Ahad, 18 November 2012

TEKAD 2 : PERSEDIAAN YANG PERLU ADA BAGI SEORANG GURU PENDIDIKAN KHAS BERMASALAH PENDENGARAN.



Kerjaya guru pendidikan khas bermasalah pendengaran salah satu kerjaya yang mencabar di dalam dunia pendidikan. Apabila mengajar murid bermasalah pendengaran seorang guru perlu sedar bahawa mereka menghadapi murid-murid yang kurang pendengaran, tidak boleh mendengar dan tidak boleh bertutur dengan baik. Oleh itu, masalah utama yang mereka hadapi adalah dari aspek masalah komunikasi. Disebabkan masalah ini menyebabkan pemerolehan bahasa mereka terhad dan perkara-perkara abstrak agak sukar untuk mereka tafsir.

Oleh itu, sebagai guru pendidikan khas masalah pendengaran mereka perlu mempersiapkan diri mereka dalam menghadapi murid sedemikian. Antara persediaan yang perlu dihadapi oleh mereka ialah :-

a)       Kemahiran dalam komunikasi seluruh.

Bagi pendapat saya, guru bermasalah pendengaran perlu menguasai kemahiran komunikasi seluruh. Kebanyakan guru bermasalah pendengaran agak kurang memahami apa itu komunikasi seluruh. Komunikasi seluruh merupakan suatu komunikasi yang menggunakan komponen-komponen seluruh fizikal  yang terdiri daripada Kod tangan, ejaan jari, gestur tangan, bacaan bibir, pertuturan, bahasa isyarat, bahasa badan,  penggunaan amplifikasi, bahan bantu mengajar, mimik muka, dan tulisan. Oleh itu, komunikasi seluruh ini menjadikan murid-murid bermasalah pendengaran lebih memahami sesuatu perkara yang diajar oleh guru. Maka, perkara ini sangat penting bagi seorang guru bagi menghadapi murid bermasalah pendengaran.


b) Daya kreativiti yang tinggi.

Mempunyai daya kreativiti yang tinggi perlu ada bagi seorang guru pendidikan khas bermasalah pendengaran. Hal ini kerana, seorang guru perlu mempunyai kreativiti dalam menyampaikan pengajaran kepada murid pekak. Kreativiti dalam penyediaan bahan bantu mengajar yang sesuai dan cara penyampaian yang menarik perlu dimiliki oleh seorang guru bermasalah pendengaran kerana murid sebegini mempunyai kesukaran dalam memahami pengajaran yang disampaikan terutamanya perkara yang berkaitan dengan abstrak. Mereka memerlukan alat-alat bantu mengajar yang bersesuaian serta teknik atau cara penyampaian guru yang betul.

c)     Kefahaman terhadap budaya pekak.

Budaya pekak merupakan suatu budaya yang diamalkan oleh komuniti pekak. Budaya ini merupakan suatu budaya yang unik dan adakalanya berbeza dengan budaya normal. Sebagai guru bermasalah pendengaran kefahaman mereka mengenai budaya pekak amat perlu supaya guru dapat mengetahui kehidupan dan cara hidup yang diamalkan oleh murid-muridnya. Hal ini supaya guru tidak akan berasa janggal dan menghadapi kesukaran dalam mendidik murid-murid bermasalah pendengaran. 

d)     Mempunyai pengetahuan terhadap ilmu kepekakan.

Bagi seorang guru pendidikan khas masalah pendengaran mereka perlulah mengetahui serba-sedikit ilmu kepekakan. Misalnya, pengetahuaan mengenai audiologi, pertuturan, perkembangan psikologi murid bermasalah pendengaran dan sebagainya. Hal ini supaya, dapat menjadikan guru bermasalah pendengaran seorang guru yang istimewa dan mengetahui tentang perkara yang berkaitan dengan masalah yang dihadapi oleh muridnya.

Oleh itu, seorang guru pendidikan khas bermasalah pendengaran perlu mempunyai persediaan yang rapi dalam mendidik murid-murid sebegini. Kebanyakan guru yang telah dipilih untuk mengajar murid bermasalah pendengaran tidak mengambil serius terhadap perkara-perkara ini. Mereka hanya melepas tangan dan mengambil perkara ini dengan sambil lewa. Kesannya, pembelajaran dan pengajaran yang disampaikan tidak dapat dicapai oleh murid-murid. 

Kesimpulannya, walau dimanapun kita ditempatkan, perkara yang penting kita perlu sedar dan mengambil tindakan yang sewajarnya supaya rezeki yang kita perolehi itu diberkati oleh Allah SWT. Tidak cepat melatah dan tidak cepat merungut malah menjadikan sesuatu dengan lebih positif agar pengalaman dan ilmu kita lebih meluas. Insyallah.. :)






Kata meeze : saya menurut perintah.. :) ikut je mana-mana pergi yang penting kita berusaha yang terbaik untuk murid kita... 


4 ulasan:

  1. salam...saya nak copy maklumat kat atas boleh x...utk subjek kat ipg...

    BalasPadam
  2. nk copy mklumat ni boleh.?? mohon izin..

    BalasPadam

Mohon beri ulasan dengan cara yang baik, sopan dan berhikmah ya, terima kasih atas komen anda... :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...