Jumaat, 2 Disember 2011

MASALAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN ISLAM KEPADA MURID BERMASALAH PENDENGARAN


Kepentingan pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam mula dititikberatkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia supaya tiap – tiap murid yang beragama Islam memahami dan boleh mengamalkan ajaran Islam. Setiap kanak – kanak yang lahir di dunia ini berhak mendapat pendidikan dan pelajaran menurut kebolehan, bakat dan persediaan yang ada pada diri masing – masing ( Hamdi Ishak 2010). Islam menyeru umatnya supaya menuntut ilmu. Seruan ini telah terkandung dalam wahyu yang pertama yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW iaitu Surah Al – Alaq surah ke 96 ayat 1. Murid – murid pendidikan khas bermasalah pendengaran juga, tidak ketinggalan mengikuti mata pelajaran pendidikan Islam di sekolah (Hamdi Ishak 2010). Pengajaran subjek pendidikan Islam dapat memberi peluang kepada murid – murid bermasalah pendengaran yang beragama Islam dalam mempelajari agama supaya dapat diterapkan dan diamalkan dalam kehidupan mereka.
Pernah diriwayatkan bahawa pada suatu hari Rasulullah SAW telah didatangi oleh Ummu Maktum iaitu seorang yang cacat penglihatan. Pada ketika itu Rasulullah SAW sedang sibuk melayani para penguasa Quraisy dan mendakwah mereka kepada agama Islam. Melihat kehadiran Ummu Maktum, baginda memalingkan muka baginda daripada beliau kerana ingin menumpukan perhatian kepada para penguasa Quraisy tersebut. Dengan kejadian itu, Allah SWT telah mewahyukan ayat 1 – 11, Surah Abasa yang bermaksud :
“Ia memasamkan muka dan berpaling kerana ia di datangi orang buta. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya wahai Muhammad ) ? Barangkali ia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang yang didapati daripadamu) ! ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya. Adapun orang yang merasakan keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran al –Quran ), maka engkau bersungguh – sungguh melayaninya. Padahal engkau tidak bersalah kalau ia tidak mahu membersihkan dirnya (daripada keingkarannya). Adapun orang segera datang kepadamu, dengan perasaan takutnya (melanggar perintah – perintah Allah ) maka engkau berlengah – lenggah melayaninya. Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu !. Sebenarnya ayat – ayat Al – Quran adalah pengajaran dan peringatan (yang mencukupi). “
Walaupun kisah di atas menceritakan tentang orang buta, namun ia merangkumi golongan kurang upaya yang lain yang seharusnya tidak ketinggalan dalam proses mendapatkan ilmu pengetahuan terutamanya dalam pendidikan Islam.
Setiap murid Islam wajib diajar pendidikan Islam sebagai asas kekuatan dalaman peribadi muslim untuk mengharungi kehidupan yang mendatang ( Mohd Huzairi Awang 2010). Dalam sistem pendidikan kebangsaan di Malaysia mata pelajaran pendidikan Islam diajar sebagai matapelajaran wajib di sekolah rendah dan menengah bertujuan untuk melahirkan insan yang seimbang daripada aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek, Kurikulum Pendidikan Islam digubal berlatar belakang Falsafah Pendidikan Islam. (Kementerian Pelajaran Malaysia 2002) Dalam hal ini menyebabkan murid –murid pekak mengikuti alam persekolahan sebagaimana pelajar lain dalam aliran kebangsaan. Mereka mengikuti pengajian peringkat rendah dan menengah di sekolah – sekolah pendidikan khas dan program pendidikan khas integrasi (PPKI) di sekolah – sekolah harian dengan menggunakan kurikulum kebangsaan (Mohd Huzari Awang 2010). Pendidikan pelajar berkeperluan khas telah ditetapkan sebagaimana seksyen 40 Akta Pendidikan 1996 :
Menteri hendaklah mengadakan pendidikan khas di sekolah khas yang ditubuhkan dibawah perenggan 34 ( 1) (b) atau di mana – mana sekolah rendah atau menengah yang di fikirkan oleh Menteri suaimanfaat.
Oleh itu, keperluan murid – murid bermasalah pendengaran dalam mendapat pendidikan khususnya pendidikan Islam amat penting kepada mereka supaya mereka dapat mengetahui kewajiban yang perlu dilakukan sebagai hamba Allah.
Dari segi pandangan Islam, kanak – kanak bermasalah pendengaran wajib diberikan pendidikan agama, berdasarkan gesaan Al – Quran dan sunnah Rasulullah SAW ( Hamdi Ishak 2010). Oleh itu, subjek pendidikan Islam telah diajar sebanyak enam waktu seminggu, dengan dua waktu amali. Seharusnya, pegajaran pendidikan Islam telah cukup untuk menerapkan perkara asas dalam pendidikan Islam. (Hamdi Ishak 2010). Namun, apa yang menjadi masalah ialah kebanyakan murid bermasalah pendengaran tidak memahami pengajaran dan pembelajaran dalam mata pelajaran pendidikan Islam. Hal ini terbukti melalui kajian yang dilakukan oleh Mohd Huzairi Awang 2010 mengenai persepsi pelajar bermasalah pendengaran terhadap pembelajaran fardhu ain, menyatakan bahawa kebanyakan pelajar bermasalah pendengaran tidak ingin menghadiri kelas tambahan fardhu ain, selalu mengelak diri dari kelas fardhu ain kerana pembelajaran fardhu ain kurang menarik, pelajar sukar untuk memahami kandungan fardhu ain, dan memang murid tidak boleh faham fardhu ain. Mengapakah masalah ini boleh terjadi?, sedangkan pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam kerap kali di ajar di sekolah khas. Hal ini sebenarnya menunjukkan bahawa, terdapat masalah dalam pengajaran dan pembelajaran terhadap murid – murid bermasalah pendengaran dalam subjek pendidikan Islam.
Antara masalah pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam kepada murid bermasalah pendengaran ialah kebanyakan murid – murid bermasalah pendengaran tidak begitu memahami pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam yang diajar oleh guru. Hal ini kerana, kebanyakan pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan Islam banyak melibatkan aspek – aspek yang berkaitan dengan aspek abstrak khususnya topik akidah. Topik akidah pula adalah topik yang sukar dibayangkan dalam diri murid bermasalah pendengaran. (Hamdi Ishak 2010). Sebagai contoh,aspek – aspek yang berkaitan dengan perkara abstrak ialah konsep ketuhanan, konsep pahala dan dosa, kewujudan alam akhirat, kewujudan makhluk Allah yang lain seperti malaikat, syaitan, dan jin, mukjizat para nabi dan para rasul serta sebagainya. Masalah ini wujud disebabkan murid – murid bermasalah pendengaran mempunyai perkembangan kognitif yang tidak sama dengan murid – murid normal. Menurut Safani Bari 2006 menyatakan bahawa kanak – kanak bermasalah pendengaran sukar memahami konsep – konsep yang abstrak atau mengekalkan sesuatu maklumat yang diterima. Hal ini disebabkan oleh deria lihat lebih banyak membantu mengenai kefahaman sesuatu konsep yang nyata atau dapat dilihat manakala bahasa pula berperanan memberikan gambaran kepada sesuatu konsep yang tidak dapat dilihat atau abstrak. Jelaslah menunjukkan bahawa masalah ketidakfahaman adalah punca masalah pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam kepada murid bermasalah pendengaran.
Akibat ketidakfahaman murid terhadap subjek pendidikan Islam, maka wujudlah masalah kurang minat murid terhadap subjek ini. Sebenarnya murid – murid bermasalah pendengaran berasa minat untuk mempelajari pendidikan Islam tetapi akibat masalah ketidakfahaman terhadap pengajaran dan pembelajaran subjek pendidikan Islam menyebabkan sedikit sebanyak rasa minat itu hilang dalam diri. Menurut Mohd Huzairi Awang 2010 menyatakan bahawa pelajar – pelajar pekak memang meminati pembelajaran fardhu ain, Mereka menganggap pembelajaran fardhu ain adalah penting dalam kehidupan mereka, tetapi dalam masa yang sama mereka menganggap sesi pengajaran dan pembelajaran kurang memberi makna. Masalah ini sedikit sebanyak menghilangkan rasa minat mereka untuk mempelajari fardhu ain. Selain itu, menurut Mohd Huzairi Awang 2010 menyatakan dalam kajiannya iaitu minat kurang mendalam terhadap fardhu ain menyebabkan pelajar bermasalah pendengaran mudah berputus asa dalam mempelajari fardhu ain sekiranya tidak dapat memahami fardhu ain dengan betul. Sikap kurang minat murid bermasalah pendengaran terhadap subjek pendidikan Islam menyebabkan segelintir mereka beranggapan bahawa pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam tidak penting dan tidak mempunyai kaitan dengan bidang kerjaya yang dicita – citakan. (Mohd Huzairi Awang 2010). Perkara ini menunjukkan bahawa sikap kurang minat murid merupakan salah satu faktor masalah pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam kepada murid bermasalah pendengaran.
Kesedaran ibu bapa dalam memberikan pendidikan Islam kepada murid – murid bermasalah pendengaran merupakan salah satu faktor berlakunya masalah dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam. Hal ini kerana, ibu bapa kurang sedar untuk memberi pendidikan agama kepada anak – anak bermasalah pendengaran. Mereka lebih gemar meletakkan tanggungjawab tersebut kepada guru – guru di sekolah (Hamdi Ishak 2010). Ibu bapa seharusnya sedar bahawa kepentingan pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam terhadap anak – anak bermasalah perdengaran perlu dititikberatkan. Namun, kebanyakan ibu bapa menganggap masalah yang dihadapi oleh anak – anak mereka menyebabkan mereka tidak perlu menitikberatkan pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam kepada anak – anak bermasalah pendengaran. Hal ini sehingga menyebabkan kanak – kanak bermasalah pendengaran apabila menjangkau usia dewasa mereka beranggapan bahawa mereka tidak berkewajipan dan tidak perlu mempelajari pendidikan Islam. Perkara ini telah terbukti melalui kenyataan Presiden Persekutuan Orang Pekak Malaysia Sazali Shaari 2006 semasa majlis pelancaran VCD panduan solat dalam bahasa isyarat mengatakan bahawa masih terdapat segelintir yang tidak dapat menghayati rukun Islam kedua dan faham apa sebenarnya berlaku, malah ada yang mengatakan mereka tidak sembahyang kerana dikecualikan daripada hukum sembahyang. Hal ini jelaslah menunjukkan bahawa peranan ibu bapa sangat penting dalam memastikan anak – anak bermasalah pendengaran mendapat pendidikan agama yang sewajarnya.
