Isnin, 14 Jun 2010

Keciannya,,, tak dapat tawaran perguruan.. Apa KPM nak?

Saya amat kesian dengan nasib yang menimpa seorang rakan saya yang beria-ria hendak menjadi seorang guru tetapi dia tidak layak untuk memasuki IPG. Saya tidak tahu, apa kriteria yang diperlukan oleh pihak kementerian untuk menjadi seorang guru. Adakah berdasarkan keputusan SPM atau imej yang pelajar tonjolkan. Jika keputusan SPM, saya lihat terdapat juga, yang keputusan SPM yang tidak baik memasuki IPG, jika imej dan perwatakan yang diingini, saya lihat kebanyakan pelajar IPG mempunyai imej yang tidak layak seperti seorang guru Jika kedua-dua keriteria yang dilihat, saya lihat tak ramai pelajar IPG mempunyai keputusan SPM yang hebat dan imej perwatakan guru yang ditonjolkan. Sehingga kini, saya terfikir sejauh mana pemilihan yang dibuat oleh pihak KPM?

Tambah menyedihkan kebanyakan golongan yang layak menjadi guru, tidak dapat memasuki IPG, tetapi golongan yang tidak layak menjadi guru diterima. Apa cerita sebenarnya ni?!. Bagi maklumat kalian, kali ini KPM tidak menyediakan pemohonan rayuan kepada KPLSPM. Kesiannya… ;-( saya rasa turut simpati dengan adik-adik yang tidak dapat ini. Cita-cita mereka musnah untuk menjadi seorang guru. Sabarlah ya, insyallah kalau Allah takdirkan kita menjadi guru, takkan ke manapun.. biar takdir menentukan segala-galanya.

Saya harap adik-adik yang dapat tawaran ke IPG ini, bersyukurlah dengan tawaran ini dan jangan sia-siakan. Ramai lagi yang layak untuk menjadi guru, tetapi mungkin anda terpilih disebabkan ketentuan Allah. Bila masuk IPG, jangan membuat masalah tetapi berusaha dan carilah ilmu perguruan sedalam mungkin. Jangan kerja sambil lewa, rajin, usaha dan tekun belajar. Ingatlah, peluang yang sangat berharga dan jadikan diri anda seorang guru yang berkualilti bukan berkuantiti.

Kepada adik-adik yang tidak dapat, jika anda minat kerjaya guru, sentiasalah berdoa kepada Allah. Insyallah Allah akan beri jalan. Bukan disini sahaja jalan untuk menjadi seorang guru. Banyak lagi jalan. Cuma cepat dan lambat sahaja. Apa-apapun teruskan belajar dan belajar. Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya, jangan berputus asa.



Kata meeze 1 : Buat sahabatku Chai Yun dan kawannya (Siti Aira), bersabarlah ya, jangan kecewa apa yang berlaku, teruskan usaha awak, saya, imah,dan sarah akan sentiasa mendoakan kejayaan awak dan kami berharap suatu hari awak akan menjadi seorang guru. Teruskan cita-cita awak ya.. saya akan sentiasa sokong awak..

Kata meeze 2: buat adik-adikku yang disayangi, Nita, Man, Asyraf dan Ju, sabar juga ya, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya, saya tahu awak semua hendak menjadi seorang guru, tetapi mungkin jangka masa yang panjang. Ada sahaja jalan, yang penting jangan berputus asa. Teruskan cita-cita. Chanyo3!!



Sabtu, 12 Jun 2010

ALA... SENANG JADI CIKGU P.K....!!!


“Hmmm… senang je, jadi cikgu P.K (Pendidikan Khas) bukannya banyak kerja pun… bla…bla… “ itulah yang selalu saya dengar daripada mulut-mulut guru biasa yang kebanyakan tidak puas hati dengan kerjaya guru Pendidikan Khas. Kebanyakan guru biasa atau masyarakat luar sendiri menanggap bahawa kerjaya guru Pendidikan Khas merupakan suatu kerjaya yang mudah dan tidak banyak cabaran. Betul ke?

