Jumaat, 2 Disember 2011

MASALAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN ISLAM KEPADA MURID BERMASALAH PENDENGARAN


Kepentingan pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam mula dititikberatkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia supaya tiap – tiap murid yang beragama Islam memahami dan boleh mengamalkan ajaran Islam. Setiap kanak – kanak yang lahir di dunia ini berhak mendapat pendidikan dan pelajaran menurut kebolehan, bakat dan persediaan yang ada pada diri masing – masing ( Hamdi Ishak 2010). Islam menyeru umatnya supaya menuntut ilmu. Seruan ini telah terkandung dalam wahyu yang pertama yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW iaitu Surah Al – Alaq surah ke 96 ayat 1. Murid – murid pendidikan khas bermasalah pendengaran juga, tidak ketinggalan mengikuti mata pelajaran pendidikan Islam di sekolah (Hamdi Ishak 2010). Pengajaran subjek pendidikan Islam dapat memberi peluang kepada murid – murid bermasalah pendengaran yang beragama Islam dalam mempelajari agama supaya dapat diterapkan dan diamalkan dalam kehidupan mereka.
Pernah diriwayatkan bahawa pada suatu hari Rasulullah SAW telah didatangi oleh Ummu Maktum iaitu seorang yang cacat penglihatan. Pada ketika itu Rasulullah SAW sedang sibuk melayani para penguasa Quraisy dan mendakwah mereka kepada agama Islam. Melihat kehadiran Ummu Maktum, baginda memalingkan muka baginda daripada beliau kerana ingin menumpukan perhatian kepada para penguasa Quraisy tersebut. Dengan kejadian itu, Allah SWT telah mewahyukan ayat 1 – 11, Surah Abasa yang bermaksud :
“Ia memasamkan muka dan berpaling kerana ia di datangi orang buta. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya wahai Muhammad ) ? Barangkali ia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang yang didapati daripadamu) ! ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya. Adapun orang yang merasakan keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran al –Quran ), maka engkau bersungguh – sungguh melayaninya. Padahal engkau tidak bersalah kalau ia tidak mahu membersihkan dirnya (daripada keingkarannya). Adapun orang segera datang kepadamu, dengan perasaan takutnya (melanggar perintah – perintah Allah ) maka engkau berlengah – lenggah melayaninya. Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu !. Sebenarnya ayat – ayat Al – Quran adalah pengajaran dan peringatan (yang mencukupi). “
Walaupun kisah di atas menceritakan tentang orang buta, namun ia merangkumi golongan kurang upaya yang lain yang seharusnya tidak ketinggalan dalam proses mendapatkan ilmu pengetahuan terutamanya dalam pendidikan Islam.
Setiap murid Islam wajib diajar pendidikan Islam sebagai asas kekuatan dalaman peribadi muslim untuk mengharungi kehidupan yang mendatang ( Mohd Huzairi Awang 2010). Dalam sistem pendidikan kebangsaan di Malaysia mata pelajaran pendidikan Islam diajar sebagai matapelajaran wajib di sekolah rendah dan menengah bertujuan untuk melahirkan insan yang seimbang daripada aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek, Kurikulum Pendidikan Islam digubal berlatar belakang Falsafah Pendidikan Islam. (Kementerian Pelajaran Malaysia 2002) Dalam hal ini menyebabkan murid –murid pekak mengikuti alam persekolahan sebagaimana pelajar lain dalam aliran kebangsaan. Mereka mengikuti pengajian peringkat rendah dan menengah di sekolah – sekolah pendidikan khas dan program pendidikan khas integrasi (PPKI) di sekolah – sekolah harian dengan menggunakan kurikulum kebangsaan (Mohd Huzari Awang 2010). Pendidikan pelajar berkeperluan khas telah ditetapkan sebagaimana seksyen 40 Akta Pendidikan 1996 :
Menteri hendaklah mengadakan pendidikan khas di sekolah khas yang ditubuhkan dibawah perenggan 34 ( 1) (b) atau di mana – mana sekolah rendah atau menengah yang di fikirkan oleh Menteri suaimanfaat.