Faktor daripada guru juga, merupakan salah satu punca berlakunya masalah pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam kepada murid bermasalah pendengaran. Masalah daripada guru dapat dikesan akibat daripada perkara – perkara berikut. Perkara pertama, guru – guru yang mengajar pendidikan Islam kepada murid bermasalah pendengaran bukanlah daripada bidang pendidikan khas. Hal ini menyebabkan kebanyakan guru – guru pendidikan islam apabila ditempatkan di sekolah khas mereka tidak mengetahui kemahiran dalam mengajar pendidikan islam kepada murid khas. Daripada dapatan kajian yang dibuat oleh Hamdi Ishak 2010 terhadap empat orang guru pendidikan Islam yang mengajar murid bermasalah pendengaran mendapati bahawa keempat – empat guru mempamerkan kesediaan dan komitmen mereka dalam pengajaran dengan penuh tanggungjawab dan berdedikasi, mempunyai sikap dan akhlak yang baik, mesra dan bertanggungjawab yang menepati ciri – ciri guru yang baik. Namun, dari segi ilmu pengetahuan dan kemahiran dari aspek pendengaran, audiologi, keperluan murid bermasalah pendengaran, dan kemahiran berkaitan dengan pedagogi masih mempunyai kelemahan. Oleh itu, mereka telah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan kemampuan mereka dan latihan yang diperoleh semasa di institut latihan perguruan mereka, namun masih tidak mencukupi kerana latihan diterima adalah kepada murid normal (Hamdi Ishak 2010). Objektif pendidikan Islam mungkin sukar dicapai sekiranya kebanyakan guru – guru yang mengajar mata pelajaran pendidikan Islam di Program Pendidikan Khas terdiri daripada guru – guru pendidikan khas yang tidak mempunyai kelayakan ikhtisas, kemahiran untuk mengajar pendidikan Islam (Ab Halim 2003). Maka hal ini menunjukkan kebanyakan guru pendidikan Islam murid bermasalah pendengaran masih tidak mempunyai kelayakan dalam mengajar pendidikan khas.
Pekara kedua ialah kebanyakan guru – guru yang mengajar pendidikan Islam kepada murid bermasalah pendengaran tidak mempunyai strategi pengajaran yang berkesan. Hal ini menyebabkan pengajaran pendidikan Islam yang disampaikan tidak bermakna dan tidak difahami oleh murid. Mohd Mokhtar dan Aliza 2003 yang mengatakan bahawa ramai di kalangan guru yang mengajar Pendidikan Islam tidak mempunyai pengetahuan mengenai strategi pengajaran untuk pelajar – pelajar pendidikan khas, iaitu hanya 34 . 7 peratus yang mempunyai pengetahuan mengenai strategi pengajaran pendidikan khas dan manakala 30 . 4 peratus sahaja mengetahui mengenai strategi pengajaran pendidikan Islam. Perkara ini menunjukkan bahawa kebanyakan guru pendidikan Islam masih belum mempunyai strategi yang berkesan dalam mengajar pendidikan Islam kepada murid bermasalah pendengaran.
Perkara ketiga ialah kebanyakan guru pendidikan Islam yang mengajar murid bermasalah pendengaran masih lemah dalam penggunaan bahasa isyarat. Hal ini menyebabkan mereka sukar untuk berkomunikasi dengan murid dan kurang memberi penerangan yang jelas mengenai tajuk – tajuk yang terdapat dalam pendidikan islam. Menurut Mohd Hanafi 2005 mengatakan bahawa sebahagian besar guru pendidikan khas tidak mahir berkomunikasi menggunakan KTBM serta sukar untuk menerangkan perkataan – perkataan yang abstrak semasa dalam pengajaran. Jika seseorang guru tidak mempunyai kemahiran yang asas dalam menggunakan bahasa isyarat maka agak sukar bagi mereka dalam menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran terutamanya subjek pendidikan Islam.
Masalah yang seterusnya yang dapat kita teliti ialah keadaan sekolah yang tidak menggalakkan pengajaran secara amali dalam pendidikan Islam kepada murid bermasalah pendengaran. Sebagai contoh, aktiviti amali yang tidak diterapkan oleh pihak sekolah seperti tidak menerapkan bacaan doa sebelum belajar, tidak membuat aktiviti solat secara berjemaah, tiada aktiviti – aktiviti amali dan sebagainya. Hal ini menyebabkan murid – murid bermasalah pendengaran kurang memahami pengamalan ajaran islam yang perlu dilakukan dalam kehidupan mereka kerana kurang diterapkan di sekolah dan rumah. Aktiviti amali dan tunjuk cara penting diberikan oleh murid bermasalah pendengaran supaya mereka dapat memahami perkara yang dipelajari serta dapat menarik minat mereka terhadap subjek pendidikan Islam. Menurut Mohd Huzairi Awang 2010 menyatakan bahawa P & P fardhu ain perlu menggunakan kaedah yang pelbagai sepeti pembelajaran berpusatkan murid, teknik penerangan disertakan dengan amali dan tunjuk cara, teknik penyelesaian masalah serta pembelajaran berasaskan masjid agar pelajar pekak merasakan P & P fardhu ain satu waktu yang ditunggu – tunggu dan mereka sangat berminat untuk menghadirinya. Terbuktilah bahawa masalah keadaan sekolah adalah merupakan salah satu punca masalah pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam kepada murid bermasalah pendengaran.
Di sekolah pendidikan khas bermasalah pendengaran menawarkan aliran akademik dan menggunakan Kurikulum Kebangsaan (Jabatan Pendidikan Khas 2004). Begitu juga bagi mata pelajaran Pendidikan Islam, murid – murid pendidikan khas bermasalah pendengaran mengikuti Kurikulum Pendidikan Islam sepertimana murid – murid Islam lain di arus perdana (Hamdi Ishak 2010). Namun, kurikulum yang digunakan kepada murid bermasalah pendengaran adalah tidak sesuai. Hal ini kerana, murid – murid masalah pendengaran mempunyai kesukaran dalam menguasai dan memahami kurikulum dan sukatan pelajaran yang diberikan kerana kurikulum dan sukatan pelajaran yang digunakan turut digunakan oleh murid normal. Kesannya, masalah ini menyebabkan guru – guru tidak mengikut sepenuhnya sukatan di dalam kurikulum, mengubahsuai kurikulum dan sukatan mengikut kesesuaian murid, tidak mengajar tajuk – tajuk yang dianggap terlalu sukar dan sebagainya. Hamdi Ishak 2010 menyatakan bahawa guru – guru pendidikan Islam yang mengajar murid bermasalah pendengaran membuat pengubahsuaian sukatan pelajaran kerana mereka membuat pentafsiran sendiri berdasarkan pengalaman mereka, mengikut kesesuaian dan tahap kemampuan murid . Hal ini kerana, jika mereka mengikut sepenuhnya daripada kurikulum yang diberi murid tidak akan faham. Walaubagaimanapun pencapaian murid –murid bermasalah pendengaran masih berada pada tahap yang lemah (Abdullah Yusof 2002). Memandangkan pencapaian yang kurang memuaskan, Shanti 2004 mencadangkan murid – murid bermasalah pendengaran perlu mengikuti kurikulum khas yang terdiri daripada kemahiran kehidupan harian, kemahiran sosial dan bimbingan kerjaya dan persediaan. Bagi murid yang berjaya melepasi kurikulum tersebut barulah mereka layak untuk mengambil peperiksaan yang setaraf dengan pelajar tipikal.
Seperti yang sedia maklum bahawa penggunaan buku teks merupakan salah satu cara dalam mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan dalam kurikulum kebangsaan., Hal ini kerana, buku teks merupakan suatu senario tentang ilmu yang akan dipelajari berdasarkan sukatan dan huraian pelajaran yang dilihat dalam suatu bidang tertentu (Affandi Ag Ghani 2006). Begitu juga dengan mata pelajaran Pendidikan Islam turut mempunyai buku teksnya tersendiri. Kementerian Pendidikan telah menyediakan buku teks sebagai sumber rujukan sama ada kepada guru mahupun murid. Bagi murid, buku teks boleh dibawa dari sekolah ke rumah sebagai rekod apa yang dipelajari pada hari itu dan apa yang akan dipelajari pada hari esok ataupun keseluruhan tahun persekolahan. ( Affandi Ag Ghani 2006). Begitu juga, dengan murid bermasalah pendengran mereka turut menggunakan buku teks. Namun, masalah yang berlaku ialah guru – guru pendidikan Islam tidak menggunakan buku teks dalam pengajaran dan pembelajaran. Hal ini kerana, mereka beralasan bahawa murid – murid pekak tidak boleh membaca jawi. Kesannya pengajaran yang diajar oleh guru umpama “acuh tak acuh” sahaja. Hal ini kerana, guru – guru menghadapi kesukaran dalam mengajar perkara yang sukar di dalam buku teks dan terpaksa menggunakan cara yang tersendiri sehingga menyebabkan buku teks langsung tidak digunakan oleh segelintir guru pendidikan Islam yang mengajar murid – murid bermasalah pendengaran. Terbuktilah disini bahawa masalah kurikulum yang digunakan adalah merupakan masalah pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam kepada murid bermasalah pendengaran.
Secara keseluruhan di sini menunjukkan bahawa sebenarnya pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam kepada murid – murid bermasalah pendengaran masih mempunyai kepincangannya. Walaupun begitu, tanggungjawab mendidik dan membimbing pelajar untuk melahirkan insan yang bertaqwa adalah terpikul di atas bahu guru pendidikan Islam. (Mohd Huzairi Awang 2010) Seorang guru pendidikan khas khususnya guru yang mengajar subjek pendidikan Islam perlulah mempunyai kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran . Selain itu, pihak yang bertanggungjawab seharusnya memantau balik kesesuaian yang perlu dilakukan dalam mengajar pendidikan Islam kepada murid bermasalah pendengaran. Perkara ini perlulah dilaksanakan dan dipantau dengan segera supaya tanggungjawab dalam memberi ilmu yang bermanfaat dapat diaplikasikan kepada murid bermasalah pendengaran supaya mereka dapat menghadapi cabaran pada masa akan datang dan mengetahui perkara wajib yang dituntut dalam Islam.

