Selasa, 5 Jun 2012

SI CACAT DI BAWAH LINDUNGAN KAABAH


“Abang! Ini adalah takdir Allah s.w.t. Kita terima bang dengan penuh redha.” Ujur si isteri kepada suami sambil meriba anak cacat yang baru dilahirkan itu. “Ahhh!! Begitu mudah kau kata takdir. Ini adalah akibat dirimu yang sial, maka lahirlah anak yang cacat ini…!” jawab suami menafikan kata-kata isterinya.
Si suami terus marah-marah menyalahkan isterinya. Kelahiran anak cacat yang tidak diingini itu kononnya berpunca dari si isteri, isteri yang membawa sial. Isteri bawa malu kepada suami dan seluruh keluarganya.
“Keturunan abang adalah molek-molek belaka. Tak ada yang cacat seperti anak kau ini.” berleter si suami dengan bibir mencebik menghina isteri. Isteri terdiam kaku. Dia tidak mahu bersuara lagi. Dia hanya terus menangis dan terus menangis. Itulah bermulanya detik kepahitan hidup yang dirasai oleh seorang ibu muda. Mimpi indah selama ini telah padam dan diganti dengan kepahitan. Derita dan susah. Dirinya dihina dan dicemuh oleh suami sendiri.
Bayi yang masih merah disisinya itu belum tahu erti penderitaan dalam hidup. Ibunya tidak mahu menyoal kenapa anaknya dilahirkan cacat. Cacat yang belum pernah dialami oleh anak-anak lain dikampungnya. Ccat kurang jari pernah berlaku. Bibir sumbing pernah terjadi.
“Tapi, anakku cacat tak punya kaki, tak punya tangan.” bisik si ibu didalam hati. Hatinya sebak dan dia menangis lagi, sedih dan pilu. “Tak apalah suami ku menghina, jiran-jiran pun turut menghina aku.” bisik hati si ibu dengan sedih dan terus menangis. “Ya Allah! Berilah kesabaran kepadaku…” Dia berdoa sambil menadah tangan.
Si ibu menarik nafas panjang. Alhamdulillah lega sedikit. Sebahagian ruang rumahnya mulai disinari cahaya matahari pagi. Kini dia hanya bersama dengan bayinya. Suaminya telah keluar entah kemana. Wajah bayi yang comel itu ditatapnya dengan penuh kasih sayang. Bayi itu diberi nama Hasan.
“Hasan, anak ku sayang! Aku tetap sayang padamu. Kelahiranmu adalah atas kehendak Allah s.w.t.. Kau ditakdirkan Allah s.w.t. jadi begini. Allah Maha Kaya, nak.” bisik hati si ibu dengan tenang, penuh radha atas ketentuan Ilahi.
“Ya Allah, Kau takdirkan anak ku cacat begini. Aku yakin Engkau jugalah yang akan melimpahkan rahmat dan berkat pada dirinya.” bisik hati si ibu lagi menaruh harapan penuh pada Tuhan Yang Maha Kaya.
Si anak semakin membesar. Kini dia telah berusia dua tahun. Si bapa telah lari entah kemana. Si ibulah yang tetap membelanya dengan penuh kasih sayang. Apabila kepasar, bayi itu dimasukkan didalam periuk. Periuk itu dibimbit kesana-kemari. Ada orang yang bersimpati dan memberi wang, tetapi ramai yang terus mencemuh dan menghina. Ketika si anak masuk usianya lima belas tahun, penderitaan si ibu semakin bertambah berat. Ramai orang, terutama wanita-wanita terus menghina dan mencemuhnya. Akhirnya dia berpakat dengan anaknya untuk menginggalkan kampung halaman.
“Hasan, Ibu ada cadangan.” ujur si ibu kepada anaknya pada suatu pagi. “Cadangan apa ibu?” tanya Hasan. “Kita jual harta pusaka peninggalan atuk dan kita pergi ke Tanah Suci Makkah. Kalau boleh kita terus tinggal disana.” ujur si ibu kepada Hasan. “Elok cadangan ibu tu. Disana kita boleh ibadah banyak-banyak. Bumi Allah s.w.t. ini luas bu…” anak yang lincah dan cerdik itu beri persetujuan.
Alhamdulillah, akhirnya hajat dua beranak itu dimakbulkan Allah s.w.t. Setelah mohon maaf kepada sanak-saudara, maka keduanya pun berangkatlah ke Tanah Suci Makkah. Meninggalkan kampung halaman yang terletak disalah sebuah wilayah kawasan Melayu diselatan Thailand. Peristiwa ini berlaku sekitar tahun 50-an.
Bumi Makkah kini telah meriah. Tidak seperti mula-mula dahulu, ketika diteroka oleh keluarga Nabi Allah Ibrahim a.s. Waktu itu sunyi sepi. Tiada manusia yang tinggal disana, tiada air dan tiada tumbuh-tumbuhan. Berkat ketakwaan Siti Hajar dan berkat doa Nabi Ibrahim a.s. Kini Makkah menjadi sebuah bandar yang makmur. Ramai penghuninya yang datang dari seluruh pelusuk dunia. Disana ramai orang-orang yang datang dari tanah Jawi. Maksudnya dari kawasan Tenggara Asia termasuk dari selatan Thailand. Si ibu bersama anaknya yang baru datang itu telah disambut dan diterima dengan baik oleh orang-orang Makkah, khususnya yang berasal dari selatan Thailand yang banyak menetap disana.
“Jangan susah-susah, kak. Tinggallah di rumah kami. Anggaplah kami ini seperti keluarga kakak. Kita sama-sama merantau, mengharap Rahmat dibumi Makkah.” ujur seorang yang berasal dari Yala yang baik hati.
Kedua beranak itu pun tinggal di rumah tersebut. Si ibu membantu kerja-kerja rumah. Anak yang cacat tetapi pandai membaca al-Quran itu mengajar mengaji kepada anak tuan rumah dan anak-anak jirannya. Alhamdulillah, kehidupan mereka berdua benar-benar berubah. Hilang segala penderitaan dan kesusahan bertukar aman tenteram. Rezeki datang tidak putus-putus.
Pada suatu hari, ketika waktu solat, si ibu ke masjid bersama anaknya. Anaknya itu didudukkan diatas kerusi roda. Sampai di masjid, anaknya itu ditinggalkan di serambi masjid. Si ibu masuk ke kawasan kaum wanita di dalam masjid. Di Makkah boleh dikatakan sudah menjadi satu budaya iaiatu sesiapa yang kelihatan dhaif, lebih-lebih lagi cacat maka amat mudahlah menerima sedekah daripada para dermawan. Bersedekah amat digalakkan dalam Islam terutama kepada yang susah, tetapi umat Islam dilarang daripada menerima sedekah kecuali jika miskin, cacat dan tidak mampu untuk bekerja.
Hasan secara terpaksa menerima sedekah orang ramai yang mencurah-curah sebelum dan selepas orang ramai menunaikan solat. Kehidupan dua beranak itu agak aman.  Bagaimanapun Hasan tidak lupa kaum keluarganya yang susah di kampung. Dia selalu mengirimkan wang dan hadiah kepada mereka menerusi jemaah haji yang datang dari kampungnya.
