“Abang! Ini adalah takdir Allah s.w.t. Kita terima bang dengan
penuh redha.” Ujur si isteri kepada suami sambil meriba anak cacat yang baru
dilahirkan itu. “Ahhh!! Begitu mudah kau kata takdir. Ini adalah akibat dirimu
yang sial, maka lahirlah anak yang cacat ini…!” jawab suami menafikan kata-kata
isterinya.
Si suami terus marah-marah menyalahkan isterinya. Kelahiran anak
cacat yang tidak diingini itu kononnya berpunca dari si isteri, isteri yang
membawa sial. Isteri bawa malu kepada suami dan seluruh keluarganya.
“Keturunan abang adalah molek-molek belaka. Tak ada yang cacat
seperti anak kau ini.” berleter si suami dengan bibir mencebik menghina isteri.
Isteri terdiam kaku. Dia tidak mahu bersuara lagi. Dia hanya terus menangis dan
terus menangis. Itulah bermulanya detik kepahitan hidup yang dirasai oleh
seorang ibu muda. Mimpi indah selama ini telah padam dan diganti dengan
kepahitan. Derita dan susah. Dirinya dihina dan dicemuh oleh suami sendiri.
Bayi yang masih merah disisinya itu belum tahu erti penderitaan
dalam hidup. Ibunya tidak mahu menyoal kenapa anaknya dilahirkan cacat. Cacat
yang belum pernah dialami oleh anak-anak lain dikampungnya. Ccat kurang jari
pernah berlaku. Bibir sumbing pernah terjadi.
“Tapi, anakku cacat tak punya kaki, tak punya tangan.” bisik si
ibu didalam hati. Hatinya sebak dan dia menangis lagi, sedih dan pilu. “Tak
apalah suami ku menghina, jiran-jiran pun turut menghina aku.” bisik hati si
ibu dengan sedih dan terus menangis. “Ya Allah! Berilah kesabaran kepadaku…”
Dia berdoa sambil menadah tangan.
Si ibu menarik nafas panjang. Alhamdulillah lega sedikit.
Sebahagian ruang rumahnya mulai disinari cahaya matahari pagi. Kini dia hanya
bersama dengan bayinya. Suaminya telah keluar entah kemana. Wajah bayi yang
comel itu ditatapnya dengan penuh kasih sayang. Bayi itu diberi nama Hasan.
“Hasan, anak ku sayang! Aku tetap sayang padamu. Kelahiranmu
adalah atas kehendak Allah s.w.t.. Kau ditakdirkan Allah s.w.t. jadi begini.
Allah Maha Kaya, nak.” bisik hati si ibu dengan tenang, penuh radha atas
ketentuan Ilahi.
“Ya Allah, Kau takdirkan anak ku cacat begini. Aku yakin Engkau
jugalah yang akan melimpahkan rahmat dan berkat pada dirinya.” bisik hati si
ibu lagi menaruh harapan penuh pada Tuhan Yang Maha Kaya.
Si anak semakin membesar. Kini dia telah berusia dua tahun. Si
bapa telah lari entah kemana. Si ibulah yang tetap membelanya dengan penuh
kasih sayang. Apabila kepasar, bayi itu dimasukkan didalam periuk. Periuk itu
dibimbit kesana-kemari. Ada orang yang bersimpati dan memberi wang, tetapi
ramai yang terus mencemuh dan menghina. Ketika si anak masuk usianya lima belas
tahun, penderitaan si ibu semakin bertambah berat. Ramai orang, terutama
wanita-wanita terus menghina dan mencemuhnya. Akhirnya dia berpakat dengan
anaknya untuk menginggalkan kampung halaman.
“Hasan, Ibu ada cadangan.” ujur si ibu kepada anaknya pada suatu
pagi. “Cadangan apa ibu?” tanya Hasan. “Kita jual harta pusaka peninggalan atuk
dan kita pergi ke Tanah Suci Makkah. Kalau boleh kita terus tinggal disana.”
ujur si ibu kepada Hasan. “Elok cadangan ibu tu. Disana kita boleh ibadah
banyak-banyak. Bumi Allah s.w.t. ini luas bu…” anak yang lincah dan cerdik itu
beri persetujuan.
Alhamdulillah, akhirnya hajat dua beranak itu dimakbulkan Allah
s.w.t. Setelah mohon maaf kepada sanak-saudara, maka keduanya pun berangkatlah
ke Tanah Suci Makkah. Meninggalkan kampung halaman yang terletak disalah sebuah
wilayah kawasan Melayu diselatan Thailand. Peristiwa ini berlaku sekitar tahun
50-an.
Bumi Makkah kini telah meriah. Tidak seperti mula-mula dahulu,
ketika diteroka oleh keluarga Nabi Allah Ibrahim a.s. Waktu itu sunyi sepi.
