Memaparkan catatan dengan label Ruangan TEKAD. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ruangan TEKAD. Papar semua catatan

Ahad, 25 November 2012

TEKAD 3 : KEMAHIRAN EKSPRESI MUKA DAN BAHASA BADAN.




Sebagai seorang guru bermasalah pendengaran salah satu kemahiran yang perlu dikuasai ialah kemahiran ekspresi muka dan bahasa badan. Apa itu ekspresi muka?. Ekspresi muka ataupun air muka dikatakan sebagai satu bayangan kepada jiwa manusia. Jika ekspresi muka seseorang itu berubah, maka berubahlah emosinya. Ekspresi muka merupakan suatu komunikasi non-verbal. Melalui ekspresi kita dapat mengetahui perasan dan emosi seseorang.

Kepentingan ekspresi muka dalam pembelajaran dan pengajaran.

Di dalam pembelajaran dan pengajaran kepada murid bermasalah pendengaran, ekspreksi muka sangat penting digunakan.  Hal ini kerana, melalui ekspresi muka sesuatu pembelajaran dan pengajaran  dapat disampaikan dengan jelas walaupun tanpa berisyarat. Bagi murid bermasalah pendengaran pembelajaran dan pengajaran yang dilakukan oleh guru  tanpa ekspresi muka akan menyebabkan suasana di dalam kelas menjadi bosan.  Selain itu, ekspresi muka melambangkan emosi yang ingin ditonjolkan oleh guru. Misalnya, sekiranya guru berasa suka maka  guru akan menunjukkan wajah suka tetapi sekiranya guru marah maka guru akan  menunjukkan wajah yang marah.







Kepentingan bahasa badan dalam pembelajaran dan pengajaran.

Bahasa badan merupakan suatu bentuk ekspresi seseorang yang terpamer bukan daripada mulut tetapi adalah suatu bentuk komunikasi bukan suara. Dengan lebih tepat lagi, bahasa badan adalah kenyataan perilaku badan seseorang secara gesture bagi menterjemahkan suatu makna yang tersendiri dan banyak melibatkan pergerakan mata dan tangan. Kajian yang dilakukan oleh Albert Mehrabian mengatakan bahawa sebanyak 60% hingga 70% kamunikasi yang terpamer adalah hasil daripada bahasa badan.  Bahasa badan amat mempengaruhi kehidupan manusia dan merangkumi semua peringkat lapisan.

Sebagai guru pendidikan khas bermasalah pendengaran  bahasa badan boleh menjelaskan sesuatu aksi dengan menyatakan sesuatu makna atau petunjuk kepada muridnya. Bahasa badan boleh menterjermahkan sikap guru  sewaktu berkomunikasi samada guru  itu dalam mood yang bagus, agresif, memerlukan perhatian daripada murid,  bersedia, kebosanan, memahami arahan guru  dan sebagainya.








Mengapakah  murid bermasalah pendengaran bergantung kepada ekpresi muka dan bahasa badan?

Disebabkan masalah pendengaran yang dihadapi oleh mereka maka seorang guru pendidikan khas bermasalah pendengaran perlu megetahui bahawa mereka bergantung kepada visual semata-mata. Ada sesetengah guru tidak mahu menunjukkan ekspresi muka dan bahasa badan dalam mengajar. Hanya berisyarat semata-mata. Cara sebegitu akan menyebabkan murid bermasalah pendengaran tidak memahami perkara yang diajar oleh guru. Hal ini kerana, bukan kesemua murid bermasalah pendengaran mengetahui isyarat yang disampaikan oleh guru terutamanya murid tahap satu yang masih lagi lemah dalam pembendaharaan kata. Oleh itu, peranan seorang guru bermasalah pendengaran dalam menunjukkan ekspresi muka dan bahasa badan adalah sangat penting supaya pembelajaran dan pengajaran yang  ingin disampaikan tercapai.



Rasulullah turut menggunakan ekspresi muka dan bahasa badan dalam pendidikan.