Oleh itu, keperluan murid – murid bermasalah pendengaran dalam mendapat pendidikan khususnya pendidikan Islam amat penting kepada mereka supaya mereka dapat mengetahui kewajiban yang perlu dilakukan sebagai hamba Allah.
Dari segi pandangan Islam, kanak – kanak bermasalah pendengaran wajib diberikan pendidikan agama, berdasarkan gesaan Al – Quran dan sunnah Rasulullah SAW ( Hamdi Ishak 2010). Oleh itu, subjek pendidikan Islam telah diajar sebanyak enam waktu seminggu, dengan dua waktu amali. Seharusnya, pegajaran pendidikan Islam telah cukup untuk menerapkan perkara asas dalam pendidikan Islam. (Hamdi Ishak 2010). Namun, apa yang menjadi masalah ialah kebanyakan murid bermasalah pendengaran tidak memahami pengajaran dan pembelajaran dalam mata pelajaran pendidikan Islam. Hal ini terbukti melalui kajian yang dilakukan oleh Mohd Huzairi Awang 2010 mengenai persepsi pelajar bermasalah pendengaran terhadap pembelajaran fardhu ain, menyatakan bahawa kebanyakan pelajar bermasalah pendengaran tidak ingin menghadiri kelas tambahan fardhu ain, selalu mengelak diri dari kelas fardhu ain kerana pembelajaran fardhu ain kurang menarik, pelajar sukar untuk memahami kandungan fardhu ain, dan memang murid tidak boleh faham fardhu ain. Mengapakah masalah ini boleh terjadi?, sedangkan pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam kerap kali di ajar di sekolah khas. Hal ini sebenarnya menunjukkan bahawa, terdapat masalah dalam pengajaran dan pembelajaran terhadap murid – murid bermasalah pendengaran dalam subjek pendidikan Islam.
Antara masalah pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam kepada murid bermasalah pendengaran ialah kebanyakan murid – murid bermasalah pendengaran tidak begitu memahami pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam yang diajar oleh guru. Hal ini kerana, kebanyakan pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan Islam banyak melibatkan aspek – aspek yang berkaitan dengan aspek abstrak khususnya topik akidah. Topik akidah pula adalah topik yang sukar dibayangkan dalam diri murid bermasalah pendengaran. (Hamdi Ishak 2010). Sebagai contoh,aspek – aspek yang berkaitan dengan perkara abstrak ialah konsep ketuhanan, konsep pahala dan dosa, kewujudan alam akhirat, kewujudan makhluk Allah yang lain seperti malaikat, syaitan, dan jin, mukjizat para nabi dan para rasul serta sebagainya. Masalah ini wujud disebabkan murid – murid bermasalah pendengaran mempunyai perkembangan kognitif yang tidak sama dengan murid – murid normal. Menurut Safani Bari 2006 menyatakan bahawa kanak – kanak bermasalah pendengaran sukar memahami konsep – konsep yang abstrak atau mengekalkan sesuatu maklumat yang diterima. Hal ini disebabkan oleh deria lihat lebih banyak membantu mengenai kefahaman sesuatu konsep yang nyata atau dapat dilihat manakala bahasa pula berperanan memberikan gambaran kepada sesuatu konsep yang tidak dapat dilihat atau abstrak. Jelaslah menunjukkan bahawa masalah ketidakfahaman adalah punca masalah pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam kepada murid bermasalah pendengaran.
