Ahad, 25 November 2012

TEKAD 3 : KEMAHIRAN EKSPRESI MUKA DAN BAHASA BADAN.




Sebagai seorang guru bermasalah pendengaran salah satu kemahiran yang perlu dikuasai ialah kemahiran ekspresi muka dan bahasa badan. Apa itu ekspresi muka?. Ekspresi muka ataupun air muka dikatakan sebagai satu bayangan kepada jiwa manusia. Jika ekspresi muka seseorang itu berubah, maka berubahlah emosinya. Ekspresi muka merupakan suatu komunikasi non-verbal. Melalui ekspresi kita dapat mengetahui perasan dan emosi seseorang.

Kepentingan ekspresi muka dalam pembelajaran dan pengajaran.

Di dalam pembelajaran dan pengajaran kepada murid bermasalah pendengaran, ekspreksi muka sangat penting digunakan.  Hal ini kerana, melalui ekspresi muka sesuatu pembelajaran dan pengajaran  dapat disampaikan dengan jelas walaupun tanpa berisyarat. Bagi murid bermasalah pendengaran pembelajaran dan pengajaran yang dilakukan oleh guru  tanpa ekspresi muka akan menyebabkan suasana di dalam kelas menjadi bosan.  Selain itu, ekspresi muka melambangkan emosi yang ingin ditonjolkan oleh guru. Misalnya, sekiranya guru berasa suka maka  guru akan menunjukkan wajah suka tetapi sekiranya guru marah maka guru akan  menunjukkan wajah yang marah.







Kepentingan bahasa badan dalam pembelajaran dan pengajaran.

Bahasa badan merupakan suatu bentuk ekspresi seseorang yang terpamer bukan daripada mulut tetapi adalah suatu bentuk komunikasi bukan suara. Dengan lebih tepat lagi, bahasa badan adalah kenyataan perilaku badan seseorang secara gesture bagi menterjemahkan suatu makna yang tersendiri dan banyak melibatkan pergerakan mata dan tangan. Kajian yang dilakukan oleh Albert Mehrabian mengatakan bahawa sebanyak 60% hingga 70% kamunikasi yang terpamer adalah hasil daripada bahasa badan.  Bahasa badan amat mempengaruhi kehidupan manusia dan merangkumi semua peringkat lapisan.

Sebagai guru pendidikan khas bermasalah pendengaran  bahasa badan boleh menjelaskan sesuatu aksi dengan menyatakan sesuatu makna atau petunjuk kepada muridnya. Bahasa badan boleh menterjermahkan sikap guru  sewaktu berkomunikasi samada guru  itu dalam mood yang bagus, agresif, memerlukan perhatian daripada murid,  bersedia, kebosanan, memahami arahan guru  dan sebagainya.








Mengapakah  murid bermasalah pendengaran bergantung kepada ekpresi muka dan bahasa badan?

Disebabkan masalah pendengaran yang dihadapi oleh mereka maka seorang guru pendidikan khas bermasalah pendengaran perlu megetahui bahawa mereka bergantung kepada visual semata-mata. Ada sesetengah guru tidak mahu menunjukkan ekspresi muka dan bahasa badan dalam mengajar. Hanya berisyarat semata-mata. Cara sebegitu akan menyebabkan murid bermasalah pendengaran tidak memahami perkara yang diajar oleh guru. Hal ini kerana, bukan kesemua murid bermasalah pendengaran mengetahui isyarat yang disampaikan oleh guru terutamanya murid tahap satu yang masih lagi lemah dalam pembendaharaan kata. Oleh itu, peranan seorang guru bermasalah pendengaran dalam menunjukkan ekspresi muka dan bahasa badan adalah sangat penting supaya pembelajaran dan pengajaran yang  ingin disampaikan tercapai.



Rasulullah turut menggunakan ekspresi muka dan bahasa badan dalam pendidikan.

Sebenarnya, di dalam Islam kaedah ini juga merupakan salah satu kaedah pendidikan yang telah digunakan oleh Rasulullah dalam menerangkan sesuatu hal dan memberi kefahaman terhadap sesuatu perkara yang cukup penting. Menurut Sheikh Abdul Fattah Abu Ghubbah (2011), Rasulullah sering menggunakan isyarat melalui anggota tubuh badan baginda sebagai sokongan atau penguat terhadap sesuatu perkara yang baginda ingin jelaskan. Kaedah tersebut dapat dilihat dalam hadis Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim (dengan lafaz hadis berasal dari Imam Al-Bukhari) meriwayatkan dari Abu Musa Al Asy`ari bahawasanya Rasulullah SAW bersabda :

“Perumpaan orang mukmim bagi mukmim yang lain adalah laksana sauatu bangunan yang bahagian-bahagaiannya saling mengukuhkan satu sama lain”. Kemudian, Baginda menganyam jari-jari kedua tangannya dan mengerakkan anggota badannya sebagai isyarat penjelasannya.

