Isnin, 29 Jun 2009

APA ITU BAHASA ISYARAT?

Apa itu bahasa isyarat? Seringkali kita melihat orang pekak berisyarat dengan pelbagai gaya dan rekaan simbol yang menarik. Kadang-kadang kita sendiri terpegun dengan gaya dan isyarat yang dilakukan oleh golongan orang pekak atau orang normal yang mengetahui bahasa isyarat. Sebenarnya, apa itu bahasa isyarat?

Tahukah anda? Sebenarnya, kita banyak menggunakan isyarat dalam kehidupan. Misalnya, bila kita bertutur pasti tangan kita akan bergerak dan menunjukkan isyarat lazim reaksi dalam diri kita. Sebagai contoh, isyarat mata menjeling ketika memandang sinis kepada orang, makan, minum, cekak pinggang apabila marah, dan sebagainya. Selain itu, apabila kita melihat polis trafik membuat isyarat di tengah jalan, pengadil permainan membuat isyarat kepada pemain dan sebagainya. Persoalannya disini, adakah isyarat-isyarat itu merupakan suatu bahasa?. Sebenarnya tidak, kerana isyarat tersebut tidak digunakan dalam kehidupan seharian. Misalnya, apabila seorang polis trafik berisyarat dijalan raya kemudian dia pulang ke rumah, adakah dia menggunakan isyarat yang digunakan dijalan raya tadi untuk berkomunikasi dengan keluarganya? Mesti tidakkan.

Baiklah berbalik kepada isyarat orang pekak. Soalan saya kepada kalian semua, adakah bahasa isyarat yang digunakan oleh orang pekak boleh dikatakan sebagai suatu bahasa? Cuba kita merujuk kepada ciri-ciri bahasa, tidak salah saya, (kalau ada sesuatu tertinggal ciri-ciri bahasa bolehlah anda komen ya.. kita sama-sama berkongsi ilmu) ciri-ciri bahasa ialah mempunyai sistem, ada perlambangan, dimiliki, diperturunkan, mempunyai arbitrari, dan mampu menyatakan segala hal. Sebagai contoh, kita mempunyai bahasa melayu. Seperti yang kita maklum bahasa melayu mempunyai kesemua cirri-ciri tersebut. Maka, bahasa Melayu boleh dikatakan sebagai suatu bahasa. Bagaimanakah pula dengan bahasa isyarat yang digunakan oleh orang pekak?. Kalau kita selidik, bahasa isyarat yang digunakan oleh orang pekak mempunyai kesemua ciri-ciri bahasa tersebut. Sebagai contoh, dari segi sistem bahasa isyarat mempunyai fornologi, morfologi, sistaksis, pragmatik dan sebagainya. Selain itu, dari segi perlambangan, bahasa isyarat ada menyatakan sesuatu peristiwa dan sebagainya serta mempunyai arbitrari. Bahasa Isyarat juga, dimiliki oleh orang pekak dan diperturunkan serta diamalkan oleh mereka dalam kehidupan. Seterusnya, bahasa isyarat mampu menyatakan segala hal yang dikehendaki. Oleh itu, jelas terbukti lagi bersuluh bahawa bahasa isyarat yang digunakan oleh orang pekak boleh dikategorikan sebagai suatu bahasa seperti bahasa-bahasa yang lain.

Bagaimanakah cara perbentukan isyarat? Seperti yang saya maklum daripada seminar bahasa isyarat yang saya hadiri baru-baru ini di Universiti Malaya, cara perbentukan bahasa isyarat ialah mempunyai sifat utama, terdapat pergerakan, mempunyai bentuk dan kedudukan objek, lakonan kembali, mempunyai pelbagai simbol dan sebagainya.
Sekarang, kita tumpukan definisi bahasa isyarat. Menurut kamus dewan, bahasa ialah sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (antara individu dengan individu yang lain). Manakala maksud isyarat ialah, segala sesuatu pergerakan seperti kepala, kejipan mata, lambaian tangan dan lain-lain yang dilakukan sebagai tanda. Kesimpulannya, bahasa isyarat merupakan suatu alat penyampaian komunikasi yang digunakan oleh orang pekak dengan menggunakan pelbagai pergerakan badan yang membentuk simbol tertentu. Selain itu, bahasa isyarat ialah bahasa yang digunakan tanpa menggunakan ucapan atau penulisan.
Antara jenis bahasa isyarat yang digunakan oleh orang pekak di Malaysia ialah:
a) BAHASA ISYARAT MALAYSIA ATAU MySL (MALAYSIA SIGN LANGUAGE).

