Sabtu, 29 Disember 2012

PERLU DIPERTINGKAT DAN DIFAHAMI LAGI


Beberapa hari lepas saya ada membaca keratan akhbar dan beberapa blog mengenai masalah pengajaran dan pembelajaran kepada murid bermasalah pendengaran. Saya tidak mahu mengulas apa-apa sebab bagi saya setiap manusia mempunyai pendapat dan pemikiran masing-masing dan mereka berhak untuk mengatakan sesuatu. Namun, apa yang tidak saya suka sekiranya pendapat seseorang itu ditentang, diherdik, dicaci malah tidak menghormati hak sesama manusia. Seperti saya sendiri, saya bukanlah seorang guru yang pakar dalam pendidikan khas bermasalah pendengaran. Malah saya baru menamatkan pengajian saya dalam bidang ini. Namun, sebagai seorang anak muda yang masih belajar saya minat untuk mengkaji dan mendalami permasalahan yang berlaku dalam bidang yang saya hadapi. Mungkin apa yang saya katakan tidak diterima sekadar pendapat budak-budak hingusan. Bagi saya tidak kisah apa yang  hendak orang lain katakan kerana saya perlu menceritakan keadaan yang sebenar supaya masyarakat lebih faham, apa yang saya ceritakan ini bukanlah daripada rekaan saya sendiri, tetapi melalui pemerhatian saya terhadap dunia pendidikan khas bermasalah pendengaran.

1.    BIDANG PENDIDIKAN KHAS BERMASALAH PENDENGARAN.

Puan A : Apalah bakal guru yang nak ajar murid pekak tak bagus! Ajar ntah apa-apa..diorang ni ada ilmu ke tak ni?
Encik B : Yalah.. apa yang diorang belajar ntah kat universiti atau IPG tu…diorang ni belajar bahasa isyarat ke tak ni????!!!! Bahasa isyarat tak tahu langsung!!!
Puan A : Nak kena komen dalam blog atau akhbar ni.. jom tulis ramai-ramai nak kena adukan supaya semua sedar..
Encik B : I likeeeeeeeeeee!!

Sepanjang saya belajar di bidang pendididkan khas bermasalah pendengaran di IPG Kampus Ilmu Khas, banyak ilmu dan perkara baru yang saya pelajari. Saya bersyukur kerana saya mendapat peluang belajar dalam bidang ini. Bagi saya latihan di IPG adalah suatu latihan yang amat baik untuk melatih menjadi seorang guru. Bidang pendidikan khas bermasalah pendengaran bukanlah bidang yang hanya belajar bahasa isyarat semata-mata. Ramai orang yang menyalahtafsirkan bidang ini. Kami belajar bukan sahaja tentang bahasa isyarat tetapi kami belajar tentang perkara-perkara yang melibatkan dunia murid bermasalah pendengaran dan juga perkara bidang pendidikan umum. Misalnya kami belajar, psikologi murid bermasalah pendengaran, audiologi, pertuturan, pedagogi murid bermasalah pendengaran, bahasa isyarat Malaysia, Kod Tangan Bahasa Melayu, Kod Tangan Bahasa Inggeris dan sebagainya. Selain itu, kami belajar tentang dunia pendidikan seperti falsafah pendidikan, pendidikan awal kanak-kanak, bimbingan dan kaunseling, budaya pembelajaran serta pelbagai lagi. Kesemuanya yang kami belajar selama empat tahun adalah untuk melengkapkan diri kami bagi  menjadi seorang guru pendidikan khas bermasalah pendengaran yang serba tahu. Bagi saya ilmu-ilmu di IPG yang saya pelajari sangat cukup, malah kami diberi latihan praktikum sebanyak 3 kali di sekolah bermasalah pendengaran iaitu selama sebulan, dua bulan dan tiga bulan. Malah kami diberi latihan internship untuk menyiapkan kajian tindakan kami mengenai penyelesaian masalah untuk mengajar murid bermasalah pendengaran. Kesemua latihan yang kami terima sangat cukup. Boleh dikatakan kami dapat memahami keperluan pendidikan untuk murid bermasalah pendengaran.

