cakap tidak digalakkan ambil gambar tetapi saya cuma ambil, alhamdulillah dapatlah sedikit..






Waktu ni, aktiviti ceramah kepada golongan pekak, ada juruisyarat bersama dengan penceramah tersebut. Seronok bila tengok juruisyarat itu mengisyaratkan ceramah tersebut. Juruisyarat itu, sangat bersemangat.. banyak isyarat agama yang dapat saya pelajari daripada dia.. terima kasih encik..

Isnin, 19 Oktober 2009

SALAH KE OKU MENERIMA DAKWAH?

Baru-baru ini saya telah menghadiri interaktif dakwah training yang dianjurkan oleh PERKIM di Ampang. Banyak yang telah saya perolehi ketika mengikuti IDT. Misalnya, saya mengetahui cara berdakwah kepada orang islam dan sebagainya.
Dipendekkan cerita dalam sesi soal jawab, saya telah mengemukakan suatu soalan kepada penceramah, iaitu “Sejauh mana pendekatan dakwah yang diberikan kepada golongan OKU?.

Saya tidak mahu menceritakan lebih lanjut apa jawapan yang diberikan oleh penceramah. Namun, saya bersyukur penceramah tersebut sudi membantu dan akan memaklumkan perkara ini kepada pihak JAKIM untuk tindakan selanjutnya. Apa-apapun terima kasih saya ucapkan kepada penceramah tersebut kerana sudi membantu masalah yang dihadapi oleh golongan OKU.

Satu perkara yang perlu diketahui bahawa golongan OKU layak menerima pendidikan agama. Siapa kata golongan pekak, buta dan yang mempunyai kecacatan anggota tidak layak menerima dakwah dan mempelajari konsep ketuhanan. Hanya mereka OKU yang mempunyai kecacatan mental sahaja yang tidak layak. Itupun jika golongan OKU yang mempunyai kecacatan mental yang tidak teruk pun masih mempunyai hak untuk mendapat didikan agama.

Pernah diriwayatkan bahawa pada suatu hari Rasulullah s.a.w. telah didatangi oleh Ummu Maktum, iaitu seorang yang cacat penglihatan. Pada ketika itu Rasulullah s.a.w. sedang sibuk melayani para penguasa Quraisy dan mendakwah mereka kepada agama Islam. Melihat kehadiran Ummu Maktum, baginda pun memalingkan muka baginda daripada beliau kerana ingin menumpukan perhatian kepada para penguasa Quraisy tersebut. Dengan kejadian itu, Allah s.w.t pun mengwahyukan ayat 1-11, Surah Abasa yang bermaksud:

“Ia memasamkan muka dan berpaling kerana ia didatangi orang buta. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya wahai Muhammad)? Barangkali ia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapati daripadamu)! ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya. Adapun orang yang merasakan keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi ( kepada ajaran al-Quran), maka engkau bersungguh-sungguh melayaninya. Padahal engkau tidak bersalah kalau ia tidak mahu membersihkan dirinya (daripada keingkarannya). Adapun orang yang segera datang kepadamu, dengan perasaan takutnya (melanggar perintah-perintah Allah) maka engkau berlengah-lengah melayaninya. Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat-ayat Al-Quran adalah pengajaran dan peringatan (yang mencukupi).”

Daripada riwayat diatas jelas membuktikan bahawa sebenarnya, golongan kurang upaya layak menerima didikan agama. Namun, masalah yang dihadapi ialah tanggapan masyarakat kita terhadap golongan kurang upaya sangat menyedihkan. Mereka beranggapan bahawa golongan OKU ini, (maaf saya katakan mungkin terlalu kasar), seorang yang bodoh, tidak tahu apa-apa dan sebagainya. Realitinya, dalam sesuatu majlis keilmuaan tiada peluang diberikan kepada golongan OKU untuk mendapat ilmu keagamaan. Misalnya, tiada juruisyarat dalam majlis ceramah agama, tiada tempat duduk khas untuk golongan cacat upaya dan sebagainya. Selain itu, terdapat kurangnya buku keagamaan Braille untuk golongan buta, perkhidmatan pembimbing keagamaan kepada golongan OKU dan sebagainya. Kebayakan persatuan OKU kurang menitikberatkan unsur-unsur keagamaan hanya segelintir sahaja. Namun, perkara yang menyedihkan terdapat persatuan bukan beragama islam yang cuba melindungi dan memberi pendedahan terhadap agama mereka kepada golongan OKU. Hal ini menyebabkan kebanyakan golongan OKU lebih tertarik dengan agama lain berbanding dengan agama islam.

Jika saya mampu merlakukan atau bertindak dan mempunyai kuasa, insyallah saya akan menangani masalah ini dengan segera, tetapi apakah daya saya hanya seorang pelajar yang masih mentah dan mempunyai pemikiran yang cetek. Bukan ada seorang pun ingin mendengar luahan saya ini malah tidak seorang pun yang ingin membantu dan memperjuangkan nasib golongan OKU tentang keagamaan. Mereka sibuk membincangkan hak asasi golongan OKU tetapi hak untuk mendapat didikan keagamaan tidak dittitikberatkan. Selain itu, kita sendiri yang mengambil ringan dengan masalah ini. Sebagai contoh, jawapan yang diberikan oleh masyarakat ialah “buat apa kita sibuk berdakwah kepada golongan OKU sedangkan orang yang normal pun tidak terdakwah lagi….” Agak menyedihkan apabila saya mendengar jawapan ini daripada segelintir masyarakat. Wahai masyarakat semua, sekiranya kalian ditempat mereka, adakah kalian berasa adil terhadap diri kalian kerana tidak diperdulikan langsung oleh masyarakat. Jangan biarkan golongan OKU ini terus hanyut dan sesat hanya gara-gara kita sendiri. Saya bimbang jika di akhirat kelak golongan OKU yang berakal ini akan menuntut kepada kita kerana tidak berdakwah kepada mereka.

Dalam membincangkan bab-bab ketuhanan, saya pasti golongan OKU terutama golongan pekak dan buta yang berakal seperti kita yang normal ini boleh menerimanya, tetapi memerlukan masa yang lama untuk membimbing mereka. Saya tertarik dengan Masjid Sri Petaling yang mempunyai jemaah tabligh pekak. Lihatlah, siapa kata golongan pekak atau OKU tidak tahu tentang konsep ketuhanan?. Malah mereka lebih hebat dalam membincangkan soal keagamaan. Selain itu, seperti pengakuan sahabat saya yang pekak, di negara Arab sendiri bimbingan terhadap agama sangat dititikberatkan.

Di Malaysia tidak kurang hebatnya, mempunyai ramai pendakwah, ustaz dan golongan yang mahir dalam agama. Namun, apabila saya menceritakan bab soal hak keagamaan kepada golongan OKU mereka seolah-olah diam seribu bahasa. Seperti mereka terfikir bagaimana untuk meyampaikannya? Malah cara mereka seolah-olah memandang rendah terhadap golongan OKU. Sebenarnya, di minda mereka tidak disetkan atau lupa untuk menyampaikan masej dakwah kepada golongan OKU. Hal ini demikian kerana, tiada pihak yang menitikberatkan perkara ini serta tidak dimaklumkan kepada pendakwah, ustaz dan sebagainya kerana mereka tidak mempunyai kepakaran dalam bidang itu. Jadi, yang harus bertanggungjawab dalam hal ini ialah guru-guru pendidikan khas, badan kebajikan dan sebagainya. Namun yang menyedihkan saya ialah, guru-guru Pendidikan Khas , badan kebajikan dan sebagainya memandang rendah terhadap kebolehan OKU dalam keagamaan. Malah, mereka sendiri yang menyatakan golongan OKU sukar menerima dakwah. Sangat memalukan kepada saya sebagai seorang guru pendidikan khas, apabila rakan seperjuangan saya yang bersama-sama membantu golongan OKU boleh berkata demikian… Seharusnya, mereka membela dan bersama-sama membantu tetapi sebaliknya. Hal ini disebabkan oleh sikap mengambil mudah dan malas untuk mendidik serta mengharapkan makan gaji semata-mata.