Pada suatu hari, salah seorang Raja Saudi berkunjung ke Masjidil Haram. Baginda telah bertemu denga Hasan. Hasan telah disoal dengan panjang lebar. Dari mana asal datangnya, dengan siapa dia tinggal di Makkah dan sebagainya. “Kamu mulai dari hari ini jangan minta sedekah lagi. Beta akui kamu sebagai rakyat Saudi. Kamu akan diberi sara hidup bulanan. Kamu juga dianugerahkan sebuah rumah.” titah Raja itu kepada Hasan. Betapa gembiranya Hasan pada masa itu, kerana terlalu gembira hinggakan dia menitiskan airmata sehingga  membasahi pipinya. “Alhamdulillah syukur…! Terima kasih tuanku, Terima kasih tuanku, Terima kasih tuanku” ujar Hasan beberapa kali denga rasa kegembiraan yang tidak terhingga.
Apabila si ibu mengetahui akan hal itu, betapa gembiranya si ibu. “Inilah berkat dan rahmat limpahan Allah kerana kita bernaung dibawah lindungan Kaabah-Nya, wahai anakku.” ujar si ibu dengan menitiskan air mata gembira sambil memeluk dan mengucup dahi anaknya.
Beberapa tahun kemudian usia Hasan telah pun meningkat kepada dua puluh lima tahun. Walaupun dia kudung kedua-dua belah tangan dan kakinya, namun badannya dalam keadaan sihat, dan sebagai insan biasa dia juga memiliki naluri sebagai manusia yang lain.
“Aku sihat, wang saraan hidup aku setiap bulan sangat lumayan, lebih dari cukup untuk keperluan diriku dan ibuku, malah rasanya aku mampu untuk meyara isteri dan anak-anakku yang bakal lahir.” bisik hati Hasan. “Tetapi aku cacat…. siapa yang sudi menjadi isteriku?.” Hasan bersedih mengenangkan nasib dirinya. Kesedihan itu berlarutan beberapa hari sejak kebelakangan ini dan hal ini diketahui oleh ibunya.
“Kenapa kau sedih Hasan? Apa yang kurang untukmu. Wang ada, makanan cukup, rumah tempat kediaman pun ada.” tanya si ibu kepada Hasan, anak kesayangannya. “Kau beritahulah kepada ibu, Hasan. Apa masalahmu?.”
Hasan tidak menjawab dan hanya mendiamkan diri. Si ibu yang tajam pemikiran itu akhirnya dapat mengagak kenapa anaknya bersedih. “Hasan, Kau ingin mencari jodoh?.” tanya si ibu. “Siapalah orangnya yang sudi menjadi isteri saya, ibu? saya cacat.” jawab Hasan. “Hasan, kalau sungguh kau ingin beristeri, jangan susah. Ibu akan berdoa kepada Allah s.w.t. dan kau pun berdoa juga. Allah Maha Kaya, Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang, Hasan.” nasihat si ibu dengan suara yang lunak.
Hasil perbincangan kedua beranak itu maka akhirnya dihantarlah seorang utusan ke kampung halaman mereka di selatan Thailand dengan membawa sekeping gambar wajah Hasan yang sememangnya lawa. Orang itu diamanahkan untuk mencari jodoh wanita solehah dan berbudi bahasa. Dia diwakilkan menerima akad bagi pihak dari Hasan.
Alhamdulillah, dengan pertolongan Allah s.w.t, jodoh ditemukan dan akhirnya diijab kabulkan. Beberapa hari kemudian, wanita itu dibawa ke Makkah dan dipertemukan dengan pasangannya yang sedang menunggu disana. Wanita itu diperkenalkan dengan suami dan ibu mertuanya. Aduh… alangkah terperanjatnya wanita itu apabila terpandang suaminya yang cacat. Dia terperanjat besar. Dia sama sekali tidak menyangka suaminya cacat sedemikian rupa. Wanita itu jatuh pengsan. Hasan pun bersedih mengenangkan nasib dirinya. Isteri yang baru ditemui nampaknya enggan menerima Hasan sebagai suaminya.
Melihat keadaan demikian, si ibu yang solehah itu segera mengambil wuduk lalu pergi ke Masjidil Haram lalu mendirikan solat dua raka’at, kemudian berdoa kepada Allah s.w.t. semoga wanita tadi sembuh dari pengsannya.
“Ya Allah, sembuhkanlah menantuku, isteri kepada anak kesayanganku. Limpahkan perasaan kasih dan sayang dihatinya terhadap anakku, dengan rahmat-Mu, wahai Tuhan Yang Maha Mengasihani.” doa si ibu dengan sungguh-sungguh didepan Kaabah.
Si ibu pun lalu mengambil air Zamzam untuk diberi minum kepada menantunya di rumah. Sesampainya dia di rumah, Alhamdulillah, si ibu mendapati menantunya sudah sedar. Dia sudah mula mengorak senyum. Sedih telah hilang berganti kegembiraan. Dia bangun memeluk ibu mertuanya dengan erat sambil berkata. “Maafkan saya, ibu. Maafkan saya, ibu. “Kemudian dia mendekati suaminya sambil berkata “Maafkan saya, bang. Maafkan saya, bang.” sambil mencium dahi Hasan, suaminya. Hasan menitis air mata kegembiraan. Dia bersyukur kepada Allah s.w.t. Nampaknya si isteri sudah menerima dirinya sebagai suaminya.
Ya, berkat doa ibunya maka Allah s.w.t. telah meletakkan dihati wanita itu perasaan cinta, kasih dan sayang kepada suaminya yang cacat. Mungkin dia berkata didalam hatinya “Kalau aku tidak mahu menjadi isterinya, siapakah wanita lain yang sudi menerimanya sebagai suami.”
Hasil perkahwinan mereka itu telah dikurniakan lapan orang anak. Hasan sekeluarga tinggal di sebuah perkampungan kira-kira empat kilometer dari Masjidil Haram. Mereka tinggal di sebuah rumah dua tingkat yang selesa. Hasan hidup bahagia, mendapat limpahan rahmat dan keberkatan Ilahi. Hasan mempunyai sumber pendapatan tetap sara hidup yang lumayan. Dia juga memiliki sebuah kereta siap dengan pemandunya serta pembantu rumah.
Kali terakhir penulis kisah benar ini bertemu dengan salah seorang anak Hasan ialah pada tahun 1998. Penulis tidak dapat bertemu dengan Hasan pada ketika itu kerana Hasan berkebetulan ke Madinah.
Sungguh Allah Maha Kaya, Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dia yang mencipta hamba-Nya dan Dialah yang memberi nikmat kesenangan kepada siapa yang dikehendakiNya. Biarpun cacat, kudung kedua tangan serta kakinya, namun Hasan tetap berjiwa taqwa. Orang yang bertakwa dikasihi Allah s.w.t.
Allah s.w.t. melimpahi rezeki yang tidak putus-putus dan segala masalah mendapat penyelesaian sebaik-baiknya. Hasan sungguh bahagia, lebih-lebih lagi apabila dia mendapat kasih sayang ibunya dan selalu didoakannya dengan doa-doa kebaikan, tambahan pula segala doa-doa itu dipanjatkan di depan Kaabah.
Nota: Kisah ini dipetik dari buku Siri Bimbingan Mukmin (Amalan penting dalam Islam)



kata meeze : sedih apabila membaca cerita ini, semoga menjadi teladan kepada kita semua.... 