Rujukan
Al – Quran al - Karim
Abdullah Yusof. 2002. Bahasa Melayu di kalangan pelajar pekak. Jurnal Dewan
Bahasa. Vol 2, No. 6 : 36 – 41
Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685 ), Bahagian II, Majlis Kebangsaan bagi
Orang Kurang Upaya
AKta Pendidikan 1996 (Akta 550), Bab 8 Pendidikan Khas.
Kementerian Pelajaran Malaysia (1980), Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran (& November 1979) cet 2, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hamdi Ishak 2010, Amalan Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Islam kepada
murid sekolah kebangsaan pendidikan khas masalah pendengaran : satu kajian kes Prosiding Seminar Penyelidikan Siswazah, No 163 – 171
Hamdi Ishak, 2010 Isu Pengajaran Pendidikan Islam kepada Kanak – Kanak
Bermasalah Pendengaran, Prosedings First Annual Inclusive Education Practices Conference, No 131 – 141
K.A Razhiyah (2005), Menjadi Guru Pendidikan Khas, Kuala Lumpur, PTS Professional
Publishing Sdn. Bhd.
Kementerian Pelajaran Malaysia, Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 55 / 1998, Akta
Pendidikan 1996 dan Peraturan – peraturan di bawah Akta Pendidikan 1996,
Kp (BS) 8591/ Jld. XIV (5) bertarikh 25 Mac 1998.
Maklumat Pendidikan Khas. (2004). Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran
Malaysia.
Maklumat Pendidikan Khas. (2005). Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran
Malaysia.
Mohd Hanafi Mohd Yasin. (2005). Perbandingan pencapaian pelajar pendidikan khas
(pekak) menggunakan tiga format peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah
(UPSR). Tesis Doktor Falsafah, Fakulti Pendidikan UKM Bangi.
Mohd Huzairi Awang @ Husain (2010). Persepsi pelajar bermasalah pendengaran
terhadap pembelajaran fardu ain : Cabaran terhadap guru, Proceedings of the 4th
International Conference on teacher Education : Join Conference UPI & UPSI,
No 240 – 250
Mohd Mokhtar & Aliza (2005). Isu pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam
pelajar berkeperluan khas. Prosiding Wacana Pendidikan Islam : 405. Bangi :
Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Safani bin Bari (2006), Psikologi dan Perkembangan Kanak – Kanak Masalah
Pendengaran, Kuala Lumpur, Open Univerisiti Malaysia (OUM)
Sazali Shaari. Berita Harian, 20 Jun 2005.
Siti Muhibah Hj. Nor 2010 Kesukaran Pemahaman murid – murid bermasalah
pendengaran terhadap mata pelajaran pendidikan Islam, Prosedings First Annual
Inclusive Education Practices Conference, No 122 – 130
Understanding Deaf Culture Malaysian Perspectives, Kuala Lumpur, Majudiri Y
Foundation for the Deaf








