Ahad, 6 Januari 2013

KEKURANGAN DIRI BUKAN SUATU PENGHALANG TETAPI SUATU PENDORONG


Apabila terdapat murid-murid pekak bertanya kepada saya, “Cikgu kenapa saya pekak?” dan adakalanya murid kesayangan saya mempostkan dalam facebooknya “Aku tidak sempurna... Aku tidak layak berkawan dengan kau.. Aku pekak…”  Selain itu, “aku sedar diri aku siapa, kenapalah aku dijadikan pekak” dan banyak lagi keluhan-keluhan yang saya baca dalam post facebook anak-anak murid saya. Kadang-kadang saya agak sedih dengan keluhan mereka itu. Mereka sedar  dan sedih kerana mereka tidak sama seperti orang normal yang boleh mendengar dan sebagainya. Hal ini akan menyebabkan kemurungan dalam diri mereka. Kadang-kala mereka akan memandang rendah terhadap diri mereka. Perkara ini bukan sahaja terjadi kepada golongan pekak sahaja tetapi terjadi juga kepada golongan OKU.

Firman Allah SWT dalam Surah An-Nur  ayat 11 yang bermaksud:
Janganlah kamu mengira berita itu buruk bagi kamu bahkan itu baik bagi kamu.

Kekurangan dalam diri sebenarnya bukanlah suatu penghalang kepada kita untuk meneruskan kehidupan ini. Kita sebagai manusia bukanlah sempurna. Pastinya terdapat kekuatan dan kelemahan yang ada dalam diri kita. Sebenarnya, masih banyak lagi nikmat yang Allah berikan kepada kita. Nikmat kurniaan Allah itu sangat besar. Maka bersyukurlah kita kepada Allah kerana mengurniakan  nikmat yang mungkin kita ada tetapi  orang lain tiada. Misalnya, walaupun kita tidak boleh mendengar, tetapi kita dikurniakan nikmat untuk berfikir, mempunyai perasaan cinta kepada Allah, mempunyai nikmat kesihatan yang baik dan sebagainya. Berbanding dengan orang yang mempunyai nikmat mendengar tetapi tidak bersyukur kepada Allah, melanggar perintah Allah, tidak mempunyai kesihatan yang baik dan sebagainya.  

Allah SWT berfirman dalam surah Ibrahim ayat 34 yang bermaksud :
dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak mampu menghitungnya…

Lihat sebenarnya masih banyak lagi nikmat kita perolehi. Sungguppun kita tidak mampu mendengar, bercakap, melihat, berjalan atau sebagainya. Namun, kita harus sedar dan bersyukur kerana Allah telah memberi kita nikmat yang paling agung iaitu nikmat keimanan kepadaNya.

Sebenarnya,  ramai cendekiawan dunia dan orang yang luas ilmu agamanya mempunyai kekurangan dalam fizikal. Misalnya Ibnu Abbas, Qatadah, Ibnu Ummi Maktum, Al-A`masy, dan Yazid bin Harun. Selain itu, terdapat ulama-ulama seperti Syeikh Muhammad bin Ibrahim Ali Asy-Syeikh, Syeikh Abdullah bin Humaid, dan Syeikh Abdul Aziz bin Baz. Kesemua cediakawan dan para ilmuan islam ini sebenarnya mengalami kekurangan secara fizikal seperti buta, pekak, lumpuh, cacat anggota dan sebagainya. Walaupun mereka kekurangan dari segi fizikal tetapi mereka tidak pernah berputus asa dan tidak sedih dengan kekurangan yang mereka hadapi malah mereka menjadikan kekurangan mereka itu sebagai pendorong dan motivasi untuk berjaya lebih ke hadapan. Akhirnya mereka mampu mencipta nama sehingga memberi sumbangan yang terbesar dan bermanfaat kepada manusia.

Kesempurnaan fizikal bukanlah segala-galanya untuk manusia itu menjadi berjaya dan hebat. Ramai manusia yang mempunyai kesempurnaan fizikal tetapi mereka membawa kecelakaan dan keburukan di dunia ini. Misalnya, merosakkan kehidupan di muka bumi, menzalimi manusia, dan sebagainya. Allah tidak memandang seseorang itu mempunyai kesempurnaan fizikal tetapi Allah memandang hambanya yang sentiasa beriman kepadaNya dan membawa kebaikan  kepada semua.

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud :
Wahai umat Muhammad kamu adalah sebaik-baik umat yang diciptakan bagi faedah kepada manusia kerana menyuruh ke arah kebaikan dan mencegah ke arah kemungkaran serta kamu beriman kepada Allah.