Walaupun sebegitu bagi saya dari segi aspek penguasaan bahasa isyarat masih belum cukup lagi. Saya akui memang kami mempelajari BIM, budaya pekak, KTBM dan KTBI tetapi kesemuanya kami pelajari pada setiap semester. Malah masa untuk belajar tidak mencukupi kerana setiap subjek diambil dalam satu semester sedangkan jika hendak menguasai sebetulnya dalam BIM memerlukan masa selama setahun. Oleh itu, pada masa praktikum itulah kami boleh mempraktikkan bahasa isyarat kami dengan baik malah sekiranya kelas pendidikan khas bermasalah pendengaran mempunyai rakan-rakan pekak maka penguasaan bahasa isyarat itu dapat ditingkatkan. Seperti dikelas saya sendiri, kami beruntung kerana mempunyai tiga sahabat yang pekak dan boleh membantu kami untuk mempertingkatkan penguasaan kami dalam bahasa isyarat. Kami akan menjadi jurubahasa isyarat kepada rakan pekak kami secara bergilir-gilir, belajar kelas tambahan bahasa isyarat daripada mereka dan sebagainya.

Bagi saya seseorang yang dapat menguasai BIM, KTBM dan KTBI adalah bergantung kepada dirinya untuk mempelajarinya. Sekiranya seseorang itu rajin belajar, selalu mengamalkannya maka sekaligus dia dapat menguasainya. Bahasa Isyarat Malaysia merupakan suatu bahasa. Saya amat setuju apabila BIM dikatakan sebagai suatu bahasa kerana BIM mempunyai ciri-ciri bahasa. Seperti kita mempelajari bahasa arab, bahasa inggeris, dan bahasa-bahasa lain sama juga kita mempelajari BIM. Mungkin masih ramai yang tidak memahami lagi tentang BIM kerana ada yang mengatakan BIM adalah bahasa yang diterjemahkan dalam bahasa melayu, dialek orang pekak dan sebagainya.  Saya juga setuju dengan penggunaan kod tangan kerana kod tangan sangat penting dalam memastikan murid-murid pekak dapat menguasai sesuatu bahasa. Kod tangan bukan suatu bahasa tetapi merupakan suatu kod untuk mengajar bahasa sama ada bahasa melayu atau bahasa inggeris.

Tenaga pengajar untuk mengajar BIM di IPG saya akui tidak ada yang berkepakaran dalam bidang tersebut. Namun, pensyarah-pensyarah ini mempunyai kepakaran lain. Bidang pendidikan khas bermasalah pendengaran bukanlah suatu bidang yang hanya tertumpu kepada BIM dan kod tangan semata-mata malah meliputi pelbagai cabang tentang dunia kepekakan. Bukan semua pensyarah pendidikan khas bermasalah pendengaran mahir dalam menggunakan BIM.  Hal ini kerana,  mereka mempunyai kepakarannya yang tersendiri seperti kepakaran dalam audiologi, psikologi, pertuturan, pedagogi murid bermasalah pendengaran dan sebagainya. Walaupun sebegitu, saya kagum dengan usaha pensyarah-pensyarah saya mereka tetap berusaha sebaik mungkin  untuk mengajar BIM dan kod tangan. Mereka boleh berisyarat dengan menggunakan BIM cuma masih banyak yang mereka belum ketahui tentang cabang  BIM kerana cabang BIM  ini cukup luas sebenarnya. Mempelajari BIM  bukanlah hanya mempelajari  simbol-simbol, malah eskpresi muka, bahasa badan, penggunaan pergerakan simbol tersebut dan sebagainya. Sebab itu seperti yang saya katakan tadi, BIM merupakan suatu bahasa dan perlu dipelajari melalui pengalaman seperti bergaul dengan orang pekak.  Seperti kita ingin mempelajari bahasa arab kita mesti akan bergaul dengan orang yang pandai bertutur  dalam bahasa arab supaya kita mendapat pengalaman yang meluas mengenai bahasa berkenaan. Namun, dari segi pengajaran kod tangan, tidak menjadi suatu masalah bagi pensyarah-pensyarah di IPG kerana mereka mempunyai kemahiran dalam cabang ini. 