Bagi pengetahuan kalian, MySL ini merupakan bahasa isyarat yang selalu digunakan oleh Orang Pekak di Malaysia. Boleh dikatakan MySL ini merupakan bahasa ibunda bagi orang pekak di Malaysia. Memang diakui MySL digunakan oleh orang pekak Malaysia secara meluas. MySL juga, merupakan bahasa yang senang digunakan oleh orang pekak. Selain itu, MySL mempunyai tatabahasa dan peraturannya yang tersendiri. Oleh itu, dengan menggunakan MySL orang pekak boleh berkomunikasi dengan baik dan dapat memberi pemahaman kepada mereka. Namun, bila orang normal seperti saya hendak menggunakan MySL agak susah sedikit kerana tatabahasa dan peraturannya tidak sama macam bahasa kita. Misalnya, hendak memendekkan ayat dan sebagainya.

b) KOD TANGAN BAHASA MELAYU (KTBM)

Kod tangan bahasa melayu seingat saya, telah ditubukan pada tahun 1978 dan sudah 30 tahun terlaksana. Namun, KTBM ini bukanlah bahasa umum dan tidak merupakan bahasa orang pekak, tetapi digunakan dalam tatabahasa Bahasa Melayu. Dengan kata lain, KTBM digunakan apabila berlakunya terjemah daripada lisan (suara) kepada visual (tangan) dalam tatabahasa Bahasa Melayu. Selalunya, KTBM ini digunakan oleh guru-guru yang mengambil masalah pendengaran seperti saya untuk digunakan bagi mengajar bahasa Melayu. KTBM ini ada pro dan kontranya, pronya, orang pekak dapat mengetahui sruktur bahasa Melayu. Kontranya, KTBM melambatkan lagi komunikasi antara orang pekak, kerana ada imbuhan dan sebagainya serta memberi kekeliruan kepada orang pekak. Saya tidak mahu menerangkan dan komen apa-apa tentang KTBM, tetapi apa yang penting sesuatu yang dilakukan mesti ada kebaikan kepada orang pekak, mengikutlah kesesuaian anda semua. Nasihat saya untuk menguasai sesuatu bahasa itu, mestilah banyakkan membaca dan bertanya. Betul tak?

c) AMERICAN SIGN LANGUAGE ASL ATAU BAHASA ISYARAT AMERIKA
ASL ini merupakan bahasa isyarat yang digunakan bagi orang pekak di negara Amerika. Namun, terdapat isyarat Malaysia yang mempunyai persamaan sedikit dengan isyarat Amerika tetapi masih lagi MySL. Cuma di ambil-ambil sedikit dan disesuaikan dengan penggunaanya. Macam bahasa Melayu, ada perkataan yang diambil daripada bahasa Jawa, Portugis dan sebagainya. Apa yang menarik, ASL ini lebih maju dan ke hadapan daripada MySL. Hal ini demikian kerana, ASL sudah mempunyai perubahan penggunaan dan tatabahasa serta pertambahan perbendaharaan yang baru.
d) BERISYARAT MENGIKUT TATABAHASA BAHASA INGGERIS (SEE – SIGN EXACT ENGLISH)
Bagi pengetahuan kalian, SEE ini sama sahaja macam KTBM yang digunakan untuk penggunaan tatabahasa bahasa Inggeris.
e) PERTUTURAN KIU
Pertuturan Kiu ini khas sedikit kerana pertuturan kiu ini menggunakan isyarat tangan untuk membolehkan golongan pekak untuk bercakap.. Pertuturan kiu mengunakan bentuk-bentuk bagi memandu bunyi-bunyian . Selain itu, bentuk-bentuk yang dilambangkan (kiu) ditentukan pada kawasan dimana bentuk tangan menentukan bunyi-bunyian tangan. Misalnya 8 bentuk tangan membentuk huruf konsonan dan 4 bentuk tangan membentuk huruf vokal. Seterusnya, pertuturan kiu menggunakan bentuk-bentuk bagi memandu bunyi-bunyian.

