Rabu, 1 Mei 2013

SI BUDAK PINTAR


Fuyooo.. lama kot tak buka blog ni.. hihihihi… al-maklumlah sibuk memanjang, tak kira waktu dan tempat.. hihihi.. tapi itulah sebenarnya, masa-masa yang ada sangat berharga untuk kita, jadi manfaatkanlah sebaik-baik mungkin masa yang kita ada ini sebab Allah sendiri ada menyebut dalam Surah Al-Asr ayat 1-3 pun sendiri menjelaskan bahawa kepentingan masa untuk kita. Apa guna hidup ini kalau kita tidak bijak membahagi masa dan sering melakukan perkara yang sia-sia serta tidak disukai oleh Allah SWT.

Baiklah kali ini dalam ruangan coretan meeze, ingin saya berkongsi pengalaman saya dalam berhadapan dengan murid-murid pintar cerdas dan berbakat ini. Baru-baru ini saya ke Permata Pintar Negara untuk membantu dan melawat pensyarah saya  dalam menguruskan program untuk murid-murid ini. Agak menarik bila berhadapan dengan murid-murid ini. Maklumlah, murid-murid yang terlalu pandai dan mempunyai IQ yang sangat tinggi. Namun, ada masa-masa saya menghadapi kesukaran apabila berhdapan dengan  mereka. Kalau nak tahu kesukarannya…. Hihihihi baca dahulu apa yang saya tulis.. J

Sebelum itu anda tahu tak apa itu murid pintar cerdas dan berbakat? murid pintar cerdas dan berbakat ini merupakan murid yang mempunyai potensi yang tinggi dalam perkembangan dan pertumbuhan jika dibandingkan dengan murid normal. Murid pintar cerdas dan berbakat ini seringkali dikaitkan dengan seseorang yang mempunyai Intelletual Quotient (IQ) yang tinggi iaitu berada pada tahap IQ 130 dan ke atas.

Murid pintar cerdas dan berbakat yang dikenalpasti secara semulajadi mempunyai kebolehan dan keupayaan luar biasa yang tinggi dalam melakukan sesuatu. Mereka mempunyai potensi atau kemampuan yang tinggi dalam akademik, hasil usaha yang unik, kreatif dan mengagumkan.

Ciri-ciri pintar cerdas
Walaupun seseorang murid itu dikenal pasti sebagai pintar cerdas, tetapi mereka tidaklah sentiasa berjaya dalam segala yang mereka lakukan. Kecerdasan serta bakat yang dimiliki oleh mereka adalah terhad kepada beberapa bidang khusus sahaja. Misalnya, ada yang mahir dalam muzik, matematik, sains, bahasa dan sebagainya. Antara ciri yang boleh kita lihat jelas dari aspek kognitif, akademik, fizikal, tingkah laku dan komunkasi ialah:-

   a)    Kongnitif
Ø  Ingatan yang kuat
Ø  Tahap pemikiran yang tinggi
Ø  Berminat kepada sesuatu yang mencabar minda
Ø  Memproses maklumat dengan cepat

   b)    Akademik
Ø  Berprestasi tinggi dalam pencapaian
Ø  Memahami dan mempelajari sesuatu yang kompleks dengan mudah
Ø  Berkebolehan dalam penyelesaian masalah
Ø  Bekebolehan dalam menguasai banyak isi kandungan pelajaran

   c)    Fizikal
Ø  Kebolehan fizikal dan mental yang berbeza

  d)    Tingkah laku
Ø  Bersifat gigih serta berorentasikan matlamaT
Ø  Pengamatan yang luar biasa
Ø  Rasa humor yang tinggi
Ø  Sentiviti yang tinggi daripada orang biasa

   e)    Komunikasi
Ø  Perbendaharaan kata yang betul digunakan semasa bertutur
Ø  Penguasaan bahasa yang tinggi
Ø  Berkemampuan berkomunikasi seperti golongan dewasa

