Khamis, 23 Ogos 2012

GUNALAH BAHASA YANG YANG INDAH DALAM BERTUTUR

Nabi Muhammad SAW pernah berpesan : 

“Tidak sempurna iman orang yang suka mengecam, orang yang suka melaknat, orang yang suka bercakap kotor dan orang yang suka mencarut” 
(Riwayat Ahmad)


      Kadang-kadang saya cuba merenung balik terhadap diri saya ini, selalu berkata yang bukan-bukan, mengumpat disana-sini, mencarut, bercakap kotor dan sebagainya. Kalau difikirkan banyaknnya dosa saya disebabkan oleh mulut saya sendiri. Astafirullahalazim… Mana tidaknya sepanjang umur 23 tahun ini memang saya tidak akan terlepas dengan perkara-perkara ini. Apabila saya mengelak pasti sekali sekala akan kecundang. Jadi itulah menunjukkan sesungguhnya saya manusia yang sebenarnya bukan sempurna.


Berbalik dengan mengunakan bahasa yang indah dalam bertutur, seharusnya sikap ini  perlu disemai dan dididik dalam diri kita. Kadang-kadang apa yang kita pertuturkan tidak sama dengan apa yang orang tafsirkan. Walaupun itu dianggap sebagai gurauan tetapi bagi orang lain mungkin itu dianggap serius. Manusia tidak sama, rambut sama hitam tetapi hati berbeza-beza. Jadi, kita perlu ada sikap memahami antara satu sama lain. Sebagai contoh, terhadap diri saya sendirilah (tak perlu contoh orang lain) disebabkan pengaruh keluarga saya yang berasal daripada negeri Melaka, jadi kadang-kadang bahasa kasar terlepas juga. Jika saya menggunakan dialek  ini apabila bercakap dengan orang Melaka, mungkin mereka tidak terasa tetapi cuba saya bercakap dengan orang negeri Kelantan, Terengganu dan sebagainya pasti mereka akan terkejut dan mungkin terguris hati. Oleh itu, saya perlu mempunyai kemahiran dan bijak dalam berbahasa.


Nabi Muhammad SAW menggunakan bahasa yang menarik dan indah di dalam bertutur. Kata-kata Rasulullah mampu menarik perhatian orang untuk mendengarnya. Ia jelas apabila Rasulullah menggunakan bahasa Al-Quran dalam menyampaikan dakwah. Melalui penggunaan bahasa yang indah ini ia mampu menarik oang ramai kepada Islam. Melalui penggunaan bahasa  yang baik  dan bahasa Al-Quran, Rasulullah mampu menpengaruhi hati setiap manusia. Oleh itu, jadikanlah Rasulullah sebagai role model kita untuk bijak dalam berbahasa. Saya setuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa bahasa mencerminkan diri atau bahasa mencerminkan bangsa. Hal ini kerana, sekiranya kita menggunakan bahasa yang baik sekaligus akan menjadikan hati kita lebih tenang kerana bertutur dengan sopan dan seterusnya membentuk akhlak dan kepribadian yang mulia.


Apa yang kita tuturkan merupakan suatu doa. Misalnya, apabila seorang guru memanggil anak muridnya dengan nama yang tidak elok maka ia menjadi suatu doa guru terhadap anak muridnya.Walaupun itu merupakan suatu gurauan semata-mata tetapi boleh menjadi serius dan doa sekiranya selalu diperkatakan. Panggillah sesorang itu dengan panggilan yang terbaik untuk dirinya. Seelok-eloknya memanggil gelaran nama yang boleh memberi kebaikan kepada dirinya. Sepertimana zaman Rasulullah memanggil nama sahabatnya dengan nama yang betul dan gelaran yang membawa ke arah kebaikan seperti Abu Bakar Al-Siddiq kerana sifatnya  yang benar. Tidak salah sekiranya kita memanggil seseorang itu dengan panggilan nama yang terbaik atau nama yang manja. Ada sesetengah manusia yang selalu berfikiran negatif pasti akan selalu beranggapan panggilan itu adalah skema, poyo, geli  dan sebagainya tetapi harus kita fikirkan manusia sememangnya tidak suka terhadap perkara-perkara yang membawa ke arah kebaikan.