Jumaat, 11 November 2011

MASALAH PEKAK DAN NORMAL... BILA LAGI NAK SELESAI?

Baru-baru ini saya telah ditanyakan oleh sahabat saya berkaitan dengan masalah perhubungan antara komuniti pekak dan komuniti normal. Dalam dialog saya banyak membincangkan tentang masalah yang berlaku antara komuniti pekak dan komuniti normal. Disini saya telah mencoretkan tentang dialog antara sahabat saya dan saya sendiri tentang masalah yang berlaku. Mungkin jika terdapat golongan pekak dan normal yang tidak berpuas hati dengan dialog saya dengannnya harap boleh dikongsi bersama-sama.

Sahabat : Meeze aku rasa pelik dengan orang pekak ini, komuniti mereka kecil tetapi kenapa mereka terlalu banyak persatuan-persatuan sehingga persatuan yang mereka tubuhkan tidak boleh bersatu?

Meeze : Sukar aku nak jawab pertanyaan kau ini, tetapi setahu aku memang aku akui banyak persatuan-persatuan yang telah ditubuhkan oleh mereka ini. Namun, kesemua persatuan ini bermatlamat adalah untuk meningkatkan pembangunan orang pekak khususnya di Malaysia. Bab banyak persatuan ini, sebenarnya golongan pekak mempunyai politik mereka yang tersendiri. Biasalah tu, manusia tidak pernah berpuas hati dengan apa yang ada. Begitu juga dengan kita, kita mempunyai parti politik yang pelbagai, adakah kau ingat parti politik kita bersatu juga? Memang komuniti mereka kecil tetapi itulah sikap mereka sendiri. Mereka kebanyakan tidak sehaluan. Namun, kita sebagai normal seharusnya menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada mereka. Mereka tidak boleh mendengar tetapi mereka mempunyai akal fikiran dan boleh membezakan baik dan buruk. Kita sebagai orang normal berilah peluang kepada mereka untuk berpolitik. Jangan memadang mereka tidak boleh buat. JIka ada salah kita tegur mereka bukannya kita hanya mengutuk mereka tidak tahu apa-apa. Biarlah mereka belajar daripada kesilapan yang mereka lakukan.

Sahabat : Aku pelik kebanyakan mereka tidak gemar bergaul dengan orang normal. Kenapa ya?

Meeze : Aku nak tanya kau satu perkara, adakah kita orang normal ini gemar bergaul dengan mereka? Kau sebagai orang normal, apakah perasaan kau bila bersama dengan mereka?Janggal bukan? Begitu juga dengan mereka. Mereka berasa senang bergaul antara mereka sebab bahasa isyarat yang mereka gunakan. Baiklah aku beri contoh kepada kau, kau orang melayu, tiba – tiba kau pergi ke komuniti orang cina, apa yang kau rasa? Adakah kau rasa selesa? Adakah kau faham apa yang dituturkan oleh mereka?

Sahabat : Jadi, bagaimana kita hendak cuba bergaul dengan mereka?

Meeze : Jadilah seorang yang peramah dan rendah diri. Hormati mereka seperti orang lain. Mereka manusia biasa ada perasaan. Selama aku berada dengan komuniti pekak aku tidak pernah berasa janggal atau kekok. Malah aku rasa seolah-olah aku dihargai. Jadi, kita kena berani. Sikap peramah perlu ada bukan sekadar orang normal malah orang pekak itu sendiri. Mereka juga perlu bergaul dengan orang normal dan bersosial.

Sahabat : Jadi kaedahnya?

Meeze : Mungkin kita gunakan kaedah bahasa isyarat dan orang pekak yang boleh mendengar belajar pertuturan. Hal ini supaya menyenangkan kita dengan mereka untuk berkomunikasi.

Sahabat : Ini berkaitan dengan sekolah, aku masih keliru dengan guru-guru di sekolah, mereka mengajar kanak-kanak pekak di sekolah kenapa aku lihat, terdapat segelintir guru pekak tidak mahir dalam berisyarat dan tidak tahu berkomunikasi dengan orang pekak?

Meeze : Hmmm.. masalah ini sudah lama berlaku tetapi tidak ada tindakan yang dilakukan. Baiklah kalau kau lihat, di sekolah orang pekak itu sendiri, lihat latar belakang pendidikan guru tersebut, adakah mereka daripada bidang masalah pendengaran?.

Sahabat : Aku tidak pastilah meeze.

Meeze : Sebenarnya kebanyakan guru-guru yang ditempatkan di sekolah pendidikan khas masalah pendengaran bukan daripada bidang pendengaran. Ada guru-guru yang bidang lain terpaksa masuk ke sekolah pekak.