Khamis, 31 Mei 2012

APABILA LAHIRNYA ANAK ISTIMEWA.


    Setiap pasangan suami isteri menginginkan zuriat yang sihat,  cukup sempurna fizikal dan mental. Pelbagai persiapan akan dilakukan untuk menyambut kelahiran cahaya mata yang dinanti-nantikan. Misalnya dengan membeli pakaian bayi, kelengkapan pengurusan bayi dan sebagainya. Namun, apabila saat untuk melahirkan anak, anda mendapati anak yang anda lahirkan itu tidak seperti anak-anak yang lain. Pada ketika itulah pelbagai perasaan yang datang menyelebungi diri anda.

    Pada mulanya, memang anda agak sedih, pilu dan pelbagai perasaan menyelami dalam jiwa diri anda. Jika ibu bapa yang mempunyai  kekuatan iman mereka akan menerima anaknya dengan redha. Namun, jika ibu bapa yang kurang imannnya maka mereka menafikan itu adalah anak mereka dan adakalanya mereka tidak mahu menerima anak tersebut.

   Pelbagai tindakan yang mungkin anda akan lakukan. Anda mungkin akan menyalahkan diri anda kerana melahirkan anak sebegitu rupa. Perhubungan keluarga anda akan menjadi reggang terutamanya apabila mendapat keluarga yang tidak memahami, mereka pasti akan menyalahkan antara suatu sama lain. Misalnya, menyatakan baka yang tidak sihat, pemilhan pasangan yang salah dan sebagainya. Selain itu, mulalah andaian-andaian kurafat akan timbul dalam diri anda dan keluarga anda dengan menyatakan bahawa anda dan keluarga terkena sumpahan, membawa sial dan sebagainya. Anda juga akan bertindak untuk menyembunyikan diri dan anak anda daripada diketahui oleh orang kerana anda berasa malu untuk berhadapan dengan masyarakat.

    Seharusnya, sikap negatif dalam diri dan keluarga anda harus dibuang sejauh-jauhnya. Bertukarlah pemikiran anda ke arah yang positif setelah mendapat anak yang istimewa. Kelahiran anak istimewa bukan suatu beban dan masalah kepada anda tetapi ia merupakan suatu amanah dan tanggungjawab daripada Allah SWT  yang harus dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Apa yang anda hadapi adalah suatu  ujian daripada Allah  SWT untuk melihat sejauh mana keimanan dan ketakwaan kita kepadaNya. Selain itu Allah mengetahui bahawa anda mampu untuk menghadapi ujian tersebut. Hal ini telah dijelaskan dalam surah Al-Baqarah ayat 286 :-

Allah tidak memberati ( menguji ) seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya…. 

Selain itu, Rasulullah SAW sendiri turut menyebut di dalam hadisnya yang bermaksud :
Satu ketika Nabi saw ditanya “Siapakah orang yang paling berat ujiannya?”. Maka Baginda menjawab:

“Para Nabi, kemudian orang yang seperti mereka sesudahnya, dan orang semacam mereka berikutnya. Seseorang itu akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Apabila orang itu kuat agamanya maka semakin keras ujiannya. Kalau agamanya lemah maka dia akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Maka musibah dan ujian itu sentiasa menimpa seorang hamba hingga dia ditinggalkan berjalan di atas muka bumi dalam keadaan bersih dari dosa.”
(Riwayat Imam Tirmizi)

    Sesungguhnya Allah tidak akan berlaku zalim kepada hambaNya. Setiap yang diuji itu adalah sesuai dengan tahap kemampuan hambaNya. Cuma kita sebagai hambaNya, hendaklah berusaha untuk mengatasinya. Sekiranya seseorang itu tidak berusaha untuk menghadapinya, sudah pasti mereka tidak mampu berhadapan dengan ujian yang sedang menimpanya.  Sedarlah bahawa anak istimewa yang anda lahirkan itu adalah anugerah daripada Allah SWT. Anak adalah salah satu rahmat dan nikmat yang Allah anugerahkan kepada setiap manusia, menolak nikmat yang Allah berikan kepada kita adalah berdosa kerana memungkiri fitrah yang telah Allah tetapkan. Allah SWT berfirman dalam surah Al Kahfi ayat 46 maksudnya: 
"Harta dan anak adalah perhiasan kehidupan ini..." 
Maksud perhiasan dalam ayat ini adalah memberikan keindahan kalau dilihat, rasa kebanggaan bagi yang memilikinya serta memberikan penghargaan dan penghormatan bagi pemiliknya.
    Oleh itu, sama ada kita berasa sedih atau tidak melahirkan anak istimewa, perkara ini merupakan ketentuan Allah yang wajib kita syukuri. Apa yang Allah berikan kepada kita adalah suatu hikmah yang mungkin Allah ingin tunjukkan kepada kita. Hal ini kerana, manusia tidak mengetahui bahawa dalam sesuatu yang tidak disukainya  itu terkandung nilai dan manfaat yang banyak untuk dirinya. Janganlah menyalahkan antara suatu sama lain apabila anda mendapat anak yang istimewa sebaliknya bersyukurlah kerana dikurniakan anak yang sebegitu.

Menerima mereka dengan seadanya
  Apabila anda menerima anak yang istimewa anda harus menerimanya dengan hati yang terbuka. Bukan diri anda sahaja yang harus menerima tetapi seluruh ahli keluarga anda juga perlu menerima kehadirannya. Kehadirannya sudah tentu mengubah cara kehidupan anda dan keluarga anda. Oleh itu, perubahan yang anda hadapi itu seharusnya diterima dengan positif. Kemungkinan terdapat segelintir ahli keluarga yang tidak mahu menerima anak anda. Namun, anda harus tabah dan tidak mudah terpengaruh dengan segelintir ahli keluarga yang berfikiran negatif. Persiapkanlah  mental, emosi dan ilmu anda dalam menghadapi ahli keluarga yang bertanggapan negatif terhadap anak anda. Jika anda mampu cubalah menerangkan dan  mengubah pandangan mereka. Sebaliknya, sekiranya anda tidak mampu berdoalah supaya Allah menunjukkan jalan dan membuka hati ahli keluarga anda untuk menerima anak anda. Elakkan diri anda daripada bertengkar dengan ahli keluarga. Perbuatan itu adalah merupakan perbuatan yang sia-sia. Hal ini boleh menyebabkan anda dan keluarga anda lebih tegang dan sehingga boleh memutuskan hubungan kekeluargaan.  

Pedulikan perasaan malu kepada masyarat.
   Terdapat segelintir ibu bapa menyembunyikan anak istimewanya kerana malu untuk berhadapan dengan masyarakat. Hal ini menyebabakn terdapat ibu bapa mengurung anak istimewanya dan meletakkan anaknnya ke tempat yang tidak sesuai. Kenapa mereka perlu berasa malu?!. Pedulikanlah perasaan malu tersebut kepada masyarakat. Disebabkan mereka berasa malu dengan masyarakat mereka tergamak melakukan tindakan di luar kewarasan fikiran. Mereka tidak sedar setiap tingkah laku mereka pasti akan disoal oleh Allah SWT. Anak itu tidak berdosa tetapi merekalah yang berdosa kerana bertindak tidak berperikemanusiaan sehingga melayan zuriat sendiri sebegitu rupa.

