Apabila
terdapat murid-murid pekak bertanya kepada saya, “Cikgu kenapa saya pekak?” dan
adakalanya murid kesayangan saya mempostkan dalam facebooknya “Aku tidak sempurna... Aku tidak layak berkawan dengan
kau.. Aku pekak…” Selain itu, “aku sedar
diri aku siapa, kenapalah aku dijadikan pekak” dan banyak lagi keluhan-keluhan
yang saya baca dalam post facebook anak-anak murid saya. Kadang-kadang saya
agak sedih dengan keluhan mereka itu. Mereka sedar dan sedih kerana mereka tidak sama seperti
orang normal yang boleh mendengar dan sebagainya. Hal ini akan menyebabkan kemurungan
dalam diri mereka. Kadang-kala mereka akan memandang rendah terhadap diri
mereka. Perkara ini bukan sahaja terjadi kepada golongan pekak sahaja tetapi
terjadi juga kepada golongan OKU.
Firman
Allah SWT dalam Surah An-Nur ayat 11
yang bermaksud:
Janganlah kamu mengira berita
itu buruk bagi kamu bahkan itu baik bagi kamu.
Kekurangan
dalam diri sebenarnya bukanlah suatu penghalang kepada kita untuk meneruskan
kehidupan ini. Kita sebagai manusia bukanlah sempurna. Pastinya terdapat
kekuatan dan kelemahan yang ada dalam diri kita. Sebenarnya, masih banyak lagi
nikmat yang Allah berikan kepada kita. Nikmat kurniaan Allah itu sangat
besar. Maka bersyukurlah kita kepada Allah kerana mengurniakan nikmat yang mungkin kita ada tetapi orang lain tiada. Misalnya, walaupun kita
tidak boleh mendengar, tetapi kita dikurniakan nikmat untuk berfikir, mempunyai
perasaan cinta kepada Allah, mempunyai nikmat kesihatan yang baik dan
sebagainya. Berbanding dengan orang yang mempunyai nikmat mendengar tetapi
tidak bersyukur kepada Allah, melanggar perintah Allah, tidak mempunyai
kesihatan yang baik dan sebagainya.
Allah
SWT berfirman dalam surah Ibrahim ayat 34 yang bermaksud :
dan jika kamu menghitung-hitung
nikmat Allah, nescaya kamu tidak mampu menghitungnya…
Lihat
sebenarnya masih banyak lagi nikmat kita perolehi. Sungguppun kita tidak mampu
mendengar, bercakap, melihat, berjalan atau sebagainya. Namun, kita harus sedar
dan bersyukur kerana Allah telah memberi kita nikmat yang paling agung iaitu
nikmat keimanan kepadaNya.
Sebenarnya,
ramai cendekiawan dunia dan orang yang
luas ilmu agamanya mempunyai kekurangan dalam fizikal. Misalnya Ibnu Abbas, Qatadah,
Ibnu Ummi Maktum, Al-A`masy, dan Yazid bin Harun. Selain itu, terdapat
ulama-ulama seperti Syeikh Muhammad bin Ibrahim Ali Asy-Syeikh, Syeikh Abdullah
bin Humaid, dan Syeikh Abdul Aziz bin Baz. Kesemua cediakawan dan para ilmuan
islam ini sebenarnya mengalami kekurangan secara fizikal seperti buta, pekak,
lumpuh, cacat anggota dan sebagainya. Walaupun mereka kekurangan dari segi
fizikal tetapi mereka tidak pernah berputus asa dan tidak sedih dengan kekurangan
yang mereka hadapi malah mereka menjadikan kekurangan mereka itu sebagai
pendorong dan motivasi untuk berjaya lebih ke hadapan. Akhirnya mereka mampu
mencipta nama sehingga memberi sumbangan yang terbesar dan bermanfaat kepada
manusia.
Kesempurnaan
fizikal bukanlah segala-galanya untuk manusia itu menjadi berjaya dan hebat. Ramai
manusia yang mempunyai kesempurnaan fizikal tetapi mereka membawa kecelakaan
dan keburukan di dunia ini. Misalnya, merosakkan kehidupan di muka bumi,
menzalimi manusia, dan sebagainya. Allah
tidak memandang seseorang itu mempunyai kesempurnaan fizikal tetapi Allah
memandang hambanya yang sentiasa beriman kepadaNya dan membawa kebaikan kepada semua.
Firman Allah SWT dalam surah
Ali Imran ayat 110 yang bermaksud :
Wahai umat Muhammad kamu adalah
sebaik-baik umat yang diciptakan bagi faedah kepada manusia kerana menyuruh ke arah
kebaikan dan mencegah ke arah kemungkaran serta kamu beriman kepada Allah.