Oleh itu, janganlah dipertikaikan bahawa IPG tidak dapat melahirkan guru pendidikan khas masalah pendengaran dengan baik dan berkualiti. Sukatan pembelajaran IPG benar-benar mencukupi bagi  melatih guru-guru yang berwibawa dan berkebolehan. Namun, kehebatan seseorang itu bukanlah bergantung kepada apa yang dia pelajari tetapi adalah berdasarkan pengalaman dan pemahaman. Di Malaysia masih ramai yang menganggap seseorang yang mempunyai pointer yang tinggi maka dia adalah yang hebat tetapi bagi saya pointer yang tinggi bukanlah mencerminkan kehebatan seseorang kerana hanya bergantung pada ilmu teori  semata-mata. Namun,  seseorang yang mempunyai ilmu, pengalaman, minat yang mendalam dan praktikel secara meluas itu adalah orang yang hebat. Soal keluaran guru itu hebat atau tidak bergantung pada dirinya untuk mencari. Tepuk dada tanyalah selera.


rakan-rakan sekelas pendidikan khas bermasalah pendengaran ambilan januari 2009


bersama-sama pensyarah-pensyarah pendidikan khas bermasalah pendengaran.



2.    KTBM DAN BIM YANG MASIH BELUM SELESAI.

Guru A : Ini amaran daripada saya. Saya nampak siapa-siapa guru yang menggunakan BIM di dalam sekolah ini siaplah!
Guru B : Alamak Kak tuttttttt.. marahlah.. susahlah nak ajar murid macamni takkan nak guna 100 % kod, matilah kita nak ingat semua..
Guru C : Jom kita tengok kak tutttt… ajar dalam kelas nak? Mana tahu kita boleh faham cara dia ajar guna kod 100%. Jom..
Guru B:  Jom…
(semasa di dalam kelas)
Guru A : Baiklah murid-murid,sila baca petikan ini, ikut cikgu sama-sama (KTBM)
(Guru A membaca petikan bersama murid menggunakan KTBM)
Guru B dan C: Wow guna kod, hebatnya!.Amazing, guru yang patut dicontohi.
Guru A : (Bangga) Bagus, adakah awak semua faham petikan ini?
Murid : tak faham (BIM). Blur…. “=_=
Guru A : (menerangkan semula menggunakan KTBM) adakah anda semua faham?
Murid : Tak faham (BIM). Blur…. “=_+
Guru A : (Mengeluh), hmmmm…  ini maksud… bla… bla… (guna isyarat BIM untuk menerangkannya siap guna bahasa badan lagi). Ok faham tak?
Murid  : ha… faham.. faham…
Guru B dan Guru C : Aikkkk!!! ! guna BIM pula nak terangkan ayat ni kenapa tak gunakan kod tangan betul-betul  masa nak terangkan.. peliknya… !@#$%^&*()...

Saya pelik sehingga kini masalah dua perkara ini masih belum selesai. Masih banyak puak-puak dan tanggapan yang berbeza-beza. Sedangkan KTBM dan BIM ini sudah lama bertapak di Malaysia. Adakah disebabkan masalah ego atau berkepentingan sendiri menyebabkan masalah ini masih belum menemui jalannya?.

Bagi saya sebenarnya BIM dan KTBM sangat diperlukan di sekolah. Kenapa? Sepanjang saya mejalani praktikum di sekolah murid bermasalah pendengaran perkara yang saya  lihat ialah guru-guru masih tidak memahami penggunaan KTBM dan BIM. Terdapat segelintir guru-guru lama atau senior yang begitu menentang BIM sehingga megelarkan kami orang KTBM. Bila ada sahaja guru-guru yang rujuk buku BIM seperti satu dosa  jika melihat buku berkenaan. Namun, apabila saya melihat segelintir guru-guru lama ini mengajar saya akui mereka menggunakan KTBM bila membaca ayat dan petikan kemudian apabila menerangkan ayat berkenaan mereka menggunakan BIM. Haaaa???? Peliknya tadi kata kami orang KTBM. Kami tidak sokong BIM. BIM harus dihapuskan!.. tapi… kenapa gunakan BIM??  Contoh lain, memanggil murid-murid untuk beratur, kenapa tidak menggunakan KTBM 100% “sila beratur dalam barisan” kenapa mesti menggunakan BIM “beratur (isyarat BIM)”. Hal ini sudah menimbulkan kekeliruan dan tanda tanya kepada saya. Benar ke guru-guru lama ini memahami penggunaan KTBM dan BIM di sekolah? atau sekadar terpengaruh dengan kata-kata orang lain sehingga menyebabkan mereka membangkang BIM 100%?  sedangkan mereka sebenarnya mengamalkan BIM dalam kehidupan di sekolah.