  Gunakanlah nada bahasa yang sopan dalam bertutur. Kebijaksanaaan kita dalam mengawal nada suara adalah sangat penting. Janganlah selalu mengamalkan sikap menengkeng, menjerit, atau meninggikan suara apabila bertutur. Bertuturlah dengan nada yang sopan an berhikmah. Nada yang tinggi pun penting sebenarnya apabila ingin mewujudkan penegasan tetapi penegasan itu haruslah secara berhikmah  dan mengikut kesesuaian. Sikap suka mengutuk seharusnya dielakkan dalam diri kita. Banyakkan memandang postif terhadap diri seseorang. Walaupun dia ada melakukan kesalahan terhadap kita tetapi ingatlah kebaikan yang pernah dia lakukan terhadap kita. Memberi penghargaan,  selalu memberi pujian dan berilah kata-kata perangsang kerana fitrah manusia suka dengan perkara ini. Jangan menjadi insan yang kedekut untuk memberi penghargaan, pujiaan dan kata-kata perangsang kepada orang lain. Ingatlah sekiranya kita memberi penghargaan,  kegembiraan dan kebanggaan kepada orang lain suatu hari nanti pasti ada orang akan memberi penghargaan, kegembiraan dan kebanggan kepada kita.


     Suatu perkara yang mesti kita ingat tidak semestinya hanya kita bertutur sahaja yang perlu dijaga tetapi apa yang kita tulis perlu juga diambil perhatian. Saya sering membuat kesilapan dalam menulis, kadang-kadang apabila saya menulis saya tidak berfikir. Mengikut hati dan perasaan semata-mata. Saya akui atas kesilapan yang saya lakukan dan ini menjadi kesalan dan tauladan terhadap diri saya sendiri. Oleh itu, saya ingin menasihatkan  kepada diri saya dan  sahabat-sahabat yang membaca blog ini berjaga-jagalah dalam menulis sama ada dalam blog, facebook dan sebagainya. Berfikirlah dua atau tiga kali sebelum mengeluarkan bahan penulisan kita. Memang setiap individu mempunyai hak untuk menulis tetapi kadang-kadang penulisan yang kita lakukan boleh menimbulkan kemarahan, kesedihan, pergaduhan, sangkaan buruk, kesombongan dan riak dalam diri kita.


         Kesimpulannya, gunakanlah bahasa yang baik, sopan dan berhikmah dalam kehidupan kita. Memang kita tidak boleh mengubah 100% tetapi kita perlu berusaha untuk memperbaikinya, kerana kita bukannya sempurna.  Jadikanlah perkara ini suatu amalan supaya akhir nanti ia menjadi suatu tabiat dalam diri kita dan seterusnya menjadi kita insan yang berperkerti mulia.


Kata meeze : bercakap yang bukan-bukan pasti akan mengundang kemudaratan, bercakap yang betul-betul pasti mengundang kebaikan.... :)




Jumaat, 17 Ogos 2012

MENGEJAR CITA-CITA



Setiap insan yang lahir ke dunia ini pasti mempunyai cita-cita yang tersendiri. Sifat manusia yang mempunyai keinginan menyebabkan manusia mencapai cita-cita. Pelbagai cara dan usaha yang dilakukan oleh manusia dalam mengejar cita-cita yang di idam-idamkan.

Sebenarnya, kalau kita perhatikan sejak dari kecil lagi kita ditanam untuk mempunyai cita-cita. Ingat dahulu Cikgu Tadika bertanya kepada  saya “Meeze bila dah besar nak jadi apa? “ Saya menjawab “saya nak jadi……… (rahsia) “  Kalau saya merenung balik dahulu, cita-cita saya banyak sebenarnya, tetapi akhirnya jadilah saya sebegini hehehehe.. (termasuklah dalam cita-cita sayalah juga tu..) .

Cita-cita bukan hanya sekadar kerjaya sahaja. Sebenarnya, cita-cita merupakan aspek yang cukup luas. Ada orang bercita-cita untuk berkahwin, mempunyai anak, mempunyai sebuah rumah, dan sebagainya. Kesemuanya akan diusahakan mungkin dengan cara yang positif ataupun cara yang negatif.

Walaupun kita mempunyai pelbagai cita-cita, tetapi kita perlu menanamkan diri kita untuk mempunyai cita-cita untuk mencapai kejayaan di akhirat. Ini kerana kejayaan di akhirat itu adalah sebenarnya kejayaan  yang kekal abadi.