Kesimpulannya, ekspresi muka dan bahasa badan amat penting dalam menyampaikan pembelajaran dan pengajaran kepada murid bermasalah pendengaran. Pembelajaran dan pengajaran akan menjadi lebih bermakna dan menyeronokkan  sekiranya seseorang guru tahu untuk menggunakan anggota badannya dalam menyampaikannya  kepada murid-murid.


Kata meeze : bila mengajar murid bermasalah pendengaran dengan betul-betul menggunakan bahasa badan dan ekspresi muka memang agak berpeluh dan penat. Wahhh… sakit badan dibuatnya.. Mana taknya nak bagi mereka faham.. kadang-kadang tu, nak terangkan sesuatu tu bukan main susahnya walaupun dah buat bahasa badan dan ekspresi muka, sebab perlukan kreativiti yang sangat tinggi. 






Sabtu, 24 November 2012

PERNAH JUMPA AUDIOLOGIS TAK?



Siapakah audiologis ya? Bagi yang tidak berkecimpung dalam bidang yang melibatkan pendengaran kebanyakannya tidak mengetahui peranan dan perkhidmatan yang dimainkan oleh seorang audiologis. Di Malaysia bidang audiologi ini masih baru bertapak di negara ini. Namun, sebenarnya bidang audiologi merupakan bidang yang sangat penting kepada manusia dalam memberi perkhidmatan yang berkaitan dengan pendengaran.

Perkhidmatan audiologi adalah suatu perkhidmatan yang dijalankan oleh Pegawai Pemulihan Perubatan Pendengaran atau dikenali sebagai Audiologis. Audiologis merupakan suatu profesional bertauliah yang terlibat dalam pencegahan, pengenalpastian, penilaian dan pengurusan masalah yang berkaitan dengan pendengaran. Antara perkhidmatan yang dilakukan seorang adudiologis ialah :

a)Membuat penilaian dan pengesahan terhadap status pendengaran seseorang.
b)Membuat preskripsi pemasangan dan pengendalian alat pendengaran.
c)Menjalankan konservasi, intervensi dan rehabilitasi masalah pendengaran.
d)  Membuat saringan pendengaran.
e)Menjalankan khidmat nasihat dan kaunseling yang berkaitan dengan masalah pendengaran.

Sekiranya anda mempunyai masalah pendengaran segeralah  berjumpa dengan audiologis. Jangan berasa malu untuk berjumpa kerana audiologis sangat berkemahiran dalam memberi perkhidmatan yang berkaitan dengan pendengaran. Antara prosedur yang perlu dilakukan untuk mendapatkan perkhidmatan audiologi ialah :-

    a)  Pastikan anda mendapat rujukan daripada mana-mana pegawai perubatan sama ada di hospital, klinik kerajaan atau swasta.
  b)  Kemudian, dapatkan temujanji di Klinik Pakar telinga, hidung dan tekak, hospital negeri atau hospital daerah yang terpilih.
   c)   Setelah mendapatkan temujanji pastikan anda hadir ke temujanji tersebut mengikut masa dan tarikh yang telah ditetapkan.
   d)  Selepas itu, anda akan menjalankan ujian pendengaran bersama audiologis.
  e) Audiologis akan menjalankan ujian dan sekiranya anda didapati menghadapi masalah pendengaran maka anda diberikan rawatan atau intervensi yang selanjutnya. 

Senang bukan, tidak susah pun untuk mendapatkan perkhidmatan audiologis. Kadang-kadang kita rasakan telinga kita boleh mendengar dengan baik. Namun, kita tidak mengetahui berapakah tahap dan kemampuan pendengaran yang kita miliki sekarang. Oleh itu, mulai sekarang jagalah telinga dan pendengaran anda baik-baik supaya kita tidak tergolong dalam golongan yang bermasalah pendengaran.