Saya kagum dengan pendidikan khas di Amerika Syarikat. Lihatlah sendiri guru-gurunya berwibawa dan bersemangat dalam membantu golongan OKU. Malah hak-hak asasi golongan ini terus terbela. Walaupun mereka OKU tetapi mereka masih mendapat didikan agama. Itulah yang saya harapkan berlaku di Malaysia kerana saya bimbang jika masalah ini tidak ditanggani dengan segera akidah golongan OKU akan tumbang. Maka terjadilah cerita-cerita OKU murtad, OKU tidak percaya agama dan sebagainya. Pada waktu itulah kita sibuk dan rungsing serta mencari langkah alternatif untuk membenteras masalah ini. Namun, semuanya telah terlambat disebabkan kecuaian diri kita sendiri.

Saya rasa sudah cukup saya mencoretkan tentang perkara ini, banyak perkara yang hendak diperkatakan, tetapi saya bimbang jika saya menulis lebih banyak lagi akan menyebabkan ketidakpuasan hati kalian. Oleh itu, saya berharap sesiapa yang ingin komen terhadap coretan saya kali ini, komenlah.. Saya tidak mahu anda membaca tetapi hanya mendiam diri dan menceritakannya dibelakang. Kalau boleh terus bercakap dan memberi pandangan supaya kita boleh berkongsi ilmu.

Kesimpulannya, saya berharap masyarakat perlu sedar dan mengambil masalah ini dengan serius. Jangan mengambil sesuatu perkara ini dengan mudah, tetapi jadikan perkara ini sesuatu perkara yang penting. Jangan suatu hari nanti, apabila nasi sudah menjadi bubur baru semua hendak bertindak kerana musuh-musuh islam sentiasa mencari jalan untuk menyesatkan kita. Sekian…





SIAPA BERSALAH? (Masalah antara golongan pekak dan golongan normal)

Rasanya sudah lama saya tidak mencoretkan sesuatu dalam blog ini. Maklumlah sejak kebelakangan ini saya sangat sibuk dengan pelbagai tugasan yang terpaksa saya selesaikan. Namun, kini Alhamdulillah segala tugasan dapat saya lakukan dengan jayanya.

Tajuk coretan saya kali ini ialah Siapa yang bersalah?. Mungkin kalian tertanya apa maksud yang ingin saya sampaikan. Macam biasalah blog ini tujuannya untuk menyingkap masalah orang kurang upaya terutamanya yang menghadapi masalah pendengaran atau pekak. Jadi kali ini, saya ingin berkongsi pengalaman kepada kalian semua untuk renungan kita bersama. Kalau sesiapa yang ingin komen, dialu-alukan kerana saya hendak melihat respon daripada anda semua terutamanya golongan pekak supaya anda sendiri sedar dengan masalah ini.

Beberapa minggu lepas saya telah menghadiri ke majlis sambutan hari raya ke rumah kawan kelas saya yang pekak iaitu Sarah. Alhamdulillah, dapat juga saya sampai ke rumahnya walaupun pada mulanya niat tidak mahu pergi kerana terlalu sibuk dengan tugasan. Setelah saya sampai di rumah Sarah, saya lihat rakan kelas saya yang lain sudah sampai ke rumahnya lebih awal daripada saya. Tiba-tiba saya terperanjat rupa-rupanya ada ramai rakan-rakan pekak saya yang lain dan golongan pekak yang saya tidak saya kenal sudah sampai juga ke rumah Sarah. Namun, mereka duduk didalam rumah manakala rakan kelas saya duduk di luar rumah. Saya ditarik oleh Sarah untuk berjumpa dengan rakan-rakan pekak yang lain. Seronok dapat berjumpa dengan mereka semua. Mana tidaknya, banyak perkara yang diceritakan oleh mereka sehinggakan saya sendiri tidak berasa puas makan dirumah Sarah. Hehehehe..

Tiba-tiba mata saya teralih kepada rakan sekelas saya yang lain. Saya melihat mereka asyik memandang golongan pekak yang berada didalam rumah sahaja. Saya cuba memanggil mereka masuk untuk bersama-sama berborak. Namun, mereka semua berasa malu. Sudah beberapa banyak kali saya mengajak mereka masuk, tetapi mereka hanya memandang dan malu untuk bersama dengan kumpulan orang pekak. Saya lihat Sarah pula sibuk melayan tetamu tidak kira rakannya yang pekak mahupun yang normal. Nampak letih Sarah, keluar dan masuk dari rumah kerana ingin menjaga perasaan rakan-rakannya yang normal dan pekak.

Dipendekkan cerita, selepas selesainya majlis kesemua berangkat pulang . Semuanya nampak seronok dengan rumah terbuka Sarah. Pada keesokkan harinya, sewaktu didalam kelas saya bertanya kepada rakan-rakan saya, seronok atau tidak pergi ke rumah Sarah. Mereka menjawab seronok tanpa wajah yang gembira. Saya berjumpa dengan seorang sahabat kelas saya, kerana saya yakin dia seorang yang jujur, saya bertanya kepada dia adakah awak seronok datang ke rumah Sarah? Tetapi dia mengatakan tidak.. Saya bertanya, kenapa pula tidak? Sedangkan makanan dan layanan yang diberikan oleh Sarah sangat bagus. Sahabat saya mengakui bahawa makanan dan layanan yang diberikan oleh Sarah sangat bagus dan sedap. Namun, apa yang menyedihkan ialah kenapa orang pekak dan orang normal perlu mengasingkan kumpulan masing-masing. Sahabat saya sedar, bahawa dia tidak lancar dan mahir berisyarat seperti golongan pekak yang lain, tetapi sahabat saya merasakan seolah-olah golongan pekak tidak mahu berkawan dengan golongan normal. Adakah mereka tidak suka golongan normal yang tidak lancar berisyarat?. Selain itu, sahabat saya menyatakan golongan pekak seolah-olah sombong dan tidak mahu bergaul dengan golongan normal. Sahabat saya juga, menyatakan dia berasa cemburu dengan saya kerana saya boleh menyertai kumpulan orang pekak dan boleh berisyarat dengan cepat.

Kemudian, saya menerangkan kepada sahabat saya tersebut. “ Cuba jika kamu seorang yang pekak. Kemudian, kamu ke majlis rumah terbuka orang normal. Orang normal yang tidak tahu berbahasa isyarat pasti mereka mengetepikan kamu. Kemudian kamu pula cuba bercakap dengan orang normal, tetapi sebutan kamu tidak jelas. Agak-agak kamulah, adakah orang normal akan berkomunikasi dan bercakap dengan kamu? Adakah mereka berasa berminat dengan kamu? Mungkin mereka berasa minat tetapi mereka tidak tahu untuk berkomunikasi dengan kamu….” Saya cuba memberitahu sahabat saya lagi, “ Apa yang kamu rasa di rumah Sarah begitulah golongan pekak rasa ketika bergaul dengan orang normal. Jadi kamu kena faham apa yang mereka rasa dan situasi yang sebenar”

Banyaklah perkara yang saya terangkan kepada sahabat saya tentang kehidupan orang pekak. Saya terangkan kepada dia, “kenapa kamu perlu cemburu dengan saya, sedangkan saya tidaklah semahir manapun. Apa yang penting kamu kena pandai dalam bersosial dengan orang dan tahu caranya”. Akhirnya rakan saya memahami apa yang diperkatakan oleh saya.

Itulah dilemma yang sering dialami antara orang pekak dan orang normal. Saya masih tertanya-tanya, kenapa masing-masing tidak mahu cuba untuk berinteraksi antara satu sama lain?. Kenapa perlu di asingkan antara dunia orang pekak dan dunia orang normal?
Saya sendiri akui semasa beraya dirumah Sarah orang pekak cuba mewujudkan halangan antara orang normal. Mereka kurang hendak berisyarat dengan orang normal.Malah mereka menyatakan kepada Sarah bahawa mereka berasa pelik dengan orang normal kerana selalu mermerhatikan gerakan mereka.

