Baru-baru ini saya telah ditanyakan oleh sahabat saya berkaitan dengan masalah perhubungan antara komuniti pekak dan komuniti normal. Dalam dialog saya banyak membincangkan tentang masalah yang berlaku antara komuniti pekak dan komuniti normal. Disini saya telah mencoretkan tentang dialog antara sahabat saya dan saya sendiri tentang masalah yang berlaku. Mungkin jika terdapat golongan pekak dan normal yang tidak berpuas hati dengan dialog saya dengannnya harap boleh dikongsi bersama-sama.
Sahabat : Meeze aku rasa pelik dengan orang pekak ini, komuniti mereka kecil tetapi kenapa mereka terlalu banyak persatuan-persatuan sehingga persatuan yang mereka tubuhkan tidak boleh bersatu?
Meeze : Sukar aku nak jawab pertanyaan kau ini, tetapi setahu aku memang aku akui banyak persatuan-persatuan yang telah ditubuhkan oleh mereka ini. Namun, kesemua persatuan ini bermatlamat adalah untuk meningkatkan pembangunan orang pekak khususnya di Malaysia. Bab banyak persatuan ini, sebenarnya golongan pekak mempunyai politik mereka yang tersendiri. Biasalah tu, manusia tidak pernah berpuas hati dengan apa yang ada. Begitu juga dengan kita, kita mempunyai parti politik yang pelbagai, adakah kau ingat parti politik kita bersatu juga? Memang komuniti mereka kecil tetapi itulah sikap mereka sendiri. Mereka kebanyakan tidak sehaluan. Namun, kita sebagai normal seharusnya menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada mereka. Mereka tidak boleh mendengar tetapi mereka mempunyai akal fikiran dan boleh membezakan baik dan buruk. Kita sebagai orang normal berilah peluang kepada mereka untuk berpolitik. Jangan memadang mereka tidak boleh buat. JIka ada salah kita tegur mereka bukannya kita hanya mengutuk mereka tidak tahu apa-apa. Biarlah mereka belajar daripada kesilapan yang mereka lakukan.
Sahabat : Aku pelik kebanyakan mereka tidak gemar bergaul dengan orang normal. Kenapa ya?
Meeze : Aku nak tanya kau satu perkara, adakah kita orang normal ini gemar bergaul dengan mereka? Kau sebagai orang normal, apakah perasaan kau bila bersama dengan mereka?Janggal bukan? Begitu juga dengan mereka. Mereka berasa senang bergaul antara mereka sebab bahasa isyarat yang mereka gunakan. Baiklah aku beri contoh kepada kau, kau orang melayu, tiba – tiba kau pergi ke komuniti orang cina, apa yang kau rasa? Adakah kau rasa selesa? Adakah kau faham apa yang dituturkan oleh mereka?
Sahabat : Jadi, bagaimana kita hendak cuba bergaul dengan mereka?
Meeze : Jadilah seorang yang peramah dan rendah diri. Hormati mereka seperti orang lain. Mereka manusia biasa ada perasaan. Selama aku berada dengan komuniti pekak aku tidak pernah berasa janggal atau kekok. Malah aku rasa seolah-olah aku dihargai. Jadi, kita kena berani. Sikap peramah perlu ada bukan sekadar orang normal malah orang pekak itu sendiri. Mereka juga perlu bergaul dengan orang normal dan bersosial.
Sahabat : Jadi kaedahnya?
Meeze : Mungkin kita gunakan kaedah bahasa isyarat dan orang pekak yang boleh mendengar belajar pertuturan. Hal ini supaya menyenangkan kita dengan mereka untuk berkomunikasi.
Sahabat : Ini berkaitan dengan sekolah, aku masih keliru dengan guru-guru di sekolah, mereka mengajar kanak-kanak pekak di sekolah kenapa aku lihat, terdapat segelintir guru pekak tidak mahir dalam berisyarat dan tidak tahu berkomunikasi dengan orang pekak?
Meeze : Hmmm.. masalah ini sudah lama berlaku tetapi tidak ada tindakan yang dilakukan. Baiklah kalau kau lihat, di sekolah orang pekak itu sendiri, lihat latar belakang pendidikan guru tersebut, adakah mereka daripada bidang masalah pendengaran?.
