Setiap pasangan suami isteri menginginkan zuriat
yang sihat, cukup sempurna fizikal dan
mental. Pelbagai persiapan akan dilakukan untuk menyambut kelahiran cahaya mata
yang dinanti-nantikan. Misalnya dengan membeli pakaian bayi, kelengkapan pengurusan
bayi dan sebagainya. Namun, apabila saat untuk melahirkan anak, anda mendapati
anak yang anda lahirkan itu tidak seperti anak-anak yang lain. Pada ketika
itulah pelbagai perasaan yang datang menyelebungi diri anda.
Pada
mulanya, memang anda agak sedih, pilu dan pelbagai perasaan menyelami dalam
jiwa diri anda. Jika ibu bapa yang mempunyai kekuatan iman mereka akan menerima anaknya
dengan redha. Namun, jika ibu bapa yang kurang imannnya maka mereka menafikan
itu adalah anak mereka dan adakalanya mereka tidak mahu menerima anak tersebut.
Pelbagai
tindakan yang mungkin anda akan lakukan. Anda mungkin akan menyalahkan diri
anda kerana melahirkan anak sebegitu rupa. Perhubungan keluarga anda akan
menjadi reggang terutamanya apabila mendapat keluarga yang tidak memahami,
mereka pasti akan menyalahkan antara suatu sama lain. Misalnya, menyatakan baka
yang tidak sihat, pemilhan pasangan yang salah dan sebagainya. Selain itu,
mulalah andaian-andaian kurafat akan timbul dalam diri anda dan keluarga anda
dengan menyatakan bahawa anda dan keluarga terkena sumpahan, membawa sial dan
sebagainya. Anda juga akan bertindak untuk menyembunyikan diri dan anak anda
daripada diketahui oleh orang kerana anda berasa malu untuk berhadapan dengan
masyarakat.
Seharusnya,
sikap negatif dalam diri dan keluarga anda harus dibuang sejauh-jauhnya.
Bertukarlah pemikiran anda ke arah yang positif setelah mendapat anak yang
istimewa. Kelahiran anak istimewa bukan suatu beban dan masalah kepada anda
tetapi ia merupakan suatu amanah dan tanggungjawab daripada Allah SWT yang harus dilaksanakan dengan sebaik mungkin.
Apa yang anda hadapi adalah suatu ujian
daripada Allah SWT untuk melihat sejauh
mana keimanan dan ketakwaan kita kepadaNya. Selain itu Allah mengetahui bahawa
anda mampu untuk menghadapi ujian tersebut. Hal ini telah dijelaskan dalam
surah Al-Baqarah ayat 286 :-
Allah
tidak memberati ( menguji ) seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya….
Selain itu, Rasulullah
SAW sendiri turut menyebut di dalam hadisnya yang bermaksud :
Satu
ketika Nabi saw ditanya “Siapakah orang yang paling berat ujiannya?”. Maka
Baginda menjawab:
“Para
Nabi, kemudian orang yang seperti mereka sesudahnya, dan orang semacam mereka
berikutnya. Seseorang itu akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Apabila
orang itu kuat agamanya maka semakin keras ujiannya. Kalau agamanya lemah maka
dia akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Maka musibah dan ujian itu
sentiasa menimpa seorang hamba hingga dia ditinggalkan berjalan di atas muka
bumi dalam keadaan bersih dari dosa.”
(Riwayat Imam Tirmizi)
Sesungguhnya Allah tidak akan berlaku
zalim kepada hambaNya. Setiap yang diuji itu adalah sesuai dengan tahap
kemampuan hambaNya. Cuma kita sebagai hambaNya, hendaklah berusaha untuk
mengatasinya. Sekiranya seseorang itu tidak berusaha untuk menghadapinya, sudah
pasti mereka tidak mampu berhadapan dengan ujian yang sedang menimpanya. Sedarlah bahawa anak istimewa yang anda
lahirkan itu adalah anugerah daripada Allah SWT. Anak adalah salah satu rahmat dan nikmat yang Allah anugerahkan
kepada setiap manusia, menolak nikmat yang Allah berikan kepada kita adalah
berdosa kerana memungkiri fitrah yang telah Allah tetapkan. Allah SWT berfirman
dalam surah Al Kahfi ayat 46 maksudnya:
"Harta dan anak adalah perhiasan
kehidupan ini..."