Mungkin ini adalah pendapat saya sendiri sebab saya bukanlah pelajar PHD yang mengkaji perkara ini. Maka, sekiranya anda rasa pendapat saya tidak betul abaikanlah blog saya ini, tolong jangan hentam saya atau menghina saya dari belakang sebab saya tidak ada apa-apapun. Kalau salah silalah tegur dengan cara yang baik dan berhikmah agar kita menjadi manusia yang saling ingat-megingati. Bagi saya KTBM dan BIM adalah sangat penting di sekolah kerana BIM merupakan suatu bahasa orang pekak dan KTBM adalah merupakan suatu kod untuk mengajar bahasa melayu. Kenapa? Beginilah, semasa di sekolah apabila saya belajar bahasa inggeris guru-guru bahasa inggeris akan mengajar dalam bahasa inggeris, bercakap dalam bahasa inggeris, dan menulis ayat-ayat dalam bahasa inggeris. Namun, sekiranya  saya tidak memahami ayat dalam bahasa inggeris. Saya akan bertanya kepada cikgu, “teacher apa maksud ayat ini?” jadi cikgu bahasa inggeris saya akan menerangkan ayat berkenaan dalam bahasa melayu. Selepas penerangan daripada guru bahasa inggeris saya dapat saya memahami ayat berkenaan. Sehinggalah sekarang kalau saya tidak memahami ayat dalam bahasa inggeris saya akan meminta rakan-rakan yang mahir dalam  bahasa inggeris untuk menerangkannya  dalam bahasa melayu. Saya bimbang jika saya mentafsir sendiri akan memberi maksud yang lain. Begitu juga, semasa saya mempelajari BIM. Sebagai contoh, saya melihat rakan-rakan pekak saya membuat  BIM  seperti isyarat “tidak mahu” . Saya tidak memahami isyarat berkenaan. Oleh itu,  rakan-rakan pekak saya mengeja,menulis dan membuat kod  perkataan bahasa melayu “tidak mahu” Setiap kali saya tidak memahami isyarat BIM saya akan meminta rakan pekak saya menulis dan mengeja perkataan bahasa melayu atau membuat kod tangan bahasa melayu. Sebagai contoh, isyarat BIM “semalam”, kemudian rakan-rakan pekak saya akan menerangkannya  menggunakan kod tangan “se-malam”. Sekiranya rakan-rakan pekak saya menerangkan perkataan berkenaan  menggunakan BIM agaknya boleh ke saya memahaminya? Atau mungkin saya mendapat maksud yang lain?  Sekarang, adakah anda faham melalui pengalaman yang saya ceritakan ini?.

Sebenarnya, begitulah juga yang dihadapi oleh murid bermasalah pendengaran di sekolah. Guru-guru akan menulis dan meminta murid-muridnya berisyarat menggunakan kod untuk membaca ayat atau petikan. Namun, apabila menerangkan makna guru-guru menggunakan BIM. Perkara ini  tidak boleh terlepas daripada kehidupan di sekolah bermasalah pendengaran. Sekiranya guru hanya menerangkan ayat menggunakan kod semata-mata, murid-murid bermasalah pendengaran pasti tidak akan memahami kerana BIM merupakan bahasa pertama orang pekak.

Sebab itulah seseorang guru bermasalah pendengaran tidak boleh mengatakan “saya orang KTBM” tetapi seharusnya seseorang guru bermasalah pendengaran memegang  falsafah komunikasi seluruh. Apa itu komunikasi seluruh? Komunikasi seluruh merupakan suatu komunikasi yang menggunakan komponen-komponen seluruh fizikal  yang terdiri daripada kod tangan, ejaan jari, gestur tangan, bacaan bibir, pertuturan, bahasa isyarat (BIM), bahasa badan, penggunaan amplifikasi, bahan bantu mengajar, mimik muka, dan tulisan. Inilah baru betul. Namun, apa yang saya pelik komunikasi seluruh tidak diperjuangkan dan digalakkan di sekolah tetapi sibuk dengan mengamalkan sikap kepuakan BIM dan KTBM.

