Isnin, 19 Oktober 2009

SALAH KE OKU MENERIMA DAKWAH?

Baru-baru ini saya telah menghadiri interaktif dakwah training yang dianjurkan oleh PERKIM di Ampang. Banyak yang telah saya perolehi ketika mengikuti IDT. Misalnya, saya mengetahui cara berdakwah kepada orang islam dan sebagainya.
Dipendekkan cerita dalam sesi soal jawab, saya telah mengemukakan suatu soalan kepada penceramah, iaitu “Sejauh mana pendekatan dakwah yang diberikan kepada golongan OKU?.

Saya tidak mahu menceritakan lebih lanjut apa jawapan yang diberikan oleh penceramah. Namun, saya bersyukur penceramah tersebut sudi membantu dan akan memaklumkan perkara ini kepada pihak JAKIM untuk tindakan selanjutnya. Apa-apapun terima kasih saya ucapkan kepada penceramah tersebut kerana sudi membantu masalah yang dihadapi oleh golongan OKU.

Satu perkara yang perlu diketahui bahawa golongan OKU layak menerima pendidikan agama. Siapa kata golongan pekak, buta dan yang mempunyai kecacatan anggota tidak layak menerima dakwah dan mempelajari konsep ketuhanan. Hanya mereka OKU yang mempunyai kecacatan mental sahaja yang tidak layak. Itupun jika golongan OKU yang mempunyai kecacatan mental yang tidak teruk pun masih mempunyai hak untuk mendapat didikan agama.

Pernah diriwayatkan bahawa pada suatu hari Rasulullah s.a.w. telah didatangi oleh Ummu Maktum, iaitu seorang yang cacat penglihatan. Pada ketika itu Rasulullah s.a.w. sedang sibuk melayani para penguasa Quraisy dan mendakwah mereka kepada agama Islam. Melihat kehadiran Ummu Maktum, baginda pun memalingkan muka baginda daripada beliau kerana ingin menumpukan perhatian kepada para penguasa Quraisy tersebut. Dengan kejadian itu, Allah s.w.t pun mengwahyukan ayat 1-11, Surah Abasa yang bermaksud:

“Ia memasamkan muka dan berpaling kerana ia didatangi orang buta. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya wahai Muhammad)? Barangkali ia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapati daripadamu)! ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya. Adapun orang yang merasakan keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi ( kepada ajaran al-Quran), maka engkau bersungguh-sungguh melayaninya. Padahal engkau tidak bersalah kalau ia tidak mahu membersihkan dirinya (daripada keingkarannya). Adapun orang yang segera datang kepadamu, dengan perasaan takutnya (melanggar perintah-perintah Allah) maka engkau berlengah-lengah melayaninya. Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat-ayat Al-Quran adalah pengajaran dan peringatan (yang mencukupi).”

Daripada riwayat diatas jelas membuktikan bahawa sebenarnya, golongan kurang upaya layak menerima didikan agama. Namun, masalah yang dihadapi ialah tanggapan masyarakat kita terhadap golongan kurang upaya sangat menyedihkan. Mereka beranggapan bahawa golongan OKU ini, (maaf saya katakan mungkin terlalu kasar), seorang yang bodoh, tidak tahu apa-apa dan sebagainya. Realitinya, dalam sesuatu majlis keilmuaan tiada peluang diberikan kepada golongan OKU untuk mendapat ilmu keagamaan. Misalnya, tiada juruisyarat dalam majlis ceramah agama, tiada tempat duduk khas untuk golongan cacat upaya dan sebagainya. Selain itu, terdapat kurangnya buku keagamaan Braille untuk golongan buta, perkhidmatan pembimbing keagamaan kepada golongan OKU dan sebagainya. Kebayakan persatuan OKU kurang menitikberatkan unsur-unsur keagamaan hanya segelintir sahaja. Namun, perkara yang menyedihkan terdapat persatuan bukan beragama islam yang cuba melindungi dan memberi pendedahan terhadap agama mereka kepada golongan OKU. Hal ini menyebabkan kebanyakan golongan OKU lebih tertarik dengan agama lain berbanding dengan agama islam.

