Sabtu, 18 Disember 2010

CABARAN KERJAYA ORANG KURANG UPAYA (OKU)



Kerjaya merupakan suatu aspek yang penting kepada setiap individu. Setiap individu mempunyai kerjaya masing-masing. Sebagai contoh, seseorang yang mempunyai kerjaya seperti guru, tukang masak, jurutera dan sebagainya. Pemilihan kerjaya yang tepat dapat menentukan corak kehidupan serta taraf hidup seseorang. Bagi orang kurang upaya (OKU) juga, tidak terlepas dalam mempunyai kerjaya dalam hidup. Hal ini kerana, mereka juga memerlukan kerjaya bagi memenuhi keperluan dan kehendak hidup mereka. Namun, menurut (Sarkees dan Scott 1986) mengatakan bahawa terdapat pandangan masyarakat terhadap golongan OKU yang menyebabkan mereka dilayan seperti golongan kelas kedua.

Kebanyakan masyarakat mempertikaikan dalam mengambil pekerja OKU. Hal ini kerana, apabila seseorang OKU datang menemuduga, dalam pemikiiran penemuduga pasti mempunyai 1001 satu persoalan yang negatif tentang kebolehan yang ada pada golongan ini. Misalnya, “bolehkah dia merlakukan pekerjaan ini?”, “bagaimanakah dia dapat menerima arahan?” dan sebagainya. Hasilnya, menyebabkan OKU tidak dapat diterima dalam pekerjaan. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Haward (2000) mendapati terdapat 50 % hingga 70 % golongan OKU yang tidak mempunyai pekerjaan dan ada dalam kalangan mereka yang menerima pendapatan yang minimum. Masalah ini berkaitan dengan sikap golongan masyarakat yang menunjukkan sikap negatif dan memandang rendah terhadap keupayaan yang dimiliki oleg golongan OKU untuk bekerja.

Selain itu, terdapat sesetengah majikan yang masih belum terbuka dan belum bersedia dalam memberi peluang pekerjaan kepada golongan OKU. Antara faktornya ialah pekerja kurang upaya memerlukan cuti sakit, kadar insurans yang tinggi, keselamatan di tempat kerja terganggu, memerlukan kemudahan khas, dan mungkin beberapa perubahan terpaksa dilakukan di tempat kerja bagi menjamin keselamatan pekerja kurang upaya. Jadi, ini akan melibatkan perbelanjaan yang tinggi jika majikan mengambil mereka bekerja. (Zinida Ariffin (2009)).

Masyarakat yang mempunyai pandangan yang sterotaip akan menyebabkan golongan kurang upaya akan didiskriminasikan. Oleh itu, masyarakat harus diberikan pendedahan yang sewajarnya dalam memberi peluang kerjaya kepada golongan OKU. Berfikiran terbuka dan berfikir diluar kotak harus disemaikan dalam diri masyarakat supaya mereka dapat mengetahui manfaatnya jika mengambil pekerja golongan OKU.

Sebenarnya, walaupun kita lihat golongan OKU serba kekurangan tetapi mereka mempunyai kelebihan yang di anugerahkan oleh Allah kepada mereka. Jadi, tidak salah jika mereka diberi peluang dalam mendapat peluang pekerjaan. Mungkin dengan pemberian peluang ini dapat meningkatkan diri kita dalam memberi bantuan kepada golongan sebegini dan seterusnya bersama-sama memajukan ekonomi dan pembangunan negara.

Saya tidak hanya menyalahkan 100 % golongan normal yang tidak memberi peluang pekerjaan kepada golongan OKU. Namun, golongan OKU seharusnya bijak dalam membuat persediaan awal dan meningkatkan kemahiran dalam diri supaya diri dapat diterima untuk bekerja. Sebagai contoh, golongan OKU seharusnya mempunyai kemahiran sosial. Hal ini kerana, kemahiran sosial ini penting kerana golongan OKU dapat mengetahui cara berhubung dengan masyarakat. Kemahiran sosial yang mesti perlu dikuasai seperti kemahiran mengikut arahan, menerima kritikan, meminta bantuan, kemahiran bekerjasama, kemahiran memahami perasaan orang lain, dan kemahiran berinteraksi. Oleh itu, jika kemahiran ini dapat dikuasai maka senang bagi seseorang OKU dapat bersosial dengan masyarakat secara mudah. Golongan OKU juga, perlu berusaha supaya sentiasa produktif, berdisiplin, mengikis dan mengubah sikap supaya tidak menyerah kepada takdir dan menunjukkan kemahiran dalam sesuatu bidang yang dikuasai seperti orang lain (Zinaida Ariffin 2009). Menurut Clark dan Klostoe (1995) golongan OKU perlu bersedia menerima sebarang cabaran dan menguasai sesuatu kemahiran dalam sesuatu bidang kerjaya yang ingin diceburi.

