Ahad, 9 September 2012

KAEDAH MUDAH MEMPELAJARI AL-QURAN UNTUK GOLONGAN BERMASALAH PENDENGARAN




Coretan meeze kali ini, ingin mendedahkan kepada masyarakat terutamanya golongan bermasalah pendengaran mengenai suatu kaedah yang mudah bagi golongan ini untuk  mempelajari Al-Quran.

Bagi makluman anda semua, di Universiti Malaya terdapat suatu Akademik Fakih Intelek yang memberi pendedahan kepada golongan OKU seperti golongan bermasalah pembelajaran dan golongan bermasalah pendengaran untuk mempelajari Al-Quran. Suatu perkara yang menarik dalam Akademik ini ialah murid-murid berkeperluan khas ini mampu membaca Al-Quran dengan baik. Malah mereka dapat menghafal surah-surah di dalam Al-Quran.

Selain itu, bagi golongan bermasalah pendengaran mereka turut mempunyai suatu kaedah yang sesuai yang dikenali sebagai kaedah Fakih. Mereka juga, turut menerbitkan sebuah buku kaedah Fakih bagi memberi pendedahan kepada masyarakat dan peluang kepada golongan bermasalah pendengaran mempelajari Al-Quran dengan mudah. Bagi makluman anda semua, penulis buku ini iaitu Ustazah Nor Aziah Mohd Daud yang merupakan guru mata pelajaran Pendidikan Islam kepada golongan bermasalah pendengaran  telah memenangi pertandingan Inovasi 2010 dengan memperkenalkan kaedah ini. Buku Kaedah Fakih ini mempunyai 7 bahagian buku yang dimulai dengan Fakih Quran asas, Fakih Quran 1, Fakih Quran 2, Fakih Quran 3, Fakih Quran 4, Fakih Quran 5, dan Fakih Quran 6. Dengan adanya buku ini diharapkan dapat membantu golongan bermasalah pendengaran atau golongan OKU yang lain supaya dapat mempelajari dan membaca Al-Quran serta mendapat barakahnya seperti golongan normal yang lain.



 

Akademik Fakih


 

 

Buku Kaedah Fakih


 






Antara tenaga pengajar dan murid bermasalah pendengaran yang terlibat dalam Akademik Fakih




Alhamdulillah, saya berasa bersyukur kerana Allah telah membuka hati-hati insan sebegini untuk memberi bantuan kepada golongan istimewa. Kini, peluang untuk mempelajari Pendidikan Islam kepada golongan OKU telah terbuka luas. Semoga usaha-usaha mereka ini dapat membantu golongan istimewa ini supaya lebih mendalami dan mempelajari agama Islam. Insyallah…



Kata meeze : teringat kepada Surah Abasa ayat 1-11 ..... maksud FAKIH ialah Faham Al-Quran Kehidupan Insyallah Hebat!. 




TEKAD 1 : KEADAAN KELAS MURID BERMASALAH PENDENGARAN


Baiklah, sebagai permulaan dalam memulakan ruangan TEKAD ini, saya akan memperkenalkan bentuk kelas yang ideal atau sesuai kepada murid bermasalah pendengaran. Kelas murid bermasalah pendengaran tidak seperti kelas normal. Kuantiti murid di dalam kelas adalah sekurang-kurangnya 6 atau 5 orang murid tetapi kalau lebih mungkin kurang daripada 10 orang.

Keadaan persekitaran kelas murid bermasalah pendengaran perlulah dalam keadaan yang kondusif. Tidak terganggu dengan bunyi-bunyiaan atau kalis bunyi. Perkara ini supaya murid bermasalah pendengaran yang memakai alat bantu dengar tidak menghadapi tekanan atau terkeliru dengan bunyi yang didengar. Kelas yang ideal perlulah dipasang karpet supaya dapat menyerap bunyi serta dinding-dinding perlulah kalis bunyi. Penggunaan perabot perlulah menggunakan perbot kayu atau plastik. Elakkan menggunakan perabot  yang boleh menghasilkan bunyi yang kuat seperti perabot besi.  Tingkap dan pintu perlulah ditutup supaya dapat mengurangkan kemasukan bunyi. Dari sudut pencahayaan, kelas murid bermasalah pendengaran mestilah mempunyai keadaan cahaya yang cukup tidak terlalu terang dan tidak telalu gelap serta keadaan udara yang selesa.