Jika saya mampu merlakukan atau bertindak dan mempunyai kuasa, insyallah saya akan menangani masalah ini dengan segera, tetapi apakah daya saya hanya seorang pelajar yang masih mentah dan mempunyai pemikiran yang cetek. Bukan ada seorang pun ingin mendengar luahan saya ini malah tidak seorang pun yang ingin membantu dan memperjuangkan nasib golongan OKU tentang keagamaan. Mereka sibuk membincangkan hak asasi golongan OKU tetapi hak untuk mendapat didikan keagamaan tidak dittitikberatkan. Selain itu, kita sendiri yang mengambil ringan dengan masalah ini. Sebagai contoh, jawapan yang diberikan oleh masyarakat ialah “buat apa kita sibuk berdakwah kepada golongan OKU sedangkan orang yang normal pun tidak terdakwah lagi….” Agak menyedihkan apabila saya mendengar jawapan ini daripada segelintir masyarakat. Wahai masyarakat semua, sekiranya kalian ditempat mereka, adakah kalian berasa adil terhadap diri kalian kerana tidak diperdulikan langsung oleh masyarakat. Jangan biarkan golongan OKU ini terus hanyut dan sesat hanya gara-gara kita sendiri. Saya bimbang jika di akhirat kelak golongan OKU yang berakal ini akan menuntut kepada kita kerana tidak berdakwah kepada mereka.

Dalam membincangkan bab-bab ketuhanan, saya pasti golongan OKU terutama golongan pekak dan buta yang berakal seperti kita yang normal ini boleh menerimanya, tetapi memerlukan masa yang lama untuk membimbing mereka. Saya tertarik dengan Masjid Sri Petaling yang mempunyai jemaah tabligh pekak. Lihatlah, siapa kata golongan pekak atau OKU tidak tahu tentang konsep ketuhanan?. Malah mereka lebih hebat dalam membincangkan soal keagamaan. Selain itu, seperti pengakuan sahabat saya yang pekak, di negara Arab sendiri bimbingan terhadap agama sangat dititikberatkan.

Di Malaysia tidak kurang hebatnya, mempunyai ramai pendakwah, ustaz dan golongan yang mahir dalam agama. Namun, apabila saya menceritakan bab soal hak keagamaan kepada golongan OKU mereka seolah-olah diam seribu bahasa. Seperti mereka terfikir bagaimana untuk meyampaikannya? Malah cara mereka seolah-olah memandang rendah terhadap golongan OKU. Sebenarnya, di minda mereka tidak disetkan atau lupa untuk menyampaikan masej dakwah kepada golongan OKU. Hal ini demikian kerana, tiada pihak yang menitikberatkan perkara ini serta tidak dimaklumkan kepada pendakwah, ustaz dan sebagainya kerana mereka tidak mempunyai kepakaran dalam bidang itu. Jadi, yang harus bertanggungjawab dalam hal ini ialah guru-guru pendidikan khas, badan kebajikan dan sebagainya. Namun yang menyedihkan saya ialah, guru-guru Pendidikan Khas , badan kebajikan dan sebagainya memandang rendah terhadap kebolehan OKU dalam keagamaan. Malah, mereka sendiri yang menyatakan golongan OKU sukar menerima dakwah. Sangat memalukan kepada saya sebagai seorang guru pendidikan khas, apabila rakan seperjuangan saya yang bersama-sama membantu golongan OKU boleh berkata demikian… Seharusnya, mereka membela dan bersama-sama membantu tetapi sebaliknya. Hal ini disebabkan oleh sikap mengambil mudah dan malas untuk mendidik serta mengharapkan makan gaji semata-mata.