Janganlah menjadi Mat Jenin yang mempunyai angan-angan atau cita-cita tetapi tidak berusaha untuk melakukannya. Usahalah dengan bersungguh-sungguh dan usaha itu perlulah disandarkan dengan agama supaya apa yang kita idamkan diberkati oleh Allah SWT.





Kata meeze : Orang yang hebat, adalah orang yang mempunyai cita-cita yang tinggi.  Usaha dan tawakal adalah merupakan kunci dalam mencapai kejayaan. 






Sabtu, 11 Ogos 2012

ADA APA DENGAN KECEMERLANGAN.


Haikkk!! Banyaknya cabaran yang ditempuh oleh saya pada bulan puasa ini. Dengan pelbagai program dalam dan luar, kajian tindakan yang masih tak siap-siap lagi, melayan kerenah adik-adik di kolej kediaman ini, dan sebagainya memang tak mengguh tangan dibuatnya.

Bila orang kata : Meeze awat  muka kau hepy je bulan puasa ni?, saya hanya berdiam diri sahaja, sebenarnya dalam hati Allah sahaja tahu. Tetapi tak mengapa bagi saya itu semua adalah ujian Allah. Jadi saya kena redha menerimanya.
Soal keberkatan dalam hidup, kadang-kadang adakah kita sebagai manusia perlu menjadi hamba kepada kerja. Saban hari kita diberikan dengan pelbagai tugasan dan kerja sehinggakan kita lupa tanggungjawab kita kepada yang Maha Esa. Saya sering melihat, manusia memandang  kecemerlangan itu daripada keputusan peperiksaan semata-mata  tetapi tentang soal kecemerlangan kita kepada Tuhan? Berapa banyakkah usaha kita.

Ramai manusia kini hanya memikirkan kecemerlangan di dunia sahaja, mereka melakukan apa sahaja untuk mencapai kecemerlangan tersebut . Adakah kita sedar, apabila kita sering memikirkan dunia,  kita semakin jauh kepada Allah. Namun, jika kita pula selalu beribadah tanpa memikirkan dunia   pun tidak elok juga.. JADI hiduplah dengan bersederhana dan seimbang.

Teringat kepada kata-kata Ustazah Zahiyah : sekiranya kita memberikan masa untuk agama, melakukan kebaikan dan kebajikan kepada orang lain, Insyallah hidup akan sentiasa diberkati dan Allah sentiasa membuka jalan dan peluang kepada kita untuk berjaya.

Semoga bulan Ramadhan ini memberi peluang kepada kita semua untuk lebih mendekatkan diri kita kepada Allah. Walaupun kita banyak bekerja tetapi harus ingat kerja yang kita perolehi itu takkan berhenti hingga ke akhir hayat kita, tetapi kitalah sebenarnya yang harus bijak menguruskannya.


Kata meeze : :-)


Khamis, 2 Ogos 2012

SUATU HARI ADA SINARNYA,...


Sepanjang  saya menjadi seorang guru pelatih, banyak benda yang telah saya pelajari. Memang cita-cita saya untuk menjadi seorang guru sejak dari kecil lagi. Semasa di sekolah saya memandang guru itu seperti seorang yang baik, tidak mempunyai kesalahan apa-apa dan sebagainya. Namun, setelah saya menceburi bidang ini dan merasai pengalaman di sekolah-sekolah banyak benda yang saya tahu disebalik kerjaya seorang guru ini. Memang benar kerjaya seorang guru ini merupakan kerjaya yang mulia dan sangat di galakkan di dalam Islam serta boleh mempertingkatkan lagi amalan hidup kita. Itu adalah positifnya, tetapi negatifnya… sukar hendak diperkatakan. Pokok pangkalnya bergantung pada diri kita untuk memilih haluan yang baik ataupun yang tidak baik.

Terus-terang saya mengatakan bahawa saya  berasa sayu apabila meninggalkan 3 buah sekolah yang telah saya berpraktikum. Pelbagai pengalaman suka dan duka yang saya rasa. Kesemuanya itu memberi pengajaran kepada saya untuk lebih sedar. Seperti yang dikatakan oleh insan yang saya anggap seperti abang, jangan mempercayai pada orang percayailah pada diri sendiri.