Sahabat : Aku tidak pastilah meeze.
Meeze : Sebenarnya kebanyakan guru-guru yang ditempatkan di sekolah pendidikan khas masalah pendengaran bukan daripada bidang pendengaran. Ada guru-guru yang bidang lain terpaksa masuk ke sekolah pekak.
Sahabat : kenapa jadi sebegitu?
Meeze : Aku tidak tahulah, mungkin itu masalah atasan. Kau bayangkan guru yang bukan bidang masalah pendengaran dimasukkan ke sekolah pekak. Kau rasa mereka mampu mengajar murid-murid tersebut. Malah mereka terpingga-pingga dan kadang-kadang berputus asa untuk mengajar. Namun, jika ada guru yang bersemangat dan beriltizam tinggi mereka akan berusaha untuk mempelajarinya.
Sahabat : Jadi apa guna IPG IK dan universiti lain yang menawarkan bidang masalah pendengaran, adakah mereka dihantar ke sekolah pekak? Aku tengok ramai senior-senior kita yang ambil masalah pendengaran disini.
Meeze : Itu yang jadi masalahnya, guru pekak dihantar ke sekolah masalah pembelajaran. Alasan daripada pihak atasan sekolah pekak sudah penuh guru. Namun, aku pelik masa tahun senior kita keluar, ada sebuah sekolah pekak (maaf tidak boleh dinyatakan) yang mahukan pihak atasan menghantar guru daripada IPG IK yang mengambil masalah pendengaran. Tiba-tiba apabila senior kita keluar, sekolah tersebut tidak menerima langsung guru daripada institut kita, tetapi mereka menerima guru bukan bidang pendidikan khas. Senior-senior kita pula pergi ke sekolah masalah pembelajaran. Hanya dua tiga orang sahaja pergi ke sekolah pekak. Persoalannya disini, pihak atasan kata tentang penuhnya guru pekak di sekolah tetapi kenapa masih ada guru-guru yang bukan bidang pendidikan khas ditempatkan di sekolah pendidikan khas?. Kenapa perkara ini boleh berlaku. Kesian kepada budak-budak.
Sahabat : Apa yang akan terjadi kepada murid – murid pekak?
Meeze : Habislah, mereka kurang mendapat ilmu. Cikgu tidak mahir isyaratlah, cikgu sambil lewa ajar dan tidak ada semangat. Sebab guru – guru ini bukan daripada bidang pendidikan khas. Cuba kau bayangkan kau dapat seorang guru yang akan ajar bahasa melayu dan guru tersebut tidak mahir mengajar bahasa melayu. Ntah apa-apa dia ajar. Kau rasa kau akan hormat pada guru tersebut?
Sahabat: tidak malah aku kutuk lagi ada.
Meeze : Ha.. macam itulah keadaan murid-muris pekak. Murid-murid pekak akan menghormati guru yang mahir dalam bahasa isyarat. Malah guru yang tidak mahir akan dikatakan bodoh oleh murid-murid. Sikap orang pekak memang telus, mereka akan cakap terus.
Sahabat : Wow dasyatnya.
Meeze : Ya.. memang betul, itulah masalah yang berlaku dalam pendidikan orang pekak. Kalau kita tengok negara barat, jika hendak jadi guru pekak mereka perlu ditemuduga terlebih dahulu tentang kemahiran isyarat dan ilmu tentang murid-murid pekak. Namun, disini tidak. Penempatan guru sesuka hati, menyebabkan kesan yang besar. IPG IK banyak menghasilkan guru pekak, tetapi ilmu lima tahun setengah belajar disini, sia-sia begitu sahaja. Sebab itu, bila aku pergi ke sekolah aku perhatikan sebilangan guru tidak mahir isyarat, tidak suka bergaul dengan murid pekak, ada guru makan gaji dan sebagainya. Ada seorang kawan pekak aku yang sudah berusia 30 an pernah menceritakan kepada aku tentang keadaan di sekolah pekak dahulu dan sekarang. Dia sangat memuji cikgu sekolah pekak dahulu. Kesemua guru mahir dalam berisyarat, mengajar pertuturan, dan ada subjek mengajar adab-adab dan sebagainya. Namun, sekolah pekak sekarang, aku tidak tahulah hanya ajar untuk peperiksaan semata-mata. Pertuturan, penggunaan alat bantu dengar, dan sebagainya langsung tidak ditekankan. Bilik audiologi dan pertuturan macam tidak bergerak, tidak digunakan langsung. Guru-guru pekak tidak mahir mengajar dan sebagainya. Kesannya… kalau kita perhatikan orang pekak yang tua ini kebanyakan ramai yang boleh bertutur. Mereka suka memakai alat bantu pendengaran. Malah mereka mempunyai kemahiran dalam bergaul dengan orang normal.