Selain
itu, sekiranya kita mengatakan diri kita tidak mempunyai insan yang mahu
berkawan dengan kita dan tidak menyanyangi kita. Sebenanya kita silap. Ingatlah
walaupun terdapat seorang dihadapan yang tidak suka kepada kita tetapi sebenarnya
di belakang kita masih ada ramai orang yang suka dan menyayangi kita. Sesetengah manusia boleh menerima kita dan
sesetengah manusia tidak boleh menerima kita. Perkara ini semuanya bergantung
pada seseorang berfikir, bertanggapan, memandang
dan menilai diri kita. Oleh itu, jadilah
diri kita sendiri. Jangan bersikap berpura-pura dan malu dengan apa yang ada
pada diri kita. Namun, bukan semua diri kita adalah betul. Adakalanya kita juga
mempunyai kesilapan yang tidak disukai oleh orang lain. Maka sekiranya terdapat kesilapan dan kesalahan yang negatif dalam diri kita berubahlah untuk kebaikan
semua. Teman yang baik adalah teman yang sentiasa menghargai, mengingati, menasihati, menerima kita seadanya dan sanggup
berkorban apa sahaja untuk kita waktu kita senang mahupun susah. Berdoalah
kepada Allah SWT supaya kita dikurniakan teman yang sejati dan ikhlas menyanyangi
dan meghargai diri kita. Walaupun kita
tidak mempunyai sahabat atau teman di dunia ini, tetapi kita tetap masih
mempunyai satu teman yang sentiasa bersama kita iaitu Allah SWT. Hal ini
bersesuaian dalam surah At-Taubah ayat 40 yang bermaksud :-
Jika kamu tidak menolongnya
(Muhammad), sesungguhnya Allah telah menolongnya iaitu ketika orang-orang kafir
mengusirnya dari Makkah, sedangkan dia salah seorang dari dua orang ketika
keduanya berada dalam di dala gua, ketika itu dia berkata kepada sahabatnya, “Janganlah
engkau bersedih sesungguhnya Allah bersama kita”. Maka Allah menurunkan
ketenangan kepada Muhammad dan membantu bala tentera (malaikat-malaikat) yang
tidak terlihat olehmu, dan Dia menjadikan seruan orang-orang kafir itu rendah.
Dan firman Allah itulah yang tinggi, Allah yang Maha perkasa lagi Maha bijaksana.
Di
dalam surah ini menceritakan tentang penghijrahan Nabi Muhammad SAW bersama sahabatnya Abu Bakar
As-Siddiq dari kota Mekah ke kota Madinah. Ketika itu, Nabi Muhammad SAW dan
sahabatnya bersembunyi di gua Thur untuk mengelakkan diri mereka daripada orang
kafir. Namun, Abu Bakar sangat bimbang dengan keadaan Rasulullah SAW tetapi Rasulullah
SAW menenangkannya dengan mengatakan Allah SWT sentiasa bersama dengan kita.
Akhirnya Allah SWT memberi pertolongan kepada mereka. Daripada ayat ini
menunjukkan dua pengajaran yang disampaikan iaitu yang pertama ialah Allah SWT sentiasa
bersama dengan kita walaupun kita susah dan senang. Oleh itu, sekiranya kita
menghadapi kesulitan atau permasalahan maka berdoalah kepada Allah SWT supaya
Allah SWT membantu kita kerana Dia sentiasa bersama kita. Pengajaran kedua
menunjukkan bahawa bertapa kuatnya hubungan persahabatan antara Rasulullah SAW dengan
Saidina Abu Bakar. Saidina Abu Bakar sanggup berkorban apa sahaja demi sahabat sejatinya
iaitu Rasulullah SAW. Walaupun dalam keadaan senang mahupun susah, Saidina Abu
Bakar sentiasa berada disisi Rasulullah SAW. Malah beliau sanggup mengadaikan nyawa demi sahabatnya yang tercinta. Daripada
hubungan antara Rasulullah SAW dengan
Saidina Abu Bakar ini menunjukkan contoh dan teladan dalam membentuk hubungan
persahabatan yang sejati dan murni.
Kesimpulannya,
janganlah kita terlalu merasakan kecacatan yang ada dalam diri kita adalah
penghalang untuk kita berjaya.
Sebaliknya beranggapan bahawa kecacatan itu sebenarnya suatu pendorong. Oleh
itu, kita sebagai manusia perlu sentiasa mensyukuri nikmat yang di anugerahkan oleh
Allah kepada kita. Setiap apa yang
berlaku dan terjadi ada hikmahnya yang kita sendiri tidak sedar.
Allah SWT
berfirman dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud :
Sesungguhnya jika kamu
bersyukur, pasti Kami akan menambahkan nikmat kepada kamu, jika kamu mengingkari
nikmatKu berikan kepada kamu, maka sesungguhnya azabKu amatlah pedih.
gambar hiasan
gambar hiasan
Kata
meeze : Siapakah yang sempurna di dunia ini?. Hanya Allah sahaja yang sempurna.
Ingatlah setiap ujian itu merupakan
suatu anugerah kepada kita untuk maju ke hadapan.