Apa yang dikatakan oleh abang saya itu memang betul,  lagipun dia sudah berpengalaman dalam bidang perguruan. Agaknya itulah cabaran apabila menjadi seorang guru. Lagipun saya masih mentah lagi dalam bab-bab untuk memperkatakan tentang dunia perguruan. Namun, secara hakikatnya memang itulah yang saya kena hadapi apabila menjadi guru kelak.

Walaubagaimanapun saya berharap semoga apa-apa yang terjadi menjadi iktibar kepada saya. Alhamdulillah, bulan Ramadhan ini sebenarnya mengajar saya untuk lebih merenung dan berfikir sedalam-dalamnya. Cuma harapan saya semoga guru-guru harus lebih professional dalam kerjayanya, janganlah disebabkan masalah yang berlaku menyebabkan kita tidak menjadi professional.

Apa-apapun saya teringat di dalam suatu buku yang pernah saya baca :-
Sebaik-baik manusia itu ialah bukan yang tidak pernah merlakukan dosa, tapi segera bertaubat sebaik merlakukan kesilapan.
Fitrah manusia yang tidak pernah sunyi daripada berbuat salah dan silap. Justeru, harus cepat bertaubat untuk memperbaiki diri supaya tidak banyak karat dosa yang belum disucikan.
Tidak beriman sesorang itu, sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi saudaranya sendiri
Cepat bertaubat, memaafkan dan meminta maaf akan menyebabkan hati dan fikiran kita bersih. Baru mudah mengundang rahmat dan kasih sayang Allah.

Mana yang baik jadikan tauladan dan yang buruk jadikan sempadan…. J

Buat insan yang ku anggap dirinya abang : Sekiranya kita mengasihi antara satu sama lain, sudah pasti kita mahu orang yang kita sayang mendapat dan memperoleh kebaikan yang kita ingini dan dijauhkannya daripada segala musibah dan kemungkaran. Adik berharap abang sentiasa bersabar dengan ujian yang menimpa, maafkanlah saya sekiranya saya merlakukan kesilapan.. Saya berharap semoga selepas ini hubungan kita akan lebih erat dan  terus lebih memahami antara satu sama lain. Terima kasih atas nasihat yang selalu  diberikan oleh abang. Akan ku ingati selalu.. J  




Jumaat, 15 Jun 2012

PERSATUAN KEBAJIKAN SAHABAT INSANI MALAYSIA





Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Kali ini ruangan coretan meeze ingin mempromosikan sebuah persatuan yang dikenali sebagai Perrsatuan Kebajikan Sahabat Insani Malaysia. Bagi maklumat anda semua persatuan ini merupakan persatuan berdaftar dengan pendaftar pertubuhan (No pendaftaran 5526-NSE) ditubuhkan dengan matlamat asas untuk menyuburkan pendidikan islam, kebajikan dan dakwah dalam kalangan golongan berkeperluan khas (masalah pendengaran, masalah penglihatan dan masalah pembelajaran)

Sahabat insani adalah istilah yang dibawa oleh persatuan terhadap golongan-golongan di atas sebagai lambang kasih sayang dan keprihatinan yang tinggi perlu diberikan khusunya dalam bidang pengajian islam.

Visi penubuhan
Visi penubuhan  persatuan ini ialah “Memperkasa Pendidikan Islam dan memperluaskan kebajikan terhadap warga sahabat insani”.

Objektif penubuhan
i. Menjaga kebajikan orang kurang upaya, saudara baru, warga emas, anak-anak yatim, fakir miskin dan masyarakat setempat khasnya dan Malaysia amnya tetapi khusus untuk yang beragama Islam sahaja.

ii. Menjalankan aktiviti amal dan kebajikan terhadap semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan keturunan tetapi khusus untuk yang beragama Islam sahaja

iii. Menyuburkan pendidikan agama, kebajikan dan dakwah dalam kalangan orang kurang upaya, saudara baru, warga emas, anak-anak yatim, fakir miskin dan masyarakat setempat khasnya dan Malaysia amnya tetapi khusus untuk yang beragama Islam sahaja

iv. Menerapkan Islam sebagai aqidah dan syariah, menjadikannya sebagai panduan kehidupan serta memperkenalkan nilai-nilai keislaman dalam usaha menegakkan kehidupan berkualiti di segenap bidang termasuk kebajikan, pelajaran, pendidikan, ekonomi dan sosial

v. Mengumpulkan dana bagi membantu kebajikan golongan tersebut di atas


Untuk maklumat anda semua persatuan ini dalam usaha untuk menubuhkan Pusat Pendidikan Sahabat Insani.