Saya pelik kalau keadaan seperti ini berterusan sampai sekarang sampai bila golongan pekak dan golongan normal akan dapat bersatu dan hidup dalam komuniti. Sebenarnya, daripada cerita yang saya kupaskan ini menunjukkan bahawa hubungan antara orang pekak dengan orang normal masih mempunyai keasingan lagi. Hal ini demikian kerana, faktor komunikasi yang telah menyebabkan wujud permasalahan ini.

Namun, perkara ini harus ditanggani oleh kedua-dua pihak dan tidak hanya menunding jari. Misalnya, jika golangan normal ingin berkomunikasi dengan golongan pekak, maka golongan normal perlulah mengambil langkah untuk memahirkan diri dalam bersosial dan berkomunikasi. Apa yang dikatakan oleh sahabat saya terhadap tiada kelancaran dalam berbahasa isyarat itu adalah tanggapan yang salah. Hal ini demikian kerana, kebanyakan orang pekak amat menyukai orang normal berisyarat malah mereka akan sentiasa membantu jika terdapat kekurangan dalam berisyarat. Namun orang pekak juga, perlu sedar bahawa golongan normal mempunyai sifat malu untuk berisyarat jadi golongan pekak seharusnya mengambil perhatian dan mengajak mereka turut sama dalam perbualan agar sifat kesensitifan tidak wujud dalam diri.

Elakkan mewujudkan sesuatu kepuakan apabila berada di dalam sesuatu tempat. Sebagai contoh yang berlaku di rumah Sarah, golongan pekak berada di dalam rumah, manakala golongan normal berada di luar rumah. Wujudkan interaksi dan percampuran antara satu sama lain. Mungkin dengan ini sikap ketidakasingan tidak akan wujud. Bagi golongan pekak jangan hanya melayan orang normal yang mahir dalam berisyarat sahaja tetapi cuba melayan orang normal yang ingin belajar bahasa kalian . Saya pasti, dengan tindakan yang dilakukan oleh anda, pasti bahasa anda akan sentiasa berkembang dari semasa ke semasa. Manakala bagi golongan normal pastikan anda cuba mengenali budaya orang pekak dengan lebih lagi. Jangan hanya memikirkan diri sendiri, kerana golongan pekak juga pernah mengalami perkara keasingan dalam diri apabila bergaul dengan golongan normal. Saya pasti jika kalian sentiasa mengalah dan membantu antara satu sama lain perpaduan dan kerjasama akan wujud dalam diri golongan normal dan golongan pekak.

Kesimpulannya, saya berharap agar perkara sebegini dapat ditangani dengan segera, jangan menyalahkan orang tetapi menyalahkan diri sendiri. Allah menjadikan kita tidak sempurna. Dengan ketidaksempurnaan itulah maka kita seharusnya saling bergantung antara satu sama lain. Sekian… :-)




Isnin, 12 Oktober 2009

Hmmm.. lamanya...

Rasanya lama sy tak sentuh ttg blog sy ni.. Maklumlah skrg ni IPGM IK ada masalah dengan Wireless, jd tak sempat le sy nk menulis coretan kepada kalian semua. Tapi skrg ni sy tak ada idea nk ceritakn bersama dengan awk semua kerana skrg ni sy terlalu sibuk sehinggakan aktiviti diri sy pun tak terjaga. Mana tidaknya, tanggungjawab yg sy pikul amatlah berat tuk menjaga kebajikan pelajar.
Namun, sy sedih dengan satu perkara ialah, sejak kebelakangan ini banyak sangat musibah yang berlaku ke atas pelajar IPGM IK. Misalnya, kematian, kemalangan dan sebagainya. Terbaru pula seorang pelajar daripada OUM telah meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya. Sangat menyedihkan.. Mungkin ini merupakan ujian daripada Allah untuk kita semua.
Walaumacamana pun saya rasa bangga dengan pelajar di Institut ini sangat perihatin dengan masalah yang menimpa. Buktinya, hasil kutipan derma yang dikutip tidak disangka-sangka dengan jumlah yang ditarget. Terima kasih saya ucapkan atas keperihatinan kalian semua.
Insyallah lepas selesai urusan lain dan bila ada masa terluang, saya akan cuba untuk menulis lagi. Jadi mohon maaf ssgt. Sekian, terima kasih...

Ahad, 13 September 2009

SALAM AIDILFITRI




PANTUN HARI RAYA
Buah pauh di tengah bendang
Jadi dagangan di tengah kota
Saudara jauh datang bertandang
Bermaaf-maafan sesama kita

Masak udang dan gulai ketam
Pembasuh mulut kuih keria
Berbunyi mercun berdentum-dentam
Riang gembira di Hari Raya

Sungai disusur sehari-hari
Dalam gelap menangkap ikan
Kami meyusun sepuluh jari
Salah dan silap harap maafkan

Aidilfitri hari kemaafan
Menghapus kesalahan sesama insan
Memupuk perpaduan sesama ehsan
Mengikat tali keakraban

Disisir diandam dengan cekap
Potong rambut pelbagai gaya
Puasa sebulan sudahlah lengkap
Kita menyambut Hari Raya

Adik tersayang segak bergaya
Mengait kuih di atas para
Suasana riang di Hari Raya
Bermaaf-maafan riang gembira

Sumber: Selekta

Pantun ini saya tujukan kepada pembaca-pembaca blog ini, nk buat pantun sendiri tak pandai, jd copy n paste je la jawabnya.. Apa-apapun SELAMAT HARI RAYA! MAAF ZAHIR DAN BATIN...
Buat keluarga, sahabat-sahabat, dan sesiapa yang mengenali diriku ini, ampun maaf dipinta, mungkin sepanjang saya bersama dengan kalian, berkongsi ilmu, dan sebagainya ada yang melukakan hati kalian semua, sesungguhnya, saya manusia biasa yang sering merlakukan kesilapan dan kesalahan . Terima kasih banyak-banyak saya ucapkan. Saya sayang awak semua...

Hmmm.... ALAHAI SI PENGUTIP DERMA...

Sudah lama saya tidak meninjau blog saya ini. Saya terperanjat ramai juga yang mengunjungi blog saya yang tidak seberapa ini.. Tambahan pula sudah bertambah pengikut saya. Apa-apapun terima kasih kerana sudi mengikuti blog ini. Namun. kali ini saya ingin bercerita, supaya anda boleh memberI maklum balas agar kita dapat berkongsi bersama cerita saya kali ini. Terdapat 4 cerita yang ingin saya kongsikan, selamat membaca! :

CERITA PERTAMA

Hari itu saya dan rakan-rakan ada menjalani aktiviti mengutip derma di IPGM IK. Banyak yang saya pelajari dalam menjalankan aktiviti ini sehinggakan dalam hati ini terdetik suatu keinsafan dalam diri saya sendiri. Mana tidaknya, menjadi seorang pengutip derma sangatlah sukar. Pelbagai halangan dan masalah yang terpaksa ditempuh. Melalui aktiviti kutipan ini saya mendapat pengalaman dan melihat pelbagai ragam keikhlasan manusia dalam memberi bantuan. Kadang-kala rasa seronok dan kadang-kala rasa terkilan dan sedih. Biasalah benda baik dan tidak membawa keuntungan di dunia manalah orang suka, jadi pelbagai masalah yang timbul. Namun, Allah Maha Penyayang, segala masalah dapat di atasi dan Allah membuka pintu-pintu hati orang tertentu untuk sama-sama membantu.
Sepanjang saya dan rakan-rakan lain menjadi pengutip derma saya berasa insaf dan kesal dengan perbuatan saya terhadap peminta derma. Dahulu, bila saya nampak pengutip derma datang dengan memberikan keterangan saya, pasti saya akan rasa bosan dan menghulurkan duit kadang-kala dengan hati yang tidak ikhlas. Dalam hati ini terdetik titik hitam menyatakan bahawa “ Hisy, menyibuk sahaja Si Pengutip Derma ni!” Hmm.. jahatnya saya. Namun, apabila saya sudah mengalami, barulah sekarang saya tahu bertapa sukarnya merlakukan kerja murni ini. Misalnya, terpaksa menahan malu, mendengar pendapat orang yang tidak bernas, melihat moody orang dan sebagainya. Jadi, rasanya lepas ini saya berazam tak nak buat orang macam tu lagi. Hehehehe.. Cuma nasihat saya kepada kalian semua, layanlah si pengutip derma dengan baik, janganlah sombong dengan mereka. Bukan senang hendak mendapat orang yang sanggup menahan malu dalam meminta-minta duit kepada orang lain. Kita sebagai manusia mestilah sentiasa tolong-menolong agar hidup kita diberkati Allah. Amalkan hidup bersedekah, kerana melalui sedekah dapat mendidik jiwa kita supaya bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada kita. Tambahan di bulan puasa ini. Lagilah berlipat-lipat kali ganda ganjarannya. Cuma fikirkan kenapa ye, kita boleh membeli barang beratus-ratus ringgit tetapi sedekah 10 sen pun berat kita hendak bagi? Barang yang kita beli itu hanya sementara sahaja, tetapi amal jariah yang kita lakukan akan menjadi bekalan di Akhirat kelak. Fikir-fikirkan?