Tiada manusia yang tinggal disana, tiada air dan tiada tumbuh-tumbuhan. Berkat
ketakwaan Siti Hajar dan berkat doa Nabi Ibrahim a.s. Kini Makkah menjadi
sebuah bandar yang makmur. Ramai penghuninya yang datang dari seluruh pelusuk
dunia. Disana ramai orang-orang yang datang dari tanah Jawi. Maksudnya
dari kawasan Tenggara Asia termasuk dari selatan Thailand. Si ibu bersama
anaknya yang baru datang itu telah disambut dan diterima dengan baik oleh
orang-orang Makkah, khususnya yang berasal dari selatan Thailand yang banyak
menetap disana.
“Jangan susah-susah, kak. Tinggallah di rumah kami. Anggaplah
kami ini seperti keluarga kakak. Kita sama-sama merantau, mengharap Rahmat
dibumi Makkah.” ujur seorang yang berasal dari Yala yang baik hati.
Kedua beranak itu pun tinggal di rumah tersebut. Si ibu membantu
kerja-kerja rumah. Anak yang cacat tetapi pandai membaca al-Quran itu mengajar
mengaji kepada anak tuan rumah dan anak-anak jirannya. Alhamdulillah, kehidupan
mereka berdua benar-benar berubah. Hilang segala penderitaan dan kesusahan
bertukar aman tenteram. Rezeki datang tidak putus-putus.
Pada suatu hari, ketika waktu solat, si ibu ke masjid bersama
anaknya. Anaknya itu didudukkan diatas kerusi roda. Sampai di masjid, anaknya
itu ditinggalkan di serambi masjid. Si ibu masuk ke kawasan kaum wanita di dalam
masjid. Di Makkah boleh dikatakan sudah menjadi satu budaya iaiatu sesiapa yang
kelihatan dhaif, lebih-lebih lagi cacat maka amat mudahlah menerima sedekah
daripada para dermawan. Bersedekah amat digalakkan dalam Islam terutama kepada
yang susah, tetapi umat Islam dilarang daripada menerima sedekah kecuali jika
miskin, cacat dan tidak mampu untuk bekerja.
Hasan secara terpaksa menerima sedekah orang ramai yang
mencurah-curah sebelum dan selepas orang ramai menunaikan solat. Kehidupan dua
beranak itu agak aman. Bagaimanapun Hasan tidak lupa kaum keluarganya yang
susah di kampung. Dia selalu mengirimkan wang dan hadiah kepada mereka menerusi
jemaah haji yang datang dari kampungnya.
Pada suatu hari, salah seorang Raja Saudi berkunjung ke Masjidil
Haram. Baginda telah bertemu denga Hasan. Hasan telah disoal dengan panjang
lebar. Dari mana asal datangnya, dengan siapa dia tinggal di Makkah dan sebagainya. “Kamu mulai dari hari ini jangan minta sedekah lagi. Beta akui
kamu sebagai rakyat Saudi. Kamu akan diberi sara hidup bulanan. Kamu juga
dianugerahkan sebuah rumah.” titah Raja itu kepada Hasan. Betapa gembiranya
Hasan pada masa itu, kerana terlalu gembira hinggakan dia menitiskan airmata sehingga membasahi pipinya. “Alhamdulillah syukur…! Terima kasih tuanku, Terima kasih
tuanku, Terima kasih tuanku” ujar Hasan beberapa kali denga rasa kegembiraan
yang tidak terhingga.
Apabila si ibu mengetahui akan hal itu, betapa gembiranya si
ibu. “Inilah berkat dan rahmat limpahan Allah kerana kita bernaung dibawah
lindungan Kaabah-Nya, wahai anakku.” ujar si ibu dengan menitiskan air mata
gembira sambil memeluk dan mengucup dahi anaknya.
Beberapa tahun kemudian usia Hasan telah pun meningkat kepada
dua puluh lima tahun. Walaupun dia kudung kedua-dua belah tangan dan kakinya,
namun badannya dalam keadaan sihat, dan sebagai insan biasa dia juga memiliki
naluri sebagai manusia yang lain.
“Aku sihat, wang saraan hidup aku setiap bulan sangat lumayan,
lebih dari cukup untuk keperluan diriku dan ibuku, malah rasanya aku mampu untuk
meyara isteri dan anak-anakku yang bakal lahir.” bisik hati Hasan. “Tetapi aku
cacat…. siapa yang sudi menjadi isteriku?.” Hasan bersedih mengenangkan nasib
dirinya. Kesedihan itu berlarutan beberapa hari sejak kebelakangan ini dan hal
ini diketahui oleh ibunya.
“Kenapa kau sedih Hasan? Apa yang kurang untukmu. Wang ada,
makanan cukup, rumah tempat kediaman pun ada.” tanya si ibu kepada Hasan, anak
kesayangannya. “Kau beritahulah kepada ibu, Hasan. Apa masalahmu?.”
Hasan tidak menjawab dan hanya mendiamkan diri. Si ibu yang tajam
pemikiran itu akhirnya dapat mengagak kenapa anaknya bersedih. “Hasan, Kau
ingin mencari jodoh?.” tanya si ibu. “Siapalah orangnya yang sudi menjadi
isteri saya, ibu? saya cacat.” jawab Hasan. “Hasan, kalau sungguh kau ingin
beristeri, jangan susah. Ibu akan berdoa kepada Allah s.w.t. dan kau pun berdoa
juga. Allah Maha Kaya, Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang, Hasan.” nasihat
si ibu dengan suara yang lunak.