Sahabat : Kau cakap ini ada bukti ke?
Meeze : Terpulanglah kalau kau hendak percaya atau tidak, tetapi inilah pengalaman aku, banyak perkara aku sudah perhatikan, aku sudah 4 tahun bergaul dengan orang pekak, mungkin aku baru dalam bidang pendidikan khas, tetapi empat tahun yang aku lalui ini, banyak perkara yang sudahaku perhatikan. Namun, aku tidak mampu buat apa-apa, aku hanya pelajar biasa sahaja. Bila aku bersuara, tidak siapa mahu mendengar. Aku bukan tokoh, pensyarah, dan sebagainya. Memang tidak ada orang akan mendengar, malah akan menyindir aku.. hehehehe..
Sahabat : Deaf and dumb? Kau setuju dengan perkataan sebegitu.
Meeze : istilah deaf and dumb itu istilah yang lama digunakan. Aku setuju jika menggunakan perkataan deaf, tetapi dumb aku kurang setuju. Orang pekak tidak dumb (bisu), mereka boleh bercakap.. jika mereka belajar bertutur mereka mampu bercakap. Disebabkan masalah pendengaran yang dihadapi oleh mereka, maka mereka tidak boleh bercakap. Jika mereka ada sisa-sisa pendengaran mereka perlu mempelajari pertuturan. Ibu bapa, kumpulan sokongan dan pihak sekolah sangat memainkan peranan yang penting dalam memberi pengajaran pertuturan kepada mereka.
Sahabat : Jadi kau tidak sukalah kalau orang pekak gunakan bahasa isyarat?
Meeze : Bukan aku tidak suka mereka gunakan bahasa isyarat, malah aku pun suka guna bahasa isyarat, tetapi golongan pekak yang mempunyai sisa-sisa pendengaran perlu belajar pertuturan kerana memudahkan mereka berkomunikasi dengan masyarakat luar yang tidak tahu bahasa isyarat dan waktu-waktu kecemasan.
Sahabat : Waktu-waktu kecemasan?
Meeze : ya, contohnya, jika tiada jurubahasa, atau tiada orang normal yang tahu bahasa isyarat bagaimana dia hendak berkomunikasi? Jadi kena bertutur bukan.. Kalau sekadar bergantung pada tulis kertas,kau ingat orang normal ini rajin sangat ke menulis. Maklumat yang disampaikan oleh orang normal melalui penulisan bukan 100% pun.. Banyak kali aku perhatikan, bila orang pekak tulis pada nota, orang normal akan jawab dengan tulis pendek-pendek dan tidak memberi maklumat tersebut sepenuhnya. Sebab malas hendak menulis, leceh dan sebagainya. Kalau bertutur dan belajar kemahiran mendengar, insyallah tiada masalah akan berlaku. Seperkara lagi yang aku geli hati, kadang-kadang orang menyalahtafsirkan maksud deaf and dumb mereka memberi maksud iaitu pekak dan bodoh. Oleh itu, kebanyakan mereka berfikir orang pekak itu bodoh, bongok dan sebagainya. Namun, deaf and dumb bererti pekak dan bisu. Aku pun pada mulanya pun keliru juga, tetapi setelah ditegur baru aku tahu. Harus diingatkan orang pekak ini tidak bodoh, mereka seperti kita mempunyai akal fikiran. Mereka boleh berfikir baik dan buruknya. Malah ada orang lebih pandai daripada orang normal.