Maksud perhiasan dalam ayat ini adalah
memberikan keindahan kalau dilihat, rasa kebanggaan bagi yang memilikinya serta
memberikan penghargaan dan penghormatan bagi pemiliknya.
Oleh
itu, sama ada kita berasa sedih atau tidak melahirkan anak istimewa, perkara
ini merupakan ketentuan Allah yang wajib kita syukuri. Apa yang Allah berikan
kepada kita adalah suatu hikmah yang mungkin Allah ingin tunjukkan kepada kita.
Hal ini kerana, manusia tidak mengetahui bahawa dalam sesuatu yang tidak disukainya
itu terkandung nilai dan manfaat yang
banyak untuk dirinya. Janganlah menyalahkan antara suatu sama lain apabila anda
mendapat anak yang istimewa sebaliknya bersyukurlah kerana dikurniakan anak
yang sebegitu.
Menerima mereka dengan seadanya
Apabila
anda menerima anak yang istimewa anda harus menerimanya dengan hati yang
terbuka. Bukan diri anda sahaja yang harus menerima tetapi seluruh ahli
keluarga anda juga perlu menerima kehadirannya. Kehadirannya sudah tentu
mengubah cara kehidupan anda dan keluarga anda. Oleh itu, perubahan yang anda
hadapi itu seharusnya diterima dengan positif. Kemungkinan terdapat segelintir ahli
keluarga yang tidak mahu menerima anak anda. Namun, anda harus tabah dan tidak
mudah terpengaruh dengan segelintir ahli keluarga yang berfikiran negatif.
Persiapkanlah mental, emosi dan ilmu anda
dalam menghadapi ahli keluarga yang bertanggapan negatif terhadap anak anda.
Jika anda mampu cubalah menerangkan dan mengubah pandangan mereka. Sebaliknya,
sekiranya anda tidak mampu berdoalah supaya Allah menunjukkan jalan dan membuka
hati ahli keluarga anda untuk menerima anak anda. Elakkan diri anda daripada
bertengkar dengan ahli keluarga. Perbuatan itu adalah merupakan perbuatan yang
sia-sia. Hal ini boleh menyebabkan anda dan keluarga anda lebih tegang dan
sehingga boleh memutuskan hubungan kekeluargaan.
Pedulikan perasaan malu kepada masyarat.
Terdapat
segelintir ibu bapa menyembunyikan anak istimewanya kerana malu untuk
berhadapan dengan masyarakat. Hal ini menyebabakn terdapat ibu bapa mengurung
anak istimewanya dan meletakkan anaknnya ke tempat yang tidak sesuai. Kenapa
mereka perlu berasa malu?!. Pedulikanlah perasaan malu tersebut kepada
masyarakat. Disebabkan mereka berasa malu dengan masyarakat mereka tergamak
melakukan tindakan di luar kewarasan fikiran. Mereka tidak sedar setiap tingkah
laku mereka pasti akan disoal oleh Allah SWT. Anak itu tidak berdosa tetapi
merekalah yang berdosa kerana bertindak tidak berperikemanusiaan sehingga
melayan zuriat sendiri sebegitu rupa.
Jangan membiasakan anak anda daripada
tersisish dengan masyarakat. Hal ini akan menyebabkan anak anda apabila dewasa
kelak mereka akan ada perasaan rendah diri yang mendalam dan tidak yakin untuk
bergaul dengan masyarakat.
Wahai
ibu bapa yang mempunyai anak istimewa pedulikan perasaan malu anda itu. Dalam
soal ini, anda tidak perlu berfikir apa
yang diperkatakan oleh masyarakat. Jangan mengikut keputusan orang lain. Sebaliknya,
anda seharusnya membuat keputusan untuk anak anda dan menunjukkan kepada
masyarakat bahawa anda mampu menjaga, mendidik dan melatih anak yang istimewa.
Mengubah cara berfikir
Ubahlah
cara berfikir anda ke arah yang positif. Pandanglah anak istimewa anda ke arah
yang positif. Apabila anda melihat sesuatu perkara yang positif secara tidak
langsung akan menyingkirkan perkara yang negatif. Hal ini akan menyebabkan anda
mudah menghadapi dan menguruskan anak anda dengan lebih tenang dan ikhlas.
Jangan menaruh harapan dan impian yang tinggi kepada anak anda. Sebaliknya,
letakkan harapan dan impian yang mengikut tahap kemampuan anak anda. Dengan
harapan sebegini akan menyebabkan anda tidak akan berasa kecewa dan putus asa
dalam mendidik dan menjaga anak istimewa.