Kata meeze : Alhamdulillah, setelah menjalankan pemeriksaan dengan audiologis, pendengaran saya masih lagi dalam keadaan baik. Namun, saya perlu berjaga-jaga sebab keadaan bunyi di persekitaran di sekeliling saya mampu mengikis sedikit demi sedikit  tahap pendengaran saya. 








Ahad, 18 November 2012

TEKAD 2 : PERSEDIAAN YANG PERLU ADA BAGI SEORANG GURU PENDIDIKAN KHAS BERMASALAH PENDENGARAN.



Kerjaya guru pendidikan khas bermasalah pendengaran salah satu kerjaya yang mencabar di dalam dunia pendidikan. Apabila mengajar murid bermasalah pendengaran seorang guru perlu sedar bahawa mereka menghadapi murid-murid yang kurang pendengaran, tidak boleh mendengar dan tidak boleh bertutur dengan baik. Oleh itu, masalah utama yang mereka hadapi adalah dari aspek masalah komunikasi. Disebabkan masalah ini menyebabkan pemerolehan bahasa mereka terhad dan perkara-perkara abstrak agak sukar untuk mereka tafsir.

Oleh itu, sebagai guru pendidikan khas masalah pendengaran mereka perlu mempersiapkan diri mereka dalam menghadapi murid sedemikian. Antara persediaan yang perlu dihadapi oleh mereka ialah :-

a)       Kemahiran dalam komunikasi seluruh.

Bagi pendapat saya, guru bermasalah pendengaran perlu menguasai kemahiran komunikasi seluruh. Kebanyakan guru bermasalah pendengaran agak kurang memahami apa itu komunikasi seluruh. Komunikasi seluruh merupakan suatu komunikasi yang menggunakan komponen-komponen seluruh fizikal  yang terdiri daripada Kod tangan, ejaan jari, gestur tangan, bacaan bibir, pertuturan, bahasa isyarat, bahasa badan,  penggunaan amplifikasi, bahan bantu mengajar, mimik muka, dan tulisan. Oleh itu, komunikasi seluruh ini menjadikan murid-murid bermasalah pendengaran lebih memahami sesuatu perkara yang diajar oleh guru. Maka, perkara ini sangat penting bagi seorang guru bagi menghadapi murid bermasalah pendengaran.


b) Daya kreativiti yang tinggi.

Mempunyai daya kreativiti yang tinggi perlu ada bagi seorang guru pendidikan khas bermasalah pendengaran. Hal ini kerana, seorang guru perlu mempunyai kreativiti dalam menyampaikan pengajaran kepada murid pekak. Kreativiti dalam penyediaan bahan bantu mengajar yang sesuai dan cara penyampaian yang menarik perlu dimiliki oleh seorang guru bermasalah pendengaran kerana murid sebegini mempunyai kesukaran dalam memahami pengajaran yang disampaikan terutamanya perkara yang berkaitan dengan abstrak. Mereka memerlukan alat-alat bantu mengajar yang bersesuaian serta teknik atau cara penyampaian guru yang betul.

c)     Kefahaman terhadap budaya pekak.

Budaya pekak merupakan suatu budaya yang diamalkan oleh komuniti pekak. Budaya ini merupakan suatu budaya yang unik dan adakalanya berbeza dengan budaya normal. Sebagai guru bermasalah pendengaran kefahaman mereka mengenai budaya pekak amat perlu supaya guru dapat mengetahui kehidupan dan cara hidup yang diamalkan oleh murid-muridnya. Hal ini supaya guru tidak akan berasa janggal dan menghadapi kesukaran dalam mendidik murid-murid bermasalah pendengaran. 

d)     Mempunyai pengetahuan terhadap ilmu kepekakan.

Bagi seorang guru pendidikan khas masalah pendengaran mereka perlulah mengetahui serba-sedikit ilmu kepekakan. Misalnya, pengetahuaan mengenai audiologi, pertuturan, perkembangan psikologi murid bermasalah pendengaran dan sebagainya. Hal ini supaya, dapat menjadikan guru bermasalah pendengaran seorang guru yang istimewa dan mengetahui tentang perkara yang berkaitan dengan masalah yang dihadapi oleh muridnya.

Oleh itu, seorang guru pendidikan khas bermasalah pendengaran perlu mempunyai persediaan yang rapi dalam mendidik murid-murid sebegini. Kebanyakan guru yang telah dipilih untuk mengajar murid bermasalah pendengaran tidak mengambil serius terhadap perkara-perkara ini. Mereka hanya melepas tangan dan mengambil perkara ini dengan sambil lewa. Kesannya, pembelajaran dan pengajaran yang disampaikan tidak dapat dicapai oleh murid-murid. 