Zainida Ariffin (2009) mengatakan bahawa golongan OKU perlu bersikap lebih berani dan terbuka dalam pemikiran bagi menerima cabaran baru jika mereka ingin meraih kejayaan. Bidang kerjaya yang diceburi lebih luas iaitu melibatkan semua golongan masyarakat dan tidak tertumpu kepada sesuatu kumpulan minoriti sahaja. Sikap ingin bersama-sama dengan rakan senasib perlu dikikis. Mereka perlu berfikiran terbuka dan tidak takut menghadapi cabaran. Keupayaan dan kebolehan fizikal serta intelek perlu difikirkan bagi menjamin individu mampu menguasai bidang yang diceburi.

Sesungguhnya, jika masyarakat berfikran terbuka, dan golongan OKU mengubah sikap dalam diri, maka interaksi antara kedua-dua pihak akan dapat dijalinkan. Setiap individu mempunyai kelebihan masing-masing. Kelebihan itu akan terserlah jika individu dan masyarakat berusaha untuk meningkatkannya. Kesannya, pembangunan dan keharmonian sesebuah negara akan dapat dicapai kerana unsur –unsur diskriminasi dan pandangan negatif dihakis oleh seluruh masyarakat.


Kata meeze 1 : bagi orang pekak RC deaf menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka. Jadi, kepada golongan pekak yang ada kelebihan bolehlah berjumpa dengan Ms Agnes director RC Deaf.

Kata meeze 2 : Bagi orang buta pergi lah ke MAB memang banyak peluang pekerjaan yang diberikan kepada golongan buta.

Kata meeze 3: Nak try la jadi orang pekak pastu minta kerja kat mana-mana camner yek rasanya??

Kata meeze 4 : Hari itu, adalah seorang penjual mempromotekan barangnya di rumah saya, saya dengan rasa malasnya nak layan orang tu, berlakon jadi orang pekak, pastu tak jadi orang tu nak promote barang tu kat rumah saya. Hu3.. jahatnya saya…


Isnin, 6 Disember 2010

PENGGUASAAN BAHASA ISYARAT


Minat mempelajari bahasa isyarat semakin hari semakin menebal dalam diri ini. Sejak menyertai salah sebuah persatuan pekak, menyebabkan pengetahuan saya terhadap penggunaan bahasa isyarat semakin bertambah. Semakin saya pelajari semakin banyak saya ketahui tentang struktur dan penggunaannya. Secara jujur saya akui sebenarnya, bahasa isyarat bukanlah suatu bahasa yang mudah dipelajari.. Ramai masyarakat beranggapan bahawa bahasa isyarat ialah suatu simbol yang diterjemahkan daripada apa yang dipertuturkan. Terdapat juga, segelintir masyarakat meperlekeh-lekehkan bahasa isyarat. Sebagai contoh, pengalaman yang dialami oleh saya sendiri apabila ditanya oleh orang lain, “apakah bahasa ketiga kamu?” saya menjawab “bahasa isyarat” dan ini menyebabkan orang yang bertanya itu tergelak mendengar jawapan saya. Namun, walaupun digelak saya tidak kisah malah saya berbangga kerana dianugerahkan oleh Allah suatu ilmu bahasa tanpa menggunakan pertuturan.

Harus saya tegaskan disini ialah bahasa isyarat ialah suatu bahasa, bukan suatu simbol yang dipermain-mainkan atau direka-reka mengikut kemahuan sendiri. Rekaan simbol dalam bahasa isyarat itu bergantung pada keadaan, situasi, bentuk, dan sebagainya. Selain itu, bahasa isyarat mempunyai tatabahasanya yang tersendiri dan bentuk tatabahasanya berbeza daripada bahasa lain.