Jika mengamalkan hanya BIM di sekolah tidak mungkin murid dapat menguasai bahasa melayu kerana tatabahasa BIM tidak sama dengan tatabahasa bahasa melayu. Bahasa Melayu bukan seperti bahasa Inggeris. Adakalanya bahasa melayu mempunyai perkataan-perkataan yang berbunga-bunga. Perkataannya ada mempunyai makna yang tersendiri dan cukup meluas perbendaharaan katanya serta mempunyai imbuhan yang membawa makna yang lain.  Bagi saya buku KTBM perlu diperkemaskinikan lagi dan dibuat pembaharuan bukannya menambahkan suatu subjek yang baru. Perkara ini akan menambahkan lagi kekeliruan bukan menyenangkan.  Malah kod-kod tangan perlu  diperkemaskinikan  dan diseragamkan lagi.  Sangat menyedihkan buku kod tangan tidak diperbaharui malah buku-buku tersebut diphotostatkan kerana tiada keluaran baharu. Ada pula buku kod tangan  yang tidak boleh dipakai dan sebagainya. Benda ini tidak mahu ditambahbaikan malah benda baru sibuk pula dibuat. Perkara ini akan menyebabkan kerugian dan bertambahnya masalah.

Oleh itu, saya berharap anda semua jelas dengan maksud yang ingin saya sampaikan. Sebelum membuat sesuatu andaian atau tindakan perlulah dikaji terlebih dahulu dengan lebih mendalam  supaya tidak menimbulkan sebarang kekeliruan di kemudian hari.



Buku kod tangan yang sangat lama digunakan sejak tahun 1985. 


Disebabkan tiada keluaran baru atau edisi baru, siapa-siapa yang belajar kod tangan kena photostat buku ini.. sedihnya... Nampak dah hancur dah buku photostat ini... hehehehe..


Buku Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) yang terdapat sesetengah guru menolak penggunaan BIM di sekolah.


3. PELBAGAI TEKNIK ATAU KAEDAH, MANA SATU YANG TERBAIK?.

 Polan A : Teknik saya yang paling terbaik untuk ajar murid pekak?!
 Polan B : Mana ada…. teknik saya  yang paling terbaik?! “ apa ni gaduh-gaduh?   Kami tak hina pun teknik awak!.
 Polan C :Jom kita tulis dalam akhbar, kita tulis dalam blog supaya semua sedar   teknik kita yang terbaik.. Biar diorang ni sedar sebab diorang memperlekehkan teknik kita!
Wartawan : Yesss... satu cerita yang boleh mengapi-apikan mereka... hihihihihi... ini mesti terhangat di pasaran... hahahaha.. 
Masyarakat yang tidak tahu apa-apa : ohye ker...terbaiklah!!!! Hahahaha I like… (keliru sebenarnya "=_=).. hmmmm… Encik boleh tumpang tanya tak, mana satu teknik yang terbaik, saya rungsinglah sekarang ni nak hantar anak saya dimana????…

Senario inilah yang sentiasa belaku dalam dunia pendidikan khas masalah pendengaran. Masing-masing hendak memperjuangkan teknik masing-masing yang menyatakan teknik mereka adalah teknik yang terbaik untuk mengajar murid bermasalah pendengaran.  Betul ke ni? Kadang-kadang saya geleng  kepala melihat masalah ini dan nak tegelak pun ada sebab masing-masing tidak mahu mengalah.  BIla ada orang memperjuangkan ada pula yang menentangnya. Namun, untuk berbincang mencari jalan penyelesaian tidak mahu sebaliknya berdiam diri sahaja. Saya akui dan tabik kerana masing-masing berusaha ingin memperjuangkan pendidikan yang terbaik untuk murid-murid bermasalah pendnegaran. Namun, saya agak kurang senang  jika perkara ini menjadi perbalahan.