Saya kagum dengan pendidikan khas di Amerika Syarikat. Lihatlah sendiri guru-gurunya berwibawa dan bersemangat dalam membantu golongan OKU. Malah hak-hak asasi golongan ini terus terbela. Walaupun mereka OKU tetapi mereka masih mendapat didikan agama. Itulah yang saya harapkan berlaku di Malaysia kerana saya bimbang jika masalah ini tidak ditanggani dengan segera akidah golongan OKU akan tumbang. Maka terjadilah cerita-cerita OKU murtad, OKU tidak percaya agama dan sebagainya. Pada waktu itulah kita sibuk dan rungsing serta mencari langkah alternatif untuk membenteras masalah ini. Namun, semuanya telah terlambat disebabkan kecuaian diri kita sendiri.

Saya rasa sudah cukup saya mencoretkan tentang perkara ini, banyak perkara yang hendak diperkatakan, tetapi saya bimbang jika saya menulis lebih banyak lagi akan menyebabkan ketidakpuasan hati kalian. Oleh itu, saya berharap sesiapa yang ingin komen terhadap coretan saya kali ini, komenlah.. Saya tidak mahu anda membaca tetapi hanya mendiam diri dan menceritakannya dibelakang. Kalau boleh terus bercakap dan memberi pandangan supaya kita boleh berkongsi ilmu.

Kesimpulannya, saya berharap masyarakat perlu sedar dan mengambil masalah ini dengan serius. Jangan mengambil sesuatu perkara ini dengan mudah, tetapi jadikan perkara ini sesuatu perkara yang penting. Jangan suatu hari nanti, apabila nasi sudah menjadi bubur baru semua hendak bertindak kerana musuh-musuh islam sentiasa mencari jalan untuk menyesatkan kita. Sekian…





SIAPA BERSALAH? (Masalah antara golongan pekak dan golongan normal)

Rasanya sudah lama saya tidak mencoretkan sesuatu dalam blog ini. Maklumlah sejak kebelakangan ini saya sangat sibuk dengan pelbagai tugasan yang terpaksa saya selesaikan. Namun, kini Alhamdulillah segala tugasan dapat saya lakukan dengan jayanya.

Tajuk coretan saya kali ini ialah Siapa yang bersalah?. Mungkin kalian tertanya apa maksud yang ingin saya sampaikan. Macam biasalah blog ini tujuannya untuk menyingkap masalah orang kurang upaya terutamanya yang menghadapi masalah pendengaran atau pekak. Jadi kali ini, saya ingin berkongsi pengalaman kepada kalian semua untuk renungan kita bersama. Kalau sesiapa yang ingin komen, dialu-alukan kerana saya hendak melihat respon daripada anda semua terutamanya golongan pekak supaya anda sendiri sedar dengan masalah ini.

Beberapa minggu lepas saya telah menghadiri ke majlis sambutan hari raya ke rumah kawan kelas saya yang pekak iaitu Sarah. Alhamdulillah, dapat juga saya sampai ke rumahnya walaupun pada mulanya niat tidak mahu pergi kerana terlalu sibuk dengan tugasan. Setelah saya sampai di rumah Sarah, saya lihat rakan kelas saya yang lain sudah sampai ke rumahnya lebih awal daripada saya. Tiba-tiba saya terperanjat rupa-rupanya ada ramai rakan-rakan pekak saya yang lain dan golongan pekak yang saya tidak saya kenal sudah sampai juga ke rumah Sarah. Namun, mereka duduk didalam rumah manakala rakan kelas saya duduk di luar rumah. Saya ditarik oleh Sarah untuk berjumpa dengan rakan-rakan pekak yang lain. Seronok dapat berjumpa dengan mereka semua. Mana tidaknya, banyak perkara yang diceritakan oleh mereka sehinggakan saya sendiri tidak berasa puas makan dirumah Sarah. Hehehehe..

Tiba-tiba mata saya teralih kepada rakan sekelas saya yang lain. Saya melihat mereka asyik memandang golongan pekak yang berada didalam rumah sahaja. Saya cuba memanggil mereka masuk untuk bersama-sama berborak. Namun, mereka semua berasa malu. Sudah beberapa banyak kali saya mengajak mereka masuk, tetapi mereka hanya memandang dan malu untuk bersama dengan kumpulan orang pekak. Saya lihat Sarah pula sibuk melayan tetamu tidak kira rakannya yang pekak mahupun yang normal. Nampak letih Sarah, keluar dan masuk dari rumah kerana ingin menjaga perasaan rakan-rakannya yang normal dan pekak.