Sebenarnya, di dalam Islam kaedah ini juga merupakan salah satu kaedah pendidikan yang telah digunakan oleh Rasulullah dalam menerangkan sesuatu hal dan memberi kefahaman terhadap sesuatu perkara yang cukup penting. Menurut Sheikh Abdul Fattah Abu Ghubbah (2011), Rasulullah sering menggunakan isyarat melalui anggota tubuh badan baginda sebagai sokongan atau penguat terhadap sesuatu perkara yang baginda ingin jelaskan. Kaedah tersebut dapat dilihat dalam hadis Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim (dengan lafaz hadis berasal dari Imam Al-Bukhari) meriwayatkan dari Abu Musa Al Asy`ari bahawasanya Rasulullah SAW bersabda :

“Perumpaan orang mukmim bagi mukmim yang lain adalah laksana sauatu bangunan yang bahagian-bahagaiannya saling mengukuhkan satu sama lain”. Kemudian, Baginda menganyam jari-jari kedua tangannya dan mengerakkan anggota badannya sebagai isyarat penjelasannya.

Kesimpulannya, ekspresi muka dan bahasa badan amat penting dalam menyampaikan pembelajaran dan pengajaran kepada murid bermasalah pendengaran. Pembelajaran dan pengajaran akan menjadi lebih bermakna dan menyeronokkan  sekiranya seseorang guru tahu untuk menggunakan anggota badannya dalam menyampaikannya  kepada murid-murid.


Kata meeze : bila mengajar murid bermasalah pendengaran dengan betul-betul menggunakan bahasa badan dan ekspresi muka memang agak berpeluh dan penat. Wahhh… sakit badan dibuatnya.. Mana taknya nak bagi mereka faham.. kadang-kadang tu, nak terangkan sesuatu tu bukan main susahnya walaupun dah buat bahasa badan dan ekspresi muka, sebab perlukan kreativiti yang sangat tinggi. 






Ahad, 18 November 2012

TEKAD 2 : PERSEDIAAN YANG PERLU ADA BAGI SEORANG GURU PENDIDIKAN KHAS BERMASALAH PENDENGARAN.



Kerjaya guru pendidikan khas bermasalah pendengaran salah satu kerjaya yang mencabar di dalam dunia pendidikan. Apabila mengajar murid bermasalah pendengaran seorang guru perlu sedar bahawa mereka menghadapi murid-murid yang kurang pendengaran, tidak boleh mendengar dan tidak boleh bertutur dengan baik. Oleh itu, masalah utama yang mereka hadapi adalah dari aspek masalah komunikasi. Disebabkan masalah ini menyebabkan pemerolehan bahasa mereka terhad dan perkara-perkara abstrak agak sukar untuk mereka tafsir.

Oleh itu, sebagai guru pendidikan khas masalah pendengaran mereka perlu mempersiapkan diri mereka dalam menghadapi murid sedemikian. Antara persediaan yang perlu dihadapi oleh mereka ialah :-

a)       Kemahiran dalam komunikasi seluruh.

Bagi pendapat saya, guru bermasalah pendengaran perlu menguasai kemahiran komunikasi seluruh. Kebanyakan guru bermasalah pendengaran agak kurang memahami apa itu komunikasi seluruh. Komunikasi seluruh merupakan suatu komunikasi yang menggunakan komponen-komponen seluruh fizikal  yang terdiri daripada Kod tangan, ejaan jari, gestur tangan, bacaan bibir, pertuturan, bahasa isyarat, bahasa badan,  penggunaan amplifikasi, bahan bantu mengajar, mimik muka, dan tulisan. Oleh itu, komunikasi seluruh ini menjadikan murid-murid bermasalah pendengaran lebih memahami sesuatu perkara yang diajar oleh guru. Maka, perkara ini sangat penting bagi seorang guru bagi menghadapi murid bermasalah pendengaran.


b) Daya kreativiti yang tinggi.

Mempunyai daya kreativiti yang tinggi perlu ada bagi seorang guru pendidikan khas bermasalah pendengaran. Hal ini kerana, seorang guru perlu mempunyai kreativiti dalam menyampaikan pengajaran kepada murid pekak. Kreativiti dalam penyediaan bahan bantu mengajar yang sesuai dan cara penyampaian yang menarik perlu dimiliki oleh seorang guru bermasalah pendengaran kerana murid sebegini mempunyai kesukaran dalam memahami pengajaran yang disampaikan terutamanya perkara yang berkaitan dengan abstrak. Mereka memerlukan alat-alat bantu mengajar yang bersesuaian serta teknik atau cara penyampaian guru yang betul.

c)     Kefahaman terhadap budaya pekak.