Jadi saya tidak mahu memanjangkan mukadimah saya ini dengan ayat bunga-bunga, tetapi saya ingin menjawab soalan-soalan yang selalu dilontarkan oleh guru biasa dan masyarakat terhadap guru Pendidikan Khas, supaya mereka sedar bahawa tiada benda yang senang didunia ini.


a) “Jadi Cikgu P.Khas senang je, murid sikit, senang nak kawal…”

Amboi, sedapnya cakap, cubalah masuk kelas Pendidikan Khas kawal dalam masa satu hari, kalau boleh. Memang saya akui murid Pendidikan Khas sangat sedikit, walaupun sedikit keadaannya tetapi macam ramai sangat. Misalnya, 2 orang dalam kelas P.Khas macam jaga 20 orang murid. Mana taknya, jika dua orang murid tu, adalah hiperaktif, senang nak kawal? Kadang-kadang guru sendiri yang putus asa dengan murid tersebut. Bukan itu sahaja, penumpuan yang lebih juga harus diberikan supaya keselamatan murid itu dapat dijaga dengan baik. Agaknya, kalau orang yang mempunyai sifat panas baran, tak mampu nak jaga murid khas, silap-silap orang itu yang mengamuk dalam kelas, muridnya tak ada apa-apapun.

b) “Cikgu Khas ni bukan mengajar pun, asyik main je, kejap-kejap tengok tv lah, main pasir lah itulah..bla..bla..”

Siapa kata guru khas tak mengajar, sebenarnya apa yang kalian nampak itulah merupakan suatu pengajaran dan pembelajaran kepada murid khas. Memanglah banyak main kerana hendak melatih dan memastikan psikomotor halus dan kasar berfungsi. Kalau tidak dibuat terapi bermain sebegitu, bagaimana murid khas hendak berkembang. Mereka mana boleh belajar secara teori sahaja seperti murid mormal, praktikel perlu dilakukan sebab itu guru khas perlu menguasai pelbagai kemahiran supaya dapat bersedia dan melatih murid khas yang mempunyai pelbagai masalah. Bukankah bermain itu salah satu pengajaran dan pembelajaran. Lagi satu perkembangan kognitif kanak-kanak khas bukan sama dengan perkembangan kognitif kanak-kanak biasa, mereka perlu diajar dengan sedikit demi sedikit dan peringkat demi peringkat, supaya mereka dapat memahami apa yang diajar oleh guru. Adakalanya, hendak mengenal huruf mengambil masa berbulan-bulan sebab masalah kognitif mereka yang dialami, jadi kerana itulah guru khas perlu menyediakan pelbagai bentuk pengajaran dan bahan bantu mengajar yang menarik supaya pemahaman murid dapat ditingkatkan.

c) “Cikgu khas tak payah buat kerja apa-apa, dalam pengurusan sekolah tidak perlu terlibat mana-mana aktiviti, kerana mereka terikat dengan etika mereka, jadi kalau kat sekolah tu, diorang mana sibuk-sibuk macam cikgu biasa… kan senang tu??”
Wah…wah..wah… orang yang cakap macam ni tak ada insurans betul mulut dia, sebenarnya tidak, guru khas juga, boleh terlibat dengan mana-mana aktiviti. Memang saya akui jika di sekolah inklusif, sekolah akan mengelakkan guru khas daripada kerja-kerja tambahan kerana memberi peluang kepada guru khas menumpukan sepenuhnya terhadap murid khas. Namun, kalian perlu sedari, jika di sekolah pendidikan khas biasa yang betul-betul sekolah pendidikan khas tidak ada campuran murid normal, siapa yang akan menguruskan segala rekod-rekod dan data-data sekolah? Siapa yang akan menganjurkan aktiviti-aktviti di sekolah? Guru khas kan? Jadi tidak ada masalah sebenarnya perlu diasingkan dalam membuat kerja-kerja dan aktiviti. Cuma sekolah normal sahaja tidak mahu memberi peluang kepada guru khas untuk membuat sesuatu kerja yang diluar bidang. Satu lagi, tidak pernah saya dengar etika dalam pendidikan khas yang menyatakan guru khas tidak boleh merlakukan aktiviti pengurusan dan merlakukan aktiviti di sekolah. Itu adalah fitnah semata-mata, kerana apa yang saya lihat sebenarnya, aktiviti yang diadakan oleh guru khas di sekolah khas lebih banyak daripada aktiviti di sekolah biasa. Jadi, kenapa perlu mempertikaikan.. selidik dahulu sebelum bercakap..


d) “Guru khas tidak perlu hendak menguasai pelbagai kemahiran sebab mereka ajar orang istimewa, jadi tak perlu banyak kemahiran pendidikan dan pengajaran yang perlu mereka kuasai..”