Hasil perbincangan kedua beranak itu maka akhirnya dihantarlah
seorang utusan ke kampung halaman mereka di selatan Thailand dengan membawa
sekeping gambar wajah Hasan yang sememangnya lawa. Orang itu diamanahkan untuk
mencari jodoh wanita solehah dan berbudi bahasa. Dia diwakilkan menerima akad
bagi pihak dari Hasan.
Alhamdulillah, dengan pertolongan Allah s.w.t, jodoh ditemukan dan
akhirnya diijab kabulkan. Beberapa hari kemudian, wanita itu dibawa ke Makkah
dan dipertemukan dengan pasangannya yang sedang menunggu disana. Wanita itu
diperkenalkan dengan suami dan ibu mertuanya. Aduh… alangkah terperanjatnya
wanita itu apabila terpandang suaminya yang cacat. Dia terperanjat besar. Dia
sama sekali tidak menyangka suaminya cacat sedemikian rupa. Wanita itu jatuh
pengsan. Hasan pun bersedih mengenangkan nasib dirinya. Isteri yang baru ditemui
nampaknya enggan menerima Hasan sebagai suaminya.
Melihat keadaan demikian, si ibu yang solehah itu segera
mengambil wuduk lalu pergi ke Masjidil Haram lalu mendirikan solat dua raka’at,
kemudian berdoa kepada Allah s.w.t. semoga wanita tadi sembuh dari pengsannya.
“Ya Allah, sembuhkanlah menantuku, isteri kepada anak
kesayanganku. Limpahkan perasaan kasih dan sayang dihatinya terhadap anakku,
dengan rahmat-Mu, wahai Tuhan Yang Maha Mengasihani.” doa si ibu dengan
sungguh-sungguh didepan Kaabah.
Si ibu pun lalu mengambil air Zamzam untuk diberi minum kepada
menantunya di rumah. Sesampainya dia di rumah, Alhamdulillah, si ibu mendapati
menantunya sudah sedar. Dia sudah mula mengorak senyum. Sedih telah hilang
berganti kegembiraan. Dia bangun memeluk ibu mertuanya dengan erat sambil
berkata. “Maafkan saya, ibu. Maafkan saya, ibu. “Kemudian dia mendekati
suaminya sambil berkata “Maafkan saya, bang. Maafkan saya, bang.” sambil
mencium dahi Hasan, suaminya. Hasan menitis air mata kegembiraan. Dia bersyukur
kepada Allah s.w.t. Nampaknya si isteri sudah menerima dirinya sebagai
suaminya.
Ya, berkat doa ibunya maka Allah s.w.t. telah meletakkan dihati
wanita itu perasaan cinta, kasih dan sayang kepada suaminya yang cacat. Mungkin
dia berkata didalam hatinya “Kalau aku tidak mahu menjadi isterinya, siapakah
wanita lain yang sudi menerimanya sebagai suami.”
Hasil perkahwinan mereka itu telah dikurniakan lapan orang anak.
Hasan sekeluarga tinggal di sebuah perkampungan kira-kira empat kilometer dari
Masjidil Haram. Mereka tinggal di sebuah rumah dua tingkat yang selesa. Hasan
hidup bahagia, mendapat limpahan rahmat dan keberkatan Ilahi. Hasan mempunyai
sumber pendapatan tetap sara hidup yang lumayan. Dia juga memiliki sebuah
kereta siap dengan pemandunya serta pembantu rumah.
Kali terakhir penulis kisah benar ini bertemu dengan salah
seorang anak Hasan ialah pada tahun 1998. Penulis tidak dapat bertemu dengan
Hasan pada ketika itu kerana Hasan berkebetulan ke Madinah.
Sungguh Allah Maha Kaya, Allah Maha Pengasih lagi Maha
Penyayang. Dia yang mencipta hamba-Nya dan Dialah yang memberi nikmat
kesenangan kepada siapa yang dikehendakiNya. Biarpun cacat, kudung kedua tangan
serta kakinya, namun Hasan tetap berjiwa taqwa. Orang yang bertakwa dikasihi
Allah s.w.t.
Allah s.w.t. melimpahi rezeki yang tidak putus-putus dan segala
masalah mendapat penyelesaian sebaik-baiknya. Hasan sungguh bahagia,
lebih-lebih lagi apabila dia mendapat kasih sayang ibunya dan selalu
didoakannya dengan doa-doa kebaikan, tambahan pula segala doa-doa itu
dipanjatkan di depan Kaabah.
Nota: Kisah ini dipetik dari buku Siri Bimbingan Mukmin (Amalan penting
dalam Islam)
Dipetik daripada : . http://wanwma.com/agama/si-cacat-di-bawah-lindungan-kaabah/
kata meeze : sedih apabila membaca cerita ini, semoga menjadi teladan kepada kita semua....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Mohon beri ulasan dengan cara yang baik, sopan dan berhikmah ya, terima kasih atas komen anda... :)