Namun, murid pintar cerdas dan berbakat ini turut mempunyai ciri-ciri negatif yang perlu dijaga dan dikawal oleh ibu bapa dan guru iaitu :-
a) Boleh memahami secara intelektual tetapi tidak mampu menangai perkara-perkara yang melibatkan konsep emosi.
b)    Boleh terlibat dalam perbualan seperti orang dewasa tetapi adakalanya mereka akan bersikap kembali seperti kanak-kanak dan remaja lain.
c)    Menyelesaikan masalah melalui gambaran intelek sahaja.
d)    Bersikap tidak mahu mengalah.
e)    Boleh mempegaruhi orang lain
f)       Bersikap tunjuk pandai.
g)    Takut pada kegagalan
h)    Kurang bersosial
i)        Terlalu mementingkan kesempurnaan

Hmmm.. melalui penghuraian saya ini, saya harap  anda sudah mengetahui serba sedikit mengenai murid pintar cerdas dan berbakat ini.

Semasa di Permata Pintar, terdapat situasi yang tidak dapat saya lupakan. Mungkin agak kurang menarik bagi anda, tetapi bagi saya perkara ini sangat menarik dan menyebabkan saya tertarik untuk mendekati budak-budak seperti ini:-

Situasi 1
Cikgu Meeze : Kenapa awak semua masih sibuk memikirkan lagi? Bukankah banyak pemimpin di Malaysia?
Murid : Cikgu… kalau nak dihuraikan pemimpin di Malaysia ini banyak cikgu.. tetapi bagi kami, kami mahu mencari pemimpin yang daripada luar, yang lebih baik daripada pemimpin Malaysia supaya menjadi contoh dan teladan kepada kami semua. CIkgu, kita kena pandang ke depan, bukan memandang di sekeliling kita.
CIkgu Meeze : dalam hati (Wow seusia 15 tahun sudah mempunyai tahap pemikiran sebegini.. matangnya.. malunya aku.. ) Cover diri .. Oooo.. ok.. cikgu saja nak uji awak semua.. bagus.. bagus teruskan, nanti CIkgu tengok ya.. J

Situasi 2
Cikgu Meeze : Hai .. Assalamualaikum.. nama saya Syar Meeze, awak semua boleh panggil saya Cikgu Meeze.
Murid A : Waalaiakumusalam… CIkgu kenapa nama Cikgu pelik?
Cikgu Meeze : errrmmm.. tu bapa cikgu yang bagi nama.. hihihihi..
Murid B : Tak ada maknalah nama tu…tapi Cikgu dalam bahasa Arab Syar bermaksud …………… hmmm… cikgu tak kisah ke nama macam tu?
Cikgu Meeze : Tak mengapalah, dah takdir cikgu nak buat macamnakan..
Murid C : Kenapa ejaan nama Cikgu pelik?
Cikgu Meeze : hmmm… “=_=  ;(
(Selebihnya, saya takkan rekod, hanya saya dan murid-murid itu yang tahu L)

Situasi 3
Cikgu Meeze : wow, minat Dr Syeikh Muzafar, agkasawan Malaysia yang pertama.. minat baca buku ini ke?
Murid : ya Cikgu, dia inspirasi saya.. saya mahu menjejaki bulan suatu hari nanti..Cikgu cita-cita kita biarlah tinggi sampai ke bulan.
Cikgu Meeze : Awak yakin awak boleh mencapai cita-cita tersebut.
Murid :  Insyallah CIkgu kalau kita yakin dan semangat yang tinggi pasti kita dapat, apa yang pentimg fokus pada cita-cita, malangnya masih ramai orang yang hanya mempunyai cita-cita tetapi apabila terpengaruh dan tersasar maka mereka berputus asa untuk mencapai cita-cita mereka. Kesihan kan Cikgu… J
Cikgu Meeze : Dalam hatiku (Bagusnya budak ini, bercita-cita tinggi… )

Situasi 4
Murid : saya sudah mula membaca eksklopedia seawal 5 tahun. Masa itu bapa saya yang belikan. Sejak itu saya sudah mula tertarik untuk membaca bahan-bahan ilmiah. Cikgu mula baca bila?
Cikgu Meeze : :D hihihi..