Sahabat : kenapa jadi sebegitu?

Meeze : Aku tidak tahulah, mungkin itu masalah atasan. Kau bayangkan guru yang bukan bidang masalah pendengaran dimasukkan ke sekolah pekak. Kau rasa mereka mampu mengajar murid-murid tersebut. Malah mereka terpingga-pingga dan kadang-kadang berputus asa untuk mengajar. Namun, jika ada guru yang bersemangat dan beriltizam tinggi mereka akan berusaha untuk mempelajarinya.

Sahabat : Jadi apa guna IPG IK dan universiti lain yang menawarkan bidang masalah pendengaran, adakah mereka dihantar ke sekolah pekak? Aku tengok ramai senior-senior kita yang ambil masalah pendengaran disini.

Meeze : Itu yang jadi masalahnya, guru pekak dihantar ke sekolah masalah pembelajaran. Alasan daripada pihak atasan sekolah pekak sudah penuh guru. Namun, aku pelik masa tahun senior kita keluar, ada sebuah sekolah pekak (maaf tidak boleh dinyatakan) yang mahukan pihak atasan menghantar guru daripada IPG IK yang mengambil masalah pendengaran. Tiba-tiba apabila senior kita keluar, sekolah tersebut tidak menerima langsung guru daripada institut kita, tetapi mereka menerima guru bukan bidang pendidikan khas. Senior-senior kita pula pergi ke sekolah masalah pembelajaran. Hanya dua tiga orang sahaja pergi ke sekolah pekak. Persoalannya disini, pihak atasan kata tentang penuhnya guru pekak di sekolah tetapi kenapa masih ada guru-guru yang bukan bidang pendidikan khas ditempatkan di sekolah pendidikan khas?. Kenapa perkara ini boleh berlaku. Kesian kepada budak-budak.

Sahabat : Apa yang akan terjadi kepada murid – murid pekak?

Meeze : Habislah, mereka kurang mendapat ilmu. Cikgu tidak mahir isyaratlah, cikgu sambil lewa ajar dan tidak ada semangat. Sebab guru – guru ini bukan daripada bidang pendidikan khas. Cuba kau bayangkan kau dapat seorang guru yang akan ajar bahasa melayu dan guru tersebut tidak mahir mengajar bahasa melayu. Ntah apa-apa dia ajar. Kau rasa kau akan hormat pada guru tersebut?

Sahabat: tidak malah aku kutuk lagi ada.

Meeze : Ha.. macam itulah keadaan murid-muris pekak. Murid-murid pekak akan menghormati guru yang mahir dalam bahasa isyarat. Malah guru yang tidak mahir akan dikatakan bodoh oleh murid-murid. Sikap orang pekak memang telus, mereka akan cakap terus.

Sahabat : Wow dasyatnya.

Meeze : Ya.. memang betul, itulah masalah yang berlaku dalam pendidikan orang pekak. Kalau kita tengok negara barat, jika hendak jadi guru pekak mereka perlu ditemuduga terlebih dahulu tentang kemahiran isyarat dan ilmu tentang murid-murid pekak. Namun, disini tidak. Penempatan guru sesuka hati, menyebabkan kesan yang besar. IPG IK banyak menghasilkan guru pekak, tetapi ilmu lima tahun setengah belajar disini, sia-sia begitu sahaja. Sebab itu, bila aku pergi ke sekolah aku perhatikan sebilangan guru tidak mahir isyarat, tidak suka bergaul dengan murid pekak, ada guru makan gaji dan sebagainya. Ada seorang kawan pekak aku yang sudah berusia 30 an pernah menceritakan kepada aku tentang keadaan di sekolah pekak dahulu dan sekarang. Dia sangat memuji cikgu sekolah pekak dahulu. Kesemua guru mahir dalam berisyarat, mengajar pertuturan, dan ada subjek mengajar adab-adab dan sebagainya. Namun, sekolah pekak sekarang, aku tidak tahulah hanya ajar untuk peperiksaan semata-mata. Pertuturan, penggunaan alat bantu dengar, dan sebagainya langsung tidak ditekankan. Bilik audiologi dan pertuturan macam tidak bergerak, tidak digunakan langsung. Guru-guru pekak tidak mahir mengajar dan sebagainya. Kesannya… kalau kita perhatikan orang pekak yang tua ini kebanyakan ramai yang boleh bertutur. Mereka suka memakai alat bantu pendengaran. Malah mereka mempunyai kemahiran dalam bergaul dengan orang normal.

Sahabat : Kau cakap ini ada bukti ke?

Meeze : Terpulanglah kalau kau hendak percaya atau tidak, tetapi inilah pengalaman aku, banyak perkara aku sudah perhatikan, aku sudah 4 tahun bergaul dengan orang pekak, mungkin aku baru dalam bidang pendidikan khas, tetapi empat tahun yang aku lalui ini, banyak perkara yang sudahaku perhatikan. Namun, aku tidak mampu buat apa-apa, aku hanya pelajar biasa sahaja. Bila aku bersuara, tidak siapa mahu mendengar. Aku bukan tokoh, pensyarah, dan sebagainya. Memang tidak ada orang akan mendengar, malah akan menyindir aku.. hehehehe..

Sahabat : Deaf and dumb? Kau setuju dengan perkataan sebegitu.

Meeze : istilah deaf and dumb itu istilah yang lama digunakan. Aku setuju jika menggunakan perkataan deaf, tetapi dumb aku kurang setuju. Orang pekak tidak dumb (bisu), mereka boleh bercakap.. jika mereka belajar bertutur mereka mampu bercakap. Disebabkan masalah pendengaran yang dihadapi oleh mereka, maka mereka tidak boleh bercakap. Jika mereka ada sisa-sisa pendengaran mereka perlu mempelajari pertuturan. Ibu bapa, kumpulan sokongan dan pihak sekolah sangat memainkan peranan yang penting dalam memberi pengajaran pertuturan kepada mereka.

Sahabat : Jadi kau tidak sukalah kalau orang pekak gunakan bahasa isyarat?

Meeze : Bukan aku tidak suka mereka gunakan bahasa isyarat, malah aku pun suka guna bahasa isyarat, tetapi golongan pekak yang mempunyai sisa-sisa pendengaran perlu belajar pertuturan kerana memudahkan mereka berkomunikasi dengan masyarakat luar yang tidak tahu bahasa isyarat dan waktu-waktu kecemasan.

Sahabat : Waktu-waktu kecemasan?

Meeze : ya, contohnya, jika tiada jurubahasa, atau tiada orang normal yang tahu bahasa isyarat bagaimana dia hendak berkomunikasi? Jadi kena bertutur bukan.. Kalau sekadar bergantung pada tulis kertas,kau ingat orang normal ini rajin sangat ke menulis. Maklumat yang disampaikan oleh orang normal melalui penulisan bukan 100% pun.. Banyak kali aku perhatikan, bila orang pekak tulis pada nota, orang normal akan jawab dengan tulis pendek-pendek dan tidak memberi maklumat tersebut sepenuhnya. Sebab malas hendak menulis, leceh dan sebagainya. Kalau bertutur dan belajar kemahiran mendengar, insyallah tiada masalah akan berlaku. Seperkara lagi yang aku geli hati, kadang-kadang orang menyalahtafsirkan maksud deaf and dumb mereka memberi maksud iaitu pekak dan bodoh. Oleh itu, kebanyakan mereka berfikir orang pekak itu bodoh, bongok dan sebagainya. Namun, deaf and dumb bererti pekak dan bisu. Aku pun pada mulanya pun keliru juga, tetapi setelah ditegur baru aku tahu. Harus diingatkan orang pekak ini tidak bodoh, mereka seperti kita mempunyai akal fikiran. Mereka boleh berfikir baik dan buruknya. Malah ada orang lebih pandai daripada orang normal.