  Jangan membiasakan anak anda daripada tersisish dengan masyarakat. Hal ini akan menyebabkan anak anda apabila dewasa kelak mereka akan ada perasaan rendah diri yang mendalam dan tidak yakin untuk bergaul dengan masyarakat.

  Wahai ibu bapa yang mempunyai anak istimewa pedulikan perasaan malu anda itu. Dalam soal ini,  anda tidak perlu berfikir apa yang diperkatakan oleh masyarakat. Jangan mengikut keputusan orang lain. Sebaliknya, anda seharusnya membuat keputusan untuk anak anda dan menunjukkan kepada masyarakat bahawa anda mampu menjaga, mendidik dan melatih anak yang istimewa.

Mengubah cara berfikir
    Ubahlah cara berfikir anda ke arah yang positif. Pandanglah anak istimewa anda ke arah yang positif. Apabila anda melihat sesuatu perkara yang positif secara tidak langsung akan menyingkirkan perkara yang negatif. Hal ini akan menyebabkan anda mudah menghadapi dan menguruskan anak anda dengan lebih tenang dan ikhlas. Jangan menaruh harapan dan impian yang tinggi kepada anak anda. Sebaliknya, letakkan harapan dan impian yang mengikut tahap kemampuan anak anda. Dengan harapan sebegini akan menyebabkan anda tidak akan berasa kecewa dan putus asa dalam mendidik dan menjaga anak istimewa.

Meneroka ilmu dan kemahiran sedalam mungkin
     Bagi memastikan anak istimewa dididik dengan sebaiknya anda seharusnya mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang luas. Anda seharusnya mempunyai ilmu pengetahuan terhadap masalah yang dihadapi oleh anak anda. Timbalah ilmu dan kemahiran daripada orang yang berpengalaman dan berprofesional dalam bidang ini. Jadilah insan yang rendah diri dalam menimba ilmu. Namun, terdapat segelintir ibu bapa yang sombong dan tidak mahu mempelajari ilmu masalah yang dihadapi oleh anak istimewa. Hal ini menyebabkan anak-anak istimewanya keciciran dan tidak diuruskan dengan baik. Ketahuilah bahawa ilmu mengenai golongan istimewa dan pendidikan khas sangat banyak. Hanya usaha, pengorbanan masa dan wang ringgit anda sahaja yang perlu untuk mendapatkan ilmu dan kemahiran ini. Sehinggakan terdapat segelintir ibu bapa yang terlalu minat dalam ilmu ini mereka telah menyambung pelajaran mereka ke tahap yang lebih tinggi dan menjadi orang yang professional dalam menguruskan golongan berkeperluan khas.  

Mendidik dan menjaga dengan bersungguh-sungguh
       Ketahuilah anak istimewa anda adalah suatu rahmat kepada diri dan keluarga anda. Anda seharusnya mendidik dan menjaga anak istimewa anda dengan sepenuh jiwa dan raga. Jangan memandang rendah terhadap anak anda dengan mengatakan mereka tidak boleh diajar. Memang diakui mendidik anak berkeperluan khas bukan sesuatu yang mudah, tetapi anda harus sabar dan bijak dalam menguruskannya. Berkorbanlah masa, tenaga dan wang ringgit demi anak istimewa anda. Jangan persia-siakan kehidupan mereka. Yakinlah mereka boleh melakukannya. Hanya usaha dan kesabaran sahaja yang perlu ada. Buktinya, terdapat golongan istimewa  berjaya dan mencipta nama. Apabila ditanya bagaimanakah mereka boleh berjaya. Mereka pasti akan menjawab kesemua ini adalah pengorbanan dan penat lelah ibu bapa saya dalam mendidik saya sehingga saya menjadi sebegini. Tidakkah anda berasa bangga sekiranya anak istimewa  anda berjaya?. Oleh itu mulalah berusaha sekeras-kerasnya mendidik mengikut keupayaan mereka supaya mereka mampu menguruskan diri dan menghadapi kehidupan pada masa akan datang.

Kasih sayang, tanggungjawab  dan pengorbanan yang mendalam.
      Berikanlah kasih sayang yang secukupnya kepada anak istimewa anda. Jangan membanding-banding bezakan kasih sayang anak istimewa anda dengan anak normal anda. Dengan kasih sayang semua perkara dan masalah dapat diatasi dengan mudah. Bertanggungjawablah dengan anak istimewa anda. Membesarkanlah mereka mengikut naluri, ilmu pengetahuan  dan kemahiran yang anda pelajari. Berkorbanlah demi mereka kelak mereka akan mendoakan kesejahteraan anda kerana mereka adalah anak syurga. Ingatlah bahawa anak istimewa merupakan rahmat Allah bagi mewujudkan suasana keluarga yang bahagia dan harmoni.

     Kesimpulannya, berbangga dan bersyukurlah  mempunyai anak yang istimewa. Ketahuilah bahawa anak istimewa sebenarnya menunjukkan kepada kita semua terhadap kebesaran dan kekuasaan Allah. Jangan menjadikan anak istimewa itu sebagai suatu beban dan masalah sebaliknya jadikanlah anak istimewa itu merupakan suatu peluang dan rahmat kepada kita. Ingatlah sekiranya anda berusaha dalam mendidik dan mengasuh anak istimewa dengan ikhlas kerana Allah  anda akan memperolehi kejayaan dan kepuasan sehingga menyebabkan anda berasa bersyukur kepada Allah dan terharu kerana berjaya membentuk insan yang  sebegini.  


Kata meeze  :
Allah berfirman dalam surah Al-Insyirah ayat 6 yang bermaksud :
“Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” 





Rabu, 2 Mei 2012

MENTOR, BUKU RPH DAN FOLIO AMALAN PROFESIONALKU...


Assalamualaikum..

Alhamdulillah, akhirnya berjaya juga saya menghabiskan masa 6 bulan praktikum di 3 buah sekolah yang cukup mempunyai pelbagai pengalaman.  Pelbagai cabaran dan dugaan yang telah saya tempuh sepanjang saya menjalani praktikum. Namun, kesemua itu, sedikit sebanyak mengajar saya untuk menjadi guru yang sebenar pada masa akan datang. Walaupun, pengalaman 6 bulan berpraktikum di 3 buah sekolah khas, tetapi ilmu tersebut masih belum cukup dan belum mematangkan diri saya untuk menjadi guru. Banyak perkara yang masih saya belum ketahui tentang dunia perguruan.  Apa yang penting perkara yang baik di sekolah saya ambil tetapi perkara yang buruk di sekolah saya tinggalkan jauh-jauh.