Sekarang kita beralih kepada sejarah perkembangan MySL di Malaysia. Bagi maklumat anda semua Federation School of the Dear ditubuhkan pada 1954 di Pulau Pinang dengan menggunakan kaedah oralisme. Pada masa itu, pelajar pekak disitu menggunakan bahasa isyarat untuk mereka berkomunikasi. Selain itu, terdapat Sekolah Pekak yang terdapat di Singapura dan bahasa isyarat yang digunakan ialah Bahasa Isyarat Shanghai (SSL)
Seterusnya pada tahun 1964, Kelab Pekak di Petaling Jaya Selangor, telah ditubuhkan dan diasaskan oleh Lam Beng Heng. Ketika itu, mereka menggunakan SSL dan isyarat tempatan sahaja. Pada tahun 60-an, Amerka Sign Language (ASL) telah diperkenalkan oleh En. Tan Yap yang belajar di Gallaudet College dan juga anggota Registry of Interpreter for the Deaf (RID). Pada tahun 80an pula, Dr. Francesa Parson dari Amerika Syarikat memperkenalkan Kaedah Komunikasi Menyeluruh (Total Communication).
Pada tahun 1978 KTBM yang berasaskan ASL dibukukan dan digunakan di sekolah-sekolah Amerika dan British menggunakan bahasa Inggeris tetapi isyarat mereka adalah berlainan. Bagi makluman semua, ASL di gunakan di USA dan BSL digunakan di negara Komanwel seperti India, Pakistan, Australia, New Zealand, dan Fiji dan ditambah dengan isyarat tempatan mengikut budaya mereka.
Kalian hendak tahu, bagaiamanakah tiba-tiba sahaja wujudnya MySL?. Pada tahun 1996 Malaysia telah menjadi tuan rumah untuk menganjurkan dua aktiviti di peringkat antarabangsa iaitu 5th “Asia Pacific Deaf Games” dan “World Federation of the Deaf Asia Pacific Conference” : Bilingualism in Deaf Education di PWTC. Pada masa itu, semua orang pekak daripada seluruh dunia datang. Tiba-tiba pada masa itu juga, mereka mempersoalkan, kenapa kita menggunakan bahasa isyarat negara asing?
Oleh itu, pada tahun yang sama komuniti orang pekak sepakat untuk memulakan projek bahasa Isyarat Malaysia (BIM). Selepas itu, diikitraf sebagai bahasa rasmi orang pekak pada tahun 2000 oleh komuniti orang pekak Malaysia. Selepas itu, diiktiraf oleh Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat , Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia dengan memperuntukkan kewangan sebanyak RM230,000.
Kemudian, pada tahun 2005, Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) telah menubuhkan Pusat Latihan Bahasa Isyarat Malaysia (MySL training Centre) yang bertujuan untuk memberi komunikasi antara orang pekak dan orang normal.
Melalui Bajet 2007, pusat ini berjaya menuju objektif yang disasarkan, iaitu menjadi sebuah pusat latihan yang lengkap dan setanding dengan pusat pembelajaran yang lain. Matlamat utamanya seperti melatih Jurubahasa Isyarat Profesional dengan kerjasama International University College of Technology Twintech (IUCTT), membantu meningkatkan penguasaan bahasa isyarat kepada guru-guru, kaunselor sekolah pendidikan khas serta kakitangan sektor kerajaan yang berurusan dengan orang pekak. Selain itu, matlamat lain adalah untuk mewujudkan komunikasi tanpa halangan di semua agensi yang menyediakan perkhidmatan kepada orang pekak dan membangunkan Perkhidmatan Penterjemahan Dalam Talian (online) serta Kamus Bahasa Isyarat Maya untuk manfaat semua rakyat.

