Rabu, 6 Jun 2012

ALPANYA KITA APABILA DIKURNIAKAN NIKMAT KESEMPURNAAN FIZIKAL



    Sedar atau tidak sebenarnya kita sebagai manusia banyak melupakan segala nikmat yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita. Kadang-kadang kita sebagai manusia tidak pernah bersyukur dengan apa yang ada pada kita sekarang. Malah, kita seringkali berasa sombong dan bongkak dengan apa yang kita miliki. Namun, apabila nikmat yang kita ada itu telah ditarik oleh Allah barulah kita tersedar dan ketika itu barulah kita mula untuk menghadap Tuhan yang Maha Esa.

    Sebenarnya kita telah menikmati kenikmatan yang sangat hebat. Kenikmatan yang kita nikmati sekarang adalah kesempurnaan tubuh badan kita. Hal ini jelas dinyatakan dalam surah Luqman ayat 20 bermaksud :-

Tidakkah kamu memerhatikan bahawa Allah telah menundukkan apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi untuk (kepentingan)mu dan menyempurnakan nikmat-Nya untukmu zahir mahupun yang batin….

    Cuba anda memerhatikan diri anda di cermin. Lihatlah pada keseluruhan tubuh badan anda. Apabila anda memerhatikan diri anda di cermin anda pasti akan  mempunyai sepasang mata yang cantik, boleh melihat pada jarak dekat dan jauh, mulut dan lidah yang boleh berkata-kata dan mampu mengeluarkan suara yang merdu. Hidung yang lurus dan mancung, Telinga yang boleh mendengar dengan pelbagai bunyi dan intonasi. Wajah yang tampan atau cantik, tangan yang boleh melambai-lambai dan kaki yang bisa berjalan, dan menendang. Kesemua itu merupakan anugerah Allah yang sangat bernilai.

Pernah tidak kita terfikir bahawa apabila kita merasakan nikmat melihat dengan dua biji mata, sebenarnya masih ada insan yang tidak dapat merasai nikmat tersebut ?

Pernah tidak kita terfikir bahawa apabila kita merasakan nikmat mendengar dengan sepasang telinga, sebenarnya masih ada insan yang tidak dapat merasai nikmat tersebut ?

Pernah tidak kita terfikir bahawa apabila kita merasakan nikmat berjalan dengan sepasang kaki, sebenarnya masih ada insan yang tidak dapat merasai nikmat tersebut?

Pernah tidak kita terfikir bahawa apabila kita merasakan nikmat bercakap dengan mulut yang manis, sebenarnya masih ada insan yang tidak dapat merasai nikmat tersebut ?

Pernah tidak kita terfikir bahawa apabila kita merasakan nikmat kesempurnaan fikiran dengan otak yang cergas, sebenarnya masih ada insan yang tidak dapat merasakan nikmat tersebut ?

Ar-Rahman ayat 13 : Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?

     Sedihnya, apabila kita merasai nikmat itu kita alpa dan lupa serta tidak bersyukur dalam hidup. Kita selalu melakukan kemungkaran di atas muka bumi ini tanpa memikirkan kebajikan terhadap orang lain.  Sedangkan masih terdapat insan-insan yang tidak merasai nikmat tersebut tetapi mereka tetap bersyukur dan melaksanakan suruhan Allah serta masih ingin melakukan kebajikan walaupun dirinya dalam keadaan yang tidak sempurna. 

    Oleh itu, gunakanlah nikmat yang dianugerah oleh Allah itu dengan melakukan kebaikan di atas muka bumi ini. Buatlah amal kebajikan, bantulah sesama manusia, manfaatkan diri anda untuk orang lain, suluhkanlah keseronokan kepada insan yang memerlukan, ringankanlah beban orang yang dalam penderitaaan dan sebagainya. Sekiranya anda selalu melakukan kebaikan anda akan memperolehi kebahagiaan dan kepuasan dalam hidup. Jiwa anda akan menjadi tenteram dan tidak memberontak. Anda juga, akan selalu sedar dan bersyukur dengan nikmat yang telah diperolehi. Pedulikan cemuhan dan tanggapan negatif orang lain mengenai kebaikan yang anda lakukan. Berlumba-lumbalah melakukan  kebaikan dengan hati dan niat yang ikhlas kerana Allah.

Tetapi Allah ingin menguji (bagaimana kamu menggunakan nikmat yang diberikan) kepada kamu. Dengan sebab itu berlumba-lumbalah melakukan kebaikan. (Surah Al-Maidah ayat 48).

    Ingatlah bahawa hidup kita di dunia ini tidak lama. Bila-bila masa sahaja Allah boleh menarik nyawa dan nikmat yang kita miliki sekarang. Oleh itu manfaatkanlah nikmat tersebut ke arah kebaikan supaya diri kita tidak menjadi golongan yang rugi. 


                        


Kata meeze : Bersyukurlah dengan nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada kita, jangan dipersia-siakan. Jangan menggunakan nikmat tersebut ke arah yang tidak berfaedah. :-)



3 ulasan:

  1. Jika kita lihat negara2 miskin diluar sana,mereka makan apa yang ada didepan mata.. kita disini kadang kala suka membazir hingga terbuang.. jika tidak habis, bungkuslah.. sifat malu tuh letak tepi janji makanan dpt dihabiskan dirumah

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

      Padam
  2. terima kasih Pn Nur Misnan kerana sudi melawat blog sy yg tak sebrapa ni.. setuju sgt dgn apa yg dikatakan oleh Pn.. :)

    BalasPadam

Mohon beri ulasan dengan cara yang baik, sopan dan berhikmah ya, terima kasih atas komen anda... :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...