Sebenarnya, guru khaslah yang banyak menguasai pelbagai kemahiran. Bukan sahaja kemahiran pendidikan, pengajaran dan pembelajaran tetapi mereka mempunyai kemahiran tambahan yang perlu dikuasai. Misalnya, kemahiran berbahasa isyarat, kemahiran tulisan Braille, kemahiran orientasi dan mobiliti, kemahiran terapi, kemahiran psikologi dan sebagainya. Jika mereka tidak menguasai kemahiran-kemahiran ini, maka agak sukar bagi mereka untuk mengajar golongan istimewa. Kalau tak percaya, cubalah masuk kelas khas tanpa ada kemahiran tambahan. Mesti anda buntu idea.

e) “Alah, murid khas bukannya pandai pun, baik yang pekak, buta, dan sebagainya, semuanya bukannya pandai.. jadi cikgu khas tak perlu nak ajar sangat.. lagipun sukatan bukan sama pun, senang je tak payah nak pening-pening kepala.”

Siapa kata murid khas tak pandai, malah kognitif mereka lebih baik daripada murid normal. Sungguhpun mereka pekak, buta dan sebagainya, sebenarnya kognitf mereka sama macam orang normal cuma lambat sedikit disebabkan kekurangan yang dihadapinya. Itulah tanggapan masyarakat sekarang menganggap semua murid khas bodoh, tetapi sebenarnya tidak, malah mereka lagi pandai daripada kita dan sukatan pelajaran mereka sama sahaja dengan murid normal, kalau murid normal belajar matematik, mereka belajar matematik, kalau murid normal belajar sejarah, mereka belajar sejarah dan sebagainya.Cuma perbezaanya ialah cara penyampaian pengajaran. Jika murid pekak, guru kena mengajar dengan menggunakan bahasa isyarat, murid buta menggunakan kaedah Braille, sentuhan dan sebagainya. Saya rasa tidak senang, kerana kalau guru khas tidak kuasai kemahiran tambahan, apa yang diajar tidak dapat disampai.

f) “Guru khas, bukan tahu buat kerja pun, malas sahaja, duduk sahaja tak buat apa-apa.”

Saya rasa guru khas sama juga seperti guru biasa, siapa kata guru khas malas, jika mereka bersikap malas maka anak-anak murid khas tidak mendapat pendidikan yang sewajarnya. Bagi saya walaupun saya guru pelatih tetapi apa yang saya lihat sebenarnya kebanyakan guru khas tidak malas, malah mereka kebanyakannya rajin daripada guru normal. Usaha mereka lebih banyak daripada guru normal. Misalnya, jika guru biasa tak perlu nak jadi macam doktor, pantau selalu keadaan murid. Misalnya, jika murid pekak, telinga murid harus dipantau, alat bantu dengar mesti disemak dan sebagainya. Tak perlu lah cakap tentang guru disekolah, guru pelatih yang ambil bidang pendidikan khas di IPG IK pun ramai yang rajin-rajin. Tengok sahajalah di IPG IK, kebanyakan yang aktif dalam persatuan atau JPP kebanyakan guru khas, yang membuat program guru khas, tetapi yang dapat nama jabatan lain bukan jabatan pendidikan khas, maka institut sendiri tidak nampak usaha guru pelatih p.khas, sedangkan yang banyak membantu dan menjayakan adalah guru pelatih p. khas. Jadi siapa yang rajin sebenarnya? . Kalau disekolah, sebenarnya sekolah yang tidak mahu memberi peluang kepada guru khas untuk menonjol, atau mungkin disebabkan sedikit sahaja guru khas yang bersikap malas macam itu, maka terus semua guru khas dilabelkan sebegitu. Tak baik tau, fitnah orang dosa…

g) “Guru khas tahu makan gaji buta je, elaun tambahan dah la dapat, eeee… tak adil tau macam ni..”

Sebenarnya bagi saya, guru khas memang layak mendapat elaun tambahan daripada kerajaan. Hal ini demikian kerana, kesusahan dan keperitan mereka mengajar murid khas yang mempunyai pelbagai cabaran dan dugaan. Kalau diluar negara, guru khas statusnya tinggi, dan dipandang tinggi oleh masyarakat, jadi langkah kerajaan memberi elaun tambahan kepada guru khas adalah sebagai saguhati kepada guru khas kerana sanggup mengajar murid-murid khas, dan sebagai pendorong guru khas supaya tidak berputus asa dalam mengajar golongan istimewa. Mengajar golongan istimewa ini bukan senang wei.. kesabaran perlu tinggi.

h) “Ala, guru khas tak boleh mengajar murid normal, mereka tidak reti mengajar..”