Bagi saya, apa-apa sahaja teknik atau kaedah boleh digunakan, yang penting bagaimana murid bermasalah pendengaran boleh  menerimanya dan mempelajarinya. Murid bermasalah pendengaran bukan kesemuanya tidak boleh mendengar, ada sesetengah  yang boleh mendengar sedikit ada juga yang tidak boleh mendengar langsung. Adakalanya multiple atau kecacatan yang pelbagai.  Semuanya bergantung kepada kesesuaian murid bermasalah pendengaran tersebut dalam menerima teknik tersebut atau tidak. Masing-masing ada postif dan negatifnya. Misalnya, terdapat kaedah yang membantu murid bermasalah pendengaran bercakap tetapi bukan semua murid bermasalah pendengaran boleh mempelajari kaedah ini, hanya murid bermasalah pendengaran yang mempunyai baki sisa pendengaran sahaja yang  boleh mempelajarinya. Begitu juga dengan kaedah bahasa isyarat, jika murid bermasalah pendengaran mempunyai baki sisa pendengaran lebih baik mereka mempelajari pertuturan kerana bahasa isyarat bukan semua orang boleh memahaminya. Jika murid berkenaan belajar pertuturan dan belajar bahasa isyarat maka apabila dia menjangkau dewasa dia boleh berkomunikasi dengan sesiapa sahaja sama ada golongan pekak atau golongan normal.  Apa yang penting adalah bergantung kepada murid berkenaan dan sejauh mana ibu bapanya prihatin terhadap masalah anak. Ini tidak, hantar anak belajar pertuturan tetapi tidak dilatih anak berkenaan untuk bertutur, hanya menyerahkan 100% kepada pakar. Oleh itu, janganlah dirungsing mengenai kaedah apa yang sesuai untuk anak-anak bermasalah pendengaran. Kesemua kaedah adalah baik dan ada pro serta kontranya. Sebaliknya ibu bapa perlu meneliti masalah anak terlebih dahulu kemudian sesuaikan dengan kaedah yang hendak digunakan untuk anak-anak mereka.


kaedah pertuturan


kaedah pertuturan kiu


kaedah bahasa isyarat

jadi, mana yang terbaik ya? sebenarnya semuanya baik dan memberi manfaat... tiada satu pun yang salah.. 


4.    PENEMPATAN GURU.

Suatu hari guru baru bidang Tesl (bahasa inggeris) telah menerima surat penempatan sekolah.
Guru baru bidang Tesl : yes… I got it.. dapat surat posting! Happynya..…
(membuka surat tiba-tiba muka berubah)
Guru baru bidang Tesl : Ha.. sekolah SKPK tuttttttt.. pendidikan khas bermasalah pendengaran. Alamak macamna nak ajar.. ajar budak pekak.. betul ke diorang ni tempatkan aku.. takpela nak buat macamana arahan daripada atasan kena juga ikut “saya menurut perintah”.

(setelah tiba di sekolah)

Guru Besar : Tahniah kepada cikgu kerana berjaya ditempatkan di sekolah ini.
Guru baru bidang Tesl: Hmmm.. sebenarnya cikgu, saya bukan bidang ini, saya tak tahu bahasa isyarat dan ajar murid-murid macamni.
Guru besar : tak mengapa, lama-lama awak akan boleh.. cikgu-cikgu kat sekolah ini pun bukan bidang pendidikan khas masalah pendengaran tapi sekarang, Alhamdulillah mereka dah boleh ajar  murid-murid ini.
Guru baru bidang Tesl : ya ke? Tapi saya kurang yakinlah..
Guru besar : tak mengapa cuba dulu, cikgu belajarlah daripada guru-guru lama,  lagipun ini arahan atasan awak kena berpindah ke sekolah ini kan.. nak buat macamana.. anggaplah sebagai cabaran dan ujian buat awak.
Guru baru bidang Tesl : ya, insyallah.. terima kasih cikgu.. (dalam hati… apa yang patut saya buat ni.. “=_=)

(sementara itu guru bidang pendidikan khas bermasalah pendengaran mendapat surat penempatan)

Guru PKD : Alhamdulillah dapat surat posting!
(buka surat dengan penuh harapan)

Guru PKD : haa….!!!! Dapat sekolah Kebangsaan………….. mengajar Pendidikan Khas BERMASALAH PEMBELAJARAN. Tidak!!!!!