Meneroka ilmu dan kemahiran sedalam mungkin
Bagi
memastikan anak istimewa dididik dengan sebaiknya anda seharusnya mempunyai
pengetahuan dan kemahiran yang luas. Anda seharusnya mempunyai ilmu pengetahuan
terhadap masalah yang dihadapi oleh anak anda. Timbalah ilmu dan kemahiran
daripada orang yang berpengalaman dan berprofesional dalam bidang ini. Jadilah insan
yang rendah diri dalam menimba ilmu. Namun, terdapat segelintir ibu bapa yang
sombong dan tidak mahu mempelajari ilmu masalah yang dihadapi oleh anak
istimewa. Hal ini menyebabkan anak-anak istimewanya keciciran dan tidak
diuruskan dengan baik. Ketahuilah bahawa ilmu mengenai golongan istimewa dan
pendidikan khas sangat banyak. Hanya usaha, pengorbanan masa dan wang ringgit anda
sahaja yang perlu untuk mendapatkan ilmu dan kemahiran ini. Sehinggakan
terdapat segelintir ibu bapa yang terlalu minat dalam ilmu ini mereka telah
menyambung pelajaran mereka ke tahap yang lebih tinggi dan menjadi orang yang professional
dalam menguruskan golongan berkeperluan khas.
Mendidik dan menjaga dengan bersungguh-sungguh
Ketahuilah
anak istimewa anda adalah suatu rahmat kepada diri dan keluarga anda. Anda
seharusnya mendidik dan menjaga anak istimewa anda dengan sepenuh jiwa dan
raga. Jangan memandang rendah terhadap anak anda dengan mengatakan mereka tidak
boleh diajar. Memang diakui mendidik anak berkeperluan khas bukan sesuatu yang
mudah, tetapi anda harus sabar dan bijak dalam menguruskannya. Berkorbanlah
masa, tenaga dan wang ringgit demi anak istimewa anda. Jangan persia-siakan kehidupan
mereka. Yakinlah mereka boleh melakukannya. Hanya usaha dan kesabaran sahaja
yang perlu ada. Buktinya, terdapat golongan istimewa berjaya dan mencipta nama. Apabila
ditanya bagaimanakah mereka boleh berjaya. Mereka pasti
akan menjawab kesemua ini adalah pengorbanan dan penat lelah ibu bapa saya
dalam mendidik saya sehingga saya menjadi sebegini. Tidakkah anda berasa bangga
sekiranya anak istimewa anda berjaya?.
Oleh itu mulalah berusaha sekeras-kerasnya mendidik mengikut keupayaan mereka
supaya mereka mampu menguruskan diri dan menghadapi kehidupan pada masa akan
datang.
Kasih sayang, tanggungjawab dan pengorbanan yang mendalam.
Berikanlah
kasih sayang yang secukupnya kepada anak istimewa anda. Jangan
membanding-banding bezakan kasih sayang anak istimewa anda dengan anak normal
anda. Dengan kasih sayang semua perkara dan masalah dapat diatasi dengan mudah.
Bertanggungjawablah dengan anak istimewa anda. Membesarkanlah mereka mengikut
naluri, ilmu pengetahuan dan kemahiran
yang anda pelajari. Berkorbanlah demi mereka kelak mereka akan mendoakan
kesejahteraan anda kerana mereka adalah anak syurga. Ingatlah bahawa anak
istimewa merupakan rahmat Allah bagi mewujudkan suasana keluarga yang bahagia
dan harmoni.
Kesimpulannya,
berbangga dan bersyukurlah mempunyai
anak yang istimewa. Ketahuilah bahawa anak istimewa sebenarnya menunjukkan
kepada kita semua terhadap kebesaran dan kekuasaan Allah. Jangan menjadikan
anak istimewa itu sebagai suatu beban dan masalah sebaliknya jadikanlah anak
istimewa itu merupakan suatu peluang dan rahmat kepada kita. Ingatlah sekiranya anda berusaha dalam mendidik dan mengasuh anak istimewa
dengan ikhlas kerana Allah anda akan
memperolehi kejayaan dan kepuasan sehingga menyebabkan anda berasa bersyukur
kepada Allah dan terharu kerana berjaya membentuk insan yang sebegini.
Kata meeze :
Allah berfirman dalam surah
Al-Insyirah ayat 6 yang bermaksud :
“Sesungguhnya
tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”