Pada tahun 2005, Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) telah menubuhkan Pusat Latihan Bahasa Isyarat Malaysia (MySL training Centre) yang bertujuan untuk memenuhi keperluan komunikasi tanpa halangan dalam semua bidang antara orang pekak dan bukan pekak.

Melalui Bajet 2007, pusat ini berjaya menuju objektif yang disasarkan, iaitu menjadi sebuah pusat latihan yang lengkap dan setanding dengan pusat pembelajaran yang lain. Matlamat utamanya diterusnya seperti melatih Jurubahasa Isyarat Profesional dengan kerjasama International University College of Technology Twintech (IUCTT), membantu meningkatkan penguasaan bahasa isyarat kepada guru-guru, kaunselor sekolah pendidikan khas serta kakitangan sektor kerajaan yang berurusan dengan orang pekak.
Selain itu MySL juga bermatlamat mewujudkan komunikasi tanpa halangan di semua agensi kerajaan yang menyediakan perkhidmatan kepada orang pekak dan membangunkan Perkhidmatan Penterjemahan Dalam Talian (online) serta Kamus Bahasa Isyarat Maya untuk manfaat semua rakyat.
Kini MySL telah digunakan dengan meluas oleh orang pekak di Malaysia serta menjadi kebanggaan mereka. Selain itu, MySL telah semakin ramai yang ingin mempelajarinya melalui pelbagai langkah yang dilakukan oleh pihak MFD dan juga badan-badan bukan kerajaan yang ingin membela golongan pekak.

Sekarang, kalian sudah tahukan sejarah bahasa isyarat, jenis-jenis dan sebagainya. Sebenarnya, bahasa isyarat boleh dikatakan sebagai suatu bahasa kerana bahasa isyarat mempunyai cirri-ciri yang tersendiri. Jadi, kalau rasa berkeinginan hendak belajar, silalah belajar. Kalau kalian ada adik-beradik pekak atau rakan-rakan pekak serta orang normal yang mengetahui bahasa isyarat dan sebagainya, ambillah peluang daripada mereka untuk mempelajarinya. Banyak kelebihannya. Hal ini bukan bermakna bahasa isyarat hanya boleh digunakan oleh orang pekak sahaja tetapi orang normal boleh menggunakannya. Kelebihannya nanti akan saya ceritakan pada blog akan datang. Namun, bahasa isyarat sangat cantik dan menarik berbeza daripada bahasa-bahasa lain. Jangan terkejut bila anda pelajari bahasa isyarat atau MySL anda boleh bertutur dengan semua orang pekak di seluruh dunia kerana terdapat simbol isyarat yang hampir-hampir sama dengan negara lain. :-)

Ini merupakan salah satu bahasa isyarat MySL iaitu ucapan yang sempat saya ambil dari internet:


ASSALAMUALAIKUM

SELAMAT DATANG




APA KHABAR?

TERIMA KASIH

Sabtu, 27 Jun 2009

SIAPAKAH GOLONGAN MASALAH PENDENGARAN??