Sebenarnya, guru khas boleh mengajar murid normal, cuma tidak diberi peluang sahaja oleh pihak sekolah kerana pihak sekolah mahukan guru khas memberi tumpuan sepenuhnya kepada murid khas. Jika diberi tanggungjawab mengajar murid normal, boleh sahaja. Malahan di IPG, bukan sahaja guru khas diajar kemahiran tambahan tetapi mereka turut diajar untuk menguasai sesuatu matapelajaran. Misalnya, matematik, sains, bahasa melayu dan sebagainya. Sebab itu, di IPG IK minor aliran akademik diberikan kepada guru khas, supaya melengkapkan diri mereka mahir dalam bidang yang lain.

i) “Murid-murid khas tak boleh berjaya, sebab mereka bodoh dah tu, mereka istimewa..”

Sebenarnya, murid khas boleh berjaya, sebab itu mereka perlu diberikan perhatian yang lebih daripada guru khas. Siapa kata mereka bodoh, tolonglah buang sifat mengklasifikasikan golongan OKU ini sebagai golongan yang tidak tahu apa-apa. Sebenarnya, mereka lebih cerdik daripada kita. Buktinya, ramai yang golongan OKU yang telah berjaya sehingga ada yang masuk ke Universiti atau Pusat pengajian tinggi. Ada juga golongan OKU mendapat gelaran doktor falsafah, datuk dan sebagainya.

j) “Guru khas bukan ajar betul-betul, main-main je..”

Seperti yang saya katakana daripada awal tadi, sebenarnya itu bukan main-main tetapi bermain itu suatu pengajaran dan pembelajaran perlu diberikan kepada golongan khas. Mereka juga, belajar seperti biasa, ada waktu-waktu tertentu. Guru khas tidak pernah mengajar main-main malah mereka akan berusaha dengan bersungguh-sungguh tanpa rasa jemu, mereka perlu mengajar sedikit, demi sedikit, peringkat demi peringkat bukan boleh mengajar macam orang normal, perlukan masa yang lebih dan perhatian yang sepenuhnya. Munngkin orang yang memberi tanggapan ini hanya melihat segelintir sahaja tidak lihat sepenuhnya dan terus menghukum orang tanpa usul periksa.

k) “Guru khas, senang ada pembantu lagi, senang nak kawal kelas.”

Bagi maklumat semua, pembantu hanya membantu dalam bahagian-bahagian tertentu sahaja, bukannya membantu guru secara keseluruhan. Pembantu bukan membantu mengajar, tetapi memastikan pengawalan kelas sahaja. Kalau guru khas seorang sahaja dalam kelas, bila lagi guru khas hendak mengajar dan bila lagi guru khas hendak mengawal. Walaupun murid sedikit, tetapi keadaan kelas tersebut seperti ramai murid. Adakalanya, pembantu sendiri tak dapat hendak membantu guru dalam mengawal kelas sehinggakan masa yang diambil bukan untuk mengajar tetapi untuk mengawal kelas kerana murid khas yang sukar hendak dikawal.

Kesimpulannya, sebenarnya tiada benda yang senang di dunia ini, nasihat saya kepada masyarakat dan guru biasa semua supaya selidik dahulu sebelum menghukum seseorang. Memang ada juga guru khas yang malas dan sebagainya seperti mana guru biasa. Namun, bukan semua guru khas bersikap sebegitu. Apa yang penting sebenarnya matlamat kita adalah untuk mendidik anak bangsa bukannya kita menghina dan melabelkan orang lain. Harus diingat, guru khas matlamatnya adalah untuk memastikan murid khas boleh menguruskan dirinya. Jadi dalam memastikan murid khas boleh menguruskan diri pelbagai cabaran dan cara yang perlu dilakukan oleh guru khas.

Bagi guru khas, jika anda tidak mahu dihukum atau diklasifikasikan seperti itu, maka tunjukkan kepada masyarakat bahawa anda bukan sebegitu. Jauhilah sikap malas, malah tingkatkan usaha kita dalam memastikan murid khas terus terpelihara dan terjaga. Jangan pula, kita sama berfikiran seperti masyarakat lain yang mengatakan murid khas tidak boleh. Malah kita sebagai guru khas adalah sebagai motivator dan perangsang kepada golongan istimewa. Chanyo.. chanyo..