Sahabat : Kenapa ya orang pekak suka berkahwin antara sesama mereka? Kenapa mereka tidak mahu berkahwin dengan orang normal? Kan itu lebih bagus..

Meeze : Ya aku setuju dengan pendapat kau, orang pekak harus berkahwin dengan orang normal supaya dapat meningkatkan kemahiran sosial mereka. Namun, sejauh mana kerelaan orang normal mahu berkahwin dengan orang pekak. Kau rasa, kau mahu berkahwin dengan orang pekak?. Sedangkan orang yang mahir dalam bahasa isyarat pun kalau boleh tidak mahu berkahwin dengan orang pekak, inikan orang normal yang tidak tahu apa-apa. Kau jangan hanya menyalahkan orang pekak sahaja yang tidak mahu mencari jodoh dengan orang normal, sebaliknya kita orang normal seperti diri kita kena pandang diri kita adakah kita betul-betul mahu menerima jodoh seperti mereka?. Kenyataan yang mengatakan orang pekak mahu berkahwin dengan orang pekak sahaja dan tidak mahu berkahwin dengan orang normal, aku tidak setuju 100 %, malah ada juga orang normal berkahwin dengan orang pekak, tetapi tidak ramai. Bila aku bertanya perkara ini kepada mereka , mereka pun tidak kisah jika dapat jodoh dengan orang normal. Lagi baik. Baiklah aku andaikan berapa ramai orang melayu berkahwin dengan orang cina dan orang india. Ramai tak? Mesti tak ramai, kebanyakan orang melayu akan berkahwin dengan orang melayu. Betul tak? Kenapa jadi sebegitu? Faktornya komunikasi dan kebiasaan serta pemahaman dalam pergaulan dan budaya. Soal bab ini bergantung pada individu itu sendiri. Terpulang pada kesesuaian dalam memilih pasangan kerana ini masa depannya.

Sahabat : Kenapa orang pekak ini sukar hendak memahami sesuatu perkara? Kadang-kadang aku tertekan kepada mereka, aku rasa dah banyak kali aku ulang perkara yang sama, tetapi mereka tidak faham-faham lagi.

Meeze : Allah menciptakan sesuatu semuanya ada manfaatnya. Sebenarnya bagi aku, orang pekak dan orang-orang OKU yang lain adalah orang yang hebat. Mereka kekurangan deria tetapi mereka mampu meneruskan hidup seperti biasa. Berbalik kepada cerita kita tentang orang pekak, aku rasa soal kefahaman, adalah disebabkan mereka tidak boleh mendengar. Allah anugerahkan pendengaran merupakan suatu anugerah yang sangat bernilai kepada kita. Kita boleh mendengar walaupun, tanpa melihat kita boleh memahami. Tetapi orang pekak hanya bergantung pada visual dan apa yang dilihat sahaja. Sebab itu, perkara-perkara yang abstrak, mereka sukar untuk bayangkan. Jadi kita kena teruskan mengulang dan mengulang supaya mereka dapat memahami sebenar-benarnya apa yang diperkatakan. Aku selalu menasihati rakan-rakan pekak dan murid-murid pekak aku, kalau orang normal berusaha satu kali ganda, tetapi orang pekak harus berusaha dua kali ganda daripada orang normal. Jadi kita kena faham dan tidak mementingkan diri sendiri. Malah kita kena bersabar dengan mereka. Inilah menunjukkan ujian Allah kepada kita, sejauh mana kita bersikap ihsan terhadap sesama manusia. Allah jadikan manusia ada kekurangan dan ada kelebihan masing-masing.

Sahabat : Oh.. jadi jurubahasa isyarat, atau guru-guru pekak perlulah sukarela dalam membantu mereka tanpa memerlukan wang ringgit?

Meeze : Guru dan jurubahahasa isyarat merupakan suatu kerjaya. Kalau asyik hendak sukarela sahaja, bagaimana mereka hendak makan dan menanggung keluarga. Apa yang penting adalah ikhlas dalam bekerja. Bukan kerana wang semata-mata. Memang aku akui ada jurubahasa isyarat perlu dibayar . Tetapi itu adalah kerjayanya. Dia tidak boleh boleh hidup kalau hanya menjadi sukarela sahaja. Dia juga perlu dibayar. Tetapi niat dia kena betul. Dalam dia menterjemahkan apa yang diperkatakan mestilah betul dan benar serta jujur supaya duit yang dimakan olehnya itu halal. Begitu juga dengan guru mereka perlu mendidik anak-anak pekak atau anak OKU lain dengan bersungguh-sungguh. Jika main-main dan tidak betul duit yang dia dapat itu tidak halallah. Namun, ada juga jurubahasa dan guru yang sanngup menjadi sukarela. Hal ini bergantung pada keadaan dan sitausinya. Begitu juga orang pekak mesti memahami dan menghargai peranan jurubahasa dan guru, kerana tiada orang lain yang boleh mereka bergantung, hanya kepada guru dan jurubahasa.

Sahabat : Apa beza jurubahasa dan guru?

Meeze : Jurubahasa isyarat merupakan individu yang meterjemahkan apa yang diperkatakan oleh orang normal dan memberi kefahaman kepada orang pekak dalam situasi bersama dengan orang normal. Guru pula, mendidik dan mengajar orang pekak supaya menjadi manusia yang berjaya. Walaupun kedua-dua kerjaya ini adalah berbeza, tetapi seorang jurubahasa boleh menjadi seorang guru manakala seorang guru boleh menjadi seorang jurubahasa. Bagi aku tidak salah kedua-duanya. Jika seseorang itu boleh menjadi guru dan jurubahasa lagi bagus. Hal ini dapat meningkatkan lagi pengalaman dan pemahamannya terhadap dunia orang pekak.

Sahabat : Kenapa ada orang pekak menyokong BIM dan tidak menyokong KTBM? Bukankah KTBM penting? Aku rasa KTBM sangat sesuai digunakan di sekolah sebab kalau tak ada KTBM penguasaan bahasa melayu orang pekak akan lemah.