Sahabat : Kenapa ya orang pekak suka berkahwin antara sesama mereka? Kenapa mereka tidak mahu berkahwin dengan orang normal? Kan itu lebih bagus..
Meeze : Ya aku setuju dengan pendapat kau, orang pekak harus berkahwin dengan orang normal supaya dapat meningkatkan kemahiran sosial mereka. Namun, sejauh mana kerelaan orang normal mahu berkahwin dengan orang pekak. Kau rasa, kau mahu berkahwin dengan orang pekak?. Sedangkan orang yang mahir dalam bahasa isyarat pun kalau boleh tidak mahu berkahwin dengan orang pekak, inikan orang normal yang tidak tahu apa-apa. Kau jangan hanya menyalahkan orang pekak sahaja yang tidak mahu mencari jodoh dengan orang normal, sebaliknya kita orang normal seperti diri kita kena pandang diri kita adakah kita betul-betul mahu menerima jodoh seperti mereka?. Kenyataan yang mengatakan orang pekak mahu berkahwin dengan orang pekak sahaja dan tidak mahu berkahwin dengan orang normal, aku tidak setuju 100 %, malah ada juga orang normal berkahwin dengan orang pekak, tetapi tidak ramai. Bila aku bertanya perkara ini kepada mereka , mereka pun tidak kisah jika dapat jodoh dengan orang normal. Lagi baik. Baiklah aku andaikan berapa ramai orang melayu berkahwin dengan orang cina dan orang india. Ramai tak? Mesti tak ramai, kebanyakan orang melayu akan berkahwin dengan orang melayu. Betul tak? Kenapa jadi sebegitu? Faktornya komunikasi dan kebiasaan serta pemahaman dalam pergaulan dan budaya. Soal bab ini bergantung pada individu itu sendiri. Terpulang pada kesesuaian dalam memilih pasangan kerana ini masa depannya.
Sahabat : Kenapa orang pekak ini sukar hendak memahami sesuatu perkara? Kadang-kadang aku tertekan kepada mereka, aku rasa dah banyak kali aku ulang perkara yang sama, tetapi mereka tidak faham-faham lagi.
Meeze : Allah menciptakan sesuatu semuanya ada manfaatnya. Sebenarnya bagi aku, orang pekak dan orang-orang OKU yang lain adalah orang yang hebat. Mereka kekurangan deria tetapi mereka mampu meneruskan hidup seperti biasa. Berbalik kepada cerita kita tentang orang pekak, aku rasa soal kefahaman, adalah disebabkan mereka tidak boleh mendengar. Allah anugerahkan pendengaran merupakan suatu anugerah yang sangat bernilai kepada kita. Kita boleh mendengar walaupun, tanpa melihat kita boleh memahami. Tetapi orang pekak hanya bergantung pada visual dan apa yang dilihat sahaja. Sebab itu, perkara-perkara yang abstrak, mereka sukar untuk bayangkan. Jadi kita kena teruskan mengulang dan mengulang supaya mereka dapat memahami sebenar-benarnya apa yang diperkatakan. Aku selalu menasihati rakan-rakan pekak dan murid-murid pekak aku, kalau orang normal berusaha satu kali ganda, tetapi orang pekak harus berusaha dua kali ganda daripada orang normal. Jadi kita kena faham dan tidak mementingkan diri sendiri. Malah kita kena bersabar dengan mereka. Inilah menunjukkan ujian Allah kepada kita, sejauh mana kita bersikap ihsan terhadap sesama manusia. Allah jadikan manusia ada kekurangan dan ada kelebihan masing-masing.
Sahabat : Oh.. jadi jurubahasa isyarat, atau guru-guru pekak perlulah sukarela dalam membantu mereka tanpa memerlukan wang ringgit?