Perkara yang penting perlu diketahui dalam mempelajari bahasa isyarat kefahaman dalam menyampaikan maksud yang disampaikan kepada orang pekak. Tidak guna jika anda dapat mengetahui seribu atau sejuta perkataan isyarat atau anda berisyarat dengan cepat dan laju tetapi maksud yang hendak disampaikan tidak difahami oleh orang pekak. Gaya badan dan ekspresi muka sangat penting dalam menyampaikan isyarat. Gaya badan dalam keadaan marah, suka, sedih dan sebagainya perlu dipelajari sebelum menguasai bahasa isyarat. Bukan hanya belajar perkataan isyarat semata-mata.

Selain itu, bahasa isyarat bukan diterjemahkan apa yang diperkatakan tetapi menyampaikan maksud yang dihajati. Hal ini kerana skop kefahaman orang pekak berbeza dengan orang normal malah perkataan bahasa isyarat tidak meluas seperti luasnya bahasa-bahasa lain. Misalnya, dalam bahasa melayu terdapat perkataan kamu, awak, dan dia tetapi dalam bahasa isyarat semua perkataan kamu, awak dan dia adalah dalam satu simbol. Disebabkan dengan masalah yang timbul ini maka penggunaan KTBM perlu dipelajari supaya orang pekak tidak terkeliru dalam mempelajari bahasa melayu.

Suatu yang menjadi masalah dalam penggunaan bahasa isyarat ialah apabila menggunakan bahasa yang mempunyai maksud yang sama tetapi simbol yang berlainan. Misalnya, isyarat asrama, lagi, hari natal, dan sebagainya. Namun, hakikatnya, semua isyarat yang ditunjukkan adalah tidak salah. Perkara yang penting seperti yang saya katakana diawal tadi kefahaman maksud yang hendak disampaikan kepada orang pekak. Ada sesetengah menyatakan itu adalah dialek isyarat. Hal ini kerana, lain negeri lain isyarat perkataan yang digunakan.

Ramai individu yang mempelajari bahasa isyarat sekadar syok sendiri sahaja. (maaf agak keterlaluan). Hal ini kerana, apabila mereka sudah mengetahui banyak simbol perkataan mereka mula merasakan tidak perlu mempelajari lagi bahasa isyarat. Sedangkan bahasa isyarat perlu dipelajari dengan lebih dalam lagi terutamanya guru khas. Tidak seperti rakyat di Amerikat Syarikat yang mempelajari bahasa isyarat dengan bersungguh-sungguh, sehingga menyebabkan peningkatan ASL pada tahap yang maju.

Kesimpulannya, bahasa isyarat merupakan suatu bahasa yang unik. Seronok dipelajari tetapi sukar untuk difahami. Bahasa isyarat sebenarnya menggunakan banyak tenaga dalam berkomunikasi kerana melibatkan seluruh anggota badan. Oleh itu, penyampaian maklumat yang disampaikan harus jelas dan terus. Tiada unsur-unsur bidalan atau sindiran seperti bahasa lain kerana itu jika anda perhatikan orang pekak kebanyakannya adalah seorang yang telus dan tidak berlapik-lapik apabila ingin menyampaikan sesuatu hasrat atau berkomunikasi. Jadi kita sebagai orang normal jangan mudah terasa dengan orang pekak, kerana bahasa mereka memang sebegitu. Malah kita sebagai orang normal seharusnya menunjukkan bahasa kita yang indah kepada orang pekak supaya masing-masing dapat sama-sama mempelajarinya. Jika anda berminat mempelajari sesuatu bahasa, pelajarilah dengan bersungguh-sungguh, kerana semua bahasa bukannya mudah malah memerlukan latihan yang mendalam. Jangan memperlekehkan dan memburuk-burukkan bahasa sendiri dan bahasa orang lain kerana setiap bahasa mempunyai keindahan yang tersendiri dan bahasa melambangkan bangsa dan budaya seseorang.

Kata meeze 1: Ms Agnes dan En. Mario( jurubahasa isyarat ), menasihati saya bahawa, kebanyakan orang yang mempelajari bahasa isyarat, hanya berisyarat mengikut kefahaman diri sahaja bukannya melihat kepada kefahaman orang pekak yang dikomunikasi. Hasilnya, maklumat yang disampaikan tidak jelas.

Kata meeze 2: Orang Malaysia mengetewakan orang yang belajar bahasa isyarat, tetapi orang barat kagum melihat orang yang belajar bahasa isyarat. Kenapa?

Kata meeze 3: Kerana segelintir set pemikiran orang Malaysia terhadap orang pekak, “pekak dan bodoh” atau “deaf and dumb” (betul ke??) huhuhuhu..