Meeze : Siapa kata tidak ada orang pekak menyokong KTBM? Ini yang aku tidak suka, kita selalu menghukum sesorang tanpa usul periksa. Bukan semua orang pekak menyokong BIM sahaja. Ada juga orang pekak menyokong BIM dan KTBM. Bagi aku penggunaan BIM dan KTBM sebenarnya kedua-dua sangat penting. Baik kalau kau sebagai orang normal kau kata kau tidak gunakan BIM di sekolah, kenapa aku lihat hari itu, kau menerangkan ayat menggunakan BIM. Setelah kau mengisyaratkan perkataan menggunakan KTBM kemudian, kau hendak bagi murid-murid kau faham kau isyarat BIM. Contoh ayat yang kau ajar “Ali mempunyai sebuah beg” tetapi bila aku tengok kau terangkan kepada murid-murid kau maksud ayat itu, kau isyarat “Ali ada beg”, haaa.. nampak tidak, kau sebenarnya sudah gunakan BIM. Begitu juga dengan orang pekak, tidak mahu gunakan KTBM, tetapi kenapa dalam menulis surat masih ada imbuhan-imbuhan yang mereka gunakan.Kenapa tidak gunakan tatabahasa BIM dalam buat ayat-ayat untuk hantar surat kepada pihak kerajaan dan sebagainya. Kenapa aku nampak mereka ada gunakan isyarat KTBM dalam waktu tertentu? Pelik bukan??? Sebenarnya bagi aku, kedua-duanya sangat penting. Tidak ada yang kurang. BIM adalah bahasa orang pekak, manakala KTBM adalah kod yang digunakan untuk mengajar bahasa melayu. Kalau tidak ada KTBM bagaimana hendak ajar budak-budak pekak imbuhan bahasa melayu, bagaimana mahu ajar tentang bahasa melayu dan struktur tatabahasa melayu. Begitu juga dengan BIM, kalau gunakan BIM dalam mengajar bahasa melayu boleh ke? Relevan tidak? Tetapi untuk menerangkan perkataan bahasa melayu terutama perkataan abstrak harus gunakan BIM. Senanglah aku bagi contoh, kau guru bahasa inggeris, masuk dalam kelas, adakah kau akan cakap bahasa inggeris sepenuhnya kepada murid-murid kau, mesti kau akan menerangkan sesuatu perkataan atau ayat dalam bahasa melayu atau bahasa yang mereka faham betul tidak??? Jadi samalah penggunaan BIM dan KTBM, tetapi sebilangan orang pekak dan sebilangan orang normal masih terpingga-pingga dengan masalah ini dan masih menyalahkan antara satu sama lain. Sedangkan mereka bergantung antara satu sama lain. Bahasa Melayu perlu dipelajari oleh orang pekak kerana ini itu adalah bahasa kebangsaan di Malaysia dan jika murid pekak tidak lulus BM, maka tidak dapat sijil. Bahasa melayu bukan bahasa yang terus seperti bahasa inggeris, banyak ayat berbunga-bunga orang pekak tidak faham. BIM pula terus bahasanya tiada bunga-bunga seperti bahasa melayu. Jadi sebab itu orang pekak suka kepada bahasa inggeris. Namun, mereka perlu sedar dengan keadaan sistem pendidikan di negara ini. Jangan asyik samakan dengan sistem pendidikan luar negara. Ambil yang lebih penting itu lebih baik. Kita kena tengok pada kesesuaian pendidikan. Apa yang penting aku rasakan BIM dan KTBM sama-sama penting. Seorang guru pendidikan khas masalah pendengaran perlu menguasai kedua-duanya dan fleksibel barulah murid-murid pekak akan menghormatinya. Begitu juga, guru perlu menguasai ilmu pertuturan, audiologi dan psikologi murid pekak, supaya mereka dapat mengetahui keadaan kesesuaian penggunaan ilmu tersebut dalam mneghadapi kepelbagaian murid-murid pekak.

Sahabat : Ok soalan aku yang terakhir, bolehkah orang pekak dan orang normal bersatu?

Meeze : Boleh, jika masing-masing ada sifat memahami dan memerlukan. Tidak salah orang normal bergaul dengan orang pekak dan tidak salah orang pekak bergaul dengan orang normal. Apa yang penting bagaimana setiap individu itu sendiri cuba untuk menyesuaikan diri dan mengubah perspektif pandangan mereka. Orang normal dan orang pekak perlu memahami dan menghargai antara satu sama lain. Barulah kita dapat hidup secara bersama-sama dan hormat-menghormati antara satu sama lain.

Sahabat : oh, banyak sungguh kita bercerita, nanti lain kali, kita sambung perbincangan kita ini ya. Ok terima kasih..

Meeze : sama-sama.

Begitulah, sesi dialog saya bersama seorang sahabat mengenai masalah yang berlaku antara orang pekak dan orang normal. Saya akui apa yang saya katakan tidak mempunyai fakta atau teori, hanya sesedap mulut sahaja. Namun, terpulanglah kepada individu itu sendiri untuk mempercayainya. Seperti yang saya katakana saya bukanlah cikgu, pensyarah, professor dan sebagainya yang berkaitan dengan orang pekak, tetapi saya bercakap berdasarkan pengalaman saya. Terpulanglah kepada individu untuk menilainya. Walaupun empat tahun bersama dengan orang pekak, banyak kenangan manis dan pahit saya tempuh bersama mereka. Hal ini membuatkan saya semakin lebih prihatin terhadap golongan ini dan saya berharap golongan normal yang memasuki dunia pekak tidak kira lama atau baru, cubalah membimbing golongan pekak ini. Jangan anggap mereka benar, jika mereka bersikap terus, kita pun harus sama bersikap terus. Jika kita tidak menyukai perbuatan mereka, katakan terus perbuatan mereka adalah salah. Sentiasalah memberi dorongan kepada mereka dan menjadi orang tengah. Jangan pula kita mengapi-apikan mereka. Didiklah mereka sebaik mungkin. Tunjukkan mereka ke jalan yang benar dan lurus serta jalan yang diredhai Allah. Mungkin Allah memilih kita untuk menjadi sebahagian daripada komuniti mereka kerana setiap perkara yang berlaku mempunyai hikmah yang mungkin kita ketahui ataupun tidak.

Kata meeze : love deaf people ;-)

Isnin, 17 Oktober 2011

ANAK YANG ISTIMEWA


Aku hantar kepadamu seorang anak istimewa, untuk dikasihi dengan namaku,
Untuk kau kasih sepenuh hati, dan ajarnya seperti biasa,
Justeru ia tak seperti kanak-kanak lain, juga ia tetap tidak akan menjadi seperti mereka,
Tapi kamu dapat mengasihinya seperti biasa, dan menjaganya untukku.
Dia mungkin tidak mendengar atau melihat, atau berlari, atau belajar seperti yang lain,
Tapi dia menjadi milikmu dan dia akan mendapat semua panduan darimu,
Jalannya sukar, dia meremukkan hatimu, dan melerai jutaan air mata,,
Tapi aku janjikan bila dia senyum padamu, kesakitannya segera lupus.
Aku tahu kau akan menangis *mengapa dia, mengapa kami*, tetapi aku perlukan guru juga,
Dan kerana itu dengan kasih sayang dan amanah, aku memilihmu,
Maka janganlah belakangnya, walaupun dia lembap,
Jika kamu menerimanya seadanya kedua-duamu akan berkembang.
Dia perlu belajar kemahiran hidup, justeru itu aku memilihmu,
Dan dengan kasih sayangmu memandunya, aku pasti kau dapat melaksanakannya,
Jangan cuba melihat ke depan, aku tak janjikan pada sesiapa,
Justeru nikmati hidup setiap hari, dan bergembiralah dengan anakku yang istimewa.
kata meeze : tersentuhnya hati bila baca sajak ini. ;-(