Sebenarnya, saya tidak layak untuk mengatakan sedemikian, kerana saya hanya guru pelatih biasa, tetapi saya kecewa dan sedih apabila sebelum menjadi cikgu khas lagi saya sudah dilemparkan dengan pelbagai tomahan yang tidak berasas ini. Saya juga, terfikir kenapa, guru khas perlu diasing-asingkan sedangkan kerjayanya tetap sama seperti guru biasa. Pendapatan dan kelayakannya sama sahaja seperti guru biasa. Jadi tidak perlu dibandingbezakan. Apa yang penting, masing-masing mempunyai peranan dan tanggungjawab, dan jika tiada guru khas, siapa lagi yang sanggup mengajar golongan istimewa??? Fikir-fikirkan…



Kata meeze 1 : No komen… tepuk dada tanya selera..

Kata meeze 2 : dok mengutuk tak elok, nanti dapat balasan baru tahu..

Kata meeze 3 : Sesiapa yang hendak menjadi guru P.Khas, fikir dahulu masak-masak sebelum buat keputusan, jangan nanti bila anda masuk bidang ini dah tak semangat dah, sebab putus asa. Kerjaya menjadi guru ini bukannya senang banyak tanggungjawabnya.






Jumaat, 11 Jun 2010

PENGGUNAAN DWI BAHASA



Beberapa hari lepas saya ada berborak dengan rakan pekak saya, dalam perbualan kami bercerita tentang penggunaan bahasa isyarat, tiba-tiba rakan saya mengacukan suatu soalan kepada saya. “Kenapa dalam menyiapkan tugasan atau “assignment” kami yang pekak tidak boleh menggunakan dwi bahasa seperti yang dilakukan di Amerika Syarikat?” Apa sebenarnya Dwi bahasa yang dimaksudkan oleh rakan saya? . Dwi bahasa sebenarnya ialah penggunaan ayat atau tatabahasa bahasa isyarat yang digunakan oleh orang pekak, dalam komunikasi dan juga tulisan. (Kalau tidak salah saya maksudnya, kalau salah tolong betulkan ya.) Jika kita perhatikan di negara Amerika penggunaan dwi bahasa sangat meluas oleh orang pekak terutamanya di Universiti tertentu atau pusat kegiatan ilmu yang membenarkan penggunaan dwi bahasa tersebut. Hal ini demikian kerana, golongan pekak dapat memperjuangkan dan mempertingkatkan penggunaan bahasa dan tatabahasa bahasa isyarat mereka iaitu ASL (America Sign Language). Jika begitu, kenapa Malaysia tidak boleh menggunakannya terutamanya dalam sistem pendidikan atau urusan rasmi di negara kita? Bukankah cara itu dapat mempertingkatkan penggunaan BIM? dan dengan cara ini juga dapat memudahkan orang pekak dalam menyiapkan tugasan tanpa menggunakan bahasa melayu atau bahasa inggeris.

Bagi pendapat saya penggunaan dwi bahasa dalam sistem pendidikan di Malaysia adalah tidak relevan dan tidak bagus kepada golongan pekak. Kenapa?

Berikut merupakan sebab-sebab mengapa penggunaan dwi bahasa tidak relevan digunakan di Malaysia :-

a) Penggunaan dwi bahasa adalah tidak relevan kerana jika kita perhatikan dalam tatabahasa bahasa isyarat tidak diterima dalam tatabahasa bahasa melayu. Misalnya, dalam bahasa melayu, “Bapa saya seorang polis” tetapi dalam tatabahasa bahasa isyarat “ Polis bapa”. Jadi jika penggunaan dwi bahasa digunakan dalam menyiapkan tugasan atau “assignment”, perkara ini akan mengelirukan pensyarah dan orang normal yang tidak belajar bahasa isyarat.