Selain itu, sekiranya kita mengatakan diri kita tidak mempunyai insan yang mahu berkawan dengan kita dan tidak menyanyangi kita. Sebenanya kita silap. Ingatlah walaupun terdapat seorang dihadapan yang tidak suka kepada kita tetapi sebenarnya di belakang kita masih ada ramai orang yang suka dan menyayangi kita. Sesetengah manusia boleh menerima kita dan sesetengah manusia tidak boleh menerima kita. Perkara ini semuanya bergantung pada seseorang  berfikir, bertanggapan, memandang dan menilai diri kita. Oleh itu, jadilah diri kita sendiri. Jangan bersikap berpura-pura dan malu dengan apa yang ada pada diri kita. Namun, bukan semua diri kita adalah betul. Adakalanya kita juga mempunyai kesilapan yang tidak disukai oleh orang lain. Maka sekiranya  terdapat kesilapan dan kesalahan  yang negatif  dalam diri kita berubahlah untuk kebaikan semua. Teman yang baik adalah teman yang sentiasa menghargai, mengingati, menasihati, menerima kita seadanya dan sanggup berkorban apa sahaja untuk kita waktu kita senang mahupun susah. Berdoalah kepada Allah SWT supaya kita dikurniakan teman yang sejati dan ikhlas menyanyangi dan meghargai  diri kita. Walaupun kita tidak mempunyai sahabat atau teman di dunia ini, tetapi kita tetap masih mempunyai satu teman yang sentiasa bersama kita iaitu Allah SWT. Hal ini bersesuaian dalam surah At-Taubah ayat 40 yang bermaksud :-

Jika kamu tidak menolongnya (Muhammad), sesungguhnya Allah telah menolongnya iaitu ketika orang-orang kafir mengusirnya dari Makkah, sedangkan dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam di dala gua, ketika itu dia berkata kepada sahabatnya, “Janganlah engkau bersedih sesungguhnya Allah bersama kita”. Maka Allah menurunkan ketenangan kepada Muhammad dan membantu bala tentera (malaikat-malaikat) yang tidak terlihat olehmu, dan Dia menjadikan seruan orang-orang kafir itu rendah. Dan firman Allah itulah yang tinggi, Allah yang Maha perkasa lagi Maha bijaksana.

Di dalam surah ini menceritakan tentang penghijrahan Nabi Muhammad SAW bersama sahabatnya Abu Bakar As-Siddiq dari kota Mekah ke kota Madinah. Ketika itu, Nabi Muhammad SAW dan sahabatnya bersembunyi di gua Thur untuk mengelakkan diri mereka daripada orang kafir. Namun, Abu Bakar sangat bimbang dengan keadaan Rasulullah SAW tetapi Rasulullah SAW menenangkannya dengan mengatakan Allah SWT sentiasa bersama dengan kita. Akhirnya Allah SWT memberi pertolongan kepada mereka. Daripada ayat ini menunjukkan dua pengajaran yang disampaikan iaitu yang pertama ialah Allah SWT sentiasa bersama dengan kita walaupun kita susah dan senang. Oleh itu, sekiranya kita menghadapi kesulitan atau permasalahan maka berdoalah kepada Allah SWT supaya Allah SWT membantu kita kerana Dia sentiasa bersama kita. Pengajaran kedua menunjukkan bahawa bertapa kuatnya hubungan persahabatan antara Rasulullah SAW dengan Saidina Abu Bakar. Saidina Abu Bakar sanggup  berkorban apa sahaja demi sahabat sejatinya iaitu Rasulullah SAW. Walaupun dalam keadaan senang mahupun susah, Saidina Abu Bakar sentiasa berada disisi Rasulullah SAW. Malah beliau sanggup mengadaikan  nyawa demi sahabatnya yang tercinta. Daripada hubungan antara Rasulullah SAW  dengan Saidina Abu Bakar ini menunjukkan contoh dan teladan dalam membentuk hubungan persahabatan yang sejati dan murni.

Kesimpulannya, janganlah kita terlalu merasakan kecacatan yang ada dalam diri kita adalah penghalang  untuk kita berjaya. Sebaliknya beranggapan bahawa kecacatan itu sebenarnya suatu pendorong. Oleh itu, kita sebagai manusia perlu sentiasa  mensyukuri nikmat yang di anugerahkan oleh Allah kepada kita.  Setiap apa yang berlaku dan terjadi ada hikmahnya yang kita sendiri tidak sedar. 

Allah SWT berfirman dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud :
Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambahkan nikmat kepada kamu, jika kamu mengingkari nikmatKu berikan kepada kamu, maka sesungguhnya azabKu amatlah pedih.


gambar hiasan


gambar hiasan


Kata meeze : Siapakah yang sempurna di dunia ini?. Hanya Allah sahaja yang sempurna. Ingatlah setiap  ujian itu merupakan suatu anugerah kepada kita untuk maju ke hadapan.



3 ulasan:

  1. salam,
    saya baru mendaftarkan anak sulung saya di sekolah rendah pendidikan khas besut,terengganu.
    cuma saya ingin mencari buku berkaitan isyarat tangan untuk memudahkan saya berkomunikasi dengan anak saya.bolehkah cikgu cadangkan buku yang sesuai dan dimanakah saya boleh dapatkan buku tersebut?.

    BalasPadam
    Balasan
    1. wasalam pn..
      sbnarnya buku bahasa isyarat boleh didapati dipersatuan2 pekak, sprti di MFD dan persatuan2 pekak negeri.. mgkin pn boleh cari buku berkenaan di persatuan orang pekak terengganu, di sana mereka ada jual buku berkenaan... :)

      Padam
    2. tq meeze, dr sharul dan sarah yang sudi kongsi bahasa isyarat dgn kami..memang seronok bila dapat tambah ilmu rare mcm ni:)

      Padam

Mohon beri ulasan dengan cara yang baik, sopan dan berhikmah ya, terima kasih atas komen anda... :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...