Dari segi susun atur bilik darjah bagi murid bermasalah pendengaran ialah susun atur yang dinamakan U-shape. Susunan seumpama  ini merujuk kepada  susunan tempat duduk murid yang berbentuk menyerupai  huruf U (bentuk ladam) dan guru perlu mengajar murid sambil duduk (mengikut kesesuaian, misalnya murid tahap satu digalakkan duduk supaya mereka tidak sakit kepala untuk mendongak kepala melihat guru berisyarat).

Sesi pembelajaran kanak-kanak bermasalah pendengaran terbahagi kepada dua :-
a)  Sesi komunikasi seluruh – semasa sesi pengajaran diberi secara total oleh guru tanpa melibatkan sebarang aktiviti lain melainkan aspek murid menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap apa yang disampaikn oleh guru melalui penggunaan bahasa isyarat.

b)   Sesi sudut kerja – sebaik sahaja murid telah habis melalui komunikasi seluruh mereka akan berpindah ke meja-meja yang diletakkan di bahagian belakang bilik darjah bagi melakukan aktiviti penulisan mahupun tugasan lain.

Kesimpulannya, apa yang dinyatakan oleh saya  adalah kelas yang IDEAL, tetapi realitinya tidak semua sekolah bermasalah pendengaran mempunyai kelas sebegini.  Namun, apa yang saya nyatakan adalah sebagai pengetahuan anda semua mengenai kelas yang sewajarnya perlu diberikan kepada murid bermasalah pendengaran.







Kata meeze : Ada ke kelas bermasalah pendengaran di Malaysia macamni? Huhuhu.. 


Sabtu, 8 September 2012

Ruangan TEKAD (Teknik atau Kaedah Ajar Murid Bermasalah Pendengaran)


Assalamualaikum dan salam sejahtera semua..


Tiba-tiba rasa idea baru muncul dalam minda ini sebabnya kali ini saya ingin banyak menulis blog berkaitan teknik atau kaedah mengajar murid bermasalah pendengaran atau dikenali sebagai ruangan TEKAD. Kenapa dipanggil TEKAD? Sebab saya mengambil gabungan perkataan Teknik dan Kaedah Ajar murid bermasalah pendengaran.  Mungkin selepas ini banyak penulisan saya berkaitan tentang ini dan menjadikannya sebagai suatu ruangan dalam blog saya. Tujuan utama  saya mengadakan ruangan TEKAD. ini adalah untuk memberi pendedahan kepada masyarakat bahawa golongan bermasalah pendengaran mempunyai cara yang tersendiri dalam mengajar mereka. Hal ini kerana, kebanyakan guru atau ibu bapa masih kurang kemahiran dalam mengajar murid bermasalah pendengaran.

Saya berharap dengan adanya ruangan ini sedikit sebanyak dapat membantu guru-guru dan ibu bapa dalam mencari kaedah yang sesuai dalam mengajar murid bermasalah pendengaran. Selain itu, saya dapat berkongsi ilmu yang telah saya pelajari selama 5 tahun ini kepada masyarakat. Lagipun manalah tahu, tahun hadapan  mungkin saya tidak berposting di sekolah pekak jadi ilmu yang saya ada ini tidaklah terbuku sebegitu sahaja sekurang-kurang saya dapat kongsikan kepada semua walaupun saya tidak menjadi guru pendidikan khas masalah pendengaran.

Suatu perkara yang ingin saya maklumkan kepada semua, saya BUKANLAH guru yang pakar, pensyarah, golongan yang hebat dalam pendidikan khas dan sebagainya malah saya hanya insan biasa dan guru pelatih yang kurang ilmu malah masih muda dan bersikap kebudak-budakan. Namun, niat saya hanyalah satu untuk berkongsi ilmu sahaja. Kalau ada salah janganlah hentam saya atau mengomen yang bukan-bukan sebab saya pun masih  baru belajar. Harap anda semua memberi nasihat dan teguran yang baik. Apa yang saya tulis ini adalah berdasarkan perkara yang saya pelajari dan pengalaman saya sepanjang saya menjadi guru pelatih selama 5 tahun ini.

Semoga ruangan yang saya buat ini dapat membantu anda semua. Insyallah.



