Rasanya sudah lama saya tidak mencoretkan sesuatu dalam blog ini. Maklumlah sejak kebelakangan ini saya sangat sibuk dengan pelbagai tugasan yang terpaksa saya selesaikan. Namun, kini Alhamdulillah segala tugasan dapat saya lakukan dengan jayanya.
Tajuk coretan saya kali ini ialah Siapa yang bersalah?. Mungkin kalian tertanya apa maksud yang ingin saya sampaikan. Macam biasalah blog ini tujuannya untuk menyingkap masalah orang kurang upaya terutamanya yang menghadapi masalah pendengaran atau pekak. Jadi kali ini, saya ingin berkongsi pengalaman kepada kalian semua untuk renungan kita bersama. Kalau sesiapa yang ingin komen, dialu-alukan kerana saya hendak melihat respon daripada anda semua terutamanya golongan pekak supaya anda sendiri sedar dengan masalah ini.
Beberapa minggu lepas saya telah menghadiri ke majlis sambutan hari raya ke rumah kawan kelas saya yang pekak iaitu Sarah. Alhamdulillah, dapat juga saya sampai ke rumahnya walaupun pada mulanya niat tidak mahu pergi kerana terlalu sibuk dengan tugasan. Setelah saya sampai di rumah Sarah, saya lihat rakan kelas saya yang lain sudah sampai ke rumahnya lebih awal daripada saya. Tiba-tiba saya terperanjat rupa-rupanya ada ramai rakan-rakan pekak saya yang lain dan golongan pekak yang saya tidak saya kenal sudah sampai juga ke rumah Sarah. Namun, mereka duduk didalam rumah manakala rakan kelas saya duduk di luar rumah. Saya ditarik oleh Sarah untuk berjumpa dengan rakan-rakan pekak yang lain. Seronok dapat berjumpa dengan mereka semua. Mana tidaknya, banyak perkara yang diceritakan oleh mereka sehinggakan saya sendiri tidak berasa puas makan dirumah Sarah. Hehehehe..
Tiba-tiba mata saya teralih kepada rakan sekelas saya yang lain. Saya melihat mereka asyik memandang golongan pekak yang berada didalam rumah sahaja. Saya cuba memanggil mereka masuk untuk bersama-sama berborak. Namun, mereka semua berasa malu. Sudah beberapa banyak kali saya mengajak mereka masuk, tetapi mereka hanya memandang dan malu untuk bersama dengan kumpulan orang pekak. Saya lihat Sarah pula sibuk melayan tetamu tidak kira rakannya yang pekak mahupun yang normal. Nampak letih Sarah, keluar dan masuk dari rumah kerana ingin menjaga perasaan rakan-rakannya yang normal dan pekak.
Dipendekkan cerita, selepas selesainya majlis kesemua berangkat pulang . Semuanya nampak seronok dengan rumah terbuka Sarah. Pada keesokkan harinya, sewaktu didalam kelas saya bertanya kepada rakan-rakan saya, seronok atau tidak pergi ke rumah Sarah. Mereka menjawab seronok tanpa wajah yang gembira. Saya berjumpa dengan seorang sahabat kelas saya, kerana saya yakin dia seorang yang jujur, saya bertanya kepada dia adakah awak seronok datang ke rumah Sarah? Tetapi dia mengatakan tidak.. Saya bertanya, kenapa pula tidak? Sedangkan makanan dan layanan yang diberikan oleh Sarah sangat bagus. Sahabat saya mengakui bahawa makanan dan layanan yang diberikan oleh Sarah sangat bagus dan sedap. Namun, apa yang menyedihkan ialah kenapa orang pekak dan orang normal perlu mengasingkan kumpulan masing-masing. Sahabat saya sedar, bahawa dia tidak lancar dan mahir berisyarat seperti golongan pekak yang lain, tetapi sahabat saya merasakan seolah-olah golongan pekak tidak mahu berkawan dengan golongan normal. Adakah mereka tidak suka golongan normal yang tidak lancar berisyarat?. Selain itu, sahabat saya menyatakan golongan pekak seolah-olah sombong dan tidak mahu bergaul dengan golongan normal. Sahabat saya juga, menyatakan dia berasa cemburu dengan saya kerana saya boleh menyertai kumpulan orang pekak dan boleh berisyarat dengan cepat.
