Hmmmm… sejak saya menjadi sebahagian komuniti pekak, ada positif dan negatif yang saya alami. Memang saya akui, saya suka dengan budaya pekak, sebab budaya pekak ada cara yang tersendiri. Namun, sejak kebelakangan ini saya sangat tertekan dengan sikap dan janji mereka yang selalu tidak di tepati. Misalnya, jika saya berjanji dengan mereka akan berjumpa pada pukul 10 pagi maka mereka akan datang pada jam 11 pagi atau 12 tengahari.Kesannya, berjanggutlah saya menunggu mereka. Begitu juga, jika mereka mengadakan mesyuarat atau apa-apa sahaja perjumpaan biasanya masa yang mereka janji tidak akan mereka tepati. Hal ini menyebabkan orang yang menunggu terasa dan marah. Bila saya persoalkan perkara ini kepada orang pekak, mereka menjawab inilah sebahagian budaya kami.
Allah berfirman bermaksud: “Wahai orang beriman, penuhi serta sempurnakanlah segala perjanjian (yang kamu buat).” (Surah al-Ma’idah, ayat 1)
Perjanjian adalah amanah yang wajib ditunaikan. Soal meringan-ringankan perjanjian dan tidak menepati perkara dijanjikan termasuk dalam kategori dosa besar. Ia sangat dibenci dan dimurkai Allah.
Firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak lakukan. Amat besar kebenciannya di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (Surah al-Saff, ayat 2-3)
Memungkiri janji boleh mendatangkan implikasi negatif kepada kepada pihak berjanji. Akibat memungkiri janji hubungan seorang sahabat dengan sahabat menjadi renggang, pekerja dengan majikan bermusuhan, suami isteri berselisih faham dan tidak wujud perasaan kasih sayang antara ayah dengan anaknya. (Berita Harian, Mohd Shukri Hanapi, 2 November 2011)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tiga perkara, sesiapa yang padanya ada tiga perkara itu, maka dia adalah seorang munafik walaupun ia berpuasa, mengerjakan solat dan mengakui dia seorang Muslim. (Tiga perkara itu) ialah apabila berbicara, ia berdusta; apabila berjanji, ia menyalahi janji; dan apabila diberi amanah, ia khianati.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Lihatlah sahabat-sahabat pekakku, dalam agama sendiri telah menyatakan bahawa kita sebagai manusia perlu sentiasa mengotakan janji dan sentiasa patuh dan menepati masa.
Saya kurang setuju jika dikatakan tidak menepati masa dan tidak menepati janji adalah salah satu aspek dalam budaya pekak. Bagi saya seharusnya budaya seperti ini harus dibuang dan tidak menjadi amalan kepada orang pekak khususnya dan juga kepada orang normal.
Hal ini kerana, jika aspek ini ada dalam budaya pekak maka perkara ini boleh menyebabkan orang pekak tidak akan maju seiringan dengan orang normal. Cuba anda perhatikan kepada golongan normal yang sentiasa menepati janji dan masa. Mereka menjadi insan yang berjaya. Misalnya, seperti Rasul kita sendiri Nabi Muhammad SAW dan juga semua nabi-nabi dan rasul-rasul yang menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat kerana sentiasa menepati masa dan janji.
Begitu juga, kalau kita perhatikan sikap golongan masyarakat di Jepun yang mengamalkan sikap menepati masa dan janji mereka menjadi suatu masyarakat yang berjaya dan menjadi sebuah negara yang moden dan membangun.
Oleh itu, kepada golongan pekak yang sentiasa mengamalkan cara sebegini, ubahlah untuk kebaikan diri sendiri. Harus diingatkan kebanyakan orang normal mempunyai sikap menepati janji dan masa. Jangan menganggap sikap tidak menepati masa dan janji itu adalah sebahagian daripada budaya anda, jika anda menganggap sebegitu, komuniti pekak akan sentiasa dipandang rendah oleh masyarakat. Mulakan suatu benda yang baru dan ubahlah sikap itu kepada yang lebih baik supaya budaya yang positif akan menjadi warisan kepada generasi yang akan datang.
Kata meeze : orang yang memungkiri janji adalah salah satu sikap orang munafik… Jadi sahabat-sahabat pekakku yang dikasihi adakah anda ingin menjadi orang yang munafik??? fikir-fikirkan dan selamat beramal!.
Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: Empat ciri jika seorang Muslim itu memilikinya, maka dia menjadi seorang munafik tegar melainkan selepas itu dia meninggalkannya: "Jika diberikan sesuatu amanah dia cabulinya, jika dia bercakap dia berdusta, jika dia berjanji dia memungkirinya dan jika dia bertelingkah dia celupar."