Budaya pekak merupakan suatu budaya yang diamalkan oleh komuniti pekak. Budaya ini merupakan suatu budaya yang unik dan adakalanya berbeza dengan budaya normal. Sebagai guru bermasalah pendengaran kefahaman mereka mengenai budaya pekak amat perlu supaya guru dapat mengetahui kehidupan dan cara hidup yang diamalkan oleh murid-muridnya. Hal ini supaya guru tidak akan berasa janggal dan menghadapi kesukaran dalam mendidik murid-murid bermasalah pendengaran. 

d)     Mempunyai pengetahuan terhadap ilmu kepekakan.

Bagi seorang guru pendidikan khas masalah pendengaran mereka perlulah mengetahui serba-sedikit ilmu kepekakan. Misalnya, pengetahuaan mengenai audiologi, pertuturan, perkembangan psikologi murid bermasalah pendengaran dan sebagainya. Hal ini supaya, dapat menjadikan guru bermasalah pendengaran seorang guru yang istimewa dan mengetahui tentang perkara yang berkaitan dengan masalah yang dihadapi oleh muridnya.

Oleh itu, seorang guru pendidikan khas bermasalah pendengaran perlu mempunyai persediaan yang rapi dalam mendidik murid-murid sebegini. Kebanyakan guru yang telah dipilih untuk mengajar murid bermasalah pendengaran tidak mengambil serius terhadap perkara-perkara ini. Mereka hanya melepas tangan dan mengambil perkara ini dengan sambil lewa. Kesannya, pembelajaran dan pengajaran yang disampaikan tidak dapat dicapai oleh murid-murid. 

Kesimpulannya, walau dimanapun kita ditempatkan, perkara yang penting kita perlu sedar dan mengambil tindakan yang sewajarnya supaya rezeki yang kita perolehi itu diberkati oleh Allah SWT. Tidak cepat melatah dan tidak cepat merungut malah menjadikan sesuatu dengan lebih positif agar pengalaman dan ilmu kita lebih meluas. Insyallah.. :)






Kata meeze : saya menurut perintah.. :) ikut je mana-mana pergi yang penting kita berusaha yang terbaik untuk murid kita... 


Ahad, 9 September 2012

TEKAD 1 : KEADAAN KELAS MURID BERMASALAH PENDENGARAN


Baiklah, sebagai permulaan dalam memulakan ruangan TEKAD ini, saya akan memperkenalkan bentuk kelas yang ideal atau sesuai kepada murid bermasalah pendengaran. Kelas murid bermasalah pendengaran tidak seperti kelas normal. Kuantiti murid di dalam kelas adalah sekurang-kurangnya 6 atau 5 orang murid tetapi kalau lebih mungkin kurang daripada 10 orang.

Keadaan persekitaran kelas murid bermasalah pendengaran perlulah dalam keadaan yang kondusif. Tidak terganggu dengan bunyi-bunyiaan atau kalis bunyi. Perkara ini supaya murid bermasalah pendengaran yang memakai alat bantu dengar tidak menghadapi tekanan atau terkeliru dengan bunyi yang didengar. Kelas yang ideal perlulah dipasang karpet supaya dapat menyerap bunyi serta dinding-dinding perlulah kalis bunyi. Penggunaan perabot perlulah menggunakan perbot kayu atau plastik. Elakkan menggunakan perabot  yang boleh menghasilkan bunyi yang kuat seperti perabot besi.  Tingkap dan pintu perlulah ditutup supaya dapat mengurangkan kemasukan bunyi. Dari sudut pencahayaan, kelas murid bermasalah pendengaran mestilah mempunyai keadaan cahaya yang cukup tidak terlalu terang dan tidak telalu gelap serta keadaan udara yang selesa.