CERITA KEDUA

Saya pernah berchat dengan kawan saya, dalam YM memberi respon tentang aktiviti mengutip derma , tetapi jawapan kawan saya membuatkan saya terfikir.. “banyak pertubuhan-pertubuhan yang ditubuhkan untuk membantu golongan-golongan tertentu. Misalnya, golongan OKU, golongan bermasalah dan sebagainya. Hampir kesemua persatuan itu selalu menjalankan kegiatan mengutip derma. Apa yang pelik sehingga kini, walaupun ada persatuan-persatuan yang ditaja sepenuhnya, tetapi aktiviti mengutip derma masih dijalankan.. Kenapa ye?” ini lah yang ditanya oleh sahabat saya dalam YM. Saya tidak mampu hendak menjawabnya, kerana saya terfikir betul juga apa yang dikatakan oleh si dia.
Selain itu, , soalan sahabat saya, adakah si pengutip derma itu benar-benar mengutip derma atau untuk kepentingan diri sendiri? Adakah mengutip derma ini hanya untuk menunjukkan rasa simpati kita terhadap persatuan mereka? Jadi sukar lah untuk saya menjawab persoalan tersebut. Harap anda semua boleh dapat memberi respon.


CERITA KETIGA

Sewaktu saya pergi keluar makan bersama dengan ibu saya, kami didatangi oleh 2 orang lelaki berbangsa cina mengutip derma kononnya, mereka mengutip derma untuk membantu OKU. Selepas itu, kami pun memberilah wang derma kepada mereka. Tanpa disangka-sangka tiba-tiba dihadapan mata saya dan ibu saya, lelaki tersebut membuka tabung derma dan menggunakan duit derma itu untuk membeli minuman dan makanan, saya terperanjat dan cuba untuk mempengaruhi pemikiran saya supaya berfikir secara baik. Tetapi tidak boleh! Saya dan ibu saya hanya mengeleng kepala dengan tindakan tersebut. Jadi, kalau anda ditempat saya, apakah tindakan anda. Adakah wajar saya berfikiran baik dengan memikirkan mungkin si pengutip derma tersebut menggunakan sementara duit tersebut?

CERITA KEEMPAT

Masa di zaman sekolah dahulu, terdapat aktiviti jogathon di sekolah, kami disekolah dipaksa untuk mengutip derma bagi menyambut hari jogathon tersebut dan duit tersebut digunakan untuk meningkatkan taraf sekolah. Kawan-kawan saya bersungguh-sungguhlah mencari. Kononnya siapa yang mengutip paling banyak akan mendapat ganjaran yang istimewa daripada pihak sekolah. Namun, saya ini malas orangnya. Saya sekadar mencari main-main sahaja. Namun, apa yang mengecewakan saya, apabila tiba hari jogathon, sambutannya amatlah menyedihkan, terdapat unsur-unsur lara misalnya, persembahan band, fashion show dan sebagainya. Tambahan pelajar yang menyambut hari tersebut ada yang berpakaian yang…hmm.. tidak boleh saya hendak katakan… Saya tidak mampu melihat sahaja, hanya dapat geleng kepala je la, tambahan di sekolah saya dahulu didikan agama kurang di sana. Jadi, apa pendapat anda tentang keadaan ini?

Jadi apa pendapat anda, harap anda berilah maklum balas terhadap peristiwa yang pernah di alami oleh saya ini agar dapat kita berkongsi pendapat dan cari penyelesaiannya. Cuma dalam kepala saya terfikir satu, ada orang hendak buat baik, tetapi dipandang jahat, sebaliknya ada orang cuba mengambil kesempatan dan membuat benda yang lara, tetapi dipandang baik oleh orang. Apa silapnya?

Isnin, 31 Ogos 2009

SOLAT TARAWIKH UNTUK ORANG PEKAK

Sempena bulan ramadhan yang mulia ini saya hendak bagi satu idea, cara bagaimana kita hendak memastikan orang pekak dapat mengikuti solat tarawikh secara berjemaah. Jadi, kalau ada perkara baik yang hendak ditambah atau kesalahan dalam saya memberi idea ini bolehlah anda semua komen untuk manfaat kita bersama :

Langkah memastikan orang pekak dapat mengikuti solat tarawikh secara berjemaah :

1) Sebelum memulakan solat tarawikh pastikan apa yang diterangkan oleh bilal atau imam diterjemahkan dalam bahasa isyarat, misalnya, niat solat tarawikh, senarai nama untuk bacaan tahlil, kelebihan solat tarawikh pada malam tersebut dan sebagainya. Hal ini supaya, orang pekak dapat memahami dan tidak sesat serta dapat mengikuti apa yang disampaikan.

2) Pastikan setiap bacaan selawat, tasbih dan doa diterjemahkan dalam bahasa isyarat supaya orang pekak dapat menghayati solat tarawikh tersebut.

3) Maklumkan kepada orang pekak surah apa yang perlu dibaca pada setiap rakaat supaya mereka dapat mengetahui setiap surah apa yang dibaca oleh imam.

4) Selain itu, maklumkan jumlah rakaat yang telah dilakukan supaya orang pekak tidak keliru.

5) Berikanlah risalah cara untuk mengerjakan solat tarawikh supaya mereka dapat mengetahui cara merlakukannya.

6) Seterusnya, apabila sudah habis merlakukan solat tarawikh dan ingin mengerjakan solat witir, maklumkan kepada orang pekak, dan cara untukl merlakukan solat witir.

Jadi, kalau ada idea hendak dimaklumkan atau ditambahkan sila beritahulah ye, kalau rasa langkah-langkah yang saya reka ini berguna maka gunakanlah untuk kebaikan komuniti orang pekak.

TYPES OF HEARING LOSS

Your ability to hear is an unique as your fingerprint. No two people have exactly the same hearing impairment. Work – place noise, inherited medical conditions, childhood and adults illness all combine to produce different types of hearing loss in different people.
There are three types of hearing loss :

a) Conductive hearing loss, produced by injury to, or problems with, the bones, eardrum and membranes which carry sound from the external ear through the middle ear in the inner ear.

b) Sensorineural hearing loss, one in which all the mechanisms listed above are intact but a deterioration of the inner ear is present. This may be caused by the natural aging process, or degeneration of the nerves leading from the inner ear to the brain.

c) Mixed hearing loss, one which contains elements from both conductive and sensorineural hearing loss.

Sabtu, 29 Ogos 2009

MASALAH ORANG PEKAK DALAM DIDIKAN AGAMA

Cuba kalian baca petikan ini, petikan ini saya ambil daripada yayasan dakwah islam yadim, jadi kalau hendak tahu lebih lanjut lagi tentang artikel ini bolehlah anda layari web ini www.yadim.com.my

-------------------------------------------------------------------------------------

MASEJ ISLAM DAN WARGA PEKAK
oleh :ZALILA ISA

Islam tidak pernah memandang umatnya berbeza dari segi paras rupa atau fizikal. Islam memandang amal dan takwa serta menyanjung sifat Muslimin dan Muslimah yang sejati terutamanya dalam hal menuntut ilmu. Tidak kira sama ada seseorang Muslim itu normal atau cacat, kesungguhan dalam mendalami Islam merupakan suatu tuntutan.