Situasi 5
Murid A : Kadang-kadang negara perlu adakan perubahan, kita perlu memastikan…. Bla..bla…bla..
Murid B : tapi saya kurang setuju dengan pendapat kau… sebab dalam menjana perkembangan negara… bla..bla… bla…
Murid C : Ehhh.. siapa cakap… buktinya pada tahun… bla.. bla… bla… ha.. korang ada bukti lain tak?
Murid A : Tapi seingat aku kan… pada tahun…. Bla…bla…bla..
Murid B : Korang perasan tak… sebenarnya… bla..bla…
Cikgu Meeze : (sambil memerhatikan) Wow.. muda-muda lagi sudah bijak berbicara tentang politik. Aku pun tak pandai dalam bab ni.. mereka lebih arif.. huhuhuhu.. malunya… lebih baik aku lari sebelum mereka tanya yang bukan-bukan kat aku.. hahahaha..

SItuasi 6
Cikgu Meeze : Eh.. mana buku nota?, kan nak salin apa-apa maklumat kat dinding ni.
Murid : Apalah cikgu ni, zaman dah moden gunalah ini… (menunjukkan iphone dia) hanya klik dan terus dapat gambar maklumat ni. Kan senang..
Cikgu Meeze : “-_- hihihihi.. betul juga..

Walaupun situasi-situasi yang saya tunjukkan ini agak simple dan mungkin kurang menarik untuk dibaca, tetapi bagi saya yang pertama kali berhadapan  murid-murid pintar cerdas ini, saya rasakan mereka mempunyai daya kematangan pemikiran yang cukup tinggi. Mereka mampu mengeluarkan pendapat, bertanya, dan sebagainya dengan berani. Malah mereka boleh mematahkan hujah-hujah yang diperkatakan oleh kita. Idea dan pengetahuan mereka sungguh tinggi. Rasanya kalau hendak dibandingkan dengan saya ini, kalah saya.

Saya masih terfikir, bagaimanalah guru-guru  dan pensyarah-pensyarah ini menghadapi murid-murid sebegini, pastinya guru-guru di sekolah ini akan cuba untuk memastikan diri mereka lebih berpegetahuan atau berkemahiran dalam menguruskan murid-murid pintar cerdas ini. Bukan suatu kerja yang mudah nak uruskan budak-budak yang terlalu pandai. Namun, walaupun sepandai-pandai mereka atau setinggi-tinggi IQ mereka pun, secara fitrahnya mereka juga manusia biasa, yang mempunyai hati dan perasaan, kehidupan mereka sama seperti remaja-remaja lain, bermain dan bersuka ria serta memerlukan perhatian dan kasih sayang. Apa yang kita lihat kebanyakan kes-kes yang berlaku terhadap murid pintar cerdas ini kurangnya kasih sayang, kehidupan mereka hanya didorong dengan kelebihan yang mereka ada sahaja tanpa memikirkan jiwa, hati dan perasaan mereka. Apa-apapun, kita perlu sedar mereka masih manusia dan tetap seperti kita semua.