Kata meeze : kena beri penerangan terlebih dahulu sebelum nak tulis apa-apa, risau nanti orang tak faham..  J





Khamis, 6 September 2012

KENYATAAN AKHBAR YANG TIDAK BENAR


      Baru-baru ini saya telah terbaca suatu artikel  di akhbar Metro pada 4 September 2012 yang menyatakan tentang kelapukan penggunaan bahasa isyarat. Terkejut dan terfikir sejenak, kenapa guru besar Pn. Roslina berani mengeluarkan kenyataan tersebut?  Sedangkan bagi saya guru besar di sekolah pertuturan kiu kampung pandan tidak bersikap sebegitu rupa. Teringat saya dengan kata-kata beliau semasa saya belajar dengan beliau mengenai pertuturan kiu 2 tahun lepas  yang menyatakan bahawa, bukan kesemua murid bermasalah pendengaran boleh mempelajari pertuturan kiu. Hanya murid bermasalah pendengaran yang mempunyai baki sisa pendengaran sahaja yang boleh mempelajarinya. Perkara ini menyebabkan saya berasa terkejut dan sangsi dengan  artikel tersebut. Kemudian, hati saya terdetik untuk mengambil keputusan menelefon guru di sekolah tersebut iaitu Pn Aini, untuk beliau menerangkan keadaan yang sebenarnya.

        Semasa saya menelefon  Pn Aini, beliau mengatakan bahawa kenyataan yang dinyatakan dalam akhbar itu adalah rekaan dan fitnah semata-mata daripada wartawan yang menulis artikel tersebut. Sebenarnya, guru besar sekolah tersebut TIDAK PERNAH MENYATAKAN BAHAWA BAHASA ISYARAT MERUPAKAN KAEDAH YANG LAPUK. Perkara ini adalah rekaan semata-mata daripada wartawan tersebut untuk menyedapkan artikel yang ditulis oleh beliau. Alangkah terkejutnya warga sekolah tersebut  kerana pada mulanya mereka hanya  ingin mempromosikan kaedah pertuturan kiu sahaja kepada orang ramai. Sekolah tersebut TIDAK MEMPUNYAI NIAT LANGSUNG UNTUK MEMPERKECIL-KECILKAN BAHASA ISYARAT. Malah mereka juga turut MENYOKONG PENGGUNAAN BAHASA ISYARAT. Buktinya, mereka tetap menggalakkan anak-anak murid mereka mempelajari bahasa isyarat kerana bahasa isyarat merupakan bahasa orang pekak.

         Alangkah sedihnya saya lihat, disebabkan sikap  wartawan tersebut  yang suka hati menulis artikel secara tidak professional menyebabkan sekolah tersebut pada mulanya hanya untuk mempromosikan kaedah ini menjadi suatu berita hangat dan tanggapan yang negatif dalam kalangan komuniti pekak.

      Oleh itu, satu pesanan saya kepada komuniti pekak jangan cepat melenting  apabila datang suatu isu baru yang mencemarkan komuniti pekak. Siasat dan berfikir terlebih dahulu sebelum bertindak. Kasihan saya melihat masalah yang dihadapi oleh warga sekolah pertuturan kiu, disebabkan penulisan wartawan itu pada mulanya mereka berasa bangga dengan penulisannya yang menceritakan kejayaan sekolah tersebut. Namun, apabila muncul artikel berkenaan, kini mereka berasa bimbang kerana wartawan tersebut mereka-reka cerita yang bukan-bukan sehingga memburuk-burukkan sekolah pertuturan kiu dan menimbulkan kemarahan kepada komuniti pekak.

       Bagi makluman pembaca blog ini, sekolah pertuturan kiu sedang berusaha untuk menghubungi wartawan tersebut tetapi sehingga kini dia masih tidak dapat dihubungi. Sekolah ini  juga, berasa sangat risau dengan kenyataan tersebut dan berharap semoga pihak akhbar Metro memperbaiki kesilapan yang dilakukan supaya nama baik guru besar dan sekolah pertuturan kiu kampung pandan dapat dibersihkan.


Kata meeze : hmmm… media massa pada masa sekarang tak boleh nak percaya ! Suka buat-buat cerita dan melaga-lagakan manusia. Dunia akhir zaman… J


DIHARAPKAN KOMUNITI PEKAK JANGAN CEPAT PERCAYA DAN CEPAT MELENTING.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...