Pernah diriwayatkan bahawa pada suatu hari Rasulullah s.a.w. telah didatangi oleh Ummu Maktum, iaitu seorang yang cacat penglihatan. Pada ketika itu Rasulullah s.a.w. sedang sibuk melayani para penguasa Quraisy dan mendakwah mereka kepada agama Islam. Melihat kehadiran Ummu Maktum, baginda pun memalingkan muka baginda daripada beliau kerana ingin menumpukan perhatian kepada para penguasa Quraisy tersebut. Dengan kejadian itu, Allah s.w.t pun mewahyukan ayat 1-11, Surah Abasa yang bermaksud:

“Ia memasamkan muka dan berpaling kerana ia didatangi orang buta. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya wahai Muhammad)? Barangkali ia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapati daripadamu)! ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya. Adapun orang yang merasakan keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi ( kepada ajaran al-Quran), maka engkau bersungguh-sungguh melayaninya. Padahal engkau tidak bersalah kalau ia tidak mahu membersihkan dirinya (daripada keingkarannya). Adapun orang yang segera datang kepadamu, dengan perasaan takutnya (melanggar perintah-perintah Allah) maka engkau berlengah-lengah melayaninya. Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat-ayat Al-Quran adalah pengajaran dan peringatan (yang mencukupi).”

Kisah di atas, walaupun menyebut tentang ‘orang buta’, ia merangkumi golongan kurang upaya yang lain yang seharusnya tidak ketinggalan dalam proses mendapatkan ilmu pengetahuan dan dakwah Islamiah. Kesungguhan mereka yang mendapatkan ilmu agama dan juga keprihatinan guru yang mengajar membawa kepada keberlangsungan sesuatu ajaran itu masuk ke dalam jiwa orang yang menuntut ilmu.

Berbalik kepada golongan pekak, mereka hanya bergantung kepada bahasa isyarat untuk memahami apa yang disampaikan oleh pendakwah. Alhamdulillah, media eletronik masa kini sudah mula menempatkan jurubahasa isyarat semasa khutbah Jumaat yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen. Medium yang digunapakai oleh warga pekak hanyalah yang berbentuk visual dengan jurubahasa isyarat di sampingnya.

Malangnya, kekurangan jurubahasa isyarat menjadi penyebab utama mesej dakwah itu sampai kepada warga pekak dengan cara yang tidak sempurna. Mereka masih memerlukan jurubahasa isyarat untuk menghayati ceramah-ceramah agama yang diadakan di masjid-masjid dan tempat-tempat tertentu. Mereka juga perlu memahami isi kandungan al-Quran yang menjadi pelengkap kepada Islam yang mereka sanjungi. Selain itu, komunikasi berkesan juga amat diperlukan ketika mereka mahu menyuarakan pendapat dan persoalan tentang sesuatu perkara terutamanya apabila berurusan dengan jabatan agama atau institusi keagamaan yang ada.

Berbicara soal urusan dengan jabatan agama Islam, warga pekak sering diketepikan atas alasan tiada komunikasi yang baik antara kakitangan sektor awam ini dengan warga pekak. Mana mungkin warga pekak dapat menyuarakan persoalan agama kepada kakitangan jabatan agama Islam dengan menggunakan kaedah isyarat tangan yang tidak difahami oleh kakitangan tersebut.

Bagaimana pula keadaan warga pekak yang berkeinginan menunaikan ibadah haji atau menunaikan umrah di Mekah? Bagaimana mungkin mereka dapat menjalani ibadah itu dengan sempurna tanpa jurubahasa isyarat membantu aktiviti keagamaan mereka di Tanah Suci itu.

Masalah orang pekak dan aktiviti dakwah Islamiah pernah dikaji oleh seorang pensyarah dari Jabatan Dakwah dan Antropologi, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Kampus KUSZA Gong Badak, melalui kajiannya, “Bahasa Isyarat Malaysia (MySL) sebagai Wahana Dakwah: Kepentingannya Dalam penghayatan Agama Warga Pekak”.

Kajian beliau telah dibentangkan semasa Seminar MySL pada 23 hingga 25 Ogos 2007 di Johor Bahru. Melalui kajian itu, beliau mendedahkan bahawa warga pekak juga terlibat dengan beberapa kes keruntuhan akhlak, bermasalah dengan institusi keagamaan dan sukar mendekati dakwah Islamiah tanpa kemahiran berbahasa isyarat yang baik.
-------------------------------------------------------------------------------------

Inilah yang menjadi kerisauan saya sebagai salah seorang komuniti orang pekak. Mana tidaknya, kebanyakan orang pekak kurangnya mendapat pendidikan agama yang secukupnya. Saya pernah bertanya kepada kawan saya yang pekak, bagaimanakah dia mendapat masej daripada khutbah jumaat? tetapi apa yang menyedihkan.. dia menjawab, dia hanya datang ke solat jumaat untuk sembahyang sahaja, semasa khutbah, dia menggunakan waktu tersebut untuk tidur. Kemudian, saya bertanya lagi, apa yang kamu tahu tentang sembahyang?. Dia hanya menjawab tidak tahu, dia sembahyang hanya ikut orang sahaja, selama ini dalam solat dia tidak tahu apa yang perlu dibacanya. Itu baru bab solat yang saya tanya kepada sahabat saya yang pekak, sedikit soalan itu, menyebabkan hati saya sedih melihat nasibnya yang kurang mendapat pendidikan agama.
Kita sibuk berdakwah kepada orang bukan islam, tetapi kita sendiri terlepas pandang bagaimana orang kurang upaya yang beragama islam mendapat pendidikan agama. Sedangkan mereka sangat2 memerlukan bimbingan kita. Banyak pakar-pakar agama telah dilahirkan, tetapi kebanyakan mereka hanya berkemahiran berdakwah kepada orang normal sahaja. Adakah kita mahu melihat golongan kurang upaya ini tersesat aqidahnya? Sudah semestinya tidak.. jadi fikir2kanlah..

Jadi apakah peranan kita? Janganlah kita memandangkan perkara ini sesuatu yang remeh-temeh, saya pernah berjumpa dengan salah seorang orang pekak dalam majlis bacaan yassin dan tahlil. Kesian saya melihat keadaannya, mana taknya, dia terkial-kial dalam membaca surah yassin kerana tidak dapat mengikuti apa yang dibaca oleh imam. Muka memandang kiri dan dan kanan, wajahnya kelihatan sedih dan murung, dia cuba hendak meminta pertolongan tetapi tiada seorang yang ingin membantuya. Saya tidak akan memberitahu kesudahannya, tetapi saya hendak anda fikir, apa yang perlu anda lakukan, jika ternampak kejadian itu berlaku di depan mata anda? Adakah anda ingin menolongnya? ataupun anda meneruskan bacaan yassin?

Oleh itu, masalah ini perlulah ditangani dengan segera, kita tidak mahu orang pekak beragama islam menjadi murtad, gara-gara sikap kita sendiri yang merlupakan mereka semua. Sekarang ini, banyak persatuan-persatuan yang bukan beragama islam membantu golongan orang pekak dan juga orang kurang upaya. Jadi fikir2kanlah dan lakukan tindakan yang terbaik bagi menyelamatkan mereka.. :-)

Jumaat, 21 Ogos 2009

MENGELAKKAN ANAK CACAT PENDENGARAN

Kanak-kanak normal sudah boleh mula bertutur pada lingkungan usia empat tahun pertama iaitu seawall usia 13 bulan. Jika seorang kanak-kanak itu tidak boleh bertutur melebihi usia 17 bulan kanak-kanak tersebut mungkin mnegalami masalah pendengaran atau pertuturan.

Jika masalah pendengaran tidak dapat dikesan dengan lebih awal lagi, maka perkara tersebut mungkin akan menjadi lebih rumit . Ibu bapa seharusnya menjalankan pemeriksaan ke atas bayi mereka pada masa tiga bulan pertama sehingga usia lima tahun.