Akibat ketidakfahaman murid terhadap subjek pendidikan Islam, maka wujudlah masalah kurang minat murid terhadap subjek ini. Sebenarnya murid – murid bermasalah pendengaran berasa minat untuk mempelajari pendidikan Islam tetapi akibat masalah ketidakfahaman terhadap pengajaran dan pembelajaran subjek pendidikan Islam menyebabkan sedikit sebanyak rasa minat itu hilang dalam diri. Menurut Mohd Huzairi Awang 2010 menyatakan bahawa pelajar – pelajar pekak memang meminati pembelajaran fardhu ain, Mereka menganggap pembelajaran fardhu ain adalah penting dalam kehidupan mereka, tetapi dalam masa yang sama mereka menganggap sesi pengajaran dan pembelajaran kurang memberi makna. Masalah ini sedikit sebanyak menghilangkan rasa minat mereka untuk mempelajari fardhu ain. Selain itu, menurut Mohd Huzairi Awang 2010 menyatakan dalam kajiannya iaitu minat kurang mendalam terhadap fardhu ain menyebabkan pelajar bermasalah pendengaran mudah berputus asa dalam mempelajari fardhu ain sekiranya tidak dapat memahami fardhu ain dengan betul. Sikap kurang minat murid bermasalah pendengaran terhadap subjek pendidikan Islam menyebabkan segelintir mereka beranggapan bahawa pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam tidak penting dan tidak mempunyai kaitan dengan bidang kerjaya yang dicita – citakan. (Mohd Huzairi Awang 2010). Perkara ini menunjukkan bahawa sikap kurang minat murid merupakan salah satu faktor masalah pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam kepada murid bermasalah pendengaran.
Kesedaran ibu bapa dalam memberikan pendidikan Islam kepada murid – murid bermasalah pendengaran merupakan salah satu faktor berlakunya masalah dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam. Hal ini kerana, ibu bapa kurang sedar untuk memberi pendidikan agama kepada anak – anak bermasalah pendengaran. Mereka lebih gemar meletakkan tanggungjawab tersebut kepada guru – guru di sekolah (Hamdi Ishak 2010). Ibu bapa seharusnya sedar bahawa kepentingan pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam terhadap anak – anak bermasalah perdengaran perlu dititikberatkan. Namun, kebanyakan ibu bapa menganggap masalah yang dihadapi oleh anak – anak mereka menyebabkan mereka tidak perlu menitikberatkan pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam kepada anak – anak bermasalah pendengaran. Hal ini sehingga menyebabkan kanak – kanak bermasalah pendengaran apabila menjangkau usia dewasa mereka beranggapan bahawa mereka tidak berkewajipan dan tidak perlu mempelajari pendidikan Islam. Perkara ini telah terbukti melalui kenyataan Presiden Persekutuan Orang Pekak Malaysia Sazali Shaari 2006 semasa majlis pelancaran VCD panduan solat dalam bahasa isyarat mengatakan bahawa masih terdapat segelintir yang tidak dapat menghayati rukun Islam kedua dan faham apa sebenarnya berlaku, malah ada yang mengatakan mereka tidak sembahyang kerana dikecualikan daripada hukum sembahyang. Hal ini jelaslah menunjukkan bahawa peranan ibu bapa sangat penting dalam memastikan anak – anak bermasalah pendengaran mendapat pendidikan agama yang sewajarnya.
Faktor daripada guru juga, merupakan salah satu punca berlakunya masalah pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam kepada murid bermasalah pendengaran. Masalah daripada guru dapat dikesan akibat daripada perkara – perkara berikut. Perkara pertama, guru – guru yang mengajar pendidikan Islam kepada murid bermasalah pendengaran bukanlah daripada bidang pendidikan khas. Hal ini menyebabkan kebanyakan guru – guru pendidikan islam apabila ditempatkan di sekolah khas mereka tidak mengetahui kemahiran dalam mengajar pendidikan islam kepada murid khas. Daripada dapatan kajian yang dibuat oleh Hamdi Ishak 2010 terhadap empat orang guru pendidikan Islam yang mengajar murid bermasalah pendengaran mendapati bahawa keempat – empat guru mempamerkan kesediaan dan komitmen mereka dalam pengajaran dengan penuh tanggungjawab dan berdedikasi, mempunyai sikap dan akhlak yang baik, mesra dan bertanggungjawab yang menepati ciri – ciri guru yang baik. Namun, dari segi ilmu pengetahuan dan kemahiran dari aspek pendengaran, audiologi, keperluan murid bermasalah pendengaran, dan kemahiran berkaitan dengan pedagogi masih mempunyai kelemahan. Oleh itu, mereka telah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan kemampuan mereka dan latihan yang diperoleh semasa di institut latihan perguruan mereka, namun masih tidak mencukupi kerana latihan diterima adalah kepada murid normal (Hamdi Ishak 2010). Objektif pendidikan Islam mungkin sukar dicapai sekiranya kebanyakan guru – guru yang mengajar mata pelajaran pendidikan Islam di Program Pendidikan Khas terdiri daripada guru – guru pendidikan khas yang tidak mempunyai kelayakan ikhtisas, kemahiran untuk mengajar pendidikan Islam (Ab Halim 2003). Maka hal ini menunjukkan kebanyakan guru pendidikan Islam murid bermasalah pendengaran masih tidak mempunyai kelayakan dalam mengajar pendidikan khas.