Guru PKD : Wah!!!!! (Menangis tak berlagu) tapi aku kena redha sebabnya “ saya menurut perintah”

Masalah penempatan guru bidang lain yang ditempatkan di SKPK masalah pendengaran masih berlaku lagi. Masalah ini masih belum selesai. Saya tidak menyalahkan guru-guru bidang lain ini yang terpaksa berpindah ke sekolah bermasalah pendengaran. Hal ini kerana, kami terpaksa mengikut arahan daripada atasan. Mahu atau tidak terpaksa juga hadapi dan pergi. Namun, perkara ini menyebabkan masalah yang besar timbul di sekolah. Hal ini kerana, guru yang bukan bidang pendidikan khas bermasalah pendengaran tidak berkemahiran dalam mengajar murid sebegini.  Saya pelik masalah ini selalu timbul, apabila ditanya kepada pihak yang bertanggungjawab mengenai kekosongan di sekolah pendidikan khas masalah pendengaran, mereka menjawab tidak ada. Sedangkan dalam masa yang sama ramai pula  guru-guru baru yang bukan bidang pendidikan khas bermasalah pendengaran ditempatkan di sekolah tersebut.

Saya tabik dan kagum sekiranya guru yang bukan bidang pendidikan khas bermasalah pendengaran berusaha mempelajari bahasa isyarat, berusaha bersungguh-sungguh mengajar dan sebagainya. Syabas dan tahniah atas usaha yang mereka lakukan sehinggakan apabila mereka berada lama di sekolah bermasalah pendengaran mereka seperti sudah pakar dalam mengajar murid-murid berkenaan walaupun itu bukan bidang mereka. Itulah dinamakan pengalaman adalah guru yang terbaik untuk kita… I likeeeee!!!

Namun, saya cukup marah dan terkilan kerana terdapat segelinitir guru yang bukan bidang pendidikan khas bermasalah pendengaran apabila ditempatkan di sekolah pekak mereka tidak mahu berusaha, mengajar sambil lewa dan main-main serta tidak menunjukkan minat yang mendalam terhadap murid sebegini.

Masyarakat atau pihak-pihak yang sepatutnya harus sedar bahawa bukan ramai guru yang bidang pendidikan khas bermasalah pendengaran ditempatkan di sekolah masalah pendengaran. Kebanyakan mereka terpaksa ke sekolah lain. Jadi tidak boleh hendak menyalahkan guru-guru ini tidak mahir dalam mengajar murid bermasalah pendengaran kerana mereka memerlukan masa untuk meningkatkan kemahiran mereka terlebih dahulu untuk mengajar murid sebegini. Selain itu, guru pendidikan khas bermasalah pendengaran yang mempunyai kemahiran pula telah ditempatkan di sekolah yang bukan bidang mereka dan mereka juga terpaksa mengambil masa untuk mempelajari kemahiran lain.

cuba baca.. nak salahkan siapa ya? 


Sedangkan guru yang tidak tahu bahasa Inggeris berpeluh-peluh nak mengajar sains dalam bahasa inggeris ini  pula kalau guru yang tidak tahu bahasa isyarat nak mengajar kepada murid bermasalah pendengaran. Agaknya macamni la kot situasi kali pertama... 


walaubagaimanapun, kita perlu sentiasa menghormati guru kita. 


5.      KURIKUKULUM YANG TIDAK BERSESUAIAN.

Guru A: alamak susahnya, macamana nak ajar ni ya kepada murid-murid, kak bagaimana nak ajar ni ya..
Guru B : tak pe turunkan aras je..
Guru A : Turunkan aras, baik, tapi bagaimana nanti dalam UPSR mereka nak jawab kalau soalan keluar macam ni..
Guru B : …………….. tak pe nanti bila exam kertas budak pendidikan khas di asingkan jadi penandaan mungkin diberi kelonggaran
Guru A : ya ke..
Guru B : hmmmm…