Pengesanan kecacatan pendengaran pada bayi dapat dilakukan dengan mengikuti panduan ini.

Baru lahir – 3 bulan

Bayi bertindak balas kepada bunyi yang kuat

3 – 6 bulan

Bayi akan mengerakkan mata dan kepala kea rah bunyi yang menaik minat mereka serta kepada suara ibu bapa atau suara yang biasa didengar.

10 -15 bulan

Pada waktu ini bayi sudah mula mengenali sesuatu benda. Jadi jika mereka minat sesuatu benda maka benda tersebut akan menjadi permainannya.

15 – 18 bulan

Pada ketika ini bayi mula belajar bertutur dan akan meniru apa yang didengar dan dicakap oleh orang lain. Pada ketika ini ibu bapa mestilah berhati-hati dalam mengajar anak-anak bertutur. Jangan sekali-kali bertutur dalam bahasa pelat. Natijahnya, akan menyebabkan bayi terikut-ikut.

2 tahun

Bayi berupaya mengikuti arahan yang diberi.

3 tahun

Bayi berupaya mengesan sumber bunyi.

5 tahun

Bayi bertutur dengan jelas dan mudah difahami.

Ahad, 2 Ogos 2009

LAWATAN KE SKPK SELANGOR

Bertemu sekali lagi kita dalam coretan meeze, kali ini saya malas hendak cerita ilmiah sahaja, tapi kali ini saya hendak berkongsi dengan kalian semua tentang pengalaman lawatan saya ke SKPK Selangor di Shah Alam. Kalau kalian rasa hendak tahu bacalah, tapi kalau rasa boring abaikan sahajalah, saya hanya hendak berkongsi pengalaman sahaja dengan anda semua.


Pada 17 Julai 2009 saya dan rakan kelas saya G. 2.4 Pendidikan Khas (Masalah Pendengaran) telah mengadakan lawatan ke Sekolah Pendidikan Khas Masalah Pendengaran. Kami tiba lebih kurang pada jam 9:00 pagi dan kedatangan kami disambut baik oleh pihak sekolah. Pada mulanya kami diberi taklimat oleh pihak sekolah tentang latar belakang sekolah tersebut dan kami telah didedahkan dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan di sekolah tersebut. Banyak input yang kami dapat sepanjang taklimat itu berlangsung.


Selepas itu, kami dibawa oleh pihak sekolah untuk melawat sekitar sekolah. Walaupun sekolah tersebut tidaklah besar seperti sekolah biasa. Namun, guru-guru di sekolah tersebut ramah melayan kedatangan kami. Selain itu, kami dibawa ke setiap kelas bermula daripada Pra sekolah sehinggalah ke darjah enam. Seronok kami berada di situ, dan adakalanya menyentuh perasaan kami. Mana tidaknya, kanak-kanak di sana sangat comel tetapi mempunyai masalah dalam pendengaran. Ada kadang-kadang itu, saya tersentuh apabila terdapat kanak-kanak pekak yang memakai implan koklea, bagi saya sangat menyukarkan untuk mereka kerana mungkin akan mendatangkan bahaya jika tidak dijaga dengan baik. Namun, sebenarnya implan koklea memberi kebaikan kepada golongan pekak untuk mendengar.


Saya terkejut berjumpa dengan kakak senior yang tengah praktikum ketika itu. Geli hati saya melihat Kak Mimie dan Kak… seorang tu saya tidak kenal nama dia, megajar kanak-kanak pekak. Tambahan melihat Kak Mimie tension mengajar English kepada kanak-kanak pekak. (He..he…he… Maaf ye kak jangan marah).


Pelbagai kemudahan yang disediakan di sekolah bagi membantu pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak pekak di sana. Guru-guru di sana bertungkus-lumus dalam mendidik mereka supaya mereka menjadi insan yang berguna suatu hari nanti.


Kemudian, kami di bawa ke kantin sekolah untuk menikmati jamuan yang disediakan. Kami makan bersama dengan kanak-kanak pekak di situ. Kebetulan juga, pada waktu itu adalah waktu rehat mereka. Kanak-kanak pekak sangat peramah, ada sahaja yang mereka ingin ceritakan kepada kami semua. Sampaikan saya tidak sempat makan kerana melayan keletah mereka. Mereka juga, gemar bergambar pantang sahaja buka kamera pasti mereka akan terlebih dahulu meminta kami menangkap gambar mereka.


Tahap umur di sekolah ini lebih 2 tahun kalau tidak silap saya, oleh itu ada kanak-kanak pekak yang sudah besar menjangkau usia 13 dan 14 tahun. Hal ini demikian kerana, tahap pemerolehan ilmu mereka lambat sedikit daripada kanak-kanak normal. Namun, walaupun begitu, terdapat kanak-kanak pekak yang rajin dalam mengulangkaji pelajaran. Seperti di sekolah ini, ketua pengawasnya yang bernama.. ermmm.. maaflah saya lupa namanya menjadi contoh dan pelajar harapan di sekolah tersebut kerana apa yang saya dengar murid ini rajin dalam mengulangkaji pelajaran. Moga-moga dia mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. Amin…


Selepas itu, kami dibawa ke tapak perhimpunan, cara perhimpunan mereka sangat menarik. Penyampaian guru yang bertugas kepada murid-murid sangat melucukan kami. Apa yang menariknya, setiap murid digantung perkataan-perkataan supaya mereka boleh ingat dan mengeja. Guru yang bertugas akan memanggil salah seorang daripada mereka untuk mengeja perkataan yang gantung di leher mereka. Sangat menarik cara yang mereka lakukan. Hal ini dapat memberikan kesan kepada murid supaya dapat mempelajari perkataan-perkataan baru.


Kemudian, selepas perhimpunan kami di bawa semula ke dewan. Hal ini demikian kerana, terdapat upacara penutupan minggu kecergasan di sekolah tersebut. Tanpa disangka-sangka saya dijemput untuk menjadi juruisyarat. Arrrrrgggghhh… malunya.. Mana tidaknya, saya segan jika isyarat saya tidak difahami oleh murid-murid pekak di sana. Namun, tidak mengapa, saya cuba juga, walaupun terketar-ketar dan menjadi tontonan semua, saya sabar dan reda je la. He..he..he.. Alhamdulillah segala-galanya berjalan dengan lancar, mula-mula takut juga, tetapi akhirnya bersemangat dalam berisyarat. Hehehehe…


Akhirnya, pada pukul 11:30 majlis pun berakhir dan kami berangkat untuk pulang. Namun, bagi saya pengalaman berada satu hari di SKPK tidak boleh saya lupakan. Pengalaman ini menyebabkan saya tidak sabar untuk mengajar dan mendidik kanak-kanak pekak dan bersemangat untuk menjadi guru yang terbaik bagi mereka. Saya berharap agar kanak-kanak pekak di sekolah ini menjadi insan yang berguna suatu hari nanti dan dapat menunjukkan kepada masyarakat bahawa mereka boleh berjaya seperti orang lain.








Ini lah perempuan melayu terakhir, mula dari kanan baju hitam, Ijah, Sarah, Naemah, Zue, yang duduk mula kanan, Inah, Nik, Farah dan Liza.. masing-masing cover lawa la tu.. hehehe..





Semasa dalam bas, masing-masing tengah seronok kerana tidak ada kelas Pn Madinah. Hehehe..





Semasa dalam dewan, mendengar taklimat, Hafiz kusyuk mendengar taklimat sehingga tersenyum sipu.. hehehehe..





Bermula yang baju kemeja biru itu, GPK 1, GPK 2, Guru Besar, Pn Madinah dan En Yusoff.




Ini merupakan salah seorang murid pekak, comelkan, kedua-duanya sangat lincah.





Kak Mimie tengah praktikum, senyum-senyum sipu malu, huhuhu jangan marah ye kak..







Yang baju hitam ini seorang kakak senior tengah praktikum, tapi saya tidak kenal namanya, lupa la.. kalau ada senior baca blog ini perkenalkanlah nama dia yek.







