Isnin, 6 Februari 2012

JURUBAHASA, JURUBLUR ATAU JURUROBOT




Menjadi jurubahasa isyarat merupakan suatu kerjaya yang baru dan kerjaya separuh masa yang saya lakukan pada masa sekarang. Rasa seronok kerana dapat memberi sumbangan kepada komuniti pekak. Namun, menjadi seorang jurubahasa isyarat ini bukan suatu kerjaya yang mudah lebih-lebih lagi seperti jurubahasa isyarat muda seperti saya ini. Banyak cabaran yang telah saya hadapi. Pelbagai kenangan pahit dan manis yang telah saya tempuh bersama dengan komuniti pekak. Tentang latar belakang saya terhadap ilmu jurubahasa ini memang saya tidak ada. Saya tidak pernah belajar menjadi jurubahasa isyarat daripada persatuan-persatuan pekak atau institut-institut pengajian, malah hanya mengikuti kursus, pengalaman dan bacaan semata-mata. Memang agak mencabar terutamanya apabila berhadapan dengan jurubahasa isyarat yang lain, mana tidaknya mereka mempunyai latar belakang pendidikan jurubahasa isyarat berbanding dengan saya. Oleh itu, setiap penterjemahan yang saya buat, masih boleh dipertikaikan oleh komuniti pekak yang lain. Namun, itulah pembelajaran daripada pengalaman. Saya akui pernah suatu ketika dahulu saya pernah ke salah sebuah persatuan pekak untuk menjadi jurubahasa isyarat sukerela, tetapi permintaan saya ditolak.Malah saya tidak dilayan dengan baik oleh mereka.Namun, perkara itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus belajar.

Bermulanya menjadi jurubahasa isyarat di kelas. Setiap kali saya akan menterjemahkan perkara yang dicakap oleh pensyarah saya kepada rakan pekak saya. Disitulah bermula minat saya untuk menjadi jurubahasa isyarat. Lama-kelamaan, daripada menterjemah satu-satu perkataan sehinggalah mengetahui pelbagai bentuk isyarat dan struktur ayat BIM.

Kadang-kadang apabila kita menterjemahkan sesuatu, pasti ada yang kita tidak memahami perkara yang disampaikan dan ini menyebabkan seorang jurubahasa akan mengisyaratkan mengikut kefahamannya sendiri. Komuniti pekak seharusnya sedar jurubahasa isyarat bukannya robot, mesin, dan kamus bergerak, mereka sama seperti manusia lain. Oleh itu, persefahaman antara jurubahasa dan golongan pekak perlu ada.

Menjadi jurubahasa ketika orang normal bercakap bagi saya agak mudah, tetapi untuk menjadi jurucakap atau V.O ketika orang pekak berisyarat amat sukar. Kemahiran ini perlu betul-betul dikuasai dengan baik. . Pengalaman saya pernah ditegur oleh seorang Dato kerana kesilapan saya dalam menterjemahkan apa yang diperkatakan oleh orang pekak. Malu juga rasanya, tetapi itulah suatu pengalaman yang benar-benar mengajar saya apabila menjadi seorang jurubahasa isyarat kita perlu bersikap jujur dan amanah. Walaupun dalam V.O digalakkan kita perlu menambahkan perkataan-perkataan supaya menampakkan ayat yang lengkap, tetapi ayat tersebut tidak lari daripada makna yang disampaikan.

Cabaran dalam menjadi jurubahasa isyarat adalah dimana mereka mesti menterjemahkan dua bahasa yang berbeza iaitu bahasa isyarat kepada bahasa-bahasa yang lain bergantung kepada kemahiran bahasa yang diperoleh oleh seorang jurubahasa serta menukarkan bahasa lain kepada bahasa isyarat. Mereka juga, perlu mempunyai kemahiran ton dalam isyarat dan ekspresi muka untuk menunjukkan nada tinggi dan rendah suara yang didengari atau disampaikan oleh orang normal.

Selain itu, seorang jurubahasa bukan sahaja berperanan dalam menterjemahkan sesuatu perkara tetapi jurubahasa isyarat merupakan role model atau contoh ikutan kepada golongan pekak. Malangnya, melalui pemerhatian saya, terdapat jurubahasa isyarat yang tidak menunjukkan tingkah laku yang baik. Malah mengajak golongan pekak melakukan perkara keburukan. Sebenarnya, jurubahasa isyarat juga, adalah seorang guru dan pembimbing kepada golongan pekak . Jurubahasa isyarat bukan kuli atau pekerja yang makan gaji semata-mata. Mereka seharusnya memandu golongan pekak ke arah kebaikan, memberi tunjuk ajar yang betul serta menjadi pembimbing dan pendorong kepada golongan pekak untuk berjaya.

Perkara yang menjadi kebimbangan saya kini antara hubungan kemesraan dan persefahaman antara jurubahasa isyarat dengan golongan pekak. Kemesraan yang erat tidak terjalin. Terdapat segelintir jurubahasa bersifat pasif dan hanya berperanan dalam sewaktu menterjemahkan sahaja. Kemudian, apabila selesai tugas, mereka hanya berdiam diri dan tidak mempedulikan orang pekak. Seorang jurubahasa isyarat perlulah bersikap peramah dan mesra dengan semua orang. Jurubahasa isyarat menjadi perantara kepada golongan pekak dan normal. Penguasaan ilmu pengetahuan, kemahiran berkomunikasi, kemahiran interpersonal dan intrapersonal, sahsiah yang unggul, dan pegangan agama yang kuat perlu ada dalam diri seorang jurubahasa isyarat. Bukan hanya sekadar mengingat isyarat semata-mata. Apabila menjadi seorang jurubahasa isyarat perlulah mempunyai niat yang ikhlas ingin membantu, bukan niat untuk menunjuk-nunjuk tetapi perlu mempunyai kekuatan dan semangat dalam diri serta sifat ihsan.