Kesimpulannya, walau dimanapun kita ditempatkan, perkara yang penting kita perlu sedar dan mengambil tindakan yang sewajarnya supaya rezeki yang kita perolehi itu diberkati oleh Allah SWT. Tidak cepat melatah dan tidak cepat merungut malah menjadikan sesuatu dengan lebih positif agar pengalaman dan ilmu kita lebih meluas. Insyallah.. :)






Kata meeze : saya menurut perintah.. :) ikut je mana-mana pergi yang penting kita berusaha yang terbaik untuk murid kita... 


Ahad, 11 November 2012

DATANG DAN PERGI



Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Yang Menciptakan alam semester ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi kita Nabi Muhammad SAW. Subahanallah, Alhamdulillah, Allahuakhbar. Bersyukur saya kehadrat Ilahi akhirnya perjuangan saya selama lima tahun setengah telah berjaya saya harungi bersama dengan rakan-rakan seangkatan. Pelbagai cabaran, dugaan, manis dan pahit yang telah saya tempuh sepanjang saya  belajar di bumi Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas Kuala Lumpur.

Memang cita-cita saya sejak dari kecil lagi ingin menjadi seorang guru. Teringat semasa kecil-kecil dahulu selalu main cikgu-cikgu bersama dengan adik-adik jiran. Apabila masuk ke sekolah suka sangat buat perbentangan di kelas terutamanya matapelajaran yang digemari iaitu matapelajaran Sejarah. Perasanlah kononnya nak jadi Cikgu. Bersemangat betul bila bentang.  Namun, selepas habis SPM peluang untuk menjadi guru terhad sebabnya Universiti tidak menawarkan bidang ini. Jadi kena masuk tingkatan 6, matrikulasi atau mesti ada diploma terlebih dahulu baru boleh sambung Ijazah dalam bidang pendidikan. Hampa sangat-sangat. Selepas itu,  Allah telah membuka hati Mak Uda untuk meminta saya memohon bidang perguruan di IPG. Hati masa tu sangat gembira sebab masih dapat peluang untuk jadi guru tetapi bidang subjek perguruan yang ditawarkan di IPG bukanlah subjek yang saya suka. Sebenarnya, cita-cita saya hendak menjadi guru matapelajaran Sejarah dan ekonomi. Tapi tak mengapalah mohon sahaja. Maka saya mengambil kos bahasa Melayu, Pendidikan Seni dan Pendidikan Jasmani. Alhamdulillah, pemohonan dan temuduga saya berjaya. Kemudian saya menerima surat tawaran untuk masuk ke IPG. Pada mulanya ingin menolak sebab semua tawaran saya tolak dengan alasan nak jadi guru sejarah dan ekonomi. Oleh itu,  saya bernekad untuk ingin menyambung pelajaran ke tingkatan 6 walaupun masa itu ramai yang tentang habis-habisan kerana saya menolak banyak tawaran belajar ke tempat lain. Hal ini kerana, selepas tingkatan 6 niat saya hendak menyambung bidang pendidikan di Universiti yang menyediakan bidang pendidikan dalam kos sejarah dan ekonomi.

Namun, setelah dibasuh oleh Mak Uda saya akhirnya saya menerima juga tawaran ke IPG. Suka memang suka dapat jadi guru, tetapi tidak suka sebab subjek saya adalah subjek yang agak kurang diminati. Setelah masuk ke IPG terkejut saya apabila rupa-rupanya saya bukanlah dalam subjek bahasa Melayu tetapi dalam subjek pendidikan khas. Memang ketika dapat surat tawaran pun tidak perasan perkataan “pendidikan khas” hanya tulis bahasa melayu (pendidikan khas). Terus-terang memang saya tak perasan dengan kurungan tu sewaktu menerima surat tawaran.  Terkilan dan kecewa hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu. Mana tidaknya bidang yang saya tidak kenal langsung. Malah di dalam pemikiran saya ketika itu pendidikan khas adalah guru-guru yang mengajar murid-murid terencat akal, budak-budak yang meleleh air liur dan sebagainya. Memang suatu tamparan hebat buat diri saya. Menangis juga dibuatnya sebab hendak patah balik tidak boleh sebab keadaan keluarga pada masa itu bukanlah senang. Jadi redha dan terpaksa menerima kenyataan.