Pekara kedua ialah kebanyakan guru – guru yang mengajar pendidikan Islam kepada murid bermasalah pendengaran tidak mempunyai strategi pengajaran yang berkesan. Hal ini menyebabkan pengajaran pendidikan Islam yang disampaikan tidak bermakna dan tidak difahami oleh murid. Mohd Mokhtar dan Aliza 2003 yang mengatakan bahawa ramai di kalangan guru yang mengajar Pendidikan Islam tidak mempunyai pengetahuan mengenai strategi pengajaran untuk pelajar – pelajar pendidikan khas, iaitu hanya 34 . 7 peratus yang mempunyai pengetahuan mengenai strategi pengajaran pendidikan khas dan manakala 30 . 4 peratus sahaja mengetahui mengenai strategi pengajaran pendidikan Islam. Perkara ini menunjukkan bahawa kebanyakan guru pendidikan Islam masih belum mempunyai strategi yang berkesan dalam mengajar pendidikan Islam kepada murid bermasalah pendengaran.
Perkara ketiga ialah kebanyakan guru pendidikan Islam yang mengajar murid bermasalah pendengaran masih lemah dalam penggunaan bahasa isyarat. Hal ini menyebabkan mereka sukar untuk berkomunikasi dengan murid dan kurang memberi penerangan yang jelas mengenai tajuk – tajuk yang terdapat dalam pendidikan islam. Menurut Mohd Hanafi 2005 mengatakan bahawa sebahagian besar guru pendidikan khas tidak mahir berkomunikasi menggunakan KTBM serta sukar untuk menerangkan perkataan – perkataan yang abstrak semasa dalam pengajaran. Jika seseorang guru tidak mempunyai kemahiran yang asas dalam menggunakan bahasa isyarat maka agak sukar bagi mereka dalam menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran terutamanya subjek pendidikan Islam.
Masalah yang seterusnya yang dapat kita teliti ialah keadaan sekolah yang tidak menggalakkan pengajaran secara amali dalam pendidikan Islam kepada murid bermasalah pendengaran. Sebagai contoh, aktiviti amali yang tidak diterapkan oleh pihak sekolah seperti tidak menerapkan bacaan doa sebelum belajar, tidak membuat aktiviti solat secara berjemaah, tiada aktiviti – aktiviti amali dan sebagainya. Hal ini menyebabkan murid – murid bermasalah pendengaran kurang memahami pengamalan ajaran islam yang perlu dilakukan dalam kehidupan mereka kerana kurang diterapkan di sekolah dan rumah. Aktiviti amali dan tunjuk cara penting diberikan oleh murid bermasalah pendengaran supaya mereka dapat memahami perkara yang dipelajari serta dapat menarik minat mereka terhadap subjek pendidikan Islam. Menurut Mohd Huzairi Awang 2010 menyatakan bahawa P & P fardhu ain perlu menggunakan kaedah yang pelbagai sepeti pembelajaran berpusatkan murid, teknik penerangan disertakan dengan amali dan tunjuk cara, teknik penyelesaian masalah serta pembelajaran berasaskan masjid agar pelajar pekak merasakan P & P fardhu ain satu waktu yang ditunggu – tunggu dan mereka sangat berminat untuk menghadirinya. Terbuktilah bahawa masalah keadaan sekolah adalah merupakan salah satu punca masalah pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam kepada murid bermasalah pendengaran.