Kesimpulannya…. Kali ini malaslah nak skema sangat tulis blog, rasa-rasa korang semua lebih faham apa yang ingin saya sampaikan..
Budak-budak pintar cerdas ini adalah budak-budak yang biasa sama macam kita, tetapi disebabkan mereka mempunyai tahap kepintaran dan bakat mereka yang luar biasa dan berbeza dengan orang lain menyebabkan ramai sangat mengklasifikasikan mereka macam budak yang hebat dan unik. Ya saya akui mereka unik, tetapi kita seharusnya sedar, seunik-unik mereka pun, mereka manusia biasa, ingin hidup sama seperti kanak-kanak dan remaja lain. Sokongan, dorongan dan kasih sayang amatlah diperlukan oleh mereka ini agar memastikan mereka terus menjadi insan yang berjaya serta mampu meberikan manfaat untuk pembangunan negara ini.




sekali kita perhatikan, mereka sama seperti remaja yang lain, tak ada bezapun.. cuma mebezakan mereka dengan remaja lain adalah IQ mereka yang tinggi. 



apa yang menganggumkan saya ialah cara percakapan dan hujah yang mereka sampaikan sungguh bermakna dan matang. Itulah salah satu kelebihan yang ada dalam kalangan mereka. 





Tugasan yang diberi tak adalah berat manapun, hanya minta cari dan huraikan sifat-sifat pemimpin yang anda kenali, tetapi mereka ini seorang yang mementingkan kesempurnaan, mereka cuba untuk mencari pemimpin luar yang adakalanya kita pun tak kenal. 


Akhir sekali, bergambar dengan pensyarah saya, yang banyak mengajar saya mengenai ilmu bimbingan dan kaunseling ini. Terima Kasih Dr. Rorlinda Yusof. Banyak lagi yang perlu saya belajar lagi untuk tingkatkan kemahiran saya dalam bidang ini.  Teringin nak jadi macam Dr suatu hari nanti. Insyallah, seperti kata salah seorang murid pintar cerdas, "cita-cita biarlah tinggi" 



Kata meeze : seronoknya kalau dapat adik  atau anak yang pintar cerdas… bangga wow kalau ada adik atau anak pandai dan berbakat  macamni.. seronok sangat bergaul dengan mereka semua ni.. mmg tercabar minda aku..  yalah budak-budak ini tidak suka membincangkan perkara-perkara yang sia-sia, malah mereka amat menyukai kepada sesuatu perkara yang baru dan mencabar..  hahaha.. apa-apapun saya berharap adik-adik di Permata Pintar itu akan beroleh kejayaan dan menjadi seorang yang berkepakaran serta  menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara. Amin…. 

Ahad, 6 Januari 2013

KEKURANGAN DIRI BUKAN SUATU PENGHALANG TETAPI SUATU PENDORONG


Apabila terdapat murid-murid pekak bertanya kepada saya, “Cikgu kenapa saya pekak?” dan adakalanya murid kesayangan saya mempostkan dalam facebooknya “Aku tidak sempurna... Aku tidak layak berkawan dengan kau.. Aku pekak…”  Selain itu, “aku sedar diri aku siapa, kenapalah aku dijadikan pekak” dan banyak lagi keluhan-keluhan yang saya baca dalam post facebook anak-anak murid saya. Kadang-kadang saya agak sedih dengan keluhan mereka itu. Mereka sedar  dan sedih kerana mereka tidak sama seperti orang normal yang boleh mendengar dan sebagainya. Hal ini akan menyebabkan kemurungan dalam diri mereka. Kadang-kala mereka akan memandang rendah terhadap diri mereka. Perkara ini bukan sahaja terjadi kepada golongan pekak sahaja tetapi terjadi juga kepada golongan OKU.

Firman Allah SWT dalam Surah An-Nur  ayat 11 yang bermaksud:
Janganlah kamu mengira berita itu buruk bagi kamu bahkan itu baik bagi kamu.