Meeze : Guru dan jurubahahasa isyarat merupakan suatu kerjaya. Kalau asyik hendak sukarela sahaja, bagaimana mereka hendak makan dan menanggung keluarga. Apa yang penting adalah ikhlas dalam bekerja. Bukan kerana wang semata-mata. Memang aku akui ada jurubahasa isyarat perlu dibayar . Tetapi itu adalah kerjayanya. Dia tidak boleh boleh hidup kalau hanya menjadi sukarela sahaja. Dia juga perlu dibayar. Tetapi niat dia kena betul. Dalam dia menterjemahkan apa yang diperkatakan mestilah betul dan benar serta jujur supaya duit yang dimakan olehnya itu halal. Begitu juga dengan guru mereka perlu mendidik anak-anak pekak atau anak OKU lain dengan bersungguh-sungguh. Jika main-main dan tidak betul duit yang dia dapat itu tidak halallah. Namun, ada juga jurubahasa dan guru yang sanngup menjadi sukarela. Hal ini bergantung pada keadaan dan sitausinya. Begitu juga orang pekak mesti memahami dan menghargai peranan jurubahasa dan guru, kerana tiada orang lain yang boleh mereka bergantung, hanya kepada guru dan jurubahasa.
Sahabat : Apa beza jurubahasa dan guru?
Meeze : Jurubahasa isyarat merupakan individu yang meterjemahkan apa yang diperkatakan oleh orang normal dan memberi kefahaman kepada orang pekak dalam situasi bersama dengan orang normal. Guru pula, mendidik dan mengajar orang pekak supaya menjadi manusia yang berjaya. Walaupun kedua-dua kerjaya ini adalah berbeza, tetapi seorang jurubahasa boleh menjadi seorang guru manakala seorang guru boleh menjadi seorang jurubahasa. Bagi aku tidak salah kedua-duanya. Jika seseorang itu boleh menjadi guru dan jurubahasa lagi bagus. Hal ini dapat meningkatkan lagi pengalaman dan pemahamannya terhadap dunia orang pekak.
Sahabat : Kenapa ada orang pekak menyokong BIM dan tidak menyokong KTBM? Bukankah KTBM penting? Aku rasa KTBM sangat sesuai digunakan di sekolah sebab kalau tak ada KTBM penguasaan bahasa melayu orang pekak akan lemah.
Meeze : Siapa kata tidak ada orang pekak menyokong KTBM? Ini yang aku tidak suka, kita selalu menghukum sesorang tanpa usul periksa. Bukan semua orang pekak menyokong BIM sahaja. Ada juga orang pekak menyokong BIM dan KTBM. Bagi aku penggunaan BIM dan KTBM sebenarnya kedua-dua sangat penting. Baik kalau kau sebagai orang normal kau kata kau tidak gunakan BIM di sekolah, kenapa aku lihat hari itu, kau menerangkan ayat menggunakan BIM. Setelah kau mengisyaratkan perkataan menggunakan KTBM kemudian, kau hendak bagi murid-murid kau faham kau isyarat BIM. Contoh ayat yang kau ajar “Ali mempunyai sebuah beg” tetapi bila aku tengok kau terangkan kepada murid-murid kau maksud ayat itu, kau isyarat “Ali ada beg”, haaa.. nampak tidak, kau sebenarnya sudah gunakan BIM. Begitu juga dengan orang pekak, tidak mahu gunakan KTBM, tetapi kenapa dalam menulis surat masih ada imbuhan-imbuhan yang mereka gunakan.Kenapa tidak gunakan tatabahasa BIM dalam buat ayat-ayat untuk hantar surat kepada pihak kerajaan dan sebagainya. Kenapa aku nampak mereka ada gunakan isyarat KTBM dalam waktu tertentu? Pelik bukan??? Sebenarnya bagi aku, kedua-duanya sangat penting. Tidak ada yang kurang. BIM adalah bahasa orang pekak, manakala KTBM adalah kod yang digunakan untuk mengajar bahasa melayu. Kalau tidak ada KTBM bagaimana hendak ajar budak-budak pekak imbuhan bahasa melayu, bagaimana mahu ajar tentang bahasa melayu dan struktur tatabahasa melayu. Begitu juga dengan BIM, kalau gunakan BIM dalam mengajar bahasa melayu boleh ke? Relevan tidak? Tetapi untuk menerangkan perkataan bahasa melayu terutama perkataan abstrak harus gunakan BIM. Senanglah aku bagi contoh, kau guru bahasa inggeris, masuk