Seringkali kita melihat golongan masalah pendengaran dikategori sebagai golongan pekak, golongan yang tidak boleh mendengar dan tidak boleh bertutur atau bercakap.Namun adakah kita sendiri sedari, siapakah golongan yang mempunyai masalah pendengaran?. Pada masa dahulu pelbagai istilah dan gelaran diberikan kepada golongan masalah pendengaran seperti pekak, telinga siput,pekak badak dan tuna, bisu dan sebagainya. (maaf saya tidak ingat gelaran-gelaran lain). Namun, yang pasti gelaran-gelaran tersebut sangatlah teruk dan menghina manusia istimewa ini. Seperti yang dinyatakan oleh Ling 1989 mengatakan istilah-istilah ini membawa satu stigma yang negatif dan kurang disenangi oleh masyarakat. Adakah wajar kita memberikan gelaran tersebut kepada mereka, sedangkan mereka manusia biasa yang mempunyai hati dan perasaan seperti kita. Oleh itu, istilah masalah pendengaran adalah istilah yang sesuai digunakan dan lazimnya digunakan oleh pihak perubatan kerana kebanyakan kanak-kanak yang dilabelkan sebagai pekak adalah tidak pekak sepenuhnya, mereka masih mempunyai sisa pendengaran (Clark, 1999). Walaubagaimanapun menurut Gregory, Silo dan Callow 1995 mengatakan istilah pekak, cacat pendengaran dan pekak bisu masih digunakan dan ditujukan kepada kumpulan kanak-kanak yang sama oleh orang ramai kepada kanak-kanak yang dikategorikan sebagai masalah pendengaran.

Menurut Akta Pendidikan Individu dengan Ketidakupayaan (Individuals with Disabilities Education Act, IDEA) mendefinasikan "masalah pendengaran yang sangat teruk sehingga kanak-kanak tidak berupaya memproses maklumat linguistik menerusi pendengaran sama ada dengan amplifikasi atau tidak yang seterusnya mengganggu pencapaian pendidikannya".
Seseorang yang mengalami masalah pendengaran secara amnya akan menggunakan alat bantu pendengaran dan mempunyai sisa pendengaran yang mencukupi untuk membolehkannya berjaya memproses maklumat linguistik menerusi pendengaran. (Brill, MacNeil & Newman, 1986)

Selain itu, menurut Cruickshank dan Johnson (1975) menyatakan bahawa masalah pendengaran ialah kebolehan kanak-kanak menggunakan deria dengarnya dan bilakah permasalahan itu dialami oleh kanak-kanak tersebut. Oleh itu, definisi ini boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu, pekak dan separa pekak. Pekak ialah kanak-kanak tersebut memiliki deria dengar yang tidak boleh berfungsi langsung. Manakala kategori separa pekak pula merujuk kepada kanak-kanak yang deria dengarnya yang rosak masih boleh berfungsi dengan alat bantu pendengaran ataupun bantuan yang sesuai.

Hallahan & Kauffman (1990) mendefinisikan cacat pendengaran sebagai maksud generik yang menunjukkan kestabilan pendengaran yang diukur mengikut tahap pekak sederhana kepada tahap yang teruk, ia juga termasuk subset daripada kepekakan dan yang bermasalah pendengaran. Pihak hospital Universiti Kebangsaan Malaysia telah mengklafisikasikan kehilangan pendengaran kepada lima kategori :

Klasifikasi Kehilangan Pendengaran ( Sumber : Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia )
dBHL Kategori
a) 20 dBHL ke bawah Biasa ( normal )
b) 21 - 45 dBHL Ringan ( mild )
c)46 - 70 dBHL Sederhana (moderate)
d) 71 - 90 dBHL Teruk ( Severe )
e) 91 dBHL ke atas Sangat Teruk ( Profound )

Sekarang kalian sudah mengertikan siapakah golongan masalah pendengaran. Sebenarnya, golongan masalah pendengaran ini boleh mendengar tetapi seperti yang dinyatakan dapat disimpulkan mereka boleh mendengar dan bertutur, tetapi tahap pertuturan dan pendengaran mereka tidak lancar seperti orang normal. Jadi kalian jangan salah tanggapan bahawa orang masalah pendengaran tidak boleh bertutur dan mendengar langsung. Kadang-kadang mereka sendiri boleh tahu apa yang kita bualkan tetapi mereka pura-pura tidak dengar, seperti yang pernah dialami oleh saya dahulu sewaktu saya mengikuti kawan pekak saya ke PESIBA iaitu Persatuan Ibu Bapa dan Kanak-Kanak Pekak. Apabila seorang kanak-kanak pekak tergelak apabila saya bercakap, dan rupa-rupanya kanak-kanak tersebut boleh mendengar sedikit. He3 sabar jela…