Kekurangan dalam diri sebenarnya bukanlah suatu penghalang kepada kita untuk meneruskan kehidupan ini. Kita sebagai manusia bukanlah sempurna. Pastinya terdapat kekuatan dan kelemahan yang ada dalam diri kita. Sebenarnya, masih banyak lagi nikmat yang Allah berikan kepada kita. Nikmat kurniaan Allah itu sangat besar. Maka bersyukurlah kita kepada Allah kerana mengurniakan  nikmat yang mungkin kita ada tetapi  orang lain tiada. Misalnya, walaupun kita tidak boleh mendengar, tetapi kita dikurniakan nikmat untuk berfikir, mempunyai perasaan cinta kepada Allah, mempunyai nikmat kesihatan yang baik dan sebagainya. Berbanding dengan orang yang mempunyai nikmat mendengar tetapi tidak bersyukur kepada Allah, melanggar perintah Allah, tidak mempunyai kesihatan yang baik dan sebagainya.  

Allah SWT berfirman dalam surah Ibrahim ayat 34 yang bermaksud :
dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak mampu menghitungnya…

Lihat sebenarnya masih banyak lagi nikmat kita perolehi. Sungguppun kita tidak mampu mendengar, bercakap, melihat, berjalan atau sebagainya. Namun, kita harus sedar dan bersyukur kerana Allah telah memberi kita nikmat yang paling agung iaitu nikmat keimanan kepadaNya.

Sebenarnya,  ramai cendekiawan dunia dan orang yang luas ilmu agamanya mempunyai kekurangan dalam fizikal. Misalnya Ibnu Abbas, Qatadah, Ibnu Ummi Maktum, Al-A`masy, dan Yazid bin Harun. Selain itu, terdapat ulama-ulama seperti Syeikh Muhammad bin Ibrahim Ali Asy-Syeikh, Syeikh Abdullah bin Humaid, dan Syeikh Abdul Aziz bin Baz. Kesemua cediakawan dan para ilmuan islam ini sebenarnya mengalami kekurangan secara fizikal seperti buta, pekak, lumpuh, cacat anggota dan sebagainya. Walaupun mereka kekurangan dari segi fizikal tetapi mereka tidak pernah berputus asa dan tidak sedih dengan kekurangan yang mereka hadapi malah mereka menjadikan kekurangan mereka itu sebagai pendorong dan motivasi untuk berjaya lebih ke hadapan. Akhirnya mereka mampu mencipta nama sehingga memberi sumbangan yang terbesar dan bermanfaat kepada manusia.

Kesempurnaan fizikal bukanlah segala-galanya untuk manusia itu menjadi berjaya dan hebat. Ramai manusia yang mempunyai kesempurnaan fizikal tetapi mereka membawa kecelakaan dan keburukan di dunia ini. Misalnya, merosakkan kehidupan di muka bumi, menzalimi manusia, dan sebagainya. Allah tidak memandang seseorang itu mempunyai kesempurnaan fizikal tetapi Allah memandang hambanya yang sentiasa beriman kepadaNya dan membawa kebaikan  kepada semua.

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud :
Wahai umat Muhammad kamu adalah sebaik-baik umat yang diciptakan bagi faedah kepada manusia kerana menyuruh ke arah kebaikan dan mencegah ke arah kemungkaran serta kamu beriman kepada Allah.

Selain itu, sekiranya kita mengatakan diri kita tidak mempunyai insan yang mahu berkawan dengan kita dan tidak menyanyangi kita. Sebenanya kita silap. Ingatlah walaupun terdapat seorang dihadapan yang tidak suka kepada kita tetapi sebenarnya di belakang kita masih ada ramai orang yang suka dan menyayangi kita. Sesetengah manusia boleh menerima kita dan sesetengah manusia tidak boleh menerima kita. Perkara ini semuanya bergantung pada seseorang  berfikir, bertanggapan, memandang dan menilai diri kita. Oleh itu, jadilah diri kita sendiri. Jangan bersikap berpura-pura dan malu dengan apa yang ada pada diri kita. Namun, bukan semua diri kita adalah betul. Adakalanya kita juga mempunyai kesilapan yang tidak disukai oleh orang lain. Maka sekiranya  terdapat kesilapan dan kesalahan  yang negatif  dalam diri kita berubahlah untuk kebaikan semua. Teman yang baik adalah teman yang sentiasa menghargai, mengingati, menasihati, menerima kita seadanya dan sanggup berkorban apa sahaja untuk kita waktu kita senang mahupun susah. Berdoalah kepada Allah SWT supaya kita dikurniakan teman yang sejati dan ikhlas menyanyangi dan meghargai  diri kita. Walaupun kita tidak mempunyai sahabat atau teman di dunia ini, tetapi kita tetap masih mempunyai satu teman yang sentiasa bersama kita iaitu Allah SWT. Hal ini bersesuaian dalam surah At-Taubah ayat 40 yang bermaksud :-