Kemudian, saya menerangkan kepada sahabat saya tersebut. “ Cuba jika kamu seorang yang pekak. Kemudian, kamu ke majlis rumah terbuka orang normal. Orang normal yang tidak tahu berbahasa isyarat pasti mereka mengetepikan kamu. Kemudian kamu pula cuba bercakap dengan orang normal, tetapi sebutan kamu tidak jelas. Agak-agak kamulah, adakah orang normal akan berkomunikasi dan bercakap dengan kamu? Adakah mereka berasa berminat dengan kamu? Mungkin mereka berasa minat tetapi mereka tidak tahu untuk berkomunikasi dengan kamu….” Saya cuba memberitahu sahabat saya lagi, “ Apa yang kamu rasa di rumah Sarah begitulah golongan pekak rasa ketika bergaul dengan orang normal. Jadi kamu kena faham apa yang mereka rasa dan situasi yang sebenar”
Banyaklah perkara yang saya terangkan kepada sahabat saya tentang kehidupan orang pekak. Saya terangkan kepada dia, “kenapa kamu perlu cemburu dengan saya, sedangkan saya tidaklah semahir manapun. Apa yang penting kamu kena pandai dalam bersosial dengan orang dan tahu caranya”. Akhirnya rakan saya memahami apa yang diperkatakan oleh saya.
Itulah dilemma yang sering dialami antara orang pekak dan orang normal. Saya masih tertanya-tanya, kenapa masing-masing tidak mahu cuba untuk berinteraksi antara satu sama lain?. Kenapa perlu di asingkan antara dunia orang pekak dan dunia orang normal?
Saya sendiri akui semasa beraya dirumah Sarah orang pekak cuba mewujudkan halangan antara orang normal. Mereka kurang hendak berisyarat dengan orang normal.Malah mereka menyatakan kepada Sarah bahawa mereka berasa pelik dengan orang normal kerana selalu mermerhatikan gerakan mereka.
Saya pelik kalau keadaan seperti ini berterusan sampai sekarang sampai bila golongan pekak dan golongan normal akan dapat bersatu dan hidup dalam komuniti. Sebenarnya, daripada cerita yang saya kupaskan ini menunjukkan bahawa hubungan antara orang pekak dengan orang normal masih mempunyai keasingan lagi. Hal ini demikian kerana, faktor komunikasi yang telah menyebabkan wujud permasalahan ini.
Namun, perkara ini harus ditanggani oleh kedua-dua pihak dan tidak hanya menunding jari. Misalnya, jika golangan normal ingin berkomunikasi dengan golongan pekak, maka golongan normal perlulah mengambil langkah untuk memahirkan diri dalam bersosial dan berkomunikasi. Apa yang dikatakan oleh sahabat saya terhadap tiada kelancaran dalam berbahasa isyarat itu adalah tanggapan yang salah. Hal ini demikian kerana, kebanyakan orang pekak amat menyukai orang normal berisyarat malah mereka akan sentiasa membantu jika terdapat kekurangan dalam berisyarat. Namun orang pekak juga, perlu sedar bahawa golongan normal mempunyai sifat malu untuk berisyarat jadi golongan pekak seharusnya mengambil perhatian dan mengajak mereka turut sama dalam perbualan agar sifat kesensitifan tidak wujud dalam diri.
Elakkan mewujudkan sesuatu kepuakan apabila berada di dalam sesuatu tempat. Sebagai contoh yang berlaku di rumah Sarah, golongan pekak berada di dalam rumah, manakala golongan normal berada di luar rumah. Wujudkan interaksi dan percampuran antara satu sama lain. Mungkin dengan ini sikap ketidakasingan tidak akan wujud. Bagi golongan pekak jangan hanya melayan orang normal yang mahir dalam berisyarat sahaja tetapi cuba melayan orang normal yang ingin belajar bahasa kalian . Saya pasti, dengan tindakan yang dilakukan oleh anda, pasti bahasa anda akan sentiasa berkembang dari semasa ke semasa. Manakala bagi golongan normal pastikan anda cuba mengenali budaya orang pekak dengan lebih lagi. Jangan hanya memikirkan diri sendiri, kerana golongan pekak juga pernah mengalami perkara keasingan dalam diri apabila bergaul dengan golongan normal. Saya pasti jika kalian sentiasa mengalah dan membantu antara satu sama lain perpaduan dan kerjasama akan wujud dalam diri golongan normal dan golongan pekak.
Kesimpulannya, saya berharap agar perkara sebegini dapat ditangani dengan segera, jangan menyalahkan orang tetapi menyalahkan diri sendiri. Allah menjadikan kita tidak sempurna. Dengan ketidaksempurnaan itulah maka kita seharusnya saling bergantung antara satu sama lain. Sekian… :-)
Kenapalah Allah wujudkan OKU??? Kerana dia nak duga orang normal seperti kita. Adakah kita ini berterima kasih kepadaNya... Dia pun duga orang OKU itu sendiri nak lihat jalan yang dipilih mereka dalam mentaati suruhanNya.
BalasPadambtul apa yg cikgu katakn.. terima kasih cikgu kerana sudi lawat..
BalasPadamterima kasih atas komen kamu. silalah baca blog saya. salam sejahtera n selamat berkenalan.
BalasPadamKalau kamu seorang engineer,apa alat yang kamu rasa dapat membantu memberi kemudahan pada orang pekak?
BalasPadam