Saya teringat, semasa saya pergi International Seminar on Sign Language Research di Universiti Malaya, banyak maklumat yang saya dapati dan mengetahui kehidupan orang pekak. Selain itu, ketika di seminar tersebut saya tertarik kebanyakan mereka sangat akrab dan peramah dengan semua orang. Malah, orang normal di sana seperti saya pula berasa segan. Rupa-rupanya setelah saya bertanya dan mengkaji mereka sebenarnya ada kehidupan dan budaya mereka sendiri.. BUDAYA??? Wow! Orang pekak ada budaya.. Nanti suatu hari saya akan ceritakan pada blog yang akan datang..


Ini maksudnya "I LOVE U" atau "saya cinta awak" itu dalam bahasa isyarat Malaysia, tetapi dalam bahasa isyarat Taiwan maksudnya "tunggu".

SERONOKNYA BERKAWAN DENGAN ORANG PEKAK.

Mempunyai rakan-rakan yang kurang upaya tidak pernah difikirkan oleh saya selama ini. Saya selama ini hanya memikirkan kawan yang mempunyai kesempurnaan fizikal yang baik, dan tiada cacat cela. Namun, semuanya berubah apabila saya melanjutkan pelajaran saya di IPGM IK. Pada mulanya, saya memohon kos Bahasa Melayu, kononnya nak jadi guru Bahasa Melayu, tetapi tiba-tiba ditolak untuk mengambil kos Pendidikan Khas. PENDIDIKAN KHAS?!!!!! Apa tu?!!! Macam merepek je..! mengajar pelajar pekak, buta, autisme, down sindrom……. Euwwwww.. itulah pandangan saya dahulu terhadap Pendidikan Khas.. Memang saya tidak boleh terima dengan kos ini, tetapi bila saya menceburi bidang ini barulah saya tahu dan bersyukur kepada Allah kerana menjadi salah seorang hamba-Nya untuk mengajar kanak-kanak khas. Namun, bukanlah untuk saya menceritakan tentang kos saya yang amat saya banggakan hari ini, tetapi saya ingin berkongsi kepada kalian bertapa seronoknya apabila mempunyai rakan-rakan pekak.

Seperti yang kita maklum, orang pekak mesti tidak seronok bergaul, seorang yang pendiam, tidak pandai bercakap, tidak pandai berkomunikasi atau paling teruk sekali, apabila terdapat pandangan yang menyatakan orang pekak b***h, #@%^& dsb.. Tetapi semua itu adalah tanggapan yang SALAH sama sekali.

Saya mengenali orang pekak apabila saya memasuki IPGMIK, saya menjumpai Fatimah iaitu kawan pekak saya yang pertama sekali dan yang paling saya sayang (he3 jgn fikir mksud lain k..). Ketika di kelas, saya melihat Fatimah keseorangan, diam sahaja, dan nampak pemalu. Saya cuba hendak menegur atau bercakap dengannya, tetapi apakah daya saya tidak tahu bahasa isyarat, hanya tahu menggunakan isyarat ABC sampai Z sahaja, itu pun ingat-ingat sikit, kerana masa sekolah dahulu saya ada juga belajar isyarat huruf daripada abang saya sendiri. Akhirnya, saya memberanikan diri saya untuk bercakap dengan Fatimah. Alhamdulillah, Fatimah memberi interaksi yang baik kepada saya, malah bersabar dengan saya apabila terpaksa mengeja satu perkataan kepada satu perkataan dengan menggunakan isyarat ejaan. Hmmm.. naik letih dibuatnya berborak dengan Imah. Akhirnya, saya mengambil keputusan dan meminta Fatimah mengajar saya bahasa isyarat. Semenjak itu, saya menjadi kawan baiknya dan mejuruisyaratkan kepada Fatimah di dalam kelas. Tiap-tiap hari saya diajar perkataan baru, gaya isyarat baru dan sebagainya oleh Fatimah. Selepas itu, Fatimah mengenalkan saya kepada Sarah dan Shannen. Memang mula-mula saya sudah mengenali Sarah dan Shannen, tetapi tidak secara rapat. Saya mengakui bahawa permulaan bahasa isyarat saya sangat, sangat, sangat, sangat teruk, tiap-tiap hari saya akan ditegur oleh Fatimah kerana keliru dalam berisyarat. Bahasa Isyarat bukanlah suatu bahasa yang senang untuk dipelajari, sehingga kini pun saya masih lagi keliru dan lupa dengan sesuatu simbol isyarat. Begitu juga dengan Sarah yang sangat tegas dalam berisyarat. Kalau saya buat salah sedikit, pasti akan ditegur tegas oleh Sarah. Namun, Shannen, berperanan dalam menerangkan sesuatu isyarat itu digunakan pada waktu2 bila, cara memendekkan ayat, keselesaan orang pekak berhadapan dengan juruisyarat dsb. Dengan ajaran 3 orang guru saya yang jelita ini, saya sentiasa dapat meningkatkan isyarat saya sehingga kini.