Dari segi susun atur bilik darjah bagi murid bermasalah pendengaran ialah susun atur yang dinamakan U-shape. Susunan seumpama  ini merujuk kepada  susunan tempat duduk murid yang berbentuk menyerupai  huruf U (bentuk ladam) dan guru perlu mengajar murid sambil duduk (mengikut kesesuaian, misalnya murid tahap satu digalakkan duduk supaya mereka tidak sakit kepala untuk mendongak kepala melihat guru berisyarat).

Sesi pembelajaran kanak-kanak bermasalah pendengaran terbahagi kepada dua :-
a)  Sesi komunikasi seluruh – semasa sesi pengajaran diberi secara total oleh guru tanpa melibatkan sebarang aktiviti lain melainkan aspek murid menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap apa yang disampaikn oleh guru melalui penggunaan bahasa isyarat.

b)   Sesi sudut kerja – sebaik sahaja murid telah habis melalui komunikasi seluruh mereka akan berpindah ke meja-meja yang diletakkan di bahagian belakang bilik darjah bagi melakukan aktiviti penulisan mahupun tugasan lain.

Kesimpulannya, apa yang dinyatakan oleh saya  adalah kelas yang IDEAL, tetapi realitinya tidak semua sekolah bermasalah pendengaran mempunyai kelas sebegini.  Namun, apa yang saya nyatakan adalah sebagai pengetahuan anda semua mengenai kelas yang sewajarnya perlu diberikan kepada murid bermasalah pendengaran.







Kata meeze : Ada ke kelas bermasalah pendengaran di Malaysia macamni? Huhuhu.. 


Sabtu, 8 September 2012

Ruangan TEKAD (Teknik atau Kaedah Ajar Murid Bermasalah Pendengaran)


Assalamualaikum dan salam sejahtera semua..


Tiba-tiba rasa idea baru muncul dalam minda ini sebabnya kali ini saya ingin banyak menulis blog berkaitan teknik atau kaedah mengajar murid bermasalah pendengaran atau dikenali sebagai ruangan TEKAD. Kenapa dipanggil TEKAD? Sebab saya mengambil gabungan perkataan Teknik dan Kaedah Ajar murid bermasalah pendengaran.  Mungkin selepas ini banyak penulisan saya berkaitan tentang ini dan menjadikannya sebagai suatu ruangan dalam blog saya. Tujuan utama  saya mengadakan ruangan TEKAD. ini adalah untuk memberi pendedahan kepada masyarakat bahawa golongan bermasalah pendengaran mempunyai cara yang tersendiri dalam mengajar mereka. Hal ini kerana, kebanyakan guru atau ibu bapa masih kurang kemahiran dalam mengajar murid bermasalah pendengaran.

Saya berharap dengan adanya ruangan ini sedikit sebanyak dapat membantu guru-guru dan ibu bapa dalam mencari kaedah yang sesuai dalam mengajar murid bermasalah pendengaran. Selain itu, saya dapat berkongsi ilmu yang telah saya pelajari selama 5 tahun ini kepada masyarakat. Lagipun manalah tahu, tahun hadapan  mungkin saya tidak berposting di sekolah pekak jadi ilmu yang saya ada ini tidaklah terbuku sebegitu sahaja sekurang-kurang saya dapat kongsikan kepada semua walaupun saya tidak menjadi guru pendidikan khas masalah pendengaran.

Suatu perkara yang ingin saya maklumkan kepada semua, saya BUKANLAH guru yang pakar, pensyarah, golongan yang hebat dalam pendidikan khas dan sebagainya malah saya hanya insan biasa dan guru pelatih yang kurang ilmu malah masih muda dan bersikap kebudak-budakan. Namun, niat saya hanyalah satu untuk berkongsi ilmu sahaja. Kalau ada salah janganlah hentam saya atau mengomen yang bukan-bukan sebab saya pun masih  baru belajar. Harap anda semua memberi nasihat dan teguran yang baik. Apa yang saya tulis ini adalah berdasarkan perkara yang saya pelajari dan pengalaman saya sepanjang saya menjadi guru pelatih selama 5 tahun ini.

Semoga ruangan yang saya buat ini dapat membantu anda semua. Insyallah.



Kata meeze : kena beri penerangan terlebih dahulu sebelum nak tulis apa-apa, risau nanti orang tak faham..  J





LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...