Kemudian, setelah belajar di IPG IK sedikit demi sedikit saya dapat menerimanya. Akhirnya jiwa saya tertarik dengan bidang pendidikan khas dan berasa bangga apabila dipilih oleh Allah untuk menjadi guru pendidikan khas. Memang ramai orang memperlekehkan guru-guru pendidikan khas. Sehingga kini masih ada lagi yang memperlekehkan dan merendah-rendahkan kerjaya guru pendidikan khas. Mana tidaknya guru pendidikan khas mengajar budak-budak OKU. Apalah kebanggaan yang boleh dirasa apabila ajar budak OKU.  Bagi saya, biarlah apa orang hendak cakap saya tidak kisah, sebab saya tahu kerjaya guru pendidikan khas bukan suatu kerjaya yang senang. Mendidik orang normal suatu benda yang boleh kita lakukan tetapi untuk mendidik manusia yang kurang sempurna? Siapa yang mahu? Bukan suatu perkara yang senang. Walaupun murid-muridnya sedikit tetapi beban untuk mendidiknya umpama mengajar satu kelas murid normal. Alhamdulillah, saya bersyukur Allah telah memilih saya untuk menceburi bidang ini kerana perkara inilah menyebabkan saya kuat menyakini dengan setiap ketentuan Allah pasti ada hikmahnya. Allahuakhbar, Allahuakhbar, Allahuakhbar!. Seperti dalam surah Al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud :

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupan.

Dalam ayat ini menunjukkan bahawa sebenarnya Allah tidak memberati seseorang melainkan yang terdaya olehnya. Oleh itu, segala dugaan, ujian dan perkara-perkara yang ditentukan olehNya kepada kita adalah kerana Allah yakin dan tahu bahawa kita mampu untuk meghadapi dan melakukannya.

Akhirnya setelah 5 tahun setengah saya berjaya menempuh segala-galanya di bumi IPGIK yang bertuah ini. Banyak perkara yang telah saya pelajari. Bermula lepasan SPM dari bersikap kebudak-budakan sehingga menjadi matang (tetapi ada juga sikap kebudak-budakan tak boleh nak lari.. hehehehe) Di IPGIK juga, barulah saya mengenali erti kehidupan yang sebenar tanpa orang tua di sisi kita, dan mengenali pelbagai jenis ragam manusia,  pengurusan, pentadbiran dan pelbagai ilmu yang sangat berharga. Bersyukurnya saya ilmu yang ada ini dapat saya menyumbangkan  bakti kepada golongan OKU terutamanya golongan pekak.  Bersyukur juga saya kepada Allah kerana Dia banyak memberi peluang dan pengalaman hidup yang cukup bermakna buat saya bersama dengan rakan-rakan, golongan dewasa, golongan OKU dan sebagainya. Alhamdulillah.. Segala puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam. Tiada Tuhan  selain Allah Nabi Muhammad itu persuruh Allah.

Leganya hati apabila selesai sudah pengajian ini. Ujian yang baru pula tiba apabila terpaksa berpisah dengan rakan-rakan, pensyarah-pensyarah dan staf-staf di IPGIK. Namun, saya perlu kuat untuk meneruskan hidup ini kerana memang menjadi lumrah kehidupan setiap yang datang pasti akan pergi. Pada mulanya memang agak sedih tetapi kita sebagai manusia perlu redha dan menerima segala ketentuanNya. Mungkin lagu Doa perpisahan yang dinyanyikan oleh kumpulan nasyid Brothers ini dapat menerangkan segala-galanya:-

Pertemuan kita di suatu hari
Menitikkan ukhuwah yang sejati
Bersyukurku kehadap Illahi
Di atas jalinan yang suci

Namun kini perpisahan yang terjadi,
Dugaan yang menimpa diri,
Bersabarlah diatas suratan,
Kutetap pergi jua.

Kan kuutuskan salam ingatanku,
Dalam doa kudusku sepanjang waktu,
Ya Allah bantulah hamba-Mu.

Mencari hidayah dari pada-Mu,
Dalam mendidikan kesabaranku,
Ya Allah tabahkan hati hamba-Mu,
Diatas perpisahan ini.


Teman betapa pilunya hatiku,
Menghadapi perpisahan ini,
Pahit manis perjuangan,
Telah kita rasa bersama,
Semoga Allah meredhai,
Persahabatan dan perpisahan ini,
Teruskan perjuangan.