Selepas tamat program Pra, kini kami telah mengambil program ijazah. Oleh itu, saya, Fatimah, Sarah, dan Shannen telah sama dalam satu kelas dengan mengambil kos Pendidikan Khas masalah pendengaran. Alhamdulillah, kami dapat melepasi Pra-PISMP. Selepas itu, barulah saya mengenali Yana, iaitu kawan baik yang membantu mengisyaratkan kepada Shannen dan Sarah sewaktu mereka di kelas Pra dahulu.

Kelas kami sangat menarik, kerana kami satu kelas akan diajar bahasa isyarat oleh Fatimah, Shannen dan Sarah. Hari-hari saya akan menjadi juruisyarat mereka bertiga, duduk di depan kelas, terpaksa.. apa boleh kerana sayangkan kawan-kawan pekak saya. Selain itu saya akan cuba memberi keselesaan kepada mereka dan berusaha supaya mereka memahami apa yang diajar oleh pensyarah. Kadang-kadang takut juga, kerana saya bimbang apa yang saya isyarat tidak dapat di sampaikan kepada mereka bertiga.

Satu yang amat saya menyukai apabila berkawan dengan kawan-kawan pekak ialah sikap baik hati, setia dan sentiasa tolong-menolong antara satu sama lain. Berbeza dengan orang normal, kebanyakan rakan-rakan normal saya tidak mempunyai sikap sebegitu, sentiasa pentingkan diri dsb, tapi bukanlah semua ye.. he3.. Selain itu, menariknya berkawan dengan orang pekak, kita akan terasa terhibur dengan gurauan dan isyarat mereka. Mereka terlalu banyak cerita yang hendak disampaikan. Saya dan rakan baik saya Hafiz sentiasa mengusik mereka bertiga. Kadang-kadang kami tergelak dengan gaya, dan ayat yang mereka tulis. Namun, itulah yang sentiasa merapatkan hubungan saya dengan kawan-kawan pekak saya. Walaupun kadang-kadang saya bimbang mereka terasa dengan saya, tetapi saya akan cuba sentiasa meminta maaf kepada mereka.

Apabila saya bersama dengan mereka bertiga saya berasa seronok dan gembira dengan mereka. Walaupun dalam menyiapkan tugasan atau apa sahaja kerja, tetapi apabila berjumpa dengan mereka hati saya cepat gembira meskinpun saya dalam keadaan yang sedih.

Apabila kita bergaul dengan orang pekak, kita akan merasakan bahawa kita berada dalam dunia yang lain. Bahasa isyarat yang digunakan menjadi alat komunikasi kepada mereka serta mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Satu yang amat saya menyukai bahasa isyarat ialah, bahasa ini sangat ringkas dan pendek. Tidak perlu kita bercakap berpanjang-panjang seperti bahasa yang lain (nanti saya akan terangkan keistimewaan bahasa isyarat pada blog yang akan datang).