Begitu juga dengan komuniti pekak, harus diingatkan jurubahasa isyarat bukan kuli atau robot, mereka adalah manusia. Hargailah perkhidmatan yang diberikan oleh mereka kerana hanya insan yang terpilih sahaja mampu menjadi seorang jurubahasa isyarat. Jadikan mereka sebagai sahabat, bertukar-tukarlah ilmu pengetahuan, kerana setiap manusia ada kelebihan dan kekurangan. Jangan hanya mengharapkan 100 % daripada jurubahasa isyarat. Adakalanya mereka turut lupa dan melakukan kesalahan.

Oleh itu, saya berharap semoga kerjaya sebagai jurubahasa isyarat ini tidak dipandang ringan oleh masyarakat. Masyarakat perlu sedar kepentingan jurubahasa isyarat kerana merekalah sahaja yang mampu memberitahu kehendak dan keperluan serta menjadi perantaraan antara golongan pekak dan golongan normal.


Kata meeze 1 : Terima kasih Ms. Agnes, Mr Mario, dan Pn Khairunissa Khoo yang banyak mendidik saya dalam mempelajari kemahiran menjadi jurubahasa isyarat.

Kata meeze 2: Kalau nak perkhidmatan jurubahasa isyarat sila hubungi : 01_ -_ _ _ _ _ _ _ hehehe.. tak boleh dedah no phone kat blog, bahaya...

Kata meeze 3 : kerja ini part time sahaja, tapi kerjaya sebagai guru adalah kerjaya yang sangat penting untuk saya sebab saya sayang budak pekak J







Ahad, 5 Februari 2012

SEKADAR UNTUK INGAT-MENGINGATI


Bila saya menulis tentang budaya pekak yang tidak menepati masa, alhamdulillah saya banyak mendapat jawapan yang positif daripada sahabat-sahabat pekak. Bimbang juga, manalah tahu tiba-tiba kena hentam dan perkhidmatan saya sebagai jurubahasa isyarat bebas tidak akan diambil lagi oleh orang pekak.

Sebenarnya, saya tidak membenci malah sebagai manusia dan insan yang sangat cintakan orang pekak saya rasakan masalah ini perlu ditangani. Saya bimbang jika sikap ini akan menjadi warisan. Kesannya, pelbagai masalah nanti yang akan berlaku.

Apa-apapun melalui penulisan saya, diharapkan dapat menjadi teladan, bukan untuk menghentam tetapi untuk menasihati sesama manusia. Peranan saya sebagai jurubahasa isyarat bukan hanya isyarat dan menterjemahkan sesuatu yang disampaikan seperti robot, tetapi sebenarnya peranan jurubahasa isyarat sangat berat iaitu memandu komuniti pekak ke arah jalan yang benar. Bukan hendak menunjuk pandai tetapi kita sebagai golongan normal yang sempurna dengan nikmat yang Allah bagi, kita tunjukkan contoh dan teladan kepada golongan pekak supaya mereka tahu mana yang benar dan mana yang salah. Bukan hanya tunggu bayaran upah perkhidmatan semata-mata. :-)

Golongan pekak merupakan golongan yang istimewa, walaupun mereka tidak boleh mendengar tetapi mereka boleh menjalani kehidupan sama seperti golongan normal. Kehilangan pendengaran bukan sesuatu yang mudah bagi manusia. Pendengaran sangat penting kepada manusia, melalui pendengaran manusia akan mendapat ilmu pengetahuan. Namun, bagi golongan pekak mereka bergantung kepada visual semata-mata. Sedangkan banyak ilmu yang diperolehi berbentuk abstrak. Jadi, peranan golongan normal seharusnya memandu golongan pekak ke jalan yang benar. Mana yang baik tunjukkan dan mana yang buruk cuba tegur dengan cara yang baik.

Berkongsilah setiap perkara yang kita tahu. Menyokong dan membantah bila perlu. Jadilah insan yang sentiasa mengingati antara satu sama lain. Seperti dalam surah Ali Imran ayat 110 :

"Adalah kamu sebaik-baik umat yang diciptakan bagi manusia supaya kamu menyuruh ke arah makruf dan mencegah dari yang mungkar"

Apa-apapun saya minta maaf jika penulisan saya ada membuat orang pekak atau orang normal terasa atau tersinggung, tetapi percayalah niat saya hanya untuk memesan-mesan ke arah kebaikan supaya dapat memajukan diri dan orang lain.

Kata meeze 1 : sikap memungkiri janji ini bukan hanya orang pekak sahaja, orang normal pun banyak. Contonya kebanyakan rakyat Malaysia sendiri, yang bersikap begitu.

Kata meeze 2 : apa-apapun terima kasih banyak semua, mana yang baik jadikan teladan dan buruk jadikan sempadan.





LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...