Sebenarnya, bagi saya ada relevannya Institut Pendidikan Guru memberi latihan praktikum selama 6 bulan kepada guru pelatih di pelbagai buah sekolah. Hal ini kerana, latihan praktikum ini dapat memberi peluang kepada guru pelatih mengenali budaya sekolah, meningkatkan kemahiran, memantangkan diri dan sebagainya. Memang pada mulanya saya agak mengeluh, kerana terlalu banyak kerja dan  masa yang  dihabiskan untuk berpraktikum, dan tidak seperti di pengajian tinggi yang lain mereka hanya berpraktikum selama 3 bulan sahaja berbanding di IPG selama 6 bulan. Pada mulanya, saya merasakan tidak adil, dan agak memenatkan. Banyak perkara-perkara negatif yang bermain di minda ini. Namun, sebenarnya paktikum inilah yang mengajar saya untuk meningkatkan kemahiran saya dalam bidang perguruan.  Tidak percaya? Setelah saya membuat analisis terhadap diri saya ini, baru saya faham dan tahu sebenarnya banyak perubahan yang berlaku dan banyak perkara yang saya pelajari.

Praktikum fasa 1

Tempoh masa :  sebulan
Sekolah : SKPK Kuantan, Pahang
Nama Mentor : Pn. Kamsiah binti Nayan




Inilah mentor saya yang pertama, pada mulanya saya memang agak terpingga-pingga datang ke sekolah. Saya tidak tahu apa yang perlu saya buat di sekolah. Alhamdulillah, saya dikurniakan mentor yang cukup benar-benar membimbing saya. Kak Kam, mentor yang terbaik. Banyak benda yang telah saya pelajari daripadanya. Misalnya, dari segi pengajaran kepada murid pekak, cara menguruskan fail, penulisan RPH dan sebagainya. Adakalanya, pada praktikum fasa pertama saya agak tertekan, tetapi disebabkan dorongan, kata-kata semangat Kak Kam membuatkan saya begitu bersemangat untuk menjalani praktikum. Mana tidaknya, tiap-tiap pagi, Kak Kam pasti akan melihat RPH, folio,  ABM dan sebagainya. Sehingga cara berpakaian pun diambil tahu olehnya.  Ingat lagi, lepas kelas, Kak Kam akan berpesan “ Meeze  buat draf RPH, kak Kam nak tengok, Refleksi.. refleksi… cerita, luahkan tulis, Kak Kam akan baca, tiap-tiap minggu Kak Kam nak tengok buku dan folio, gambar besar-besar tak mau kecik, kad perkataan mesti ada, suara tu kuat sikit, jelas! ” Banyak kenangan indah bersama Kak Kam,  memang tidak boleh dilupakan. Bagi saya dia tidak cerewet, tetapi dia sebenarnya mengajar saya erti kerja berdisiplin, teratur, kemas  dan hubungan yang erat antara guru pembimbing dan guru pelatih. Sehingga kini, saya masih berhubung dengannya, jika ada masalah pasti saya akan rujuk padanya.





Inilah buku RPH, dan folio amalan professional saya. Buku RPH sangat berpuas hati, tetapi folio saya agak kurang sikit, kerana masih belum tahu rentak dan gaya. Namun, kandungannya, Alhamdulillah, semua cukup.  Terima kasih kak kerana selalu mengingati dan menyemak buku RPH dan folio saya.

Apa-apapun Kak Kam, saya sangat menghargai Kak Kam. Tanpa Kak Kam saya rasa mungkin saya tidak berdisiplin dalam berpraktikum. . Bagi saya pengalaman menjadi guru bertahun-tahun  itulah yang menjadikan dia tahu apa keperluan yang perlu ada pada seorang guru. Terima kasih banyak atas ilmu Kak Kam. Sehingga kini ilmu-ilmu Kak Kam saya masih menggunakannya. Tidak lupa, malah selalu mengamalkannya.

Apabila saat-saat terakhir mendengar nasihat dan kata-kata semangat daripada Kak Kam sangat menyentuh hati saya.
                                                                


Praktikum fasa 2 

Tempoh : 2 bulan
Sekolah : SKPK Seremban, Negeri Sembilan
Nama mentor : Pn Noraini binti Othman


Inilah mentor saya yang kedua . Ketika ini, hati saya berkorba-korba untuk datang berpraktikum dan membetulkan kesilapan-kesilapan yang pernah saya alami dahulu semasa berpraktikum pada fasa pertama.  Pada ketika ini saya sudah mengetahui rentak untuk berpraktikum. Oleh itu, tidak menjadi masalah kepada guru pembimibing saya dari segi pengurusan latihan. Perkara yang telah saya pelajari daripada mentor saya kali ini ialah cara pengurusan dan pentadbiran di sekolah. Banyak yang saya telah pelajari daripadanya. Seperti biasa amalan yang saya amalkan di fasa satu saya bawa ke fasa kedua. Namun, kali ini, saya belajar untuk menyediakan kertas kerja, membuat projek dan sebagainya daripada mentor saya. Banyak perkara yang ditunjukkan oleh beliau. Selain itu, saya belajar daripadanya cara berurusan dengan pihak pentadbiran. Alhamdulillah, dengan bantuan mentor saya dan sebahagian guru-guru lain projek sudut sejarah sekolah berjaya disiapkan. Selain itu, banyak aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan. Kesemuanya itu, telah dibimbing oleh Kak Ani. Teringat masa bersama dengan Kak Ani. Setiap pagi pasti akan ke kelas tahun satu untuk berjumpa dengannya bagi memeriksa buku PRH, ABM  dan folio. Kadang-kadang bahasa saya diperbetulkan.  Setiap perkara akan dibacanya dengan teliti. Beliau juga, turut mengajar  saya bagaimana untuk memadankan hasil pembelajaran dengan objektif. Kertas kerja pasti akan disemak olehnya terlebih dahulu. Terutamanya dari segi bahasa dan format. Apa-apapun terima kasih banyak Kak Ani. Jasa Kak Ani memang tidak akan saya lupakan. Tanpa kak Ani mungkin saya akan selalu lambat untuk bertindak dalam merlakukan sesuatu kerja atau tanggungjawab. 




Buku RPH dan folio mengalami perubahan terutamanya pada folio, lebih teratur, dan agak kemas. Seronok bila tengok buku RPH dan folio yang berwarna-warni. Terima kasih kak kerana selalu menyemaknya.

Praktikum fasa 3

Sekolah : SKPK Selangor, Selangor
Tempoh : 3 bulan
Nama mentor : En. Fekhry Nizam bin Adam Idrus


Inilah mentor saya yang bongsu, Abang Fik. Sebenarnya, pada praktikum fasa 3 ini sangat menyeronokkan hati saya. Hal ini disebabkan saya telah mendapat mentor yang telah lama saya kenali sejak saya menjalankan PBS di sekolah ini. Tidak sangka Abang Fik telah menjadi mentor saya. Agak terkejut pada mulanya, tetapi mungkin ada hikmahnya yang perlu saya pelajari daripadanya.

Seperti biasa, perkara yang telah saya pelajari daripada praktikum fasa satu dan fasa dua telah saya bawa dan amalkan pada fasa ketiga. Praktikum fasa tiga ini telah benar-benar memberi keyakinan kepada saya untuk menghadapinya dengan lebih baik dan teratur. 