dalam kelas, adakah kau akan cakap bahasa inggeris sepenuhnya kepada murid-murid kau, mesti kau akan menerangkan sesuatu perkataan atau ayat dalam bahasa melayu atau bahasa yang mereka faham betul tidak??? Jadi samalah penggunaan BIM dan KTBM, tetapi sebilangan orang pekak dan sebilangan orang normal masih terpingga-pingga dengan masalah ini dan masih menyalahkan antara satu sama lain. Sedangkan mereka bergantung antara satu sama lain. Bahasa Melayu perlu dipelajari oleh orang pekak kerana ini itu adalah bahasa kebangsaan di Malaysia dan jika murid pekak tidak lulus BM, maka tidak dapat sijil. Bahasa melayu bukan bahasa yang terus seperti bahasa inggeris, banyak ayat berbunga-bunga orang pekak tidak faham. BIM pula terus bahasanya tiada bunga-bunga seperti bahasa melayu. Jadi sebab itu orang pekak suka kepada bahasa inggeris. Namun, mereka perlu sedar dengan keadaan sistem pendidikan di negara ini. Jangan asyik samakan dengan sistem pendidikan luar negara. Ambil yang lebih penting itu lebih baik. Kita kena tengok pada kesesuaian pendidikan. Apa yang penting aku rasakan BIM dan KTBM sama-sama penting. Seorang guru pendidikan khas masalah pendengaran perlu menguasai kedua-duanya dan fleksibel barulah murid-murid pekak akan menghormatinya. Begitu juga, guru perlu menguasai ilmu pertuturan, audiologi dan psikologi murid pekak, supaya mereka dapat mengetahui keadaan kesesuaian penggunaan ilmu tersebut dalam mneghadapi kepelbagaian murid-murid pekak.
Sahabat : Ok soalan aku yang terakhir, bolehkah orang pekak dan orang normal bersatu?
Meeze : Boleh, jika masing-masing ada sifat memahami dan memerlukan. Tidak salah orang normal bergaul dengan orang pekak dan tidak salah orang pekak bergaul dengan orang normal. Apa yang penting bagaimana setiap individu itu sendiri cuba untuk menyesuaikan diri dan mengubah perspektif pandangan mereka. Orang normal dan orang pekak perlu memahami dan menghargai antara satu sama lain. Barulah kita dapat hidup secara bersama-sama dan hormat-menghormati antara satu sama lain.
Sahabat : oh, banyak sungguh kita bercerita, nanti lain kali, kita sambung perbincangan kita ini ya. Ok terima kasih..
Meeze : sama-sama.
Begitulah, sesi dialog saya bersama seorang sahabat mengenai masalah yang berlaku antara orang pekak dan orang normal. Saya akui apa yang saya katakan tidak mempunyai fakta atau teori, hanya sesedap mulut sahaja. Namun, terpulanglah kepada individu itu sendiri untuk mempercayainya. Seperti yang saya katakana saya bukanlah cikgu, pensyarah, professor dan sebagainya yang berkaitan dengan orang pekak, tetapi saya bercakap berdasarkan pengalaman saya. Terpulanglah kepada individu untuk menilainya. Walaupun empat tahun bersama dengan orang pekak, banyak kenangan manis dan pahit saya tempuh bersama mereka. Hal ini membuatkan saya semakin lebih prihatin terhadap golongan ini dan saya berharap golongan normal yang memasuki dunia pekak tidak kira lama atau baru, cubalah membimbing golongan pekak ini. Jangan anggap mereka benar, jika mereka bersikap terus, kita pun harus sama bersikap terus. Jika kita tidak menyukai perbuatan mereka, katakan terus perbuatan mereka adalah salah. Sentiasalah memberi dorongan kepada mereka dan menjadi orang tengah. Jangan pula kita mengapi-apikan mereka. Didiklah mereka sebaik mungkin. Tunjukkan mereka ke jalan yang benar dan lurus serta jalan yang diredhai Allah. Mungkin Allah memilih kita untuk menjadi sebahagian daripada komuniti mereka kerana setiap perkara yang berlaku mempunyai hikmah yang mungkin kita ketahui ataupun tidak.
Kata meeze : love deaf people ;-)