Kan kuutuskan salam ingatanku,
Dalam doa kudusku sepanjang waktu,
Ya Allah bantulah hamba-Mu,
Senyuman yang tersirat di bibirmu,
Menjadi ingatan setiap waktu,
Tanda kemesraan bersimpul padu,
Kenangku di dalam doamu,
Semoga… Tuhan berkatimu.

Akhir kata, mungkin selepas ini ada lagi cabaran yang bakal saya tempuh. Mungkin akan lebih besar lagi, siapa tahu. Namun, seperti yang saya katakan tadi segala perkara yang berlaku ada hikmahnya.  Terima kasih atas segala-galanya kepada insan-insan yang mengenali diriku ini semasa di IPGIK.  Hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya. Sekian…


Kata Meeze 1 : semoga perhubungan kita berkekalan sampai bila-bila.. :)

(datang dan pergi hmmm..dalam tengah sedih berpisah dengan teman-teman  tiba-tiba muncul seorang kenalan baru dari seberang (negara mana tu??) hehehe... Semoga ukhwahku dengannya akan terjalin dengan baik. Insyallah.)

bersama-sama rakan seperjuangan...











bersama rakan karib...





bersama anak murid... 









sayang kamu semua... :)









Ahad, 28 Oktober 2012

KEDAI KOPI




Kawan…kita jumpa di kedai kopi hujung kampung yang warna merah kuning tu…kita duduk di sudut kanan menghadap laut yang tenang. Puas kita bercerita tentang alam, politik, dunia, ekonomi, agama, sains dan hidup. Bukan kita sahaja, semua pengemar kopi turut sama bersenandung.

Lihat kedai kopi itu, sana-sini penuh dengan pengemar kopi yang riuh berbicara. Adakala lebih dari hakim menjatuh hukum, lebih peguam membela pesalah, lebih polis menyiasat kes, lebih doktor membedah pesakit, lebih ustaz memberi ceramah, lebih chef menambah rasa, lebih saintis menguji teori, lebih pengacara mengulas berita…segala-galanya lebih, tak de yang kurang. Ada juga hanya memerhati, tertawa senyum melihat canda setiap pengemar kopi yang lain. Puas menikmati kopi yang harum bersama sepinggan pisang goreng… Hari pasti ceria selepas itu…

Kawan…bila duduk di sofa empuk rumah, ada terfikir tak…bagaimana kita di kedai kopi itu? Agak-agak reaksi kita terlebih atau terkurang? Rasanya seperti perlu membawa cermin ke mana pergi, mudah untuk melihat refleksi pantulan diri. Setuju? Esok jangan lupa ye, bertamu ke kedai kopi itu bersama cermin…



(Penulisan daripada kakakku yg disayangi Nurulsaidah bt Abdul Rahim) 




kata meeze : cerita di kedai kopi..... :)



Ahad, 9 September 2012

KAEDAH MUDAH MEMPELAJARI AL-QURAN UNTUK GOLONGAN BERMASALAH PENDENGARAN




Coretan meeze kali ini, ingin mendedahkan kepada masyarakat terutamanya golongan bermasalah pendengaran mengenai suatu kaedah yang mudah bagi golongan ini untuk  mempelajari Al-Quran.

Bagi makluman anda semua, di Universiti Malaya terdapat suatu Akademik Fakih Intelek yang memberi pendedahan kepada golongan OKU seperti golongan bermasalah pembelajaran dan golongan bermasalah pendengaran untuk mempelajari Al-Quran. Suatu perkara yang menarik dalam Akademik ini ialah murid-murid berkeperluan khas ini mampu membaca Al-Quran dengan baik. Malah mereka dapat menghafal surah-surah di dalam Al-Quran.

Selain itu, bagi golongan bermasalah pendengaran mereka turut mempunyai suatu kaedah yang sesuai yang dikenali sebagai kaedah Fakih. Mereka juga, turut menerbitkan sebuah buku kaedah Fakih bagi memberi pendedahan kepada masyarakat dan peluang kepada golongan bermasalah pendengaran mempelajari Al-Quran dengan mudah. Bagi makluman anda semua, penulis buku ini iaitu Ustazah Nor Aziah Mohd Daud yang merupakan guru mata pelajaran Pendidikan Islam kepada golongan bermasalah pendengaran  telah memenangi pertandingan Inovasi 2010 dengan memperkenalkan kaedah ini. Buku Kaedah Fakih ini mempunyai 7 bahagian buku yang dimulai dengan Fakih Quran asas, Fakih Quran 1, Fakih Quran 2, Fakih Quran 3, Fakih Quran 4, Fakih Quran 5, dan Fakih Quran 6. Dengan adanya buku ini diharapkan dapat membantu golongan bermasalah pendengaran atau golongan OKU yang lain supaya dapat mempelajari dan membaca Al-Quran serta mendapat barakahnya seperti golongan normal yang lain.