Perkara yang telah saya pelajari daripada mentor saya kali ini ialah saya telah mempelajari nilai dalam dirinya. Sifatnya yang penyayang kepada murid, keprihatinan, tanggungjawab, keyakinan diri  dan sebagainya cukup-cukup menyentuh hati saya sebenarnya. Banyak benda yang telah saya pelajari mengenai kehidupan sebagai manusia dan guru daripadanya. Mungkin baginya dia tidak sedar, tetapi saya sedar apa yang telah saya pelajari daripadanya. Sebab itu, mentor kali ini cukup istimewa bagi saya kerana berkaitan dengan kehidupan. Dari segi RPH, folio, dan pengurusan telah banyak saya pelajari daripada dua orang mentor saya dan dimantapkann lagi oleh abang Fik. Namun, mentor saya kali  ini telah mengajar nilai dalam diri. Banyak kata-kata semangat dan dorongan yang telah saya dapat daripada beliau.  Selain itu, sikapnya yang sentiasa mengambil berat dan suka menolong orang perlu dicontohi oleh guru-guru lain.  Sebab itu dia selalu disayangi oleh murid-muridnya. 




Buku RPH dan folio fasa ketiga sudah semakin berubah, dari segi kekemasan, pegisian dan penyusunannya. Namun, tidaklah sempurna manapun masih ada kekurangan yang perlu saya perbaiki. Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan buku dan folio ini. Terima kasih abang kerana selalu menyemak RPH dan folio ini. 

Teringat kenangan bersama dengan Abang FIk, disebabkan oleh didikan disiplin Kak Kam, dan penelitian menyemak Kak Ani menyebabkan saya tiap-tiap pagi akan datang untuk berjumpa dengan  abang Fik menyemak buku dan folio saya (pengaruh kak Kam) dan meminta tanda tangan daripadanya setelah beliau menyemak (pengaruh Kak  Kam dan Kak Ani). Kadang-kadang kesian dengan Abang Fik. Pagi-pagi mesti akan salam  dengan Abang FIk sebagai tanda hormat dan terima kasih. 

Bukanlah tujuan saya menulis ini adalah untuk menunjuk-nunjuk kepada orang ramai. Namun, tujuan saya adalah untuk memberi gambaran bahawa sebenarnya banyak perkara yang kita telah pelajari dalam kehidupan ini.  Ketiga-tiga mentor saya ini cukup bermakna bagi diri saya. Ilmu ketiga-tiga mentor saya ini telah melatih saya untuk menjadi guru yang sebenar. Tanpa Kak Kam mungkin saya tidak tahu mengajar murid pekak, tanpa Kak Aini  mungkin saya tidak tahu cara pengurusan dan pentadbiran sekolah dan tanpa Abang Fik mungkin saya tidak tahu membentuk nilai-nilai murni untuk  saya menjadi seorang guru. 

Dalam kehidupan, apabila Allah menemukan kita dengan seseorang adalah untuk kita belajar sesuatu daripadanya sama ada secara postif dan negatif. Oleh itu, manfaatkanlah daripada orang yang kita jumpa, ada sesuatu yang Allah ingin tunjukkan dan pelajari kepada kita terhadap dirinya. Sebagai manusia yang tidak sempurna ini  memang kadang-kadang apabila postif darinya walaupun besar ,  kita sukar untuk menghargai, mengingat dan mambalas jasanya sebaliknya apabila  sikap negatifnya walaupun sedikit, kita cepat melatah, melenting, mengutuk atau tidak berpuas hati dengannya. Sebenarnya,  kita seharusnya berfikir, tujuan Allah menemukan kita dengannya. Bersyukurlah dan hargailah insan yang ditemukan oleh Allah kepada kita dan apabila kita kehilangannnya barulah kita akan terasa. 

Ketiga-tiga mentor saya ini mempunyai keunikan yang tersendiri yang menyebabkan saya banyak mempelajari sesuatu daripada mereka semua.  Oleh itu, jasa dan pengorbanan mereka akan saya kenang hingga akhir hayat saya. Saya pun tidak akan putus hubungan  dengan mereka. Menjadi prinsip hidup saya akan mengenang jasa seseorang. Sebab itu, saya menganggap mentor-mentor saya seperti kakak-kakak dan abang saya sendiri. Sangat sayang pada mereka semua.

Dikesempatan ini, saya mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada mentor-mentor saya yang telah berkorban segala-galanya untuk saya.  Syukur kepada Allah kerana saya diketemukan dengan insan-insan sebegini.  Saya berharap suatu hari saya dapat menjadi guru seperti mereka dan akan memanfaatkan ilmu-ilmu yang diperturunkan oleh mereka kepada saya.

Pesanan buat :

Kak Kam : Kak, disaat kata-kata dorongan dan semangat akak, dan selalu membimbing saya menyebabkan saya lebih berani untuk ke hadapan.

Akak, insyallah jika ada kesempatan saya akan ke Kuantan. Meeze sangat rindukan akak. Rindu dengar suara akak, tak puas dengar di telepon. Hehehe.. nanti bila saya ke sana jangan lupa buat kek caramel untuk saya ya.

Kak Ani : Kak, kata-kata akak sangat menjadi pendorong kepada saya untuk lebih berjaya lagi. 

Akak, Insyallah dalam masa terdekat saya akan ke rumah akak. Tunggulah saya datang untuk mengetuk pintu, rumah akak. Jangan lupa masak lomak cili padi.. hehehehe..(rindu aerobik bersama-sama dengan akak)

Abang Fik :  Abang hati saya sangat terharu melihat abang, banyak berkaitan diri abang yang telah saya pelajari dan diambil pengajaran. 

Tak tahu nak kata apa, mungkin masih baru lagi kot berpisah, tapi harap abang sentiasa jaga diri abang baik-baik ya, Insyallah Meeze akan selalu menghubungi abang.                                       


kata meeze 1: lepas ini insyallah saya akan menceritakan tentang pensyarah pembimbing saya dan guru-guru yang banyak memberi sumbangan kepada saya.. tunggu ya.. 

kata meeze 2: balik daripada praktikum terus exam 2 minggu lagi.. aduiii... 



Khamis, 8 Mac 2012

OH KAK PAULINE.... OH KAK POLIN...