Di sekolah pendidikan khas bermasalah pendengaran menawarkan aliran akademik dan menggunakan Kurikulum Kebangsaan (Jabatan Pendidikan Khas 2004). Begitu juga bagi mata pelajaran Pendidikan Islam, murid – murid pendidikan khas bermasalah pendengaran mengikuti Kurikulum Pendidikan Islam sepertimana murid – murid Islam lain di arus perdana (Hamdi Ishak 2010). Namun, kurikulum yang digunakan kepada murid bermasalah pendengaran adalah tidak sesuai. Hal ini kerana, murid – murid masalah pendengaran mempunyai kesukaran dalam menguasai dan memahami kurikulum dan sukatan pelajaran yang diberikan kerana kurikulum dan sukatan pelajaran yang digunakan turut digunakan oleh murid normal. Kesannya, masalah ini menyebabkan guru – guru tidak mengikut sepenuhnya sukatan di dalam kurikulum, mengubahsuai kurikulum dan sukatan mengikut kesesuaian murid, tidak mengajar tajuk – tajuk yang dianggap terlalu sukar dan sebagainya. Hamdi Ishak 2010 menyatakan bahawa guru – guru pendidikan Islam yang mengajar murid bermasalah pendengaran membuat pengubahsuaian sukatan pelajaran kerana mereka membuat pentafsiran sendiri berdasarkan pengalaman mereka, mengikut kesesuaian dan tahap kemampuan murid . Hal ini kerana, jika mereka mengikut sepenuhnya daripada kurikulum yang diberi murid tidak akan faham. Walaubagaimanapun pencapaian murid –murid bermasalah pendengaran masih berada pada tahap yang lemah (Abdullah Yusof 2002). Memandangkan pencapaian yang kurang memuaskan, Shanti 2004 mencadangkan murid – murid bermasalah pendengaran perlu mengikuti kurikulum khas yang terdiri daripada kemahiran kehidupan harian, kemahiran sosial dan bimbingan kerjaya dan persediaan. Bagi murid yang berjaya melepasi kurikulum tersebut barulah mereka layak untuk mengambil peperiksaan yang setaraf dengan pelajar tipikal.
Seperti yang sedia maklum bahawa penggunaan buku teks merupakan salah satu cara dalam mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan dalam kurikulum kebangsaan., Hal ini kerana, buku teks merupakan suatu senario tentang ilmu yang akan dipelajari berdasarkan sukatan dan huraian pelajaran yang dilihat dalam suatu bidang tertentu (Affandi Ag Ghani 2006). Begitu juga dengan mata pelajaran Pendidikan Islam turut mempunyai buku teksnya tersendiri. Kementerian Pendidikan telah menyediakan buku teks sebagai sumber rujukan sama ada kepada guru mahupun murid. Bagi murid, buku teks boleh dibawa dari sekolah ke rumah sebagai rekod apa yang dipelajari pada hari itu dan apa yang akan dipelajari pada hari esok ataupun keseluruhan tahun persekolahan. ( Affandi Ag Ghani 2006). Begitu juga, dengan murid bermasalah pendengran mereka turut menggunakan buku teks. Namun, masalah yang berlaku ialah guru – guru pendidikan Islam tidak menggunakan buku teks dalam pengajaran dan pembelajaran. Hal ini kerana, mereka beralasan bahawa murid – murid pekak tidak boleh membaca jawi. Kesannya pengajaran yang diajar oleh guru umpama “acuh tak acuh” sahaja. Hal ini kerana, guru – guru menghadapi kesukaran dalam mengajar perkara yang sukar di dalam buku teks dan terpaksa menggunakan cara yang tersendiri sehingga menyebabkan buku teks langsung tidak digunakan oleh segelintir guru pendidikan Islam yang mengajar murid – murid bermasalah pendengaran. Terbuktilah disini bahawa masalah kurikulum yang digunakan adalah merupakan masalah pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam kepada murid bermasalah pendengaran.