Orang pekak sangat pandai. Kalian JANGAN PANDANG RENDAH KEPADA ORANG PEKAK. Misalnya, Fatimah, Sarah dan Shannen sangat hebat dalam komputer, matematik, sains, akaun dan English. Malah keputusan SPM mereka sangat membanggakan dan menjadi pelajar contoh OKU kepada setiap negeri mereka. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada mereka, dan kerana itulah mereka dapat melanjutkan pelajaran mereka di IPGMIK.

Daripada mereka, saya sekarang sudah ramai mempunyai rakan-rakan pekak seperti Ifah, Abg Santa, Dino, Estern, Kak Wani, Pui Jing dsb..

Oleh itu, kepada kalian di sana. Nasihat saya supaya janganlah kita memandang seseorang itu secara negatif, setiap manusia ada kebaikan dan keburukannnya jadi kita sebagai manusia sentiasalah berinteraksi mengikut kesesuaian masing-masing. Kepada kalian yang rasa minat terhadap bahasa isyarat, cubalah belajar, kerana bahasa isyarat sangat menyeronokkan dan banyak kelebihannya. Kepada yang sudah tahu bahasa isyarat tetapi berasa malu untuk berinteraksi buanglah sikap itu, kerana kita seharusnya berasa bangga dan bersyukur dengan anugerah yang telah diberikan oleh Allah kepada kepada kita, bukannya hanya memberi alasan malu, bimbang dan malas sahaja hendak berisyarat (he3 jgn terasa ye sesiapa yang membaca, maaf!).. tak elok!! ;-p






Untuk pengetahuan kalian semua, inilah guru bahasa isyarat saya yang pertama yang paling saya sayang dan merupakan kawan baik perempuan saya iaitu Fatimah atau saya selalu panggil dia Imah. Dia seorang yang lemah-lembut dan berbudi bahasa. Apa yang pelik sehingga sekarang saya tidak pernah melihat dia moody dan marah.







Si gadis jelita inilah Sitie Sarah, dia ini rakan pekak saya yang sangat tegas dan sentiasa menegur saya ketika berisyarat. Salah sikit sahaja pasti dia akan tegur, tetapi teguran dialah banyak membantu saya untuk meningkatkan kemahiran isyarat saya.




Gadis Cina inilah Shannen atau Lim Yong Loo, dia inilah berperanan dalam menerangkan sesuatu isyarat itu digunakan pada waktu-waktu bila, cara memendekkan ayat, keselesaan orang pekak dan sebagainya.







Beginilah caranya saya berisyarat ketika kelas bermula, agak susah juga hendak menterjemahkan apa yang dicakap dan diajar oleh pensyarah.




Saya sentiasa bergurau dan bercerita sesuatu yang menarik kepada Sarah. Sarah merupakan seorang yang bijak dalam melontarkan idea dan pandangan.



Di dalam kelas Shannen suka berlawak dan bergurau dengan rakan-rakan. Walaupun dia seorang yang pekak tetapi dia pandai bergaul dengan orang lain. Sifat peramah dia membuatkan kami dikelas sentiasa terhibur.


Hmmm.. yang pakai tudung itulah Yana, tapi dia ini pemalu sikit, masa saya hendak tangkap gambar dia tidak mahu. Kononnya malu. Malu-malu kucing. Namun, saya suka dengan sikap dia yang low profile dan rendah diri.
Kesimpulannya, bukanlah bagi saya untuk menunjuk-nunjuk rakan-rakan pekak saya. Namun, saya ingin mengubah perspektif masyarakat terhadap orang pekak. Orang pekak bukanlah orang yang tidak tahu apa-apa, tidak pandai bergaul dan sebagainya. Malah orang pekak merupakan insan yang sangat seronok apabila kita dekati. Walaupun mereka tidak boleh mendengar dan bertutur tetapi mereka masih lagi mempunyai akal fikiran yang sama seperti kita yang normal.










LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...