Ruangan coretan meeze kali ini hendak menceritakan tentang seseorang yang saya rasakan ingin jadi seperti beliau. Memang tidak pernah dalam coretan meeze menceritakan tentang keprihal seseorang, tetapi kali ini agak istimewa sikit sebab bagi saya dia merupakan seorang contoh guru pendidikan khas bermasalah pendengaran yang perlu dicontohi oleh guru-guru pekak yang lain. Bukan bermakna saya katakana guru –guru pekak lain tidak bagus tetapi ini sebagai contoh dan ikutan supaya dapat meningkatkan diri kita sebagai guru pekak yang benar-benar berwibawa dalam mendidik anak-anak pekak.
Pauline Shanti Asudas inilah guru yang saya maksudkan. Beliau merupakan seorang guru pendidikan khas bermasalah pendengaran yang bertugas di SKPK Selangor. Kenapa saya memilih beliau? Saya merasakan bahawa sikap dan semangat beliau menyintai dan mendidik murid-murid khas sangat mendalam. Bagi saya beliau bukan sahaja mengajar murid-murid pekak malah sentiasa mempertingkatkan dan melibatkan dirinya ke dunia orang pekak. Bekerja sebagai guru dan mempunyai kerjaya sambilan sebagai jurbahasa isyarat. Oleh itu, kemahiran beliau dalam bahasa isyarat sangat bagus. Saya merasakan beliau mempunyai banyak pengetahuan dan ilmu berkaitan dunia orang pekak dan cara pengajaran dan pembelajaran kepada murid pekak.
Keistimewaan yang saya kagum dengan beliau ialah, pada waktu lapang beliau akan cuba mengkaji tentang budaya orang pekak. Dengan kemahiran yang beliau ada menyebabkan beliau sentiasa menjadi tempat rujuk guru-guru, KPM dan orang pekak berkaitan masalah pengajaran dan pembelajaran di sekolah bermasalah pendengaran.
Satu lagi yang saya suka, beliau sangat mahir dalam berisyarat. Kemahiran beliau dalam berisyarat menyebabkan saya selalu meminta nasihat dan pandangan daripada beliau. Setiap hari saya pasti akan berjumpa dengan beliau untuk bertanya berkaitan dengan bahasa isyarat dan budaya pekak.
Untuk pengetahuan semua, beliau merupakan seorang guru cemerlang, jadi memang layaklah beliau mendapat pengiktirafan sebegitu. SKPK Selangor sebenarnya sungguh bertuah mendapat guru sebegini Sebenarnya, beliau seorang yang sangat rendah diri, dan seorang yang penyayang. Murid-murid di sekolah ini pasti akan bejumpa dengan beliau jika mereka mempunyai masalah. Beliau juga, menjadi tempat rujuk dan merupakan guru kod tangan di sekolah.
Oleh itu, Kak Pauline saya doakan semoga akak sentiasa menjadi guru pekak yang berjaya. Biarlah apa orang lain hendak katakan tentang diri kita, tetapi kita tahu apa yang kita buat. Seharusnya, guru-guru yang mengenali beliau perlu cuba mendapatkan tunjuk ajar daripada beliau. Bagi saya beliau sangat mempunyai pengalaman dan peka terhadap budaya dan dunia orang pekak. Biasalah manusia, bila sudah ada nikmat didepan mata tidak mahu digunakan. Bila sudah tiada baru tercari-cari. Alhamdulillah saya bersyukur berpraktikum di SKPK Selangor dan diketemukan dengan Kak Pauline dan saya akan cuba menimba ilmu sedalam-dalamnya daripada beliau. Syabas kak Pauline semoga dirmu sentiasa dirahmati oleh Tuhan Amin….

Pauline Shanti Asudas atau Cikgu Polin


Kata Meeze 1 : Kak Pauline harap akak tidak berputus asa dengan perjuangan akak selama ini. Saya akan sentiasa menyokong akak. Semoga berjaya!
Kata Meeze 2 : Kak Pauline untuk kerjaya guru pendidikan khas masalah pendengaran kak pauline lah idola saya, mgkin satu hari saya mahu jadi seperti akak.. hehehehe... :-)
Kata Meeze 2 : Walaupun ada Kak Pauline, tetapi abg Fikrey tetap di hati saya (mentor dan guru pembimbing saya). Sebenarnya, dia banyak membantu saya, bukan sahaja bermula daripada praktikum tetapi dari mula masuk digree dan masih tertatih-tatih lagi saya sudah mula kenal dan rapat dengan beliau semasa menjalani PBS tahun 2009. Dalam menjalani PBS beliaulah satu-satunya guru yang paling rapat dengan saya. Sebab tu dalam banyak-banyak guru pembimbing beliaulah yang paling saya sayang. Tak sangka beliau jadi guru pembimbing kepada saya untuk praktikum fasa 3 ini. Satu hari mungkin saya akan menceritakan tentang beliau dan guru-guru pembimbing saya yang lain. Tunggulah ya..





Isnin, 6 Februari 2012

JURUBAHASA, JURUBLUR ATAU JURUROBOT




Menjadi jurubahasa isyarat merupakan suatu kerjaya yang baru dan kerjaya separuh masa yang saya lakukan pada masa sekarang. Rasa seronok kerana dapat memberi sumbangan kepada komuniti pekak. Namun, menjadi seorang jurubahasa isyarat ini bukan suatu kerjaya yang mudah lebih-lebih lagi seperti jurubahasa isyarat muda seperti saya ini. Banyak cabaran yang telah saya hadapi. Pelbagai kenangan pahit dan manis yang telah saya tempuh bersama dengan komuniti pekak. Tentang latar belakang saya terhadap ilmu jurubahasa ini memang saya tidak ada. Saya tidak pernah belajar menjadi jurubahasa isyarat daripada persatuan-persatuan pekak atau institut-institut pengajian, malah hanya mengikuti kursus, pengalaman dan bacaan semata-mata. Memang agak mencabar terutamanya apabila berhadapan dengan jurubahasa isyarat yang lain, mana tidaknya mereka mempunyai latar belakang pendidikan jurubahasa isyarat berbanding dengan saya. Oleh itu, setiap penterjemahan yang saya buat, masih boleh dipertikaikan oleh komuniti pekak yang lain. Namun, itulah pembelajaran daripada pengalaman. Saya akui pernah suatu ketika dahulu saya pernah ke salah sebuah persatuan pekak untuk menjadi jurubahasa isyarat sukerela, tetapi permintaan saya ditolak.Malah saya tidak dilayan dengan baik oleh mereka.Namun, perkara itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus belajar.

Bermulanya menjadi jurubahasa isyarat di kelas. Setiap kali saya akan menterjemahkan perkara yang dicakap oleh pensyarah saya kepada rakan pekak saya. Disitulah bermula minat saya untuk menjadi jurubahasa isyarat. Lama-kelamaan, daripada menterjemah satu-satu perkataan sehinggalah mengetahui pelbagai bentuk isyarat dan struktur ayat BIM.

Kadang-kadang apabila kita menterjemahkan sesuatu, pasti ada yang kita tidak memahami perkara yang disampaikan dan ini menyebabkan seorang jurubahasa akan mengisyaratkan mengikut kefahamannya sendiri. Komuniti pekak seharusnya sedar jurubahasa isyarat bukannya robot, mesin, dan kamus bergerak, mereka sama seperti manusia lain. Oleh itu, persefahaman antara jurubahasa dan golongan pekak perlu ada.

Menjadi jurubahasa ketika orang normal bercakap bagi saya agak mudah, tetapi untuk menjadi jurucakap atau V.O ketika orang pekak berisyarat amat sukar. Kemahiran ini perlu betul-betul dikuasai dengan baik. . Pengalaman saya pernah ditegur oleh seorang Dato kerana kesilapan saya dalam menterjemahkan apa yang diperkatakan oleh orang pekak. Malu juga rasanya, tetapi itulah suatu pengalaman yang benar-benar mengajar saya apabila menjadi seorang jurubahasa isyarat kita perlu bersikap jujur dan amanah. Walaupun dalam V.O digalakkan kita perlu menambahkan perkataan-perkataan supaya menampakkan ayat yang lengkap, tetapi ayat tersebut tidak lari daripada makna yang disampaikan.