Dipendekkan cerita, selepas selesainya majlis kesemua berangkat pulang . Semuanya nampak seronok dengan rumah terbuka Sarah. Pada keesokkan harinya, sewaktu didalam kelas saya bertanya kepada rakan-rakan saya, seronok atau tidak pergi ke rumah Sarah. Mereka menjawab seronok tanpa wajah yang gembira. Saya berjumpa dengan seorang sahabat kelas saya, kerana saya yakin dia seorang yang jujur, saya bertanya kepada dia adakah awak seronok datang ke rumah Sarah? Tetapi dia mengatakan tidak.. Saya bertanya, kenapa pula tidak? Sedangkan makanan dan layanan yang diberikan oleh Sarah sangat bagus. Sahabat saya mengakui bahawa makanan dan layanan yang diberikan oleh Sarah sangat bagus dan sedap. Namun, apa yang menyedihkan ialah kenapa orang pekak dan orang normal perlu mengasingkan kumpulan masing-masing. Sahabat saya sedar, bahawa dia tidak lancar dan mahir berisyarat seperti golongan pekak yang lain, tetapi sahabat saya merasakan seolah-olah golongan pekak tidak mahu berkawan dengan golongan normal. Adakah mereka tidak suka golongan normal yang tidak lancar berisyarat?. Selain itu, sahabat saya menyatakan golongan pekak seolah-olah sombong dan tidak mahu bergaul dengan golongan normal. Sahabat saya juga, menyatakan dia berasa cemburu dengan saya kerana saya boleh menyertai kumpulan orang pekak dan boleh berisyarat dengan cepat.

Kemudian, saya menerangkan kepada sahabat saya tersebut. “ Cuba jika kamu seorang yang pekak. Kemudian, kamu ke majlis rumah terbuka orang normal. Orang normal yang tidak tahu berbahasa isyarat pasti mereka mengetepikan kamu. Kemudian kamu pula cuba bercakap dengan orang normal, tetapi sebutan kamu tidak jelas. Agak-agak kamulah, adakah orang normal akan berkomunikasi dan bercakap dengan kamu? Adakah mereka berasa berminat dengan kamu? Mungkin mereka berasa minat tetapi mereka tidak tahu untuk berkomunikasi dengan kamu….” Saya cuba memberitahu sahabat saya lagi, “ Apa yang kamu rasa di rumah Sarah begitulah golongan pekak rasa ketika bergaul dengan orang normal. Jadi kamu kena faham apa yang mereka rasa dan situasi yang sebenar”

Banyaklah perkara yang saya terangkan kepada sahabat saya tentang kehidupan orang pekak. Saya terangkan kepada dia, “kenapa kamu perlu cemburu dengan saya, sedangkan saya tidaklah semahir manapun. Apa yang penting kamu kena pandai dalam bersosial dengan orang dan tahu caranya”. Akhirnya rakan saya memahami apa yang diperkatakan oleh saya.

Itulah dilemma yang sering dialami antara orang pekak dan orang normal. Saya masih tertanya-tanya, kenapa masing-masing tidak mahu cuba untuk berinteraksi antara satu sama lain?. Kenapa perlu di asingkan antara dunia orang pekak dan dunia orang normal?
Saya sendiri akui semasa beraya dirumah Sarah orang pekak cuba mewujudkan halangan antara orang normal. Mereka kurang hendak berisyarat dengan orang normal.Malah mereka menyatakan kepada Sarah bahawa mereka berasa pelik dengan orang normal kerana selalu mermerhatikan gerakan mereka.

Saya pelik kalau keadaan seperti ini berterusan sampai sekarang sampai bila golongan pekak dan golongan normal akan dapat bersatu dan hidup dalam komuniti. Sebenarnya, daripada cerita yang saya kupaskan ini menunjukkan bahawa hubungan antara orang pekak dengan orang normal masih mempunyai keasingan lagi. Hal ini demikian kerana, faktor komunikasi yang telah menyebabkan wujud permasalahan ini.