Rabu, 1 Disember 2010

SUKA + RELA



Menjadi seorang sukarelawan merupakan sesuatu perkara yang jarang diminati oleh rakyat Malaysia. Hal ini kerana, pekerjaan seperti ini mengeluarkan tenaga dengan percuma tanpa dibayar walau sesen pun. Pelbagai institusi, persatuan dan sebagainya daripada badan kebajikan memerlukan ramai sukarelawan. Namun, penyertaannya adalah sedikit. Terdapat juga, individu yang pada awalnya semangat untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan tetapi setelah mengalaminya terus berputus asa.

Di negara-negara barat aktiviti sukarelawan merupakan suatu aktiviti yang sangat diminati. Malah aktiviti seperti ini menjadi trend dalam kehidupan mereka. Saya begitu kagum dengan sikap mereka yang bersungguh-sungguh dalam menyertai aktviti sukarelawan. Hal ini terbukti apabila kita lihat sendiri jika terdapat aktiviti amal, bangsa barat akan berpusu-pusu ke pusat-pusat kebajikan untuk membantu. Berlainan dengan rakyat Malaysia yang hanya memikirkan wang semata-mata. Walaupun aktiviti tersebut pada dasar dan namanya berbentuk aktiviti kebajikan dan sukarelawan tetapi tetap melibatkan wang ringgit.

Terdapat juga, sesetengah individu menjadikan aktiviti sukarelawan sekadar untuk mencari nama dan pangkat. Memang diakui kerja yang mereka lakukan sangat bagus, tetapi sejauh manakah ikhlas hati mereka dalam memberi bantuan. Sebagai contoh kita lihat, perlbagai aktiviti tabung amal, misi bantuan dan sebagainya dipaparkan di kaca-kaca televisyen dan bantuan yang diberikan ditunjuk-tunjukkan didepan orang ramai seolah-olah ingin menunjukkan diri sangat perihatin dengan masalah yang dihadapi sedangkan niat dalam hati siapa yang tahu.

Namun, sebenarnya kita tidak boleh menyalahkan 100 % individu yang tidak melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan. Hal ini kerana, terdapat sesetengah persatuan yang tidak menghargai sukarelawan yang datang ke pusat kebajikan. Misalnya, mereka tidak mengendahkan dan tidak melayan sukarelawan yang datang membantu. Kesannya, menyebabkan sukarelawan yang datang membantu terkilan dan merasakan diri mereka tidak dihargai malah disisihkan. Sepatutnya, sesebuah pusat kebajikan menghargai dan menyambut kedatangan mereka dengan baik. Mereka tidak menginginkan sambutan yang meriah tetapi cukuplah sekadar beramah-mesra supaya merasakan diri mereka dihargai.

Sebenarnya, aktiviti sukarelawan boleh disertai dimana-mana sahaja walau pelbagai dalam keadaan mana sekalipun. Hal ini bergantung sama ada aktiviti itu disertai secara formal atau tidak. Misalnya, paling senang membantu ibu memasak didapur, mengemas rumah dan sebagainya. Walaupun nampak agak biasa tetapi sebenarnya perkara tersebut merupakan suatu pekerjaan amal jariah kerana membantu keluarga dalam menguruskan rumah.

Penyertaan individu dalam menyertai akttviti sukarelawan adalah bergantung pada diri sendiri sejauh mana niat dan keinginan mereka untuk membantu. Seharusnya, setiap indivdiu perlu sedar bertapa pentingnya merlakukan aktiviti amal. Saya akui wang adalah segala-galanya tetapi kadang-kadang wang boleh bisa menguasai diri. Cuba mellibatkan diri dalam kerja aktiviti amal, kerana kepuasan akan dapat kita rasai setelah kita melakukannya. Buanglah sifat malas, sombong dan mementingkan diri. Usahakan diri dalam mencari perkara-perkara kebaikan di dunia supaya hidup kita sentiasa diberkati oleh Allah Taala. Insyallah..


Kata meeze 1: cuti-cuti ni nak uat pe ye?

Kata meeze 2 : jadi sukarelawan mmg seronok, tapi jangan hangat-hangat tahi ayam.

Kata meeze 3: MAB (Persatuan orang buta Malaysia) memang memerlukan ramai sukarelawan, jadi kalau berminat datang ke MAB pastu isi borang nanti diorang panggil. Pergilah mereka masih memerlukan ramai ahli sukarela.






LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...