Ahad, 5 Februari 2012

SEKADAR UNTUK INGAT-MENGINGATI


Bila saya menulis tentang budaya pekak yang tidak menepati masa, alhamdulillah saya banyak mendapat jawapan yang positif daripada sahabat-sahabat pekak. Bimbang juga, manalah tahu tiba-tiba kena hentam dan perkhidmatan saya sebagai jurubahasa isyarat bebas tidak akan diambil lagi oleh orang pekak.

Sebenarnya, saya tidak membenci malah sebagai manusia dan insan yang sangat cintakan orang pekak saya rasakan masalah ini perlu ditangani. Saya bimbang jika sikap ini akan menjadi warisan. Kesannya, pelbagai masalah nanti yang akan berlaku.

Apa-apapun melalui penulisan saya, diharapkan dapat menjadi teladan, bukan untuk menghentam tetapi untuk menasihati sesama manusia. Peranan saya sebagai jurubahasa isyarat bukan hanya isyarat dan menterjemahkan sesuatu yang disampaikan seperti robot, tetapi sebenarnya peranan jurubahasa isyarat sangat berat iaitu memandu komuniti pekak ke arah jalan yang benar. Bukan hendak menunjuk pandai tetapi kita sebagai golongan normal yang sempurna dengan nikmat yang Allah bagi, kita tunjukkan contoh dan teladan kepada golongan pekak supaya mereka tahu mana yang benar dan mana yang salah. Bukan hanya tunggu bayaran upah perkhidmatan semata-mata. :-)

Golongan pekak merupakan golongan yang istimewa, walaupun mereka tidak boleh mendengar tetapi mereka boleh menjalani kehidupan sama seperti golongan normal. Kehilangan pendengaran bukan sesuatu yang mudah bagi manusia. Pendengaran sangat penting kepada manusia, melalui pendengaran manusia akan mendapat ilmu pengetahuan. Namun, bagi golongan pekak mereka bergantung kepada visual semata-mata. Sedangkan banyak ilmu yang diperolehi berbentuk abstrak. Jadi, peranan golongan normal seharusnya memandu golongan pekak ke jalan yang benar. Mana yang baik tunjukkan dan mana yang buruk cuba tegur dengan cara yang baik.

Berkongsilah setiap perkara yang kita tahu. Menyokong dan membantah bila perlu. Jadilah insan yang sentiasa mengingati antara satu sama lain. Seperti dalam surah Ali Imran ayat 110 :

"Adalah kamu sebaik-baik umat yang diciptakan bagi manusia supaya kamu menyuruh ke arah makruf dan mencegah dari yang mungkar"

Apa-apapun saya minta maaf jika penulisan saya ada membuat orang pekak atau orang normal terasa atau tersinggung, tetapi percayalah niat saya hanya untuk memesan-mesan ke arah kebaikan supaya dapat memajukan diri dan orang lain.

Kata meeze 1 : sikap memungkiri janji ini bukan hanya orang pekak sahaja, orang normal pun banyak. Contonya kebanyakan rakyat Malaysia sendiri, yang bersikap begitu.

Kata meeze 2 : apa-apapun terima kasih banyak semua, mana yang baik jadikan teladan dan buruk jadikan sempadan.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Mohon beri ulasan dengan cara yang baik, sopan dan berhikmah ya, terima kasih atas komen anda... :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...