CABARAN MENDIDIK MURID PEKAK


Sebenarnya kehilangan saya dalam masa yang lama ialah saya sibuk dengan praktikum yang saya hadapi baru – baru ini. Praktikum di Seremban selama dua bulan memang memberi suatu pengalaman yang menarik kepada saya. Berbeza di SKPK Kuantan, SKPK Seremban banyak memberi cabaran kepada saya dalam mendidik kanak – kanak pekak. Suatu perkara yang terjadi kepada saya adalah perubahan sikap saya yang dahulunya apabila di Kuantan saya seorang guru pelatih yang jarang marah, tetapi apabila saya di Seremban sikap saya telah berubah. Saya menjadi seorang yang begitu garang dengan anak – anak murid saya. Bukanlah kehendak saya mendorong saya menjadi begitu tetapi disebabkan sikap murid – murid yang degil dan sikap murid – murid yang memandang rendah dengan guru praktikum menyebabkan saya perlu berubah.

Pernah suatu ketika saya pernah membaling pemadam kea rah murid saya disebabkan kedegilannya tidak mahu menjawab soalan. Selain itu, saya pernah membaling alat tulis murid diluar kelas disebabkan oleh sikap murid yang sangat kurang ajar dan tidak menghormati guru.Namun, lama – kelamaan murid - murid itu akhirnya menghormati saya sebagai gurunya. Walaupun saya bersikap garang dan tegas dengan mereka tetapi ketegasan dan garang saya bukanlah selalu. Sikap ini begantung kepada tingkah laku murid itu sendiri. Jika diluar kelas saya menjadi abang kepada mereka. Bermain bersama, bergurau senda dan sebagainya. Perkara inilah yang selalu digalakkan oleh pensyarah saya Encik Chin sewaktu mrngajar saya dalam subjek pengurusan bilik darjah. Lama – kelamaan hati saya menajdi sangat sayang kepada mereka. Hal ini membuatkan saya berasa sedih untuk meninggalkan sekolah SKPK Seremban. Sebenarnya, murid – murid ini boleh dibentuk jika kita tahu caranya.

Cabaran dalam mendidik kanak – kanak pekak memerlukan semangat dan kekuatan yang tinggi. Selain itu seorang guru bermasalah pendengaran tidak boleh mempunyai sikap mudah berputus asa dalam mendidik kanak – kanak seperti ini. Pengalaman praktikum kali ini memang mengajar saya menjadi seorang guru yang asertif. Semoga dengan pengalaman yang saya hadapi ini dapat menjadikan saya lebih matang pada masa akan datang dan dapat membentuk saya benar – benar menjadi seorang guru yang berwibawa satu hari nanti..

Kata meeze : lepas praktikum sibuk dengan PDK pula.. haiiyoooo… huhuhuhu…


kenangan bersama murid - muridku..


lamanya....

Amboi lamanya tidak buka blog ini, maklumlah sejak kebelakangan ini sibuk memanjang, sehinggakan jangan harap hendak lawat blog ini.

Rasanya sudah enam bulan saya tidak update blog saya. Apa - apapun maaflah kepada pembaca - pembaca sekalian kerana bukanlah niat hendak melupakan blog ini, tetapi saya berehat sementara waktu sahaja... hehehehe...

Apa-apapun insyallah saya akan menulis suatu cerita baru yang dapat dikongsikan kepada anda semua...

kata meeze : sibuk mengalahkan perdana menteri pula.. hahahaha..


Sabtu, 16 April 2011

SKPK KUANTAN DI HATIKU.


SKPK KUANTAN DI HATIKU…. Sedihnya bila meninggalkan sekolah ini, mana tidaknya dengan kerenah guru-guru yang kelakar, murid-murid yang pelbagai ragam membuatkan hati ini sayu untuk meninggalkan sekolah ini. Walaupun praktikum selama sebulan tetapi banyak kenangan indah.

Apa-apapun ucapan terima kasih saya kepada pihak sekolah kerana sudi menerima kehadiran saya dan rakan-rakan, begitu juga, dengan Cikgu Kamsiah atau Kak Kam mentor saya yang banyak mengajar, dan membimbing saya. Tidak lupa juga, kepada Cikgu Rohaizah atau Kak Ijah, yang banyak membantu saya dan kepada semua guru-guru di sekolah ini. Terima kasih banyak-banyak. Jasa kalian tidak akan saya lupa..

Kepada murid-muridku yang disayangi, jika baca blog Cikgu, ingatlah pesanan Cikgu, belajarlah rajin-rajin, sentiasa ingat Allah, dan jangan anggap kekurangan yang ada pada diri sebagai penghalang untuk berjaya. Ramai orang pekak telah berjaya dan membuktikan diri mereka boleh merlakukannya. Perbanyakan amal dalam hidup semoga dirimu sentiasa bahagia di dunia dan akhirat. Cikgu sayang kamu semua..

Selamat tinggal SKPK Kuantan. Jika ada masa kita bertemu lagi. Semoga SKPK Kuantan menjadi sekolah khas yang terbaik. Insyallah..


Kalau ada sumur di ladang,

Boleh kita menumpang mandi,

Kalau ada umur yang panjang,

Boleh kita berjumpa lagi.





Inilah Cikgu Kamsiah, guru pembimbing saya. Seronok dapat bimbingan daripada dia, banyak yang telah saya pelajari daripadanya. Terima kasih Kak Kam.. Jasa Kak Kam tetap saya kenang dan hargai sampai bila-bila.
Ini lah geng-geng Cikgu-cikgu yang sangat riuh-rendah, cuma tak ada Cikgu Intan dan Cikgu Idah.
geng-geng guru yang best sesangat..




Inilah Cikgu Rohaiza atau Kak Ijah. Cikgu ini banyak tolong saya. Dah anggap macam kakak dah.. hehehehe...


Ini Cikgu Bahari, banyak cerita dan pengalaman dapat kongsi dengannya. Selalu hantar saya balik rumah lewat-lewat malam..hehehehe..


Ketika jamuan, yang terngaga tu Amirul, yang peace tu Azrul dan mata sepit itam manis tu Nurawi.


Ini pun sama juga, bergambar bukan main lagi..


Ceh!



Macam pasukan bola pulak.. kumpulan kokurikulum olahraga.


Inilah budak-budak yang comel, suka tengok muka mereka. Sejuk hati bila pandang.

Budak darjah 6 atas bersama saya dan Hanis, dalam diam-diam mereka ni tapi nakal n melucukan.




Inilah budak kelas yang saya ajar 6 Maju cuma 6 Jaya tak sempat nak tangkap, sayang mereka semua..



Bilalah agaknya nak jumpa budak-budak ini lagi.. sedihnya hati ini.. Cepatlah jadi Cikgu betul-betul.. :-(


Bahaya.. penderaan kanak-kanak.. jangan tiru aksi ini..hahahaha...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...