Perkara ini saya tidak mahu mengulas dengan lebih panjang sebab saya pun masih lagi belum berkemahiran dalam perkara kurikulum ini. Memang saya akui kurikulum murid bermasalah pendengaran mengikut aliran perdana. Namun, mereka diberi kelonggaran dan diturunkan aras tetapi apa yang saya bimbang bagaimana apabila nanti mereka menjawab soalan UPSR, PMR atau SPM yang sama aras dengan aliran perdana. Bukankah menjadi sukar untuk mereka menjawabnya? Saya tidak mahu mengulas perkara ini dengan lebih panjang kerana saya agak kurang arif  ilmu dalam kurikulum .

Namun, kini apabila di buat suatu kurikulum baru iaitu KSSR mungkin ada kebaikan untuk murid bermasalah pedengaran. Apa itu KSSR?

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Pendidikan Khas dibina selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, berlandaskan prinsip-prinsip pendekatan bersepadu, perkembangan individu secara menyeluruh, peluang dan kualiti pendidikan yang sama untuk semua murid dan pendidikan seumur hidup. KSSR Pendidikan Khas merangkumi kurikulum bagi murid bermasalah pendengaran, bermasalah penglihatan dan bermasalah pembelajaran.

Murid Pendidikan Khas bermasalah pendengaran secara umumnya menggunakan kurikulum aliran perdana. Sungguh pun begitu, terdapat beberapa pengubahsuaian dilakukan terhadap beberapa mata pelajaran aliran berkenaan (khususnya dari segi pendekatan pengajaran dan pembelajaran) selaras dengan keperluan khas pembelajaran. Murid Pendidikan Khas bermasalah pendengaran diwajibkan mempelajari mata pelajaran tambahan iaitu Bahasa Isyarat Komunikasi (BIK). Suatu subjek baru ditambah. Rasanya betul ke tindakan ini? Saya tiada jawapannya, mungkin siapa-siapa guru yang berkemahiran pasti ada jawapannnya yang tersendiri berkenaan  subjek ini. Kemungkinan akan menimbulkan kekeliruan kepada murid pada masa akan datang ataupun mungkin tidak. Namun, secara peribadinya selama ini tiada BIK pun murid bermasalah pendengaran masih boleh berkomunikasi. Apa relevennya mewujudkan subjek ini?.

Saya tidak berani hendak menceritakan perkara ini dengan lebih lanjut. Apa yang mampu saya katakan sebelum melakukan sesuatu perkara harus diteliti dengan lebih mendalam dan perlu difahami keadaan dan keperluan murid bermasalah pendengaran. Ramai yang mengambil sambil lewa dengan perkara ini. Membuat sesuatu mengikut kehendak sendiri tanpa dikaji dan dibuat secara mendalam sehingga akhirnya tidak bersesuaian dengan keperluan murid serta merugikan semua pihak.

Walaupun sebegitu, kita masih bernasib baik kerana murid-murid pendidikan khas masih mendapat hak mereka untuk mendapatkan pendidikan di Malaysia. Namun, cara pelaksanaannya  masih perlu dipertingkatkan lagi. 
Pelaksanaan KSSR menggantikan KBSR


Diharapkan dengan adanya kurikulum baru ini dapat meningkatkan lagi pendidikan untuk murid bermasalah pendengaran. 


Akhir kata saya ingin memohon maaf sekiranya penulisan saya ini terdapat kesilapan dan menyinggung perasaan sesetengah individu. Siapalah saya yang tiada apa-apa untuk menceritakan perkara ini. Namun, bukanlah saya untuk memburuk-burukkan keadaan tetapi saya ingin membuka minda  supaya kita seharusnya sedar bahawa semua manusia bukannya sempurna adakalanya kita terlepas pandang terhadap sesuatu perkara yang berlaku. Oleh itu, perbincangan, sikap toleransi dan berintegriti antara semua pihak perlu ada supaya dapat mempertingkatkan lagi bidang ini secara lebih luas dan bermanfaat. Senyum selalu dan peace!




KATA MEEZE : mohon maaf ya sekiranya terdapat kesilapan dalam penulisan saya, sekadar hanya pendapat berdasarkan pengalaman sahaja.. :) 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...