Cabaran dalam menjadi jurubahasa isyarat adalah dimana mereka mesti menterjemahkan dua bahasa yang berbeza iaitu bahasa isyarat kepada bahasa-bahasa yang lain bergantung kepada kemahiran bahasa yang diperoleh oleh seorang jurubahasa serta menukarkan bahasa lain kepada bahasa isyarat. Mereka juga, perlu mempunyai kemahiran ton dalam isyarat dan ekspresi muka untuk menunjukkan nada tinggi dan rendah suara yang didengari atau disampaikan oleh orang normal.

Selain itu, seorang jurubahasa bukan sahaja berperanan dalam menterjemahkan sesuatu perkara tetapi jurubahasa isyarat merupakan role model atau contoh ikutan kepada golongan pekak. Malangnya, melalui pemerhatian saya, terdapat jurubahasa isyarat yang tidak menunjukkan tingkah laku yang baik. Malah mengajak golongan pekak melakukan perkara keburukan. Sebenarnya, jurubahasa isyarat juga, adalah seorang guru dan pembimbing kepada golongan pekak . Jurubahasa isyarat bukan kuli atau pekerja yang makan gaji semata-mata. Mereka seharusnya memandu golongan pekak ke arah kebaikan, memberi tunjuk ajar yang betul serta menjadi pembimbing dan pendorong kepada golongan pekak untuk berjaya.

Perkara yang menjadi kebimbangan saya kini antara hubungan kemesraan dan persefahaman antara jurubahasa isyarat dengan golongan pekak. Kemesraan yang erat tidak terjalin. Terdapat segelintir jurubahasa bersifat pasif dan hanya berperanan dalam sewaktu menterjemahkan sahaja. Kemudian, apabila selesai tugas, mereka hanya berdiam diri dan tidak mempedulikan orang pekak. Seorang jurubahasa isyarat perlulah bersikap peramah dan mesra dengan semua orang. Jurubahasa isyarat menjadi perantara kepada golongan pekak dan normal. Penguasaan ilmu pengetahuan, kemahiran berkomunikasi, kemahiran interpersonal dan intrapersonal, sahsiah yang unggul, dan pegangan agama yang kuat perlu ada dalam diri seorang jurubahasa isyarat. Bukan hanya sekadar mengingat isyarat semata-mata. Apabila menjadi seorang jurubahasa isyarat perlulah mempunyai niat yang ikhlas ingin membantu, bukan niat untuk menunjuk-nunjuk tetapi perlu mempunyai kekuatan dan semangat dalam diri serta sifat ihsan.

Begitu juga dengan komuniti pekak, harus diingatkan jurubahasa isyarat bukan kuli atau robot, mereka adalah manusia. Hargailah perkhidmatan yang diberikan oleh mereka kerana hanya insan yang terpilih sahaja mampu menjadi seorang jurubahasa isyarat. Jadikan mereka sebagai sahabat, bertukar-tukarlah ilmu pengetahuan, kerana setiap manusia ada kelebihan dan kekurangan. Jangan hanya mengharapkan 100 % daripada jurubahasa isyarat. Adakalanya mereka turut lupa dan melakukan kesalahan.

Oleh itu, saya berharap semoga kerjaya sebagai jurubahasa isyarat ini tidak dipandang ringan oleh masyarakat. Masyarakat perlu sedar kepentingan jurubahasa isyarat kerana merekalah sahaja yang mampu memberitahu kehendak dan keperluan serta menjadi perantaraan antara golongan pekak dan golongan normal.


Kata meeze 1 : Terima kasih Ms. Agnes, Mr Mario, dan Pn Khairunissa Khoo yang banyak mendidik saya dalam mempelajari kemahiran menjadi jurubahasa isyarat.

Kata meeze 2: Kalau nak perkhidmatan jurubahasa isyarat sila hubungi : 01_ -_ _ _ _ _ _ _ hehehe.. tak boleh dedah no phone kat blog, bahaya...

Kata meeze 3 : kerja ini part time sahaja, tapi kerjaya sebagai guru adalah kerjaya yang sangat penting untuk saya sebab saya sayang budak pekak J







Ahad, 5 Februari 2012

SEKADAR UNTUK INGAT-MENGINGATI


Bila saya menulis tentang budaya pekak yang tidak menepati masa, alhamdulillah saya banyak mendapat jawapan yang positif daripada sahabat-sahabat pekak. Bimbang juga, manalah tahu tiba-tiba kena hentam dan perkhidmatan saya sebagai jurubahasa isyarat bebas tidak akan diambil lagi oleh orang pekak.

Sebenarnya, saya tidak membenci malah sebagai manusia dan insan yang sangat cintakan orang pekak saya rasakan masalah ini perlu ditangani. Saya bimbang jika sikap ini akan menjadi warisan. Kesannya, pelbagai masalah nanti yang akan berlaku.

Apa-apapun melalui penulisan saya, diharapkan dapat menjadi teladan, bukan untuk menghentam tetapi untuk menasihati sesama manusia. Peranan saya sebagai jurubahasa isyarat bukan hanya isyarat dan menterjemahkan sesuatu yang disampaikan seperti robot, tetapi sebenarnya peranan jurubahasa isyarat sangat berat iaitu memandu komuniti pekak ke arah jalan yang benar. Bukan hendak menunjuk pandai tetapi kita sebagai golongan normal yang sempurna dengan nikmat yang Allah bagi, kita tunjukkan contoh dan teladan kepada golongan pekak supaya mereka tahu mana yang benar dan mana yang salah. Bukan hanya tunggu bayaran upah perkhidmatan semata-mata. :-)

Golongan pekak merupakan golongan yang istimewa, walaupun mereka tidak boleh mendengar tetapi mereka boleh menjalani kehidupan sama seperti golongan normal. Kehilangan pendengaran bukan sesuatu yang mudah bagi manusia. Pendengaran sangat penting kepada manusia, melalui pendengaran manusia akan mendapat ilmu pengetahuan. Namun, bagi golongan pekak mereka bergantung kepada visual semata-mata. Sedangkan banyak ilmu yang diperolehi berbentuk abstrak. Jadi, peranan golongan normal seharusnya memandu golongan pekak ke jalan yang benar. Mana yang baik tunjukkan dan mana yang buruk cuba tegur dengan cara yang baik.

Berkongsilah setiap perkara yang kita tahu. Menyokong dan membantah bila perlu. Jadilah insan yang sentiasa mengingati antara satu sama lain. Seperti dalam surah Ali Imran ayat 110 :

"Adalah kamu sebaik-baik umat yang diciptakan bagi manusia supaya kamu menyuruh ke arah makruf dan mencegah dari yang mungkar"

Apa-apapun saya minta maaf jika penulisan saya ada membuat orang pekak atau orang normal terasa atau tersinggung, tetapi percayalah niat saya hanya untuk memesan-mesan ke arah kebaikan supaya dapat memajukan diri dan orang lain.

Kata meeze 1 : sikap memungkiri janji ini bukan hanya orang pekak sahaja, orang normal pun banyak. Contonya kebanyakan rakyat Malaysia sendiri, yang bersikap begitu.

Kata meeze 2 : apa-apapun terima kasih banyak semua, mana yang baik jadikan teladan dan buruk jadikan sempadan.





LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...