Namun, perkara ini harus ditanggani oleh kedua-dua pihak dan tidak hanya menunding jari. Misalnya, jika golangan normal ingin berkomunikasi dengan golongan pekak, maka golongan normal perlulah mengambil langkah untuk memahirkan diri dalam bersosial dan berkomunikasi. Apa yang dikatakan oleh sahabat saya terhadap tiada kelancaran dalam berbahasa isyarat itu adalah tanggapan yang salah. Hal ini demikian kerana, kebanyakan orang pekak amat menyukai orang normal berisyarat malah mereka akan sentiasa membantu jika terdapat kekurangan dalam berisyarat. Namun orang pekak juga, perlu sedar bahawa golongan normal mempunyai sifat malu untuk berisyarat jadi golongan pekak seharusnya mengambil perhatian dan mengajak mereka turut sama dalam perbualan agar sifat kesensitifan tidak wujud dalam diri.

Elakkan mewujudkan sesuatu kepuakan apabila berada di dalam sesuatu tempat. Sebagai contoh yang berlaku di rumah Sarah, golongan pekak berada di dalam rumah, manakala golongan normal berada di luar rumah. Wujudkan interaksi dan percampuran antara satu sama lain. Mungkin dengan ini sikap ketidakasingan tidak akan wujud. Bagi golongan pekak jangan hanya melayan orang normal yang mahir dalam berisyarat sahaja tetapi cuba melayan orang normal yang ingin belajar bahasa kalian . Saya pasti, dengan tindakan yang dilakukan oleh anda, pasti bahasa anda akan sentiasa berkembang dari semasa ke semasa. Manakala bagi golongan normal pastikan anda cuba mengenali budaya orang pekak dengan lebih lagi. Jangan hanya memikirkan diri sendiri, kerana golongan pekak juga pernah mengalami perkara keasingan dalam diri apabila bergaul dengan golongan normal. Saya pasti jika kalian sentiasa mengalah dan membantu antara satu sama lain perpaduan dan kerjasama akan wujud dalam diri golongan normal dan golongan pekak.

Kesimpulannya, saya berharap agar perkara sebegini dapat ditangani dengan segera, jangan menyalahkan orang tetapi menyalahkan diri sendiri. Allah menjadikan kita tidak sempurna. Dengan ketidaksempurnaan itulah maka kita seharusnya saling bergantung antara satu sama lain. Sekian… :-)




Isnin, 12 Oktober 2009

Hmmm.. lamanya...

Rasanya lama sy tak sentuh ttg blog sy ni.. Maklumlah skrg ni IPGM IK ada masalah dengan Wireless, jd tak sempat le sy nk menulis coretan kepada kalian semua. Tapi skrg ni sy tak ada idea nk ceritakn bersama dengan awk semua kerana skrg ni sy terlalu sibuk sehinggakan aktiviti diri sy pun tak terjaga. Mana tidaknya, tanggungjawab yg sy pikul amatlah berat tuk menjaga kebajikan pelajar.
Namun, sy sedih dengan satu perkara ialah, sejak kebelakangan ini banyak sangat musibah yang berlaku ke atas pelajar IPGM IK. Misalnya, kematian, kemalangan dan sebagainya. Terbaru pula seorang pelajar daripada OUM telah meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya. Sangat menyedihkan.. Mungkin ini merupakan ujian daripada Allah untuk kita semua.
Walaumacamana pun saya rasa bangga dengan pelajar di Institut ini sangat perihatin dengan masalah yang menimpa. Buktinya, hasil kutipan derma yang dikutip tidak disangka-sangka dengan jumlah yang ditarget. Terima kasih saya ucapkan atas keperihatinan kalian semua.
Insyallah lepas selesai urusan lain dan bila ada masa terluang, saya akan cuba untuk menulis lagi. Jadi mohon maaf ssgt. Sekian, terima kasih...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...