Secara keseluruhan di sini menunjukkan bahawa sebenarnya pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam kepada murid – murid bermasalah pendengaran masih mempunyai kepincangannya. Walaupun begitu, tanggungjawab mendidik dan membimbing pelajar untuk melahirkan insan yang bertaqwa adalah terpikul di atas bahu guru pendidikan Islam. (Mohd Huzairi Awang 2010) Seorang guru pendidikan khas khususnya guru yang mengajar subjek pendidikan Islam perlulah mempunyai kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran . Selain itu, pihak yang bertanggungjawab seharusnya memantau balik kesesuaian yang perlu dilakukan dalam mengajar pendidikan Islam kepada murid bermasalah pendengaran. Perkara ini perlulah dilaksanakan dan dipantau dengan segera supaya tanggungjawab dalam memberi ilmu yang bermanfaat dapat diaplikasikan kepada murid bermasalah pendengaran supaya mereka dapat menghadapi cabaran pada masa akan datang dan mengetahui perkara wajib yang dituntut dalam Islam.

Rujukan
Al – Quran al - Karim
Abdullah Yusof. 2002. Bahasa Melayu di kalangan pelajar pekak. Jurnal Dewan
Bahasa. Vol 2, No. 6 : 36 – 41
Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685 ), Bahagian II, Majlis Kebangsaan bagi
Orang Kurang Upaya
AKta Pendidikan 1996 (Akta 550), Bab 8 Pendidikan Khas.
Kementerian Pelajaran Malaysia (1980), Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran (& November 1979) cet 2, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hamdi Ishak 2010, Amalan Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Islam kepada
murid sekolah kebangsaan pendidikan khas masalah pendengaran : satu kajian kes Prosiding Seminar Penyelidikan Siswazah, No 163 – 171
Hamdi Ishak, 2010 Isu Pengajaran Pendidikan Islam kepada Kanak – Kanak
Bermasalah Pendengaran, Prosedings First Annual Inclusive Education Practices Conference, No 131 – 141
K.A Razhiyah (2005), Menjadi Guru Pendidikan Khas, Kuala Lumpur, PTS Professional
Publishing Sdn. Bhd.
Kementerian Pelajaran Malaysia, Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 55 / 1998, Akta
Pendidikan 1996 dan Peraturan – peraturan di bawah Akta Pendidikan 1996,
Kp (BS) 8591/ Jld. XIV (5) bertarikh 25 Mac 1998.
Maklumat Pendidikan Khas. (2004). Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran
Malaysia.
Maklumat Pendidikan Khas. (2005). Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran
Malaysia.
Mohd Hanafi Mohd Yasin. (2005). Perbandingan pencapaian pelajar pendidikan khas
(pekak) menggunakan tiga format peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah
(UPSR). Tesis Doktor Falsafah, Fakulti Pendidikan UKM Bangi.
Mohd Huzairi Awang @ Husain (2010). Persepsi pelajar bermasalah pendengaran
terhadap pembelajaran fardu ain : Cabaran terhadap guru, Proceedings of the 4th
International Conference on teacher Education : Join Conference UPI & UPSI,
No 240 – 250
Mohd Mokhtar & Aliza (2005). Isu pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam
pelajar berkeperluan khas. Prosiding Wacana Pendidikan Islam : 405. Bangi :
Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Safani bin Bari (2006), Psikologi dan Perkembangan Kanak – Kanak Masalah
Pendengaran, Kuala Lumpur, Open Univerisiti Malaysia (OUM)
Sazali Shaari. Berita Harian, 20 Jun 2005.
Siti Muhibah Hj. Nor 2010 Kesukaran Pemahaman murid – murid bermasalah
pendengaran terhadap mata pelajaran pendidikan Islam, Prosedings First Annual
Inclusive Education Practices Conference, No 122 – 130
Understanding Deaf Culture Malaysian Perspectives, Kuala Lumpur, Majudiri Y
Foundation for the Deaf








LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...