b) Selain itu, penggunaan dwi bahasa tidak dapat memperkembangkan pengguasaan bahasa melayu untuk orang pekak. Orang pekak mesti mengakui bahawa bahasa Melayu telah menjadi bahasa kebangsaaan di Malaysia, jadi sesiapa yang menetap di Malaysia perlu menguasai bahasa Melayu walau dalam keadaan manapun. Hal ini sudah termaktub dalam Artikel 152, Perlembagaan Malaysia yang menyatakan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Jika penggunaan dwi bahasa boleh digunakan bermakna, bahasa lain juga bebas digunakan, misalnya, belajar menggunakan bahasa melayu tetapi menyiapkan tugasan dalam bahasa Tamil atau Mandarin??? Selain itu, jika penggunaan dwi bahasa digunakan bermakna bolehlah sesebuah institusi pendidikan bebas menggunakan pelbagai bahasa tanpa adanya bahasa utama. Jadi, sesebuah institusi akan menjadi celaru dan tiada identiti. Lagipun dalam sistem pendidikan sudah termaktub dan menjadi sangat penting. Sebagai contoh, SPM, jika gagal bahasa Melayu dalam SPM maka tidak boleh mendapat sijil. Tidak kiralah anda cemerlang dalam Matematik, Sains atau sebagainya yang penting anda menguasai bahasa melayu.

c) Seterusnya, orang pekak pernah menyoalkan kepada saya, kenapa Amerika boleh maju dengan penggunaan Dwi bahasa ini? Saya hendak tanya kepada orang pekak, suatu perkara, kenapa kita perlu berbangga dengan budaya Amerika, kenapa kalian sendiri tidak mahu mewujudkan suatu budaya pekak yang mempunyai cara hidup orang Malaysia? Kalau jawapan anda adalah untuk dijadikan sebagai contoh dan pendoman kepada anda itu adalah jawapan yang salah, kerana, jika diperhatikan negara yang mengamalkan budaya yang tersendiri lebih maju daripada negara yang meniru budaya negara lain. Misalnya negara Jepun, lihatlah bertapa majunya mereka disebabkan mereka tetap mengamalkan budaya mereka. Selain itu, anda perlu ingat, budaya pekak adalah budaya ketiga anda. Namun, budaya bangsa Malaysia adalah budaya pertama anda, yang kedua adalah budaya bangsa masing-masing iaitu budaya Melayu, Cina, India dan sebagainya. Jadi, anda perlu mengutamakan budaya anda terlebih dahulu daripada budaya pekak. (Nanti kita akan bincangkan perkara ini dengan lebih lanjut lagi). Ini bukan bermakna budaya pekak tidak penting tetapi penghargaan kita terhadap warisan budaya bangsa kita lebih penting dan itu menunjukkan identiti diri kita kerana budaya Malaysia merupakan suatu budaya yang sangat unik.

d) Perkembangan sosial dan bahasa orang pekak akan terbantut jika menggunakan dwi bahasa. Hal ini demikian, orang pekak tidak akan belajar menggunakan bahasa Melayu, malah mereka akan terus menggunakan bahasa isyarat. Jadi, ini akan menjadi kesukaran kepada mereka menguasai bahasa Melayu dan menyukarkan mereka memahami bahasa melayu kerana tidak dilatih. Oleh itu, perkara ini akan menyebabkan orang pekak berasa tidak dapat bersosial baik dengan orang normal kerana masalah bahasa yang dialami. Hal ini seperti macam puteh masuk kampung melayu, jadi apa yang terjadi..?? fikir-fkirkanlah.

e) Kalian harus sedar dan berbangga mempelajari bahasa melayu, kerana bahasa Melayu sangat indah dan cantik. Hanya bahasa Melayu sahajalah yang mempunyai ayat yang puitis dan menarik. Selain itu, tatabahasa bahasa Melayu tidak sama dengan tatabahasa bahasa isyarat. Tatabahasa bahasa Melayu lebih tersusun dan menarik, berbanding dengan bahasa isyarat. Jika diperhatikan bahasa inggeris mempunyai persamaan sedikit dengan bahasa isyarat iaitu lebih terus dan tidak berbunga-bunga berbanding bahasa melayu kerana itu di Amerika mereka bebas mengamalkan dwi bahasa. Namun, di Malaysia bahasa Melayu dan bahasa isyarat bercanggah, ayat bahasa melayu panjang dan berbunga-bunga tetapi ayat bahasa isyarat adalah lebih terus. Jadi, tidak relevan menggunakan dwi bahasa dalam sistem pendidikan. Sebab itulah KTBM perlu digunakan kerana ada perkataan-perkataan bahasa Melayu yang tidak ada simbol dalam bahasa isyarat dan penyusunan ayat dalam KTBM adalah mengikut tatabahasa melayu.