Murid-murid pekak pra sekolah, mereka tengah menikmati biskut. Namun, kesian dengan mereka, saya janji hendak tangkap gambar dengan mereka lepas makan tetapi saya terlupa hendak ambil lepas itu, mereka ternanti-nanti saya. Kesiannya, maaf ye syg..






tak ada komen lah tentang saya. huhuhu..





Sebahagian alat bantu mengajar untuk kanak-kanak pekak.





Bersama murid-murid pekak tahun 4.






Gambar comel mereka ini membuatkan hati saya terusik melihat masalah yang mereka hadapi.






Ketika di tapak perhimpunan.





Di hadapan taman mini sekolah.







Biasalah kawan-kawan perempuan saya ini gemar bergambar. Cover lawalah tu....













Inilah peristiwa yang memalukan bagi saya, mana tidaknya tiba-tiba disuruh oleh pihak sekolah untuk menjadi juruisyarat. Tuhan sahaja tahu bertapa gementarnya saya ketika itu. Malunya..!!






Bergambar dengan rakan sekelas, yang lelaki sibuk duduk depan. Sudahlah badan besar menutup wajah-wajah gadis jelita di belakang. hehehehe..






Bergambar beramai-ramai di depan sekolah. Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Selangor, Shah Alam.






Khamis, 16 Julai 2009

PERTUTURAN KIU

Baru-baru ini saya telah ke Pusat Pertuturan Kiu di Kg. Pandan. Apabila sampai saya disana, saya teruja melihat kanak-kanak pekak boleh bertutur seperti kanak-kanak normal yang lain. Saya berfikir sejenak, rupa-rupanya orang pekak boleh bertutur jika mereka dilatih dengan betul. Kemudian, saya diajar pertuturran kiu oleh guru besar di sekolah tersebut. Lebih mengejutkan lagi saya dapat menguasai pertuturan kiu selama satu jam sahaja. Sangat mudah, manarik dan menyeronokkan apabila saya mempelajarinya. Alhamdulillah, saya tidak menyangka ada juga peluang yang diberikan oleh Allah kepada orang pekak supaya mereka boleh bertutur seperti orang normal.


Apakah pertuturan kiu?


Dalam kita menyebut, setiap perkataan yang disebut mempunyai suku kata yang tertentu. Orang pekak yang mempunyai sedikit pendengaran tidak boleh mengecam kebanyakan suku kata yang mereka boleh dengar serta tidak memahami apa yang diperkatakan oleh orang normal. Oleh itu, pertuturan kiu ialah bahasa pertuturan yang diiringi dengan kiu tangan yang ditunjukkan oleh seorang penutur supaya setiap suku kata dapat dicam dengan jelas melalui penglihatan dan pendengaran.


Sejarah pertuturan kiu.


Pertuturan kiu telah direka oleh Dr. R. Orin Cornett dari Kolej Gallaudet, Washington D.C, dan telah ditunjukkan oleh beliau pada tahun 1967. Prinsip-prinsip dalam pertuturan Kiu boleh digunakan dalam bahasa pertuturan. Sebagai contoh, Bahasa Melayu telah diaplikasikan dalam prinsip pertuturan kiu.


Bagaimanakah penggunaannya?


Setiap kiu tangan terdiri daripada suatu bentuk tangan yang diletakkan pada posisi tangan yang khas. Hanya 8 bentuk tangan dan 3 posisi tangan sahaja yang digunakan dalam Bahasa Melayu. Dalam pertuturan Kiu, setiap suku kata yang dituturkan boleh dicam dengan jelas melalui corak visual yang terdiri daripada pergerakan bibir yang dilihat ketika suku kata itu ditutur dan kiu tangannya yang diiringi secara serentak.


Selain itu, dalam kaedah bacaan bibir, kebanyakan suku kata kelihatan serupa walaupun ia bunyinya amat berbeza. Cuba kalian perhatikan diri kalian dalam cermin dan menyebut perkataan /ma/, /ba/, /pa/. Jika kalian perhatikan ketiga-tiga perkataan tersebut mempunyai bentuk bibir yang sama dan tidak sukar untuk mengecam setiap suku kata jika melihat dengan mulut sahaja. Namun, dalam Pertuturan Kiu bentuk-bentuk tangan memudahkan kita untuk melihat perbezaan di antara konsonan-konsonan yang kelihatan serupa dalam kaedah bacaan bibir.


Oleh itu, Kiu tangan membantu mengatasi kesulitan yang dihadapi semasa membaca bibir dengan menjadikan suku kata-suku kata yang berbunyi berbeza juga kelihatan berbeza di antara satu sama lain.


Sekarang sudah jelaskan bahawa pertuturean kiu member peluang dan cahaya kepada orang pekak untuk bertutur. Kepada guru-guru yang mengajar kanak-kanak pekak, saya harap agar anda belajar pertuturan kiu kerana pertuturan kiu banyak member manfaat yang baik kepada golongan pekak untuk menguasai sesuatu bahasa.

Gambar di atas merupakan 4 pergerakan tangan untuk vokal bagi pertuturan kiu.


Gambar di atas merupakan 8 isyarat jari bagi huruf konsonan.



Jumaat, 3 Julai 2009

KOD TANGAN BAHASA MALAYSIA (KTBM)

Masalah yang dihadapi oleh orang pekak ialah dari segi bahasa. Misalnya, mereka mempunyai masalah dari segi tatabahasa, struktur ayat dan sebagainya. Cuba kalian baca petikan dibawah:

Smalam aku main dgan rakan bola samue tengok ok nak paksa tendanj bola tapi sudah lakukan baik sangat bila sudah dalam gol ambil 1 markah smue sama tepuk happy sahaja aku sama happy sangat………

Petikan diatas merupakan salah satu contoh ayat orang pekak. Hampir yang kita lihat struktur dan tatabahasa yang digunakan oleh mereka sangatlah teruk dan susah hendak difahami. Kadang-kadang, makna yang hendak disampaikan oleh mereka tidak sama seperti makna yang hendak kita sampaikan. Saya pernah lihat telefon bimbit senior saya iaitu Abang Am yang mendapat masej daripada anak muridnya yang pekak. Bila saya baca saya rasa pelik kerana murid tersebut menulis kepada Abang Am “Kau i cinta x?” bagi kita yang normal, mungkin kita akan rasa pelik, kerana ayat ini selalunya ditujukan kepada kekasih dan orang yang kita cintai. Namun, bagi orang pekak istilah sayang, kasih, dan sabagainya sama sahaja. Sebenarnya, murid Abang Am ingin memaklumkan kepadanya iaitu “Cikgu sayang saya atau tidak?” tetapi disebabkan tiada penguasaan bahasa menyebabkan ayat mereka tunggang terbalik dan penyampaian makna yang salah.

Oleh itu, disebabkan kelemahan penguasaan bahasa, menyebabkan kerajaan telah menyediakan Kod tangan bahasa melayu (KTBM). KTBM juga,digunakan apabila berlakunya terjemah daripada lisan (suara) kepada visual (tangan) dalam tatabahasa Bahasa Melayu. Selalunya, KTBM ini digunakan oleh guru-guru yang mengambil masalah pendengaran seperti saya untuk digunakan bagi mengajar bahasa Malaysia.

Sejarah bermulanya Kod tangan iaitu pada tahun 1973 dan Bahasa Malaysia Kod Tangan (BMKT) digubal dan siap pada tahun 1978. Pada tahun 1982, kursus BMKT yang pertama diadakan untuk guru-guru pendidikan khas Pulau Pinang di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang. Jabatan Pendidikan Khas dengan kerjasama Persatuan Orang Pekak Kuala Lumpur, Persatuan Pekak Negeri-negeri, Jabatan Pendidikan Negeri, Dewan Bahasa dan Pustaka serta guru-guru telah mengambil satu langkah positif menerbitkan buku kod tangan bahasa melayu (KTBM) edisi 1979 yang diguna pakai sehingga hari ini

Sebenarnya, KTBM banyak memberikan kebaikan kepada golongan pekak. Hal ini disebabkan kerana, KTBM boleh melatih mereka membaca, memahami struktur ayat, membetulkan bahasa dan sebagainya.