 

Akademik Fakih


 

 

Buku Kaedah Fakih


 






Antara tenaga pengajar dan murid bermasalah pendengaran yang terlibat dalam Akademik Fakih




Alhamdulillah, saya berasa bersyukur kerana Allah telah membuka hati-hati insan sebegini untuk memberi bantuan kepada golongan istimewa. Kini, peluang untuk mempelajari Pendidikan Islam kepada golongan OKU telah terbuka luas. Semoga usaha-usaha mereka ini dapat membantu golongan istimewa ini supaya lebih mendalami dan mempelajari agama Islam. Insyallah…



Kata meeze : teringat kepada Surah Abasa ayat 1-11 ..... maksud FAKIH ialah Faham Al-Quran Kehidupan Insyallah Hebat!. 




TEKAD 1 : KEADAAN KELAS MURID BERMASALAH PENDENGARAN


Baiklah, sebagai permulaan dalam memulakan ruangan TEKAD ini, saya akan memperkenalkan bentuk kelas yang ideal atau sesuai kepada murid bermasalah pendengaran. Kelas murid bermasalah pendengaran tidak seperti kelas normal. Kuantiti murid di dalam kelas adalah sekurang-kurangnya 6 atau 5 orang murid tetapi kalau lebih mungkin kurang daripada 10 orang.

Keadaan persekitaran kelas murid bermasalah pendengaran perlulah dalam keadaan yang kondusif. Tidak terganggu dengan bunyi-bunyiaan atau kalis bunyi. Perkara ini supaya murid bermasalah pendengaran yang memakai alat bantu dengar tidak menghadapi tekanan atau terkeliru dengan bunyi yang didengar. Kelas yang ideal perlulah dipasang karpet supaya dapat menyerap bunyi serta dinding-dinding perlulah kalis bunyi. Penggunaan perabot perlulah menggunakan perbot kayu atau plastik. Elakkan menggunakan perabot  yang boleh menghasilkan bunyi yang kuat seperti perabot besi.  Tingkap dan pintu perlulah ditutup supaya dapat mengurangkan kemasukan bunyi. Dari sudut pencahayaan, kelas murid bermasalah pendengaran mestilah mempunyai keadaan cahaya yang cukup tidak terlalu terang dan tidak telalu gelap serta keadaan udara yang selesa.

Dari segi susun atur bilik darjah bagi murid bermasalah pendengaran ialah susun atur yang dinamakan U-shape. Susunan seumpama  ini merujuk kepada  susunan tempat duduk murid yang berbentuk menyerupai  huruf U (bentuk ladam) dan guru perlu mengajar murid sambil duduk (mengikut kesesuaian, misalnya murid tahap satu digalakkan duduk supaya mereka tidak sakit kepala untuk mendongak kepala melihat guru berisyarat).

Sesi pembelajaran kanak-kanak bermasalah pendengaran terbahagi kepada dua :-
a)  Sesi komunikasi seluruh – semasa sesi pengajaran diberi secara total oleh guru tanpa melibatkan sebarang aktiviti lain melainkan aspek murid menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap apa yang disampaikn oleh guru melalui penggunaan bahasa isyarat.

b)   Sesi sudut kerja – sebaik sahaja murid telah habis melalui komunikasi seluruh mereka akan berpindah ke meja-meja yang diletakkan di bahagian belakang bilik darjah bagi melakukan aktiviti penulisan mahupun tugasan lain.

Kesimpulannya, apa yang dinyatakan oleh saya  adalah kelas yang IDEAL, tetapi realitinya tidak semua sekolah bermasalah pendengaran mempunyai kelas sebegini.  Namun, apa yang saya nyatakan adalah sebagai pengetahuan anda semua mengenai kelas yang sewajarnya perlu diberikan kepada murid bermasalah pendengaran.







Kata meeze : Ada ke kelas bermasalah pendengaran di Malaysia macamni? Huhuhu.. 


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...