f) Jika pengamalan dwi bahasa ini digunakan dalam sistem pendidikan di negara ini, maka orang pekak akan mengalami kesukaran dalam mempelajari bahasa dan mencari maklumat terutamanya maklumat dalam bahasa melayu. Jadi, mereka mungkin tidak dapat memahami maklumat tersebut, kerana ayat bahasa melayu yang mempunyai pelbagai perkataan dan istilah. Oleh itu, untuk menjadikan anda seorang orang pekak yang berintelektual dan tidakdi pandang rendah maka, pelajari dan kuasailah pelbagai bahasa dan ini boleh membuktikan anda hebat daripada orang normal. Sekarang ini juga, jarang kita lihat orang pekak yang mahir menulis terutamanya penulisan dalam bahasa melayu. Hanya segelintir sahaja.

g) Seterusnya, jika penggunaan dwi bahasa digunakan, orang pekak sukar berkongsi ilmu dengan orang normal jadi perkembangan ilmu pengetahuan orang pekak tidak berkembang. Hal ini demikian kerana, ketidakfahaman orang normal terhadap struktur tatabahasa bahasa isyarat. Jadi bagaimana orang pekak hendak berkongsi ilmu dengan orang normal, dan bagaimana orang pekak hendak memaklumkan ilmunya yang ada kepada orang normal?

h) Akhir sekali, bahasa isyarat masih lagi banyak perlu diperbaiki dan tidak lagi kukuh di Malaysia. BIM masih banyak perlu diperbaiki dan dikaji. Hal ini demikian kerana, masih banyak simbol-simbol isyarat yang telah ditetapkan dalam buku BIM tetapi tidak dikuasai lagi oleh sebilangan orang pekak, dan terdapat simbol-simbol yang tidak diselaraskan. Oleh itu, agak sukar jika menggunakan dwi bahasa untuk membuat tugasan kerana mungkin akan membawa makna yang berbeza-beza.

Kesimpulannya, saya tetap mengatakan tidak relevan orang pekak menggunakan dwi bahasa dalam menyiapkan tugasan seperti yang berlaku di luar negara. Hal ini demikian, pelbagai masalah yang akan berlaku, lagipun kita duduk di Malaysia yang bukan hanya ada satu bangsa atau dua bangsa seperti di luar negara, tetapi kita mempunyai pelbagai bangsa, jadi bahasa kebangsaan perlu ada untuk membuktikan identiti dan perpaduan kita sebagai rakyat Malaysia.

Jangan ambil sesuatu perkara dengan senang, tiada benda yang senang didunia ini, jika kita hendak menguasai sesuatu keyakinan, usaha dan semangat pasti akan membuahkan hasil. Maka, orang pekak di Malaysia seharusnya membuktikan sesuatu kelainan kepada orang pekak di luar negara, iaitu walaupun anda mempunyai bahasa isyarat tetapi anda mahir dan menguasai bahasa melayu . Tak nak ke jadi macam tu?, jadi orang pekak di luar negara akan respek orang pekak di Malaysia, bukannya kita sibuk-sibuk menganggungkan mereka dan menjadikan mereka sebagai contoh sedangkan kelebihan kita sendiri tidak mahu ditonjolkan.

Kata meeze 1 : Saya sangat kagum dengan En. Amir Hamidi, walaupun pekak, tetapi dia mampu menguasai bahasa melayu, malah penulisannya lebih hebat daripada orang normal malah sikap dan kesungguhan dia harus dicontohi oleh orang pekak lain, syabas dan tahniah atas usaha Encik, semoga En. Amir Hamidi terus berusaha dan berusaha dalam mencapai kejayaan yang diingini.

Kata meeze 2 : Jadi kalau En Amir Hamidi seorang yang pekak boleh menguasai bahasa melayu, masakan orang pekak lain tak boleh?? Kenapa hendak dipertikaikan lagi? Fikir-fikirkan..

Kata meeze 3: Hmmmm… saya ni dok cakap orang pekak je suruh kuasai bahasa Melayu, tapi orang normal terutamanya yang bangsa Melayu ni pun tak minat nak belajar bahasa melayu, ada tu, yang nak jadi orang puteh pun ada… sibuk mengganggungkan bahasa lain, menggunakan bahasa rojak, dan merosakkan bahasa.. apalah… tak berbangga dengan bahasa dan bangsa sendiri! Teruk!



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...