Seperti BIM hanya boleh digunakan untuk berkomunikasi, tetapi apabila hendak diselaraskan dengan tatabahasa Bahasa Malaysia tidak boleh, kerana tatabahasa BIM dan bahasa Malaysia tidak sama bentuknya. Oleh itu, lebih sesuailah jika dalam pengajaran dan pembelajaran digunakan KTBM sebagai meningkatkan penguasaan bahasa Malaysia.

Berikut merupakan petikan penerangan terhadap penggunaan KTBM, petikan penerangan ini saya ambil daripada Portal Rasmi Pendidikan Khas SMK Tun Hussein Onn, Kluang Johor ( http://www.pksmktho.myportal.my/ ).

Kata Majmuk
Perkataan kata majmuk yang mempunyai dua kata dasar digabungkan seperti kapal terbangkeretapitali pinggang papan hitambola sepak. Semua kata majmuk ini membawa suatu makna atau objek. Oleh itu digunakan satu kod sahaja.

Kata Ringkas
Ada perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu yang diringkaskan dari dua, tiga atau lebih menjadi satu perkataan sahaja seperti:

cikgu daripada encik guru.
tiada daripada tidak ada.
berdikari daripada berdiri di atas kaki sendiri.
pawagam daripada panggung wayang gambar.

Semua perkataan ringkas ini tidak diberi kod tetapi hendaklah dieja kecuali pada perkataan-perkataan yang lazim digunakan seperti cikgu digunakan “c” seperti kod “guru”, tiada digunakan “t” seperti kod tidak.

Perkataan Pergandaan
(a) Berganda sama
budak-budak, orang-orang, rumah-rumah
Semua perkataan berganda sama ini diulang kod perkataan yang mula-mula.

(b) Berganda tak Sama (Berubah)
Semua perkataan berganda tak sama (berubah) ini menggunakan kod perkataan
mula dan huruf awal pada perkataan berikutnya iaitu:
kuih-muih= kod kuih dan huruf m
saudara-mara= kod saudara dan huruf m
bukit-bukau= kod bukit dan huruf b

(c) Berganda separuh
Semua perkataan berganda separuh ini hendaklah didahulukan dengan huruf dan
diikuti dengan kodnya.

lelaki= huruf l dan kod laki
jejari= huruf j dan kod jari
bebola= huruf b dan kod bola

(d) Perkataan berganda dan penambahan

tulis-menulis, berlari-lari, buah-buahan

Semua perkataan ini dilakukan seperti perkataan berganda sama iaitu diulangi kod dasarnya dengan diberi awalan atau akhiran pada mana-mana perkataan yang berkenaan.

Imbuhan (penambahan) me, pe, ter, ber dan per.
(a) Murid-murid hendaklah diberitahu tentang penggunaan dan perubahan ejaannya pada penambahan “me” yang bertukar menjadi me, mem, men, meng, menge. Walaupun demikia semua menggunakan huruf pertama seperti :

huruf m untuk awalan “me”
huruf t untuk awalan “ter”

(b) Untuk membezakan antara awalan “pe” dengan “per” ialah ditambah huruf “r” menjadi “p” dan “r”.

pelukis= “pe” dan kod lukisan
perbuatan= “p”- “r” dan kod buat dan “an”

(c) Dalam Bahasa Melayu terdapat beberapa pengecualian ejaan dalam imbuhan “pe” yang tidak menurut perubahan ejaannya pada perkataan sakit, tani, sawah, kerja.

Dalam KTBM ini, pengecualian ini ialah huruf “p” tangan kanan tetap seperti biasa tetapi pengecualian ini pada tapak tangan kiri yang hujung jari menghala ke depan, tidak ke atas.

seperti biasa pengecualian :

penyakit pesakit
penulis petani
penyapu pesawah

Perkataan seerti
(a) Perkataan-perkataan yang seerti atau sama konsepnya dikumpulkan dalam satu
kumpulan yang menggunakan satu kod kata dasar. Perkataan ini dibezakan
dengan menggunakan huruf awal seperti :
cantik (kod dasar), molek, indah
(b) Sekiranya terdapat dua perkataan yang sama huruf awalnya, maka huruf pertama dalam suku kata kedua digunakan, seperti perkataan rebus dan rendang :

rebus digunakan huruf “r”
rendang digunakan huruf “d

(c) Kalau kedua-dua huruf pertama dalam suku kata kedua itu pun sama, maka huruf akhir bolehlah digunakan seperti pad perkataan laung dan lolong. Laung menggunakan “l”. Lolong menggunakan “g”

(d) Sekiranya terdapat persamaan pada huruf akhir pula, maka mana-mana huruf yang berlainan dalam perkataan itu bolehlah digunakan seperti dalam perkataan angkat, angkut, angkit. Bagi membezakannya, mana-mana huruf yang tiada dalam perkataan lain itu digunakan angkat = kod dasarnya “a”.

Pengecualian
Ada perkataan-perkataan yang dikecualikan dari kod kata dasar yang disediakan dan perkataan ini mempunyai kodnya sendiri iaitu :

(a) Nama gelaran pangkat yang membezakan dengan
perkataan biasa, seperti: cc
i. DYMM Yang di-Pertuan Agong adalah berbeza dengan mesyuarat agung tahunan. c
ii. Datuk Seri Dr. Mahathir adalah berbeza dengan datuk saya.
(b) Perkataan belajar dan pelajar adalah mempunyai kod dasarnya sendiri dan tidaklah diberi
imbuhan pada kod dasar “ajar”.

Angka
Simbol angka dan angka yang ditulis perkataannya adalah mempunyai perbezaan. Untuk kegunaan segera seperti dalam mengajar matematik simbol angka yang dipadankan daripada simbol angka dari Amerika adalah digunakan. Tetapi dalam pengajaran angka-angka perkataan bertulis, maka asas-asas bahasa mestilah digunakan seperti angka:

Untuk simbol angka
5 = kod 5
15 = kod 1, 5
185 = kod 1, 5, 8

Untuk BMKT
5 = kod 5
15 = 5 belas
58 = 5 puluh 8
185 = seratus lapan puluh lima

Sekarang kalian sudah memahami sebenarnya tentang penggunaan KTBM. Sebenarnya, KTBM banyak membantu orang pekak dalam membetulkan bahasa. Saya akui bahawa kebanyakan rakan-rakan pekak saya tidak menyukai KTBM. Namun, anda perlu akur bahawa apa yang telah dilakukan oleh kerajaan dalam sistem pendidikan di negara kita adalah untuk kebaikan kita bersama. Memang ada pendapat orang pekak mengatakan bahawa untuk menguasai sesuatu bahasa mestilah banyakkan membaca dan menulis. Ya, saya setuju dengan pendapat tersebut. Namun, adakah kalian sedar bahawa, bagaimana kita hendak memberi pengenalan bahasa dan struktur ayat bahasa Malaysia kepada kanak-kanak pekak yang baru belajar dan tidak tahu apa-apa tentang tatabahasa ataupun Bahasa Malaysia. Mereka mungkin akan keliru dan akan sentiasa merlakukan kesilapan dalam tatabahasa. Anda juga, harus sedar bahawa guru-guru yang menggunakan KTBM yang banyak mengajar anda membaca, menulis dan mengira. Jadi hargailah jasa-jasa mereka yang banyak mendidik anda semua. Nasihat saya cuma satu janganlah jadi insan seperti kacang lupakan kulit.

Oleh itu, harapan saya agar penggunaan BIM dan KTBM seharusnya saling bergantung. Misalnya, BIM boleh digunakan dalam komunikasi harian, tetapi apabila untuk belajar bahasa boleh menggunakan KTBM supaya orang pekak menjadi insan yang mahir dalam penguasaan bahasa.

Dikesempatan ini saya meminta maaf jika penulisan blog saya ini ada menyinggung perasaan dan membuat golongan orang pekak berasa marah. Niat saya hanya satu, untuk membantu kalian supaya kalian menjadi insan yang berjaya dan tidak dipandang rendah oleh orang lain. Sekian terima kasih. (^_^)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...