Jika kamu tidak menolongnya (Muhammad), sesungguhnya Allah telah menolongnya iaitu ketika orang-orang kafir mengusirnya dari Makkah, sedangkan dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam di dala gua, ketika itu dia berkata kepada sahabatnya, “Janganlah engkau bersedih sesungguhnya Allah bersama kita”. Maka Allah menurunkan ketenangan kepada Muhammad dan membantu bala tentera (malaikat-malaikat) yang tidak terlihat olehmu, dan Dia menjadikan seruan orang-orang kafir itu rendah. Dan firman Allah itulah yang tinggi, Allah yang Maha perkasa lagi Maha bijaksana.

Di dalam surah ini menceritakan tentang penghijrahan Nabi Muhammad SAW bersama sahabatnya Abu Bakar As-Siddiq dari kota Mekah ke kota Madinah. Ketika itu, Nabi Muhammad SAW dan sahabatnya bersembunyi di gua Thur untuk mengelakkan diri mereka daripada orang kafir. Namun, Abu Bakar sangat bimbang dengan keadaan Rasulullah SAW tetapi Rasulullah SAW menenangkannya dengan mengatakan Allah SWT sentiasa bersama dengan kita. Akhirnya Allah SWT memberi pertolongan kepada mereka. Daripada ayat ini menunjukkan dua pengajaran yang disampaikan iaitu yang pertama ialah Allah SWT sentiasa bersama dengan kita walaupun kita susah dan senang. Oleh itu, sekiranya kita menghadapi kesulitan atau permasalahan maka berdoalah kepada Allah SWT supaya Allah SWT membantu kita kerana Dia sentiasa bersama kita. Pengajaran kedua menunjukkan bahawa bertapa kuatnya hubungan persahabatan antara Rasulullah SAW dengan Saidina Abu Bakar. Saidina Abu Bakar sanggup  berkorban apa sahaja demi sahabat sejatinya iaitu Rasulullah SAW. Walaupun dalam keadaan senang mahupun susah, Saidina Abu Bakar sentiasa berada disisi Rasulullah SAW. Malah beliau sanggup mengadaikan  nyawa demi sahabatnya yang tercinta. Daripada hubungan antara Rasulullah SAW  dengan Saidina Abu Bakar ini menunjukkan contoh dan teladan dalam membentuk hubungan persahabatan yang sejati dan murni.

Kesimpulannya, janganlah kita terlalu merasakan kecacatan yang ada dalam diri kita adalah penghalang  untuk kita berjaya. Sebaliknya beranggapan bahawa kecacatan itu sebenarnya suatu pendorong. Oleh itu, kita sebagai manusia perlu sentiasa  mensyukuri nikmat yang di anugerahkan oleh Allah kepada kita.  Setiap apa yang berlaku dan terjadi ada hikmahnya yang kita sendiri tidak sedar. 

Allah SWT berfirman dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud :
Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambahkan nikmat kepada kamu, jika kamu mengingkari nikmatKu berikan kepada kamu, maka sesungguhnya azabKu amatlah pedih.


gambar hiasan


gambar hiasan


Kata meeze : Siapakah yang sempurna di dunia ini?. Hanya Allah sahaja yang sempurna. Ingatlah setiap  ujian itu merupakan suatu anugerah kepada kita untuk maju ke hadapan.



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...