Penubuhan pusat
Tujuan, penubuhan pusat ini adalah untuk melahirkan pelatih-pelatih yang memiliki kemahiran ilmu, kemahiran insaniah dalam diri dan seterusnya mampu beperanan sebagai agamawan dan pendakwah pada masa akan datang terutamanya dalam kalangan OKU.

Konsep bangunan dan kos
Bangunan 4 tingkat berbentuk U. Blok bangunan tersebut mempunyai 1 dewan besar, 3 dewan kuliah, 30 bilik kuliah, 1 pejabat pentadbiran, 1 surau, 1 pusat sumber, 1 bilik sukan, 1 bilik rawatan, 1 bilik percetakan, 2 unit stor, 1 kafeteria, 24 unit penginapan, 10 unit komersil, dan tandas. Anggaran kos pembinaan bangunan keseluruhan adalah RM 7 juta.

Lokasi dan harga tanah
Tapak pusat pendidikan shabat insani terletak di Lot No 11995, Jijan, Mukim Labu Seremban, Negeri Sembilan. Tanah sebagai tapak  pembinaan telah dipersetujui bersama tuan tanah dengan harga RM 270000.00

Persatuan ini bergerak tanpa mendapat bantuan dana daripada mana-mana agensi dan amat berharap kepada sumbangan daripada dermawan bagi mebiayai dan merialisasikan hasrat murni ini. Segala sumbangan boleh disalurkan melalui akaun bank Tabung pembangunan Pusat Pendidikan Sahabat Insani 12300000574100 CIMB Islamik Bank Cawangan Bandar Baru Salak Tinggi.

Persatuan sedang menunggu kelulusan LHDN untuk pelepasan cukai ke atas sumbangan yang diberikan. Apa yang lebih penting dan utama akan dikira berterusan disisi Allah SWT.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai persatuan ini, anda semua bolehlah mengunjungi blog persatuan ini http://pusatpendidikansahabatinsani.blogspot.com

Sekiranya anda ingin menghulurkan bantuan anda juga  boleh menghubungi saya dengan email kepada saya apakhabar_meeze@yahoo.com details bank transfer  sekiranya anda membuat sumbangan melalui pindahan wang dengan menyatakan tarikh, masa dan jumlah sumbangan untuk rekod kami.

Sila maklumkan saya sekiranya anda semua ingin memerlukan resit untuk tujuan perlepasan cukai LHDN.

anda semua boleh lihat pada broshur ini :- 




Apa-apa pun terima kasih, semoga dengan pertolongan anda semua dapat membantu golongan istimewa ini mendapat pendidikan dan seterusnya membentuk mereka ke jalan yang benar iaitu jalan yang diredhai oleh Allah SWT. Insyallah.. J

“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi, maka sesungguhnya Alla mengetahuinya pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah maha luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi pengetahuanNya. (Al-Baqarah (2) :261)






Kata meeze : lakukanlah amal kebajikan di dunia ini supaya mendapat manfaatnya di akhirat kelak.. ;)


Khamis, 14 Jun 2012

BODOHNYA MANUSIA TIDAK SABAR DENGAN MASALAH


Alangkah bodoh dan zalimnya manusia, dia tidak sabar menghadapi sukarnya mencari penghidupan, akhirnya dia terjerumus dengan perbuatan yang merugikan orang ramai, mencuri dan menipu di mana-mana.

Alangkah bodoh dan zalimnya manusia, dia tidak sabar menghadapi krisis yang melanda, akhirnya dia melakukan perbuatan yang membuat negara tercoreng dan terhina di hadapan dunia antabangsa.

Alangkah bodoh dan zalimnya manusia, dia tidak sabar menghadapi mahalnya harga makanan akhirnya dia berhutang sana  berhutang sini, tidak mahu berjimat.

Alangkah bodoh dan zalimnya manusia, dia tidak sabar menghadapi cubaan hidup yang menimpa, akhirnya mati bunuh diri.

Alangkah bodoh dan zalimnya manusia, dia tidak sabar menghadapi kritikan orang hingga marah-marah di depan orang ramai, hancur harga diri dan rosak kehormatan.


(Dipetik dari buku Jangan berputus asa karya Hamdan Lutfi)








Kata meeze : Oleh itu bersabarlah dengan apa jua yang berlaku :-)




KEKURANGAN DALAM DIRI BUKAN SESUATU MASALAH. (Terimalah diri anda seadanya)


    Kekurangan yang ada pada diri bukanlah suatu masalah yang perlu kita takuti. Kebanyakan manusia melihat kekurangan dalam diri sebagai suatu masalah yang besar. Kadang-kadang manusia cepat berputus asa dengan kekurangan yang ada pada diri. Mengapakah kita perlu merasakan kekurangan yang ada pada diri kita sebagai sesuatu masalah? Sedangkan setiap manusia Allah jadikan ada kelebihan dan kekurangannya sendiri.

    Janganlah menjadi insan yang selalu memandang rendah terhadap diri sendiri. Sebenarnya kekurangan yang ada pada diri kita itu merupakan suatu cara untuk kita lebih berjaya. Ramai insan-insan yang berjaya melihat kekurangan yang ada pada diri sebagai pembakar semangat untuk berjaya.  Misalnya, kita lihat Senator OKU yang pertama iaitu Allahyarham Prof Datuk Dr. Ismail Md Salleh. Beliau merupakan insan yang mempunyai masalah penglihatan. Kedua matanya buta. Walaupun beliau buta tetapi beliau mampu menjawat jawatan sebagai Senator. Selain itu, beliau pernah tersenarai di antara 7 Great Malaysian Career Archievers. Beliau juga dianugerahkan anugerah Doktor Kesusateraan oleh Kesatuan Eropah kerana sumbagannya di peringkat antarabangsa dan merupakan Naib  Chancellor Kolej Universiti Teknologi Twintech. Lihatlah beliau tidak menjadikan kekurangan dalam diri sebagai suatu masalah tetapi menjadikannya sebagai suatu kekuatan dalam diri untuk lebih berjaya sehinggakan beliau dapat menamatkan pengajiannya  ke peringkat PhD di Amerika Syarikat.

   Jika anda melihat kekurangan dalam diri itu merupakan suatu beban kepada anda. Anda silap. Jangan ditangisi kekurangan itu. Malah jadikan kekurangan itu sebagai satu cara untuk lebih berjaya. Allah menciptakan manusia itu terlalu unik. Setiap manusia yang Allah jadikan adalah berbeza-beza dan tidak sama. Pasti setiap diri kita mempunyai kelebihan kerana setiap kejadian Allah sangat sempurna. Jika kita perhatikan nikmat ciptaan Allah tidak mampu untuk dihitung.  Allah SWT berfirman dalam Surah Ibrahim ayat 34 bermaksud :

…. dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya…

   Ketahuilah bahawa dalam diri kita mempunyai kelebihan. Anda berhak  untuk merasai kehidupan yang lebih baik. Janganlah mencari nilaian daripada manusia kerana boleh mendatangkan kekecewaan kepada diri kita sebaliknya carilah nilaian daripada Allah. Anggaplah kekurangan yang ada pada diri kita sebagai suatu ujian daripada Allah SWT kepada kita. Cubalah kenali insan-insan yang berjaya. Jika kita lihat kebanyakan mereka berjaya bermula dengan kekurangan yang hadir dalam hidup mereka. Mereka mampu mengubah sesuatu yang dianggap mustahil untuk dilakukan.

   Tumpukan pada kelebihan yang ada pada diri anda. Kuatkan semangat anda untuk memberi tumpuan dan berusaha untuk menghadapi kelemahan dalam diri anda. Namun, sekiranya anda merasakan kelemahan itu sesuatu yang sukar, tumpukan kelebihan dalam diri anda pada ke arah kebaikan. Apa yang penting jika niat dan usaha anda ikhlas kerana Allah, pasti anda akan memperolehi kejayaan. 

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.. (Al-Baqarah ayat 286)










Kata meeze 1: Khas buat sahabat-sahabatku yang istimewa.. jika anda pekak, buta dsb jangan menjadikan itu sebagai suatu masalah buat anda, sebaliknya jadikannya sebagai suatu kekuatan dan pembakar semangat anda untuk berjaya.. :-)  


Kata meeze 2 : Bangga dengan kamu semua ! :-) teruskan perjuangan dalam hidup ya. Semoga